Institusi pondok merupakan antara institusi pendidikan yang telah lama bertapak di Malaysia. Sistem pendidikan pondok adalah antara sistem pendidikan tradisional dan terawal di Tanah Melayu, dan masih kekal wujud sehingga ke hari ini. Secara asasnya, tarikh secara tepat di mana bermulanya institusi pengajian pondok ini tidaklah dapat diketahui dengan tepat cuma difahamkan bahawa institusi tersebut telah mula diperkenalkan serentak dengan kedatangan Islam ke Nusantara ini.

Institusi pengajian pondok di Malaysia ini banyak dipelopori serta diterajui oleh tokoh-tokoh ulama yang terkenal dalam sejarah. Di negeri Terengganu sendiri terdapat ramai ulama yang telah mengasaskan institusi pengajian pondok, dengan setiap daerah dan kawasan di Terengganu ini mempunyai sistem pondoknya yang tersendiri suatu masa dahulu. Antara ulama yang terkenal dengan pengajian pondok mereka berdasarkan kawasan penempatan mereka ialah Syeikh Abdul Malek (Tok Pulau Manis) yang berpusat di Pulau Manis, Tokku Paloh yang bertempat di Kampung Paloh, Syeikh Abdul Kadir yang berpusat di Kampung Bukit Bayas, Tok Syeikh Duyung yang berpusat di Pulau Duyung Kecil serta Haji Wan Abdul Latif bin Abdul Kadir yang bertapak di Jerteh. 

Selain daripada nama-nama ulama yang terkenal ini, terdapat seorang lagi ulama Terengganu yang telah membangunkan institusi pondok dan seterusnya mengubah imej kawasan penempatan beliau sebagai sebuah kawasan penyebaran dakwah dan ilmu pada sekitar pertengahan abad ke-20. Ulama yang dimaksudkan ini ialah Tuan Guru Haji Muhammad Shafie, yang telah mengasaskan Pondok Kampung Losong, Kuala Terengganu. Kampung di mana beliau menubuhkan insititusi pondok ini dahulunya dikenali sebagai Kampung Nyior Kembar, akhirnya telah diubah namanya menjadi Kampung Losong Haji Mat Shafie bagi memperingati akan jasanya dalam menyebarkan ajaran Islam kepada penduduk setempat.

Sejarah awal

Haji Muhammad Shafie sebenarnya bukanlah anak jati Terengganu, namun beliau telah memilih negeri ini sebagai tempat untuk menuntut ilmu, dan seterusnya menyampaikan kembali segala ilmu yang dimilikinya buat rakyat di sini. Haji Muhammad Shafie telah dilahirkan pada tahun 1279 Hijrah (1862) di negeri Kedah dan keluarga beliau sememangnya terkenal sebagai sebuah keluarga yang taat dan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Beliau berketurunan daripada Syeikh Ahmad Zabidi Al-Yamani, iaitu seorang ulama terkenal dari Hadramaut. Bapanya bernama Haji Muhammad Amin, iaitu anak kepada Tuk Subuh (Abdul Rahman) yang merupakan anak kepada Syeikh Ahmad Zabidi. Haji Muhammad Shafie mempunyai enam orang adik-beradik dan kebanyakan daripada mereka menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah di negeri Kedah.

Haji Muhammad Shafie telah mendapat pendidikan awalnya di Kedah sebelum berhijrah ke Terengganu. Pada waktu beliau menuntut ilmu di Kedah, beliau telah mendapat khabar bahawa terdapat ramai alim ulama di Terengganu dan Haji Muhammad Shafie ingin merantau bagi mencari dan memperluaskan lagi ilmu pengetahuannya dalam agama Islam bersama ulama-ulama tersebut. Beliau telah meminta keizinan daripada ibunya untuk keluar berhijrah ke Terengganu meskipun simpanan yang dimilikinya ketika terlalu sedikit bagi menampung kehidupannya di rantau orang.

Pada waktu itu usia Haji Muhammad Shafie adalah sekitar 20-an dan semangatnya begitu kuat untuk mempelajari sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari serata tempat. Haji Muhammad Shafie yang ketika itu telah kehilangan bapanya sebenarnya turut berasa sedih untuk meninggalkan ibu tercinta, namun demi tuntutan ilmu serta semangat untuk berdakwah, maka beliau meneruskan juga hasratnya dan turut dipersetujui oleh ibunya. Dengan hanya berbekalkan $24 (pada masa itu), Haji Muhammad Shafie telah bertolak ke Terengganu dengan ditemani oleh seorang abangnya, iaitu Haji Tahir.

Pengajian dan Pendidikan di Terengganu

Kedatangan beliau ke Terengganu pada sekitar tahun 1303 Hijrah telah disambut dengan baik oleh penduduk setempat. Beliau juga mendapat bantuan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada mereka semua. Pada peringkat awal, Haji Muhammad Shafie telah memulakan pengajiannya dengan Tuan Guru Haji Abdul Hamid di Pondok Terusan. Sewaktu di pondok ini, beliau telah dijadikan anak angkat oleh kebanyakan penduduk di situ kerana kejujurannya serta kerajinannya untuk membantu para pelajar yang lain terutamanya yang datang dari luar Terengganu. Hasil kerajinan, ketekunan dan kejujurannya telah menjadikan Haji Muhammad Shafie seorang pelajar yang mudah untuk menerima ilmu dan disayangi oleh teman seperjuangan, para guru serta penduduk setempat.

Setelah itu, Haji Muhammad Shafie berguru pula dengan Haji Wan Abdul Latif di Kampung Losong Haji Long. Sewaktu berada di sinilah beliau telah menambahkan lagi ilmu pengetahuannya dan akhirnya membuka sekolah pondoknya sendiri di Kampung Nyior Kembar. Selepas pembukaan sekolah pondok itu, Haji Muhammad Shafie telah berangkat ke Mekah selama dua tahun, yang mana pemergiannya ini bertujuan untuk mendalami dengan lebih lanjut ilmu agama Islam daripada para ulama di Mekah. Sekembalinya ke Terengganu, beliau meneruskan kembali pengajarannya di pondok sebelum kembali ke Mekah sekali lagi untuk menuntut ilmu.

Meskipun telah membuka sekolah pondoknya sendiri, Haji Muhammad Shafie masih lagi tidak jemu menuntut ilmu daripada ulama-ulama yang lain bagi menambahkan pengetahuannya. Beliau turut berguru dengan Tokku Paloh serta beberapa orang guru yang lain. Kebolehan dan pengetahuan Haji Muhammad Shafie meliputi banyak cabang ilmu, di mana beliau berkebolehan dalam Bahasa Arab, ilmu nahu, saraf, tafsir dan hadis.

Pengasas Pondok Losong

Penubuhan institusi pondok di Kampung Losong oleh Haji Muhammad Shafie pada tahun 1309 Hijrah (1891) ini bermula berikutan daripada permintaan daripada Tuan Dalam atau Syed Mustafa, iaitu adik kepada Tokku Paloh yang  inginkan penduduk di situ mempelajari ilmu agama Islam. Syed Mustafa telah mewakafkan sebuah rumah yang dijadikan sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya dikembangkan menjadi sebuah masjid. Apabila ia semakin berkembang, banyak pomdok-pondon telah didirikan di sekeliling masjid sebagai tempat mengajar.

Para pelajar dari serata kawasan dan negeri mula datang ke Kampung Losong untuk mempelajari ilmu agama. Para pelajar ini termasuklah dari Acheh, Patani, Kedah dan Kelantan. Institusi pengajian pondok di Kampung Losong ini telah mencapai kemuncak kemajuannya pada sekitar tahun 1350 Hijrah (1930).

