Hak Wanita Menurut Islam

0
318
views

Sekarang dunia kecoh tentang peranan wanita dalam masyarakat. Buka televisyen atau media sosial, disebalik kekecohan dunia dan pelbagai mehnah dalam masyarakat, akan terselit satu atau dua cerita tentang kepimpinan wanita, peranan wanita dalam pemerintahan, bolehkah wanita menjadi wakil rakyat (kalau di Malaysia la..),  wanita dalam isu itu, wanita dalam isu ini. Bahkan di dunia pula muncul gerakan feminisme, iaitu kumpulan yang berjuang ingin mengangkat martabat wanita tinggi atau setara dengan lelaki.

Tahukah anda? Isu berkenaan hak wanita ini telah lama bermula dan hangat diperkatakan. Bukan macam isu artis wanita menjadi ikon remaja atau seumpamanya pada masa kini, isu ini telah diperkatakan sama ada merujuk kepada tamadun Barat ataupun tamadun Islam.  Antara yang terawal mengetengahkan isu hak wanita ini adalah Plato, seorang filasuf Greek yang terkenal. Melalui salah satu hasil karya terkenal beliau iaitu The Republic, Plato banyak bermain kata-kata berkenaan isu wanita. Walaupun tidak ditemui secara langsung berkenaan perkara tersebut, namun dapat dilihat Plato banyak merujuk perkara berkaitan isu negara, hal ehwal masyarakat atau sifat seseorang dengan penggunaan kata ganti nama ‘wanita’.

Selepas zaman Plato, tamadun Barat adalah antara tamadun yang giat memperjuangkan hak wanita, dek kerana corak kehidupan dan pengamalan taraf sosial dalam masyarakat Barat ketika itu. Sejak zaman Renaissans sehingga abad ke 19 dan 20, walau setinggi mana pendidikan atau keluarga wanita tersebut, wanita tetap dianggap golongan kelas kedua selepas lelaki di Barat. Menurut penelitian sejarah, kaum wanita di Barat ketika itu mempunyai sekatan dalam hak ekonomi, pekerjaan, bahkan juga hak berpolitik. Mereka tetap dianggap sebagai anak, isteri atau ibu serta harus patuh dan tunduk kepada golongan lelaki. Kaum wanita juga digunakan sebagai pemuas kehendak lelaki, sama ada secara zahiriah atau batiniah.

Tontonlah filem Game of Throne, atau 300 dan lihat bagaimana wanita dilayan sebagai pemuas nafsu lelaki? Selain itu, kaum wanita ketika era Renaisans dijadikan sebagai pertukaran untuk dikahwinkan dengan keluarga lain demi urusan kelangsungan perniagaan, atau melahirkan anak untuk membantu si ayah bekerja di ladang dan perniagaan. Banyak hak wanita yang sepatutnya dimiliki telah diabaikan oleh masyarakat Barat ketika itu. Sebagai contoh, filem Suffragatte (2015) lakonan Meryl Streep adalah berdasarkan kisah benar berkenaan sekumpulan wanita di United Kingdom ketika itu, dengan motto “I’d rather be a rebel than a slave” melakukan demonstrasi aman demi menuntut kesamaan hak dalam masyarakat, contohnya diberi kebenaran menjadi pengundi dalam pilihanraya umum.

Itu di tamadun Barat. Di sebelah negara Arab, contohnya di semenanjung Hijaz mengikut adat kabilah Arab, kaum wanita boleh dijual beli untuk menjadi pengantin atau hamba kepada sesiapa yang sanggup. Suami pula boleh menceraikan dan membuang isteri sesuka hati tanpa perlu memikirkan hak dan kebajikan wanita tersebut, bahkan wanita tidak dibenarkan memiliki dan mewarisi harta walaupun suaminya adalah saudagar perniagaan yang kaya dan mempunyai harta serta haiwan ternakan yang banyak. Bahkan tersebar juga kisah sesetengah keluarga kabilah Arab malu untuk memiliki anak perempuan kerana anak perempuan tidak boleh menjadi wakil keluarga, serta ada juga yang menanam hidup-hidup bayi perempuan selepas lahir kerana malu.

Kedatangan Islam yang bermula di semenanjung Arab oleh Rasulullah SAW telah mengubah persepsi ini. Islam mengangkat wanita kepada satu tahap yang tinggi dan diberi layanan yang sebaiknya dalam masyarakat. Sebagai contoh, Islam membawakan hukum perkahwinan di mana wanita ada hak untuk menerima dan menolak calon pengantin, selepas berkahwin harus diberi nafkah dan tanggungan oleh suami, serta dijaga oleh anak jika suami sudah tiada. Kaum wanita juga diberi peluang untuk menuntut perceraian atau fasakh jika diseksa atau didera oleh suami, atau perkahwinan yang berlaku memudaratkan kaum wanita. Islam juga mengunjurkan agar wanita diberi harta pusaka, dan berhak diberi nafkah walaupun selepas bercerai dengan suami.

