Seperti pernah dijelaskan sebelum ini, Hak Asasi Manusia (HAM) atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai Human Rights merupakan satu istilah yang membawa maksud ‘hak yang dasar atau pokok (perkara asas dalam kehidupan seperti hak melakukan aktiviti harian, hak untuk bergaul dan bersosial, hak untuk bekerja, bermain dan sebagainya’. Namun begitu, terdapat juga perbahasan hak asasi manusia yang melangkaui batasan normal manusia, seperti golongan pejuang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) yang sangat jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi di sini muncul persoalan, adakah Islam mengiktiraf hak asasi manusia ini? Bagaimana dengan isu yang sensitif dan bertentangan dengan ajaran Islam tadi, adakah Islam juga menerima atau menolak perkara tersebut?

Islam adalah salah satu agama samawi yang bersumberkan wahyu Tuhan. Agama samawi di dunia ini terbahagi kepada tiga, iaitu Islam, Yahudi dan Kristian, dan percaya kepada Allah SWT mengikut konsep yang berbeza. Mengikut kajian statistik agama dunia sehingga tahun 2015,  Islam adalah agama kedua di dunia yang mempunyai penganut paling ramai di dunia dengan 24.1% , atau dianggarkan seramai 1.8 billion penduduk dunia. Ajaran Islam adalah satu ajaran yang mementingkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan, iaitu tunjang utama dalam perbahasan hak asasi manusia. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sifat adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (QS Surah al-Maaidah 5:8)

Ayat al-Quran di atas menjelaskan lagi kepada kita bahawa Islam adalah agama yang mementingkan keadilan. Lantas timbul satu persoalan, adakah Islam betul-betul selari dengan perjuangan hak asasi manusia? Di sini dapat dilihat pengangan tokoh pemikira dan ahli akademik Islam yang pelbagai, ada yang menyokong dan ada yang menolak dengan hujah dan pendapat masing-masing.

Islam adalah agama yang mementingkan dan memperjuangkan keadilan yang juga termasuk dalam tunjang utama perjuangan hak asasi manusia. Islam sendiri sangat menekankan akan hak asasi manusia seperti hak untuk bersuara, hak untuk memilih, hak dalam kehidupan dan sebagainya tanpa memberi penekanan atau kekangan kepada penganutnya, kecuali dalam isu akidah dan ibadat yang seharusnya mengikut acuan wahyu. Jika direnung kembali kepada sirah Rasulullah SAW, kita dapat melihat bahawa selepas peristiwa hijrah dari Mekkah ke Madinah, Baginda SAW telah mewujudkan piagam Madinah yang membincangkan dan menekankan banyak perkara tentang hak asasi manusia seperti hak kebebasasn rakyat, hak kerakyatan, jaminan keselamatan, jaminan ke atas harta dan hak beragama sewaktu mengasaskan bandar Madinah sebagai pusat pemerintahan. Mengambil contoh lain adalah kisah sewaktu panglima Islam, Rib’ie bin Amir berjumpa dengan ketua panglima Parsi iaitu Rustum dalam satu jelajah dakwah beliau di bawah arahan Rasulullah SAW:

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta’ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Sebagai contoh lain juga, dalam Islam ada penekanan kepada konsep penjagaan hak asasi oleh Islam dapat dilihat melalui cabang Maqasid al-Syariah yang menekankan penjagaan kepada 5 perkara penting dalam kehidupan manusia, iaitu menjaga agama, akal, maruah, harta dan keturunan. Ini adalah bukti bahawa Islam tidak mengabaikan terus hak asasi manusia sebagaimana yang cuba dinafikan oleh sesetengah pihak yang berniat memburukkan Islam. Dilabelnya Islam itu menindas, Islam itu menafikan hak dan sebagainya tanpa dilihat kembali kepada puinca sebenar masalah tersebut.

Namun begitu, hak asasi manusia juga tidak seharusnya disalah gunakan oleh sesetengah pihak. Ini kerana, terdapat segelintir pejuang hak asasi manusia yang berani mengeksploitasi untur ‘kebebasan’ ini untuk memenuhi kehendak nafsu dan akal yang sonsang. Oleh kerana itu, terdapat juga sebahagian tokoh pemikir dan ahli agama yang menolak perjuangan hak asasi manusia kerana mengaggap ia terlampau mementingkan kehendak diri manusia dan mengabaikan prinsip agama. Tokoh pemikir Islam terkenal seperti Syed Naquib al-Attas dari Malaysia dan Hamid Fahmi al-Zarkasyi dari Indonesia adalah antara yang menolak prinsip hak asasi manusia ini. Mereka berpendapat erti ‘keadilan’ dan ‘kebebasan’ yang diperjuangkan oleh golongan ini hanyalah mengikut nafsu dan kehendak diri bagi mendapat sesuatu dalam kehidupan, bersifat keduniaan dan mengejar kebenadaan semata-mata. Golongan ini memperjuangkan prinisip pemusatan manusia (human-centered) dan menggunakan secara mutlak pertimbangan akal, nafsu dan pengalaman tanpa mengambil peranan agama serta wahyu Tuhan dalam kehidupan.

