Hak Istimewa Raja-Raja Melayu: Pemilikan Kerbau

0
774
views

Di dalam alam Melayu, suatu ketika dahulu, terdapat banyak hak-hak istimewa yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu sahaja. Baginda mempunyai hak ke atas sesuatu itu sekalipun ia dimiliki asalnya oleh hamba rakyatnya yang lain. Bagi rakyat jelata yang menumpahkan taat setianya, tidak pula rasa keberatan untuk menyerahkan hak miliknya itu, malah merasa bangga dapat menumpahkan bakti taat setia kepada rajanya.

Amalan penyerahan jiwa dan raga ini adalah pada ketika itu adalah perkara murni yang disanjung tinggi, malah dicemburui pula oleh rakyat jelata yang lain kerana ia seolah-olah berbakti kepada Raja. Berbakti pada Raja adalah salah satu perkara yang diangkat tinggi nilainya di hadapan baginda Raja.

Pemilikan hak istimewa ini bermakna hanya Raja sahaja yang layak memilikinya. Jika hak-hak ini dimiliki oleh rakyat kebanyakan, maka ia hendaklah dimaklumkan kepada Istana. Ia kemudiannya diserahkan kepada Raja, atas kehendak dan izin yang dipohon kepada baginda. Maka jika Raja berkehendak, ketika itu, hak isitmewa ini mesti diletakkan pada tempatnya. Pemilikan hak istimewa secara disorok-sorok, disengajakan atau tidak dimaklumkan kepada Istana adalah merupakan satu kesalahan dan dianggap sebagai penderhakaan.

Hukuman menderhaka secara amnya semasa zaman raja-raja Melayu ketika ini ialah bergantung kepada kecil besar atau di atas ehsan baginda Raja semata-mata. Biasanya, pelaku akan menemui keadilan ke atas dirinya pada mata keris atau pedang dari Istana.

Di Negeri Sembilan misalnya, amalan memiliki teman (memiliki hamba) dihapuskan sebaik sahaja perisytiharaan dibuat sendiri oleh Almarhum Tuanku Muhammad Shah dalam satu titah baginda yang dicatat bertarikh 8 Mac 1904.

Di dalam Sejarah Melayu ada digambarkan bahawa kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir memiliki banyak kerbau. Seringkali anak-anak buahnya pergi berburu dan pulang tanpa sebarang hasil buruan, makan mereka akan singgah ke ladang ternakan Bendahara. Kumpulan ini kan menyembelih beberapa ekor setiap kalinya, dan Bendahara langsung tidak perasan akan kerbaunya telah disembelih. Itulah gambaran betapa banyaknya kerbau Bendahara.

Jadi dapat disimpulkan di sini, pemilikan kerbau menjadi satu perlambangan kepada hak mutlak Raja-raja Melayu. Kerbau yang bersifat unik atau lahir dengan keganjilan pelbagai adalah secara automatiknya menjadi hak milik Raja.

Jadi, untuk siri pertama hak-hak istimewa raja-raja Melayu kali ini akan menerangkan tentang HAK PEMILIKAN KERBAU. Kerbau-kerbau seperti ciri di bawah ini adalah ketika itu mutlak merupakan hak isitmewa yang hanya dibenarkan dimiliki oleh Raja semata2.

1. Kerbau Jantan Badul: Kerbau yang tanduknya bengkok ke bawah lepas dari telinganya

2. Kerbau Jantan Sinar Matahari: Kerbau yang tanduknya yang lurus ke kiri, ke kanan atau salah satu antara keduanya

3. Kerbau Bungkal Gantih: Kerbau yang hujung tanduknya merupa seperti sebiji buah

4. Kerbau Canggai Puteri: Kerbau yang jangki atau kukunya lentik atau berkaluk

5. Kerbau Buluh Seruas: Kerbau yang kukunya tidak pecah

6. Kerbau Sopak Muncung: Kerbau yang ada putih warna muncungnya

7. Kerbau Bintang: Kerbau yang bertompok2 putih di badannya seperti bintang

8. Kerbau Bara Api: Kerbau yang kulitnya merah seperti kain kesumbar

9. Kerbau Kumbang Berteduh: Kerbau yang besar di bawah pangkal ekornya. Juga digelar sebagai Kerbau Sumbat Labu

10. Kerbau Pangkah Kening: Kerbau yang ada warna putih melintang di keningnya

11. Kerbau Berpunca Ekor: Kerbau yang ada warna putih di hujung ekornya

12. Kerbau Tepuk Lalat: Kerbau yang kembang bulu di hujung ekornya

13. Kerbau yang menyalahi adat kerbau: Kerbau-kerbau yang luarbiasa keadaan bentuk dan struktur badan, memiliki tanda-tanda lain pada badan dan tanduknya.

Suka dimaklumkan, hak istimewa ini kini telah lama dihapuskan, dipercayai telah mula dihapuskan sejak Islam mula bertapak di Tanah Melayu dan kerana ia tidak lagi relevan. Tidak dinafikan terdapat di antaranya yang bertunjangkan kefahaman kuno, syirik dan tiada asas di dalam agama selain ada yang dilihat sebagai suatu kezaliman.