Islam juga mengangkat taraf wanita dalam banyak perkara lain. Sebelum Islam, golongan wanita tidak dibenarkan untuk pergi ke sekolah atau belajar di institusi pendidikan sebagaimana berlaku di Greek Kuno apabila hanya lelaki sahaja yang dibenarkan pergi menuntut ilmu. Islam mengubah persepsi itu, dan melahirkan golongan cendekiawan wanita seperti Aisyah binti Abu Bakar RA yang menghafal beribu-ribu hadith, sehingga selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, para sahabat Baginda merujuk kepada Aisyah berkenaan hadith Nabi SAW. Selain itu, pada era Dinasti Ayyubiyah, Fatima al-Fihri telah menubuhkan Universiti Al-Qurawiyyin, dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai universiti tertua di dunia. Universiti ini juga dikatakan memberi peluang kepada wanita Muslim untuk belajar, mendapatkan sijil atau ijazah, dan seterusnya berkhidmat sebagai guru atau pensyarah ketika Eropah masih di dalam kegelapan dan pembaharuan.

Selain itu, diceritakan juga di dalam sirah Rasulullah SAW bahawa golongan wanita juga berperanan dalam jihad melawan musuh Islam. Golongan wanita seperti Aisyah RA membantu pejuang dengan merawat mereka yang tercedera serta menyediakan kelengkapan makanan untuk lelaki. Semua kisah ini dan banyak lagi menunjukkan bagaimana golongan wanita dimuliakan oleh Islam dan diangkat taraf dalam masyarakat.

Namun begitu, jangan disalah tafsir pula apabila Islam mengangkat taraf wanita, semua perkara lelaki buat maka wanita dibenarkan buat juga. Sebagai seorang Muslim, kita harus berpegang pada ajaran syariat Islam dalam kehidupan, bukan mengikut logik akal dan hawa nafsu semata-mata.

Kemunculan golongan wanita Muslim liberal yang menuntut agar hak wanita diberi sama rata dengan mengabaikan syariat Islam adalah salah dan ditolak. Permintaan seperti dibuat tafsir wanita sahaja daripada al-Quran, wanita diberi mandat untuk menjadi ketua institusi agama negara, kebebasan kepada wanita untuk berpakaian dan bergaul bebas tanpa mengira batasan aurat dan pergaulan adalah salah di sisi Islam dan tidak boleh disokong.

Syariat Islam wujud demi kemaslahatan manusia dan bukannya untuk kebebasan hawa nafsu dan logik akal semata-mata. Contohnya, syariat Islam membenarkan wanita menjadi imam dalam solat tetapi hanya kepada sesama wanita sahaja. Jika solat bersama lelaki, lelaki harus menjadi imam dan wanita menjadi makmum. Dalam soal kepimpinan, lelaki lebih diutamakan menjadi pemimpin berbanding wanita.

Tanpa melihat kepada gender semata-mata, Islam melihat kepada banyak faktor dan sebab untuk memilih lelaki berbanding wanita seperti kestabilan emosi, daya pemikiran yang cepat dan cekap dan lain-lain lagi. Bahkan jika kita pergi lebih terperinci, bagi jenazah wanita harus dikafankan dengan lapisan kain kafan yang lebih banyak bagi wanita, bagi memelihara dan menutup aurat wanita tersebut walaupun sudah mati.

Lihat bagaimana halus Islam mengajar manusia untuk memelihara dan menjaga maruah wanita sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Dari pengamatan sejarah tentang hak wanita antara tamadun Barat dan tamadun Arab sebeum dan selepas kedatangan Islam, dapat kita perhatikan bahawa taraf wanita itu berbeza keadaannya. Islam bukanlah agama yang khusus kepada faktor ibadat semata-mata, bahkan adalah agama yang syumul dan meliputi seluruh aspek kehidupan, sama ada dari segi muamalah, psikologi, hak dan juga kemanusia bagi seluruh manusia.

RUJUKAN

1)         J. Annas. 1976. Plato’s Republic and Feminism.

2)         Edward C Du Bois. T.th. Plato as a proto-feminist.

3)         Antoinette Burton. 2016. Race, Empire, and the Making of Western Feminism.