Sebagai contoh, terdapat segelintir pihak di Malaysia ini yang menggunakan konsep perjuangan hak asasi manusia dalam menuntut sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan Malaysia, seperti tindakan golongan LGBT yang menganjurkan program Seksualitu Merdeka dengan alasan memperjuangkan kesamarataan gender dan persamaan hak antara semua jantina, sama ada lelaki, perempuan, transgender dan biseksual. Selain itu, pernah muncul juga golongan homoseksual yang terdiri daripada pendokong Irsyad Manji pada 2012 yang berusaha meminta kebenaran perlembagaan agar golongan homoseksual ini mendapat kebebasan untuk mengamalkan aktitivi mereka di negara kita, sekali gus mencemarkan usaha pihak berkuasa dalam memelihara kesucian Islam dan menjaga sensitiviti Muslim di Malaysia ini. Kenapa mereka berani bersuara sedemikian? Atas alasan hak asasi manusia semata-mata.

Sebenarnya, jika dirujuk kepada wahyu yang diberikan seperti al-Quran dan hadis, telah dijelaskan garis panduan yang betul dalam membincangkan berkenaan hak asasi manusia ini. Sebagai contoh, dalam surah al-An’am ayat 165, Allah SWT berfirman:

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (QS Surah al-An’am 6: 165)

Ayat al-Quran di atas menjelaskan kepada kita bahawa manusia sememangnya diberikan taraf yang tinggi dalam dunia ini, dan diangkat darjat serta pangkat sesetangah manusia daripada yang lain, serta diberi kebebasan menuntut segala hak yang layak dinikmati sebagai seorang manusia, akan tetapi tuntutan tersebut mestilah tidak bertentangan dengan prinsip Islam yang sememangnya juga bertepatan dengan naluri serta fitrah manusia. Pernyataan ini dikuatkan lagi dengan hadith daripada Rasulullah SAW:

Daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-Ash Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: Tiada beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya patuh kepada apa yang aku sampaikan.” (hadith Hasan Sahih)

Kedua-dua ayat al-Quran dan hadith di atas dengan terang menjelaskan kepada kita bahawa sebagai seorang Muslim, adalah menjadi satu kewajipan kepada kita mematuhi ajaran Islam bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, dengan menjadikan ajaran dan petunjuk daripada Rasulullah SAW sebagai prinsip kehidupan kita. Ini bermaksud, terdapat sesetengah perjuangan hak asasi manusia seperti hak untuk murtad, hak untuk berkarya secara bebas tanpa terikat dengan nilai agama, hak untuk mengamalkan nafsu sonsang atau persemarataan jantina dalam semua perkara dan lain-lain lagi sudah terang bertentangan dengan ajaran Islam. Islam tidak menolak sepenuhnya hak asasi manusia ini, tetapi perkara yang bertentangan dengan syarak adalah tidak diterima dan tertolak di sisi Islam.

RUJUKAN & BACAAN TAMBAHAN:

a) Mohd Faizal Musa. 2015. Pengantar Hak Asasi Manusia Moden Dan Hujah Sangkalan Ia Bertentangan Dengan Islam
b) Ali Raza Tahir. 2013. Islam and Philosophy
c) Yefrizawati. 2005. Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Hukum Islam
d) A.A. Mawdudi. 1982. Human Rights in Islam
e) Sami A.Aldeeb. 1990. Human Rights Conflicts Between Islam and the West
f) Price, Daniel. 2002. Islam and Human Rights: A Case of Deceptive First Appearances
g) Mohd Fauzi bin Hamat. T.th. Hak Asasi Manusia menurut Syarak
h) Tariq Ramadan. 2009. Islam and Homosexuality
i) Abdul Rahman Awang. 2004. Human Rights: An Islamic Perspective
j) Zul’Azmi Yaakob & Zailan Morris. 2014. Peranan Persekitaran terhadap Tuntutan Hak Asasi Manusia: Cabaran bagi Umat Islam
k) Mafis bin Mohd Samuri. T.th. Penghakisan Nilai Agama Melalui Doktrin Hak Asasi Manusia
l) Abdul Monir Yaacob. T.th. Maqasid al Syariah dan Hak Asasi.
m) Shamsul Amri Baharuddin. 2012. Modul Hubungan Etnik Edisi Kedua.
n) http://www.independent.co.uk/news/world/what-are-the-largest-religious-groups-around-the-world-and-where-are-they-a6982706.html
o) http://www.pewresearch.org/fact-tank/2017/04/05/christians-remain-worlds-largest-religious-group-but-they-are-declining-in-europe/
p) http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz57hiGeZHs
q) https://www.malaysiakini.com/letters/173450


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah), Seorang penulis, pendidik dan peminat falsafah Muslim.

Comments are closed.