Hamka Sang Pujangga : Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

0
792
views

Buat rakyat di Nusantara, bohong kalau anda tidak mengenali sosok yang bernama Hamka atau nama penuhnya ialah Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah kelahiran Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Hamka yang merupakan seorang legendaris tersohor Nusantara bahkan juga dunia ialah penggerak dakwah terpenting dalam menegakkan panji Islam. Gelaran ‘Doktor’ di hadapan nama beliau (yang diberikan oleh Universiti al-Azhar dan Universiti Kebangsaan Malaysia) adalah bukti kukuh bahawa Hamka merupakan seorang ulama yang banyak berjasa dalam perkembangan dan penyebaran Islam. Panggilan ‘Buya’ pula diambil daripada perkataan Bahasa Arab yang memberi erti ‘Abi’ atau ‘Abuya’ iaitu seseorang yang amat dihormati.

Di samping bergiat aktif dalam bidang politik dan falsafah serta ketua dalam Majlis Ulama Indonesia (MUI), Buya Hamka juga sangat terkenal dalam bidang penulisannya. Beliau ialah seorang yang sangat berdikari hinggakan segala kemahiran sastera dan menulisnya yang agung itu dipelajarinya sendiri melalui penyelidikan karya para ulama dari Timur Tengah seperti Zaki Mubarak dan Hussain Haikal. Hamka banyak menghasilkan karya dalam penulisan novel dan cerpen dan telah mendidik masyarakat tentang ajaran Islam sekaligus menonjolkan kenyataan dalam kehidupan yang indah khabar dari rupa. Kenyataan yang pahit dalam kehidupan tapi harus ditelan dan dihadam.

Selain Di Bawah Lindungan Ka’bah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, antara novel roman beliau yang membuatkan hati para pembaca tersentuh adalah karyanya berjudul Teroesir (Terusir).

Novel ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Mariah yang teraniaya dek kerana fitnah yang dilontarkan oleh pihak keluarga suaminya, Azhar. Sungguh malang itu tidak berbau, nasib Mariah diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila suaminya bertindak membabi buta tanpa ada sebarang usul periksa dengan mengusir Mariah keluar dari rumah mereka. Lantas, berlaku perpisahan antara Mariah, Azhar dan anak mereka yang diberi nama Sofyan.

Sejak hari itu, bermulalah episod lembaran hitam dalam buku kehidupan Mariah. Dia keluar dengan tidak membawa apa-apa. Sudah hidup sebatang kara, tempat berteduh pun tiada. Menumpang kasih sayang di rumah pak cik (sebenarnya sahabat karib arwah bapanya) pun sampai dihalau dan dicemuh dan diusir (dihalau) oleh isteri lelaki tersebut. Sudahlah yatim piatu, sanak saudara kandung juga tak kelihatan batang hidungnya. Mariah hanya bergantung nasib kepada Yang Maha Kuasa.

Sehingga satu hari kelihatan sedikit sinar harapan dalam kehidupan Mariah apabila dia diterima bekerja sebagai pembantu di salah sebuah rumah milik orang Belanda. Di sana, dia ditanggungjawabkan untuk menjada anak-anak dan kebersihan rumah. Saban hari Mariah makan hati berulamkan jantung kerana tatkala dia menjaga anak-anak majikannya, pasti Mariah teringat akan anaknya Sofyan yang ditinggalkannya masih setahun jagung usianya. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya panas di tengah hari.

Sewaktu bekerja di situ, Mariah berkenal-kenalan dengan seorang laki-laki bernama Yasin yang turut sama bekerja dengannya di rumah orang Belanda tersebut. Yasin yang pada awalnya seperti bertanggungjawab, rupa-rupanya dia sama saja seperti laki-laki hidung belang di luar sana. Setelah tempoh bekerja mereka tamat, Yasin meluahkan hasrat untuk menjadikan Mariah sebagai ratu hatinya. Tetapi sayang, segala harta milik Mariah dikikis dan dia ditinggalkan begitu saja.

Mariah buntu. Dia tidak mampu untuk memikirkan jalan penyelesaian yang baik buat dirinya. Mariah tidak sanggup menghentikan nadi di tangannya sendiri kerana dia tahu bahawa ‘ada’ yang lebih berhak untuk mematikan dirinya. Akhirnya, Mariah memilih jalan prostitusi (pelacuran) demi memenuhi keperluan kehidupannya. Mariah jatuh ke kancah pelacuran kerana situasi kehidupannya yang mendesak.

Waqaf Saham

Sungguh, Buya Hamka sememangya seorang yang sangat teliti dan halus seni tulisannya. Gaya penceritaan Teroesir  sarat dengan falsafah dan nasihat serta penuh dengan kritikan sosial kepada masyarakat, lebih-lebih lagi berkenaan isu pelacuran yang semakin bermaharajalela. Di samping penyusunan karakter yang baik dan sangat jelas, gaya bahasa yang digunakan cukup mudah dan ringan untuk difahami. Antara bahagian yang saya suka dalam novel ini adalah :

Sungguh, sahabatku. Barang sesuatu apabila berada dalam tangan, kecacatannya yang tampak. Setelah ia lepas dari tangan, barulah kita akan ingat baiknya.

Zaman muda adalah zaman beruntung sebab orang muda belum tahu bagaimana sukarnya penghidupan yang akan ditempuh. Dan memang mereka belum perlu tahu hal itu kerana kalau segera mereka ketahui, tentu pada waktu mudanya dia telah menjadi tukang perenung. Dan kalau pada zaman muda telah bermenung, bagaimana kelak menunggunya di zaman tua?

Pada akhir penceritaannya, Mariah ditakdirkan mati dalam pangkuan Sofyan, anak kandungnya sendiri. Lantas, bermaharajalah rasa serba salah dalam diri Azhar yang pada awalnya dia telah percaya bulat-bulat fitnah yang dilemparkan atas Mariah lantaran hasad dengki lalu menyebabkan dia bertindak melulu dengan mengusir Mariah keluar dari rumah.

Antara pengajaran yang dapat saya kongsikan daripada novel ini adalah memang benar sebenarnya fitnah itu lebih kejam daripada membunuh. Allah SWT telah memberikan peringatan tentang perkara ini dalam kitab suci al-Quran sendiri. Seterusnya, dalam dunia ini sebenarnya bukanlah semua insan yang mengambil keputusan untuk menjadi jahat lantas melakukannya dengan terpaksa. Justeru, disebabkan faktor kesempitan hidup dan depresilah yang terkadang menjadi pemangkin utama kepada keadaan ini.

Sebagai seorang lelaki, nilai dan pengajaran ini yang ingin sekali saya kongsikan. Lelaki memang diciptakan dengan kekuatan dan kegagahan yang melebihi kaum wanita. Tetapi, kelebihan itu seharusnya disalurkan ke jalan yang sewajarnya iaitu menjadi pelindung kepada mereka, memberikan nafkah secukupnya dan berlaku adil. Melalui novel ini, Buya Hamka secara tidak langsung menyindir sikap segelintir kaum lelaki yang sewenang-wenangnya sahaja menuding jari menyalahkan kaum wanita yang terjerumus dalam kancah pelacuran. Andai saja mereka memang benar salah, mengapa ramai saja lelaki hidung belang yang tunduk kepada hawa nafsu mereka? Sungguh ironi!

Akhirnya, nilai terpenting yang masyarakat harus tahu apabila membaca novel ini adalah dalam hidup sebenarnya bukanlah permulaan hidup itu yang utama. Tetapi, yang terpenting adalah usaha dan langkah atau pilihan kita untuk memilih pengakhiran kehidupan kita sendiri. Justeru, permohonan doa dan tawakal yang sepenuhnya haruslah dipanjatkan kepada-Nya semata-mata dan tidak hanya menyalahkan takdir kerana Allah SWT telah berfirman yang maksdunya, “Sesungguhnya Allah SWT idak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka.

sangat merekomendasikan novel ini kepada semua terutamanya rakyat Malaysia yang mutakhir ini semakin kerap menjatuhkan hukuman kepada seseorang yang sebenarnya belum dibicarakan pun lagi. Lebih parah lagi apabila terus-menerus dalam melemparkan tohmahan dan stigma negatif terhadap seseorang yang tidak terbuktikan salah mereka. Ramlee Awang Murshid pernah berkata,

Biar tersalah ampun tetapi jangan sampai tersalah hukum.

Rujukan :

  • Hamka (2016), “Terusir”, Jakarta (Cetakan ke-4 : 2017) : Gema Insani.