Haiwan-Haiwan Yang Menjadi Zombie

726

Zombie yang macam dekat filem tu ada ke? Kalau jenis ganas tu taklah, tapi memang ada

Contoh macam cacing ni. Dia kawal otak perumah untuk mati dalam air, lepas tu dia keluar dari badan perumah macam filem ‘Alien’.

Ini adalah senarai contoh zombie semula jadi.

Sebelum kita bermula, aku nak takrifkan sedikit la pasal terma ‘zombie’. Zombie dalam untaian ni bukan jenis yang makan otak makan daging tu, tapi lebih kepada kawal minda perumah.

Adakalanya, perumah yang jadi zombie tu bukan target sebenar parasit tu pun. Cuma pengantara sahaja. Pengantara tu jadi zombie sebab nak bagi dia kena makan dengan pemangsanya. Pemangsa tu target sebenar parasit dan pemangsa tak jadi zombie.

Bila dah kena kawal minda, dia sama ada perumah tu dah mati otak atau masih sedar tapi tiada kawalan. Kesemua parasite zombie untaian ni jenis macam ni. Jadi, mari kita tengok contoh zombie-zombie tersebut.

HORSEHAIR WORM

Kita mula dengan contoh pertama dulu. Cacing ni pada mulanya bertelur dalam air. Selepas itu, larvanya akan dimakan larva serangga dalam air macam jejentik. Bila jejentik ni keluar daripada air nak jadi nyamuk, belalang atau cengkerik akan memakannya.

Melalui cengkerik/belalang ni la dia membesar sampai jadi panjang. Cacing ni hidup di kawasan berair, tapi serangga-serangga ni tak hidup di kawasan macam tu. Jadi, cacing ni akan ubah fungsi saraf tunjang mereka untuk pergi lemaskan diri dalam air.

Saintis masih tak faham mekanisme perubahan ni, tapi hasil kajian menunjukkan cacing tu ubah otak serangga jadi sensitif dengan cahaya. Memandangkan air pantulkan cahaya, serangga ni akan pergi ke air dan lemaskan diri dalam tu.

Hasilnya ialah ‘Alien’ horsehair worm. Serangga tu otaknya masih sedar, tapi tak boleh buat apa sebab kena kawal.

Aku malas nak masukkan gambar lebih sebab geli.

PARASIT SEMUT

Mereka ni bila aku baca journal sains kesian pulak sebab dia banyak jadi mangsa parasit zombie. Dalam kebanyakan kes, mereka ni pengantara sahaja.

-Cordyceps

Lepas spora kulat ni masuk dalam badan semut, kulat ni akan rembeskan bahan kimia untuk ganggu deria navigasi semut. Pada masa yang sama, filament kulat ni akan makan organ semut untuk membesar. Yang organ penting dia tak sentuh la. Kalau semut tu mati awal pun tak boleh jugak.

Lama-kelamaan, semut ni akan ‘off track’ dari laluan asal dia ke sarang. Dia akan merayau-rayau ke kawasan lembap yang sesuai untuk pertumbuhan kulat tu. Waktu ni semut tu dah mati otak. Dia akan terbiar melekat pada daun yang sesuai dalam keadaan menggigit daun dan lepas 24 jam, ‘Alien’ kulat ni muncul.

Menariknya pasal kulat ni, dia ada spesis semut kegemaran dia. Maknanya, kalau semut tu tak sesuai, kesan dia jadi tak kuat.

Ada kumpulan saintis buat kajian dengan asingkan otak semut dari spesis lain lain dan jangkitkan dengan spora kulat tu. Hasilnya, otak semut spesis kegemaran kulat akan ada banyak rembesan kimia dari kulat tu.

Disebabkan mekanisme unik kulat ni, jadi tak hairanlah konsep ni diaplikasikan dalam game zombie. Cuba teka game apa yang guna?

Untuk kes parasit semut yang lain, kita ada kes cacing pipih hati, ‘Lancet liver fluke’. Konsep dia lebih kurang macam cordyceps tu, cuma panjang sedikit perjalanannya. Target cacing ni ialah hati dan perut haiwan ternakan.

Pada mulanya, telur cacing ni akan dikumuhkan oleh haiwan ternakan melalui tahi. Kemudian, siput darat yang memakan tahi tu akan terjangkit dengan telur ni. Selepas menetas, larva cacing ni akan dikumuhkan siput melalui lendirnya.

Semut yang nak sumber air/kelembapan akan minum lendir ni. Tak lama selepas itu, larva ni akan tersebar ke seluruh badan semut dan salah satu daripadanya akan pergi ke otak semut. Melalui inilah semut tu akan dikawal menjadi zombie. Larva tersebut akan merembeskan bahan kimia untuk ganggu fungsi otak semut.

Sekali lagi, semut yang terjangkit tu akan merayau rayau keluar daripada sarang, pergi ke bahagian bilah atas rumput, dan lepas situ sampai kena makan lembu. Maka, kitaran cacing pun bermula kembali di perut/hati haiwan ternakan.

CACING PIPIH SIPUT

Dia kalau pasal parasit memang wajib jadi cacing ke apa ni? Mekansime pun lebih kurang je macam semut tu. Ok, kalau korang pernah nampak siput mata lawa macam ni, jangan korang ambik buat makan. Tu cacing tu dekat mata.

Mata siput tu jadi macam tu sebab nak bagi mata siput tu nampak macam ulat beluncas. Hasilnya, burung akan sambar siput ni buat lauk makan. Macam semut tadi, kelakuan siput ni pun macam dikawal jadi zombie. Mereka akan letakkan diri mereka pada kawasan yang sangat senang dilihat burung dan pemangsa.

