Hakeem Menggegar Dunia Perakaunan

822

Bohonglah sebut saja Melayu, ada saja label negatif yang dilemparkan seperti tidak berdisiplin, tidak tahu mengurus masa dan kerap terlibat dalam gejala negatif. Tetapi bila ada berita positif membabitkan orang Melayu, jarang ia diketengahkan di luar sana atau dikatakan ini kejayaan negara. Maaf, cerita-cerita positif ini harus dikeluarkan bagi membolehkan orang Melayu berbangga dengan kisah kejayaan individu-individu hebat ini.

Salah seorang yang berjaya mencorak kejayaan dalam bidang akademik ialah Hakeem Mohammad Akmal, 18, seorang pelajar program Certified Accounting Technician (CAT) Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Baru-baru ini, dia berjaya mendapat skor penuh 100 peratus bagi kertas FA1 Recording Financial Transactions sekali gus mencipta sejarah dunia dengan berada di tempat pertama bagi subjek berkenaan. Hakeem memperoleh skor penuh berkenaan dalam sesi Julai – Disember 2019 seterusnya berjaya mengekalkan kecemerlangan selepas memperoleh keputusan 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Bagi bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu, dia tidak pernah terfikir akan mendapat markah sedemikian rupa memandangkan dirinya tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang perakaunan. Hakeem berkata, “Sebelum ini saya mengambil jurusan sains tulen di peringkat sekolah menengah, namun saya buat keputusan tukar haluan kerana ingin mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar. Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan apabila dikelilingi rakan serta tenaga pengajar yang banyak membantu walaupun saya terlalu banyak bertanya.”

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim menyifatkan pencapaian Hakeem sebagai satu kebanggaan kepada UiTM. Dalam satu kenyataan, beliau berkata, “Pencapaian itu melayakkan beliau dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan di dunia oleh badan profesional perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom. Kejayaan tersebut membuktikan dengan kesungguhan dan usaha yang gigih serta sokongan padu pihak universiti, rakyat Malaysia boleh mencapai pengiktirafan di arena global.”

Bila ditanya berkenaan tips pembelajarannya, Hakeem yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu masih keluar bersama rakan melakukan aktiviti seperti menonton wayang dan bersukan, namun dia meletakkan had supaya tidak leka. Tambahnya, “Jangan lagho (leka) sangat, kena pandai ‘control’ (kawal). Tugas kita sebagai penuntut harus belajar sampai dapat yang terbaik, jangan pula terbaik dalam melepak. Saya juga bertuah kerana pensyarah yang mengajar kertas ini banyak membantu biarpun di luar waktu kelas. Saya pula seorang yang tidak akan puas selagi tidak faham sesuatu perkara. Di sini, saya dapat lihat kerjasama daripada tenaga pengajar dan penuntut amat penting untuk sama-sama berjaya kerana jika sebelah pihak saja yang bersungguh-sungguh mungkin tidak akan ke mana.”

Dia kini merancang melanjutkan pengajian dalam bidang percukaian di UiTM melalui ACCA memandangkan jurusan tersebut kelihatan mencabar dan mempunyai peluang pekerjaan yang luas. Hakeem berkata lagi, “Zaman sekarang kita perlu bijak mengatur langkah. Belajar sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan pada masa depan dan bukan sekadar untuk memenuhi minat. Minat boleh datang kemudian, yang penting kesungguhan untuk mengubah masa depan. Kelilingi juga diri dengan orang yang positif dan rajin. Itu semua menyumbang kepada kejayaan tanpa kita sedari. Insya-Allah, kejayaan akan menyusul selepas kita lakukan yang terbaik di samping menjaga hubungan dengan keluarga dan Allah SWT.”

RUJUKAN

  1. mStar. (2019). Tanpa ilmu asas perakaunan, pelajar UiTM catat sejarah dapat gelaran tertinggi Malaysia, dunia. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2019/12/07/pelajar-uitm-sejarah-akaun-acca/
  2. Zulkipli, Nur Lela. (2019). Hakeem cipta sejarah dunia. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/524125/hakeem-cipta-sejarah-dunia

Ruangan komen telah ditutup.