Nama: Haji Abdul Ghani Mahmood (RF 49221)

Pangkat terakhir: Sarjan Mejar

Pasukan: VAT69 Komando

Tarikh lahir: 10 Mei 1947

Nama ayah: Mahmood bin Osman – bekas Special Constable

Nama ibu: Hajah Khatijah binti Haji Abdullah – suri rumah

Asal: Kg. Hulu, Melaka

Isteri: Mastura Bt Kamin

Anak: 5 orang

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Lubok China, Melaka

Kerjaya:

Selepas tamat Darjah Enam, beliau bekerja di pasar Melaka, namun minat beliau terhadap kerjaya sebagai seorang anggota Polis sejak kecil tidak pernah padam daripada jiwanya. Dengan hanya berbekalkan kelulusan darjah 6, beliau mencuba nasib, dan siapa menyangka, sudah rezeki beliau diterima untuk menjalani latihan asas pasukan Polis pada 8 Jun 1969 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Sebaik habis latihan, beliau ditempatkan di Batalion 2 Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Perak. Ingin mencari lebih banyak pengalaman, didorong pula oleh minat beliau pada cabaran, 17 Mei 1972 menyaksikan beliau mencuba nasib di dalam pasukan VAT69. Usai pemilihan awal, beliau diberikan rehat selama  dua minggu sebelum dipanggil meneruskan latihan yang diselenggara oleh pihak Special Air Service (SAS) British di Fort Kemar. Akhirnya, pada bulan Oktober 1972, beliau diterima sebagai seorang anggota di dalam fraterniti pasukan elit VAT 69.

Anda mungkin pernah melihat kelibat beliau di dalam salah satu artikel saya yang bertajuk “Harimau Sembunyi Kuku.” Kali ini walaubagaimanapun, saya akan berkongsi lebih sedikit cerita tentang sosok ini, yang saya panggil sebagai Abah Ghani, sepanjang penglibatan beliau di dalam salah satu pasukan keselamatan paling digeruni oleh komunis satu ketika dulu iaitu VAT69 Komando.

Bersama rakan baik beliau, Pak Saladin Omar. Mereka cukup senang bercerita tentang pengalaman silam sebagai kenangan dan pengajaran buat generasi hari ini.

Operasi

1) 1972 – Pangkalan Ulu ( dulunya Keroh), Perak

Ini merupakan antara kawasan paling hitam sepanjang era penentangan ancaman komunis ketika zaman Insurgensi ( 1968-1989) di Semenanjung. Pelbagai operasi dijalankan oleh pasukan-pasukan keselamatan, samada daripada pihak Angkatan Tentera ataupun Polis. Abah Ghani juga tidak terlepas menyertai oeprasi di kawasan ini pada peringkat awal penglibatan beliau di dalam pasukan VAT69. Meski beliau tidak berpeluang menangkap sebarang musuh, gerakan dan operasi secara berkala yang disertai beliau turut menyumbang kepada pengekangan aktiviti komunis di sekitar kawasan jalan raya yang terdapat di situ. Menyedari yang bahaya menanti mereka jika menggunakan jalanraya sebagai laluan untk ke mana-mana atau menjalankan aktiviti mereka, pengganas komunis terpaksa mencari laluan allternatif – antara lainnya, menggunakan laluan hutan yang lebih menyusahkan.

2) 1975 – Operasi Bamboo, Kelantan

Operasi tersebut berjalan selama sebulan, melibatkan 2x patrol – patrol pertama berada dalam keadaan siap siaga, manakala patrol kedua bertanggungjawab menjalankan  serang hendap ke atas khemah musuh. Abah Ghani diletakkan bersama platun kedua ketika itu. Pada satu hari, sewaktu sedang berjalan untuk mengambil bekalan makanan, platun beliau telah terserempak dengan kesan jejak yang dipercayai ditinggalkan oleh komunis. Berdasarkan apa yang mereka teliti, Abah Ghani dan rakan-rakannya percaya bahawa kumpulan komunis itu terdiri daripada sekitar 3 orang anggota. Perkara tersebut segera dilaporkan kepada pegawai mereka dan satu serangan telah diatur ke atas kumpulan musuh itu. Meski kumpulan itu berjaya melarikan diri, salah seorang daripadanya telah tercedera di bahagian perut, manakala seorang anggota polis turut mengalami kecedereaan juga.