Corak dan konsep yang diamalkan oleh institusi pondok Haji Muhammad Shafie ini sama seperti sekolah agama tradisional yang lain di mana tiada sebarang syarat khas untuk memasukinya. Ini menjadikan ramai pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan golongan datang untuk mempelajari ilmu di pondok tersebut. Tidak seperti pengajian pondok yang lain, Pondok Losong ini tidak mempunyai pondok untuk wanita di mana institusi ini hanya dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja. Namun, golongan wanita masih berpeluang untuk menuntut ilmu melalui hari-hari di mana kuliah agama diadakan iaitu pada hari Rabu dan Jumaat.

Kurikulum dan sukatan pelajaran yang diajarkan di institusi pondok ini meliputi banyak cabang. Antara bidang ilmu yang diajarkan ialah fikah, tauhid, Bahasa Arab, hadis dan tafsir. Malah setiap bidang ilmu ini mempunyai kitab-kitabnya yang tersendiri. Para pelajar yang telah selesai mengikuti pengajiannya di pondok ini mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri seperti di Mekah dan India.

Peribadi Haji Muhammad Shafie

Haji Muhammad Shafie dikenali dalam kalangan para pelajarnya sebagai seorang guru yang mesra namun tegas dalam mengajar. Beliau juga seorang yang warak, sabar dan mudah memaafkan orang lain. Dalam membentuk disiplin buat para pelajarnya, beliau menggunakan majlis perhimpunan yang diadakan sebulan sekali bagi memberi teguran kepada para pelajar. Malah, beliau meletakkann solat berjemaah sebagai asas kepada penyatuan dalam kalangan para pelajarnya.

Haji Muhammad Shafie juga seorang yang gemar berbudi kepada tanah, di mana beliau suka berkebun atau membuka tanah-tanah baru pada masa lapangnya. Beliau juga gemar mengenakan jubah dan pakaian berwarna putih dan berjalan menggunakan terompah kayu.

Meninggal dunia

Haji Muhammad Shafie telah kembali ke rahmatullah pada 28 Ramadan 1364 Hijrah, bersamaam dengan 5 September 1945. Beliau telah meninggalkan ramai pelajar yang akhirnya menyambung kembali legasi pengajarannya dalam bidang agama dan dakwah. Kehilangannya telah memberi kesan besar kepada perkembangan pelbagai cabang ilmu agama Islam di Terengganu.

Kesimpulan

Pengasasan institusi pondok oleh Haji Muhammad Shafie adalah suatu jalan penyebaran ilmu buat para penduduk setempat di Kampung Losong. Kehadiran beliau telah menyemarakkan dunia dakwah dan pengajaran agama Islam di Terengganu dan seterusnya melahirkan lebih ramai ulama yang lain bagi menyambung warisannya.

RUJUKAN:

Amnah Saayah, I., Wan Kamal, M., Burhanuddin, J., Norlaila Mazura, H. M., & Aida Nasirah, A. (2018). Tradisi Keilmuan Pembina Karakter Ulama Melayu Abad Ke-19 Masihi. E-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial Dan Kemanusiaan, (April), 507–519.

Che Alias Hj Mamat. (1991). Haji Mat Shafie dan Pengajian Pondok Di Losong. In Muhammad Abu Bakar (Ed.), Ulama Terengganu: Suatu Sorotan (p. 276). Kuala Terengganu: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Masyurah Mohamad Rawi, Harun Baharudin, Maimun Aqsha Lubis, & Siti Aisyah Romli. (2015). Institusi Pondok dalam Sistem Pendidikan Islam di Malaysia. Proceeding the 7th International Workshop and Conference of Asean Studies on Islamic and Arabic Education and Civilization (POLTAN-UKM-POLIMED), (June 2015), 1–15.

 Muhammad Abu Bakar, (2018). Penduduk, Pengajian Islam dan Pengajian Pondok. In Muhammad Abu Bakar (Ed.), Orang Terengganu: Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju (1st Edition, p. 440). Kuala Terengganu: Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.