Kedatangan Islam ke Nusantara telah berjaya membawa satu pegangan agama yang utuh kepada masyarakat dan Islam telah menjadi landasan rasmi cara hidup semua lapisan masyarakat tidak kira sultan, mahupun rakyat biasa dalam setiap perkara seperti akidah, syariah, akhlak, adab serta tatatusila seharian. Kedatangan Islam ini telah memberi kesan kepada keseluruhan aspek kehidupan masyarakat sama ada dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Antara negeri Melayu terawal yang menerima pengaruh dan kedatangan Islam ini ialah negeri Kedah di mana Kedah pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah pelabuhan entrepot dan perdagangan yang terkemuka yang menjadi medan pertemuan antara pedagang-pedagang dari Arab-Parsi, China serta India.

Antara bukti Kedah menerima pengaruh Islam ialah dapat dilihat melalui tinggalan warisan Islam itu tersendiri. Hal ini dapat dilihat pada tulisan batu nisan, mata wang perak, kewujudan penempatan orang Arab di Kedah serta wujudnya institusi pendidikan tradisional seperti pondok.

Seterusnya, dari institusi pendidikan yang berkembang inilah lahirnya tokoh-tokoh keagamaan yang tersohor di negeri Kedah lantas mereka inilah yang membantu dalam usaha menyebarkan Islam serta memperkukuhkan dan mengajarkan Islam kepada masyarakat setempat.

Kedah merupakan antara negeri yang kaya dengan ulama di mana berdasarkan catatan pada tahun 1850-1935, dikatakan bahawa terdapat lebih dari 60 orang ulama di Kedah pada masa itu.

Antara salah seorang tokoh ulama yang terkemuka di Kedah dan banyak memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan Islam ialah Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek. Beliau merupakan salah seorang Syeikhul Islam dan juga penasihat di raja pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah sekitar tahun 1882-1943.

LATAR BELAKANG

Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik ini merupakan ulama yang hidup di akhir kurun ke 19 dan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1874M bersamaan 1291H di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota Star.

Ibunya ialah Wan Jamilah dan dikenali sebagai Wan Tam binti Haji Abu Bakar yang merupakan sepupu kepada Wan Hajar binti Wan Ismail yang merupakan Sultanah Kedah ketika itu. Haji Wan Sulaiman ini merupakan keturunan bangsawan di mana bapa saudaranya iaitu Wan Su yang berasal dari Patani telah dilantik sebagai Temenggung dan bergelar Temenggung Kolot Bukit Lada.

Beliau telah berkahwin dengan Wan Kalsom binti Wan Abdul Hamid yang merupakan anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan telah dikurniakan sebelas orang cahaya mata. Akhirnya, beliau telah meninggal dunia pada tahun 1935.

PENDIDIKAN

Wan Sulaiman mendapat didikan awal dari ibunya sendiri iaitu Wan Tam. Bapa Haji Wan Sulaiman telah meninggal dunia seusia beliau masih kecil lagi. Beliau telah diajar untuk membaca tulisan Jawi dan Muqaddam dan pada usianya mencecah 9 tahun, ibunya telah menghantar beliau ke sekolah Hj Din selama 3 tahun bermula 1882M hingga 1885M bagi mempelajari bahasa Melayu.

Kemudian, beliau berguru dengan Tuan Haji Ismail dari Kelantan yang menetap di Kedah ketika itu bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam serta bacaan Quran ketika umurnya 12 tahun. Haji Wan Sulaiman hanya mempelajari ilmu keagamaan di Kedah sahaja dan hanya pergi ke Mekah bagi belajar.

Selain mempelajari ilmu agama, beliau turut belajar bahasa Inggeris dari Doktor Gomez yang merupakan seorang Peranakan Ceylon bukan Islam yang telah membuka klinik perubatan di Pekan Melayu. Namun, tidak lama beliau berhenti mempelajarinya setelah kerap dimarahi dan dipukul oleh gurunya itu dek kenakalannya.

Lantas, beliau pergi ke Mekah pada tahun 1887 bagi mendalami ilmu agama berbekalkan asas pendidikan dari ibunya dan beberapa ulama tempatan. Beliau menetap di Mekah selama 17 tahun namun terdapat juga pendapat yang mengatakan selama 20 tahun dan akhirnya beliau berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu agama seperti Bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pengkajian Quran serta ilmu falak

Ketika beliau berada di Mekah, beliau telah berguru dengan pelbagai ulama terkenal di kalangan orang Arab. Antaranya ialah Syaikh Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari, Syeikh Muhammad Khayya, Syeikh ‘Ali Surur bin Muhammad az-Zawawi al Makki al-Mazhari dan pelbagai lagi.

SUMBANGAN DALAM PERKEMBANGAN ISLAM

Setelah beliau pulang ke Kedah, beliau telah dilantik sebagai Syeikhul Islam. Jawatan tersebut telah diwujudkan berfungsi sebagai ketua dalam hal ehwal agama di mana ia berkuasa penuh dan turut dibantu oleh mufti, kadi serta imam. Beliau menjadi Syaikhul Islam selama 30 tahun dan selepas itu ia diganti dengan Majma’ Ulama yang merangkumi tiga orang ulama yang dilantik sultan.

Ketika bertugas sebagai Syaikhul Islam, banyak sumbangan yang diberikan dalam memperkembang dan menyebarkan Islam di Kedah. Hal ini dapat dilihat apabila beliau telah memberi fatwa berkaitan agama, zakat, wakaf dan baitulmal. Beliau juga turut menyelaraskan penggunaan mata wang dengan negeri-negeri Melayu yang lain pada tahun 1873.

Beliau merupakan seorang tokoh yang sangat menentang amalan khurafat secara tegas. Beliau telah menghapuskan amalan-amalan berbentuk khurafat yang sering diamalkan oleh masyarakat Islam pada ketika itu seperti amalan berkenduri nasi kunyit dan mandi susu di perkarangan Balai Nobat untuk menunaikan hajat atau nazar.

Selain itu, beliau turut banyak mengajar ilmu agama kepada masyarakat umum di Masjid Zahir di mana masjid ketika itu berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu serta maklumat Islam. Di sebalik itu, beliau juga turut menganggotai Majlis Syura atau Majmuk Ulama yang kerap berkumpul di Masjid Zahir untuk berbincang dan bermuzakarah berkaitan hal-hal agama Islam pada setiap malam Jumaat.

Tambahan itu, beliau turut memperkenalkan sistem tauliah mengajar dan kebenaran untuk menerbitkan kitab seperti yang terkandung dalam Undang-undang Mahkmah Shariah Kedah No 1009/1-1240H (1921M). Hasilnya, ramai golongan ustaz memohon kebenaran tauliah dan terdapat lebih 100 orang yang dibenarkan mengajar. Beliau juga cuba untuk memperuntukan elaun kepada tenaga pengajar al-Quran yang mendapat tauliah mengajar di sekolah lelaki dan perempuan.

Disebabkan beliau turut mahir dalam ilmu falak dan astrologi, beliau telah membuat taqwim solat lima waktu dan panduan aktiviti keduniaan. Hal ini bagi mempermudahkan penduduk setempat untuk menjalankan kegiatan seharian seperti bercucuk tanam dan lain-lain. Contohnya, beliau membuat panduan bagi pesawah padi untuk menanam padi berdasarkan perkiraan ilmu astrologi.

SUMBANGAN DALAM PENDIDIKAN

Dalam bidang pendidikan, beliau telah memperkenalkan serta menyusun kaedah pengajaran Al-Quran yang lebih mudah dan cepat difahami dengan mengasingkan kelas Al-Quran dan mata pelajaran Islam dikelas petang supaya pelajar mempunyai lebih masa dan senang untuk memberi fokus dan ternyata ianya berhasil apabila ramai pelajar mampu untuk membaca Al-Quran dengan cepat. Di samping itu, beliau turut mengajar Al-Quran dan kuliah agama kepada golongan kerabat istana apabila dilantik.

Antara usaha beliau yang lain ialah memodenkan institusi pengajian Islam iaitu menerapkan konsep madrasah berbanding sistem pondok. Hal ini kerana sistem madrasah adalah lebih bersistematik dan ianya mampu untuk meningkatkan kedudukan sosial masyarakat Melayu ke tahap yang lebih baik.

Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah madrasah yang dikenali sebagai Madrasah Limbung Kapal dan ianya diberi nama Madrasah Hamidiah bersempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Sekolah yang diasaskan ini telah mendapat tumpuan dari masyarakat umum disebabkan ianya bersistematik, teratur dan banyak kemudahan serta menggunakan bahasa Arab.

Kejayaan menubuhkan madrasah tersebut telah membawa kepada usaha bagi memperkasakan pengajian Islam dengan lebih tinggi lagi. Lalu, wujudnya kerjasama dan usaha dari Haji Wan Sulaiman dan Tunku Mahmud bagi menubuhkan Maahad Mahmud di mana ia berjaya ditubuhkan pada 16 Jun 1935 setahun selepas kew4fatan beliau.

Maahad Mahmud menggunakan konsep dan ciri pembelajaran seperti Madrasah Hamidiah namun subjek-subjek agama telah dikemaskini ke arah lebih baik. Hasilnya, pelajar lulusan sekolah ini akan dianugerahkan al-Shahadah al-Nihaiyyah dan boleh melanjutkan pengajian peringkat Ijazah di Universiti Madinah mahupun Al-Azhar kerana kedua-dua universiti tersebut mengiktiraf silibus dan sijil keluaran Maahad Mahmud.

Maahad Mahmud

KARYA PENULISAN

Selain berkecimpung menguruskan pentadbiran agama Islam serta pendidikan, beliau tidak terlepas dari menghasilkan karya yang pelbagai. Ia menggunakan penulisan sebagai saluran dakwah. Kebanyakan hasil penulisan beliau adalah nipis dan tidak tebal lebuh kurang 45 muka surat sahaja dan ianya adalah hasil reaksi terhadap keadaan isu semasa serta muzakarah di Masjid Zahir.

Penulisan beliau menggunakan tulisan Melayu Jawi dan sebahagian kecil bahasa Arab dan merangkumi pelbagai bidang sama ada feqah, tajwid, sirah, tariqah, tasawwuf, astronomi, pendidikan, pemikiran Islam, fatwa dan ulum Quran.

Antaranya ialah seperti Umdah al-Aulad fi Bayan fi Ibadatihim ila Rabb al-‘Ibad, Petua Syaikh Islam tentang Syarikat Bekerjasama, Risalah Nasihat Fasal Gerhana, Siraj Al-‘Alam, Nazam Syair Bicara Sirah Al-Nabawiyyah dan Dual Al-Islam al-Kubra Kerajaan Islam yang Besar-besar serta pelbagai lagi karya telah dihasilkan olehnya.

Kesimpulannya, Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik bukan sahaja seorang tokoh ulama bahkan juga seorang pendidik, pentadbir yang mahir dalam pelbagai bidang. Sumbangannya sangat besar dalam perkembangan Islam di negeri Kedah dan hasilnya dinikmati oleh kita sehingga ke hari ini.

RUJUKAN:

  • Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad, Ilmuan Nusantara (Mutiara Ilmu Tanah Serumpun) . Selangor : PTS Islamika SDN BHD, 2011.
  • Muhammad Khairi Mahyuddin, Zakaria Stapa & Faudzinaim Hj Badarudin, “Wan Sulaiman bin Wan Sidik dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Dakwah Islamiah di Negeri Kedah”, Kolokium Pak Wan Sulaiman UKM (2010),https://www.researchgate.net/publication/337292444_Kertas_Kerja_Kolokium_Pak_Wan_Sulaiman_2010_UKM
  • “Pengasas Madrasah AlHamidiah”, laman sesawang Tanwir, dicapai pada 1 April 2020, http://tanwir.my/pengasas-madrasah-alhamidiah/.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nama diberi oleh kedua ibubapa saya ialah Nazirah Al Nasuha binti Mhd Adnan, berumur 22 tahun. Merupakan seorang yang berasal dari negeri jelapang padi, Kedah. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Darul Aman dan kemudiaannya mendapat tarbiah dan didikan peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian pra-universiti di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Disebabkan terlalu meminati subjek Sejarah ketika berada di sekolah menengah, membuatkan saya diberi gelaran sebagai "Cikgu Sejarah" ketika itu. Lantas, ia membuatkan saya bertambah semangat untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dalam pengkhususan Sejarah dan Tamadun Islam di Universiti Malaya. Walaupun skop pengajian saya lebih tertumpu kepada Sejarah Islam, namun ia tidak menghalang saya untuk cuba mengetahui sejarah luar dari dunia Islam. Kerana bagi saya, sejarah perlu diketahui dan kita seharusnya mengambil ibrah dari sejarah yang telah berlaku.

Comments are closed.