Di kawasan yang sama juga, dalam satu operasi lain, patrol yang dianggotai Abah Ghani telah menjalankan satu serang hendap ke atas satu food dump musuh dan menumbangkan seorang anggota komunis.

3) 1976 – Kelumpang, Tg. Malim, Perak

Objektif operasi tersebut adalah untuk mencari dan memusnahkan tempat simpanan makanan pengganas yang aktif di kawasan antara Pahang dan Selangor . Abah Ghani adalah di antara 15 anggota yang terlibat dalam penggeledahan di kawasan tersebut. Hasilnya, mereka telah menemui 8 tong dram dan 44 tong plastik berisi makanan seperti beras, garam, gula dan minyak masak. Kesemua barang ini telah dimusnahkan . Antara hasil rampasan termasuk 6x tong dram berisi beras, 44x jerry can, garam, gula, minyak masak

4) 1978 – Operasi Manis, Padang Terap, Kedah

Operasi ini tercatat sebagai operasi kelima bagi Abah Ghani. Menurut maklumat yang telah diperolehi daripada pihak Special Branch, terdapat penampakan aktiviti pengganas yang mengambil bekalan makanan mereka di sebuah ladang, dan hubungan mereka dengan penduduk tempatan dikatakan sangat mesra – mungkin kerana sebahagiannya adalah penduduk asal di situ sendiri. 1x patrol telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan risikan di kampung tersebut, berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh seorang pemberi maklumat/informer yang mengatakan bahawa kumpulan komunis itu telahpun berada selama sebulan di kampung itu. Pada 25 Disember 1978, maklumat tambahan lagi sahih mengatakan bahawa kumpulan tersebut dijangka akan berada di sawah kampung tersbeut bagi menuai padi untuk tujuan dijadikan bekalan makanan. Bertindak atas maklumat tersebut, 2x patrol berkekuatan 15x anggota telah ditugaskan menjalankan operasi intipan dan seranghendap di situ.

Pada petang 27 Disember 1978, anggota patrol yang diketuai Abah Ghani telah terlihat kelibat beberapa orang komunis sedang berehat di kawasan sawah tersebut. Abah Ghani segera membahagikan patrolnya kepada 2 kumpulan – 1 kumpulan akan menyerang daripada bahagian tepi sungai, manakala Abah Ghani sendiri bersama kumpulannya akan menyerang daripada tepi bukit. Sekitar jam 1815 ( 6.15 petang) hari tersebut, serangan telah dilancarkan dan berlangsung selama hampir setengah jam, dan seorang perempuan Melayu bernama  Fauziah daripada kumpulan komunis itu telah ditembak mati. Bagi memastikan komunis tidak lagi datang ke situ, pasukan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan bermalam di kawasan tersebut. Keesokannya, seorang anggota patrol telah menemui mayat seorang lagi komunis di sebalik sebatang kayu – mungkin korban yang telah tercedera daripada pertempuran sebelumnya. Setelah menggeledah mayat musuh, beberapa barang telah berjaya dirampas. Antaranya adalah ;

1 x senapang jenis Carbine

1 x Plancar Karbin Terubahsuai/ Carbine modified launcher

16 x peluru pelancar / launcher

193 x peluru Carbine

1 x rifel M16

3 x peluru M16

3 x bom tangan

6 x peletup/ detonator

3 x pek ( berisi pakaian dan barangan peribadi)

20 kg beras ( dalam salah satu pek)

30 kg beras ( dalam pek lain)

1 berkas dokumen dan risalah komunis

Di atas kejayaan tersebut, Abah Ghani telah diberikan penghargaan dan surat kepujian daripada Ketua Polis Negara dan kumpulan patrol tersebut telah diberikan saguhati RM 300.00 setiap seorang.

Bersama rakan-rakan sengkatan

5) 1980 – Operasi Indra Khas di Bentong, Pahang

Siri Operasi Indera 1 hingga 12 telah dijalankan di Pahang bagi menangani kegiatan komunis yang masih aktif di kawasan hutan tebalnya. Operasi Indera Khas merupakan lanjutan daripada operasi-operasi ini. Menurut maklumat yang diperlehi oleh pihak  Special Branch, sekumpulan musuh akan datang ke kawasan tertentu bagi mengambil bekalan makanan  pada tahun baru Cina, dan akan bermalam samada di kawasan kebun getah atau di sempadan hutan. Patrol Abah Ghani telah dihantar dan sampai ke kawasan tersebut pada petangnya. Pada malam itu, mereka telah ternampak unggun api yang dipasang oleh pihak musuh. Keadaan itu, ditambah oleh maklumat yang lebih tepat diperlehi, telah membantu pegawai pasukan operasi untuk menetapkan rancangan yang lebih tersusun bagi menyerang kedudukan musuh itu. Malam itu, kumpulan komunis itu bermalam di situ tanpa menyedari kehadiran kumpulan operasi tidak jauh daripada kedudukan mereka.

Sebaik pagi tiba, kedua-dua patrol berkekuatan 12 orang itu telah dipecahkan kepada 2 kumpulan dan menghampiri kedudukan musuh daripada arah bertentangan, daripada bahagian atas bukit, mencari sasaran ke arah musuh yang berada di bahagian bawah. Serangan yang dilancarkan itu telah mengejutkan kumpulan musuh, dan mereka sempat susup-sasap melarikan diri di celah-celah hutan tebal itu, meninggalkan khemah dan bekalan makanan mereka yang masih banyak. Pasukan operasi dipanggil balik dan diberikan rehat di Balai Polis Bentong sementara operasi susulan bagi mengesan musuh yang melarikan diri itu, dirancang. Operasi tersebut berjalan pada kadar yang lebih besar – melibatkan 32x patrol dengan kekuatan 192x orang anggota.

2 hari kemudian, patrol dimasukkan ke kawasan kebun getah di mana operasi sebelum itu dijalankan bagi menjejak musuh yang telah melarikan diri. Meski masa berlalu tanpa sebarang jejak, pada sebelah petang itu, mereka terlihat asap di atas salah sebuah bukit di ladang getah itu. Tinjauan yang dilakukan oleh penjejak pasukan yang cukup handal – Sarjan Apot, mengesahkan bahawa terdapat kumpulan musuh sedang memasak. Patrol telah berpecah kepada 2 kumpulan dan menghampiri kumpulan musuh itu daripada arah atas bukit dan bawah bukit secara serentak. Kepungan tersebut telah menutup laluan keluar bagi musuh. Pertempuran yang menyusul menyaksikan 8x komunis terbunuh, manakala 3 lagi dapat melarikan diri memandagkan mereka tiada di dalam kumpulan tersebut ketika itu. Antara hasil rampasan termasuklah senjata, peluru dan makanan. Di atas kejayaan operasi tersebut, Abah Ghani dan rakan-rakannya telah menerima Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) oleh DYMM Yang Di- Pertuan Agong, Sultan Mahmod Iskandar Shah.

  • 1983 – Tanah Hitam Chemor, Perak

Operasi ini adalah antara yang membuahkan hasil paling banyak bagi Abah Ghani. Operasi yang dijalankan bersama-sama dengan Special Branch Cawangan Ipoh ini dijalankan berdasarkan tindakan seorang musuh yang telah menyerah diri, yang telah berjaya memujuk rakan-rakannya melalui set perhubungan, bagi bertemu di Stone Camp, Tanah Hitam. Seawal jam 0200, patrol VAT69 yang dianggotai Abah Ghani dan diketuai oleh Tuan Rani, bersama-sama pasukan Special Branch, telah bergerak ke kawasan tersebut yang ketika itu diselubungi kegelapan.

Selepas 1 jam berjalan, mereka tiba ke tempat tersebut dan perancangan penggempuran yang telah dijalankan dengan penuh hati-hati telah membuagkan hasil yang cemerlang. 13x pengganas terdiri daripada 8 wanita dan 5 lelaki telah berjaya ditangkap, beserta ketuanya iaitu Eng Chong Meng. Turut ditemui adalah sejumlah wang yang dikatakan untuk membayar gaji para pengganas ini. Hasil kejayaan operasi ini menyaksikan Abah Ghani dan rakan-rakannya dikurniakan  pingat Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P) oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mahmod Iskandar Shah pada tahun 1983…=WRA=

Lagenda yang tidak pernah pudar daripada rakaman sejarah keamanan negara
Bersama barisan barisan penyambung legasi tradiisi kepahlawanan pasukan VAT69 Komando sempena Perbarisan Penganugerahan Beret pada tahun 2014

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply