Haiwan Pun Ada Haid Tau

698

Persoalan ini muncul semasa aku melihat video haiwan di media sosial. Pada mulanya, aku hairan kenapa anjing di dalam video itu, memakai lampin. Barangkali kerana masalah penghadaman, fikir aku. Kemudiannya, tuan kepada anjing itu menyebut anjingnya sedang mengalami haid. Buat seketika, aku terkedu dan terfikir sebentar.

Binatang pun ada kitaran haidkah?

Sebelum kita bermula, lagi baik kalau aku terangkan sistem haid manusia. Bagi perempuan tulen yang sudah cukup waktu dan subur, mereka akan bermula haid sekurang kurangnya sekitar umur 12 tahun. Ada yang awal lagi tapi itu bergantung pada genetik dan kesihatan mereka. Punca utama kenapa haid berlaku ialah pendarahan dinding rahim.

Haid berlaku untuk 8 hari pertama. Selepas itu, hormon di badan akan merangsang penyediaan ovum di ovari. Perkara ini secara tak langsung akan merangsang dinding rahim untuk dipulihkan dan menjadi tebal dengan lapisan urat darah.

Pada pertengahan kitaran haid, sekitar hari ke 14, rahim akan menjadi sangat subur. Dinding rahim sudah bersedia untuk menampung tumbesaran anak dan ovum pun telah dilepaskan oleh ovari ke tiub fallopian waktu itu. Sekiranya persenyawaan beraku, zigot (ovum yang telah disenyawakan) akan bergerak ke dinding rahim, benamkan dirinya ke situ dan melekat sebagai fetus. Lapisan yang melekatkan zigot ke dinding rahim inilah yang akan menjadi tali pusat dan uri (placenta).

Dari segi psikologi dan fisiologi, pada saat inilah selalunya lelaki akan merasakan perempuan ni sangat cantik, menarik dan ‘friendly’. Sebab pengaruh hormon dan mungkin juga feromon seks yang membuatkan mereka menjadi lebih menawan di mata lelaki.

Walau bagaimanapun, itu kalau ada persenyawaanlah. Kalau tiada, dinding rahim akan bertambah tebal seiring dengan masa dan tepat pada hari ke 28, dinding rahim berserta ovum yang tak disenyawakan akan runtuh sebagai haid. Inilah punca sebenar haid.

Peristiwa haid ini adalah benda normal bagi manusia dan juga keluarga primat seperti orag utan dan gorilla. Disebabkan DNA dan sistem mereka lebih kurang sama macam kita, maka kitaran haid mereka pun sama.

Haiwan mamalia lain juga ada pendarahan haid ini, namun terma haid mereka adalah berlainan dan tarikh pendarahan pun lain. Kita panggil kitaran ini sebagai kitaran estrus.

Pada fasa awal mereka yakni proestrus, ovari mereka akan mula dirangsangkan bagi penghasilan ovum. Berbanding dengan manusia, ovum yang dihasilkan dan tempoh fasa ini boleh menjadi banyak bergantung kepada spesis masing masing. Pada masa yang sama, dinding rahim mereka akan mula menebal.

Semasa fasa inilah, ‘haid’ mereka berlaku. Berbanding haid kita yang berpunca sebab ovum tak disenyawakan, ‘haid’ estrus ni terjadi sebab badan mereka tak bersedia lagi untuk persenyawaan. Cecair rahim yang dihasilkan semasa fasa ini secara tak langsung akan boleh menganggu penebalan dinding rahim dan cetuskan pendarahan. Ini ‘haid’ estrus.

Kemudiannya ialah fasa estrus. Fasa subur. Disebabkan pada masa ini hormon reproduktif mereka banyak dirembeskan, haiwan betina akan menjadi sangat tak tenang. Jadi, kalau malam malam anda terdengar kucing betina mengiau dengan suara garau, itu maknanya dia tengah cari si jantan untuk berpesta di malam hari lah tu. Kalau anda mempunyai kucing, mungkin juga anda pernah melalui fasa di mana anda nak usap kepala mereka, tapi mereka tunjuk punggung. Ya, itu maknanya mereka tengah miang sangat dah tu.

Kemudianya ialah fasa metestrus. Sebagaimana manusia dengan ovum yang tak disenyawakan, fasa ini juga sama.  Dinding rahim akan menjadi makin tebal hinggalah ke fasa diestrus. Berlainan dengan kita yang akan tumpah haid, dinding rahim mereka hanya akan disusun kembali menjadi biasa dan kembali ke pada proestrus.

Jadi, sebagai konklusi di sebalik haid haiwan, aku cuma nak jelaskan beberapa isi pendek perbezaan kitaran estrus dan kitaran haid primate. Pertamanya, pendarahan kita berlaku pada hari terakhir kitaran kerana dinding rahim runtuh.

Untuk haiwan lain, pendarahan itu hanyalah kesan sampingan fasa proestrus, fasa awal penebalan dinding rahim. Keduanya, kalau kucing anda bising di tengah-tengah malam, bawak bawak lah ‘puan besar’ anda tu pergi berpesta dengan jantan jalang pilihan mereka.

Tak pun urut sahaja kawasan sekitar dubur mereka. Serius.

RUJUKAN:

Heape, W. (1900). “The ‘sexual season’ of mammals and the relation of the ‘pro-oestrum’ to menstruation'”. Quarterly Journal of Microscopical Science44: 1:70.

Lovick T. A. (2012). Estrous cycle and stress: influence of progesterone on the female brain. Brazilian journal of medical and biological research = Revista brasileira de pesquisas medicas e biologicas45(4), 314–320. doi:10.1590/s0100-879×2012007500044

Martin RD (2007). “The evolution of human reproduction: a primatological perspective”. American Journal of Physical Anthropology. Suppl 45: 59–84. doi:10.1002/ajpa.20734. PMID 18046752.

“Why do women menstruate?”. ScienceBlogs. 2011. Archived from the original on 27 January 2013. Retrieved 15 January 2013.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.