Selepas kena makan, cacing pipih tu akan membesar, membiak dan telurnya dikumuh melalui tahi burung.

LARVA PENYENGAT

Akhirnya, parasit yang bukan cacing! Dalam kes ni, zombie tu ialah lipas. Berbanding zombie lain, yang ni baru ala ‘Alien’ betul. Kita ada facehugger (penyengat), perumah (lipas) dan alien (penyengat). Cuma tu la, yang ni lagi seksa kalau kena.

Mula mula, penyengat ni akan lumpuhkan lipas tu melalui penyengatnya. Kemudian, dia akan sengat sekali lagi terus ke otak lipas dengan… macam biasa la, eliksir zombie.

Selepas tu, lipas ni akan dibawa ke sarang penyengat dan bertelur pada abdomen lipas tu. Walaupun lipas ni dia kali ganda lagi besar dan kuat berbanding penyengat, dia takkan cuba larikan diri. Dia akan kekal di situ sambil dimakan larva penyengat. Selepas cukup waktu, keluar la ‘alien’ tu.

Dia pasal sengatan penyengat ni pun seram jugak. Ada sekumpulan saintis ada buat kajian pasal benda ni. Mereka letakkan sekali lipas dan penyengat ni pada bekas yang sama. Cumanya, lipas yang digunakan tu bahagian otaknya yang penyengat suka tu dah dibuang.

Apa yang jadi ialah penyengat tu ambil masa yang lama untuk cucuk bias zombie tu. Benda yang boleh dibuat dalam bawah seminit, ambil masa 10 ke 15 minit. Dalam kata lain, penyengat tu memang pentingkan ketepatan dalam men-zombie-kan lipas.

Walaupun bisa tu masih tak diketahui kompsisinya, tapi saintis berpendapat ia mungkin mengganggu biokimia otak lipas bernama octopamine. Biokimia ni yang buat lipas kekal sedar dan bergerak. Bila saintis tu cucuk octopamine ni pada lipas zombie, dia hidup balik.

PROTOZOA: TOXOPLASMA GONDII

Aku rasa, ni contoh zombie paling terkenal. Aku tak ingat dalam sebulan dua bulan lepas, rasanya ada tweet viral pasal kucing takut tikus tu kan? Ada sebab kucing tu takut. Tikus tu zombie.

Selepas kena jangkit dengan protozoa ni, otak tikus tu akan naik lepuh dan nanah untuk naikkan penghasilan enzim dopamine. Dalam bahasa Jawa, dopamine ni ialah biokimia otak yang berfungsi untuk relakskan otak. Pernah tak bila korang stress korang macam ada rasa nak tidur? Haa sebab dopamine la. Ubat anti murung pun banyak main dopamine ni je la.

Jadi, apa yang akan jadi bila dopamine terlampau banyak? Kita akan jadi sangat tenang. Kalau ikut takrifan tikus, dia daripada takut dengan kucing akan jadi manja dengan kucing.

Sebelum ni, tikus akan elakkan diri daripada kawasan yang ada kencing kucing. Tu kawasan yang dah ditanda kucing. Tikus yang jadi zombie akan jadi gian dengan bau kencing kucing dan pergi cari kucing tu. Selepas tu kalau kucing tu bodoh, dia makan la tikus tu.

Dia yang menakutkan pasal protozoa ni ialah, 30-60% daripada manusia seluruh dunia ada parasit ni dan ada kes kelakuan manusia pun berubah jadi gian dengan kencing kucing. Ramai juga pengkaji cakap mustahil tapi bila ada saintis buat kajian ni pada cimpanzi, memang ada kelakuan haiwan tu berubah jadi gian dengan kencing kucing.

Dia yang lebih menakutkan ialah penyakit skizofrenia tu berkemungkinan ada kaitan dengan parasit ni. Kebanyakan pesakit skizo ada parasite ni dalam badan mereka. Hal ni masih dalam kajian dan aku pun tak beberapa pasti kesan signifikan dia walaupun aku pelajar biologi dan pesakit mental. Mungkin boleh tanya @aimanpsikologis kot.

Dari hasil ni, saintis berpendapat bahawa dulu kita ni zombie pengantara untuk kucing besar macam harimau bintang. Tapi selepas kita beribu tahun jadi pemangsa apeks, protozoa tu dah devolve untuk tak zombie-kan manusia. Cimpanzi tu masih lagi makanan harimau bintang, sebab tu kesan dia masih kekal ada.

Sekiranya ada zombie versi manusia, rasanya yang paling sesuai ialah prion (lembu gila). Ni panjang nak sangat kalau nak cerita, mungkin lepas ini kalau rajin ada lah artikelnya. Kalau nak zombie lari laju macam siri Left 4 Dead dan World War Z, guna virus rabies (anjing gila).

RUJUKAN:

Afonso C., Paixão V. B., Klaus A., Lunghi M., Piro F., Emiliani C., et al. (2017). Toxoplasma-induced changes in host risk behaviour are independent of parasite-derived AaaH2 tyrosine hydroxylase. Sci. Rep. 7:13822. 10.1038/s41598-017-13229-y

Evans HC, Elliot SL, Hughes DP (March 2011). “Hidden Diversity Behind the Zombie-Ant Fungus Ophiocordyceps unilateralis: Four New Species Described from Carpenter Ants in Minas Gerais, Brazil”. PLoS ONE. 6 (3): e17024. Bibcode:2011PLoSO…617024E. doi:10.1371/journal.pone.0017024. PMC 3047535. PMID 21399679.

Mongkolsamrit S, Kobmