Caught in Providence merupakan sebuah program realiti yang memaparkan kerja Frank Caprio sebagai Ketua Hakim sebuah bandaraya besar di Rhode Island. Terletak di antara Connecticut dan Massachusetts, Providence merupakan zon perindustrian tekstil, barangan kemas dan peralatan perak.

Ramai penggiat seni dan ahli politik berasal dari Providence, tetapi mungkin tidak begitu popular untuk dikenali di seluruh dunia. Malah tidak pelik pun jika Amerika Syarikat sendiri jarang sesekali mendengari nama mereka.

Sungguhpun begitu, Frank Caprio telah menjadi sebutan ramai. Beliau terkenal bukan saja sebab menegakkan keadilan. Namun beliau sebenarnya tahu bila untuk menegakkan keadilan tanpa bidangkuasa undang-undang sendiri.

Dilahirkan di sebuah komuniti yang setiap inci tanahnya berbau keju, Frank Caprio sendiri merupakan generasi Itali Amerika dalam keluarga miskin. Hidup keluarganya disara melalui kerajinan ayahnya sebagai penjual buah-buahan dan susu (Aveledo, 2016).

Apabila meningkat usia remaja, Frank Caprio sedar bahawa keluarganya yang serba-serbi kekurangan takkan mampu membiayai pengajiannya di peringkat universiti. Jadi beliau mencari nafkah sendiri dengan kerja separuh masa sebagai pembasuh pinggan dan penggilap kasut sejak di bangku sekolah lagi (Caught in Providence, 2019).

Ironinya buat hakim ini, semasa di sekolah tinggi, beliau memenangi peraduan gusti di peringkat negeri sehingga pihak universiti mengundang Frank Caprio ke “Hall of Fame” dengan anugerah tersendiri.

Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda, pengorbanan Frank Caprio masih belum tamat. Beliau mendapat kerja sebagai guru di sebuah sekolah. Kepenatan harian tidak menghentikannya untuk menghadiri kelas-kelas malam undang-undang di Universiti Suffolk. Setiap kali ada kelas, beliau terpaksa berulang-alik dari Providence ke Boston.

Begitulah cabaran untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Dan semuanya membuahkan hasil pada tahun 1962 apabila beliau diundi masuk ke Majlis Bandaraya Providence. Sudah menjadi suatu kebiasaan bagi seorang peguam Amerika Syarikat untuk menceburi bidang politik.

Pada tahun 1975, Frank Caprio menjadi perwakilan dalam Majlis (Parti) Demokratik Negara. Sekitar waktu ini, hidup beliau semakin senang. Beliau menjadi Pengerusi Badan Kegabenoran Rhode Island untuk Pendidikan Tinggi.

Sebagai pengerusi, beliau mempengaruhi pelbagai tindakan dan keputusan bagi pihak tiga universiti utama Rhode Island. Datuk Bandar Providence mengekalkan beliau di jawatan ini sebanyak enam kali atas komitmen dan jasa yang ditumpahkan, serta pengaruhnya dalam bidang pendidikan. Namun populariti Frank Caprio mencanak melalui program Caught in Providence yang mana beliau tunjukkan sudut kelembutan terutamanya kepada orang-orang susah.

Ramai yang dibebaskan daripada dakwaan memandu terlalu laju misalnya datang daripada latar belakang berpelbagaian. Kadangkala bukan kewangan yang menjadi dugaan paling besar. Salah satu kes paling popular ialah Victor Colella yang menerima saman $75 kerana memandu terlalu laju di kawasan persekolahan.

Masalahnya Victor Colella berusia 96 tahun dan jarang sesekali memandu. Hanya satu masa sahaja beliau akan memandu – iaitu untuk hantar anaknya (63 tahun) ke “blood work” (kemoterapi) kerana menghidapi kanser. Selepas dipuji Frank Caprio, Victor Colella yang kelihatan begitu sebak mengucapkan terima kasih kerana dibebaskan daripada pertuduhan.

Video: https://www.facebook.com/watch/?v=390425978492976

Namun Victor Colella hanya seorang daripada keramaian yang mencungkil sentuhan keadilan daripada Frank Caprio. Terlalu ramai yang beliau bantu dengan cara membebaskan. Daripada ibu mengandung ke orang betul-betul susah, nilai yang diterapkannya tentu sekali mencetuskan inspirasi supaya ramai pemegang kuasa berlaku adil dalam pertimbangan.

Kadangkala undang-undang bukanlah penentu kepada penyelesaian. Bagi kes-kes kecil, sewajarnya hakim diberikan kebebasan untuk menggunakan kecerdikannya kerana tidak wajar pemanduan lebih 1 km/j dihukum dengan saman.

Itulah apa yang Frank Caprio sentiasa sampaikan.

RUJUKAN:

Aveledo, C. (2016, May 19). Caprio: Leave the ladder down, so others may follow. The Independent. Retrieved from https://www.independentri.com/independents/ind/south_kingstown/article_323b88b3-6c27-565c-a513-fe72f66e47aa.html

Caught in Providence. (2019, February 26). A Memorable Moment. Facebook Video. Retrieved from https://www.facebook.com/caughtinprovidence/videos/378517992967242/?v=378517992967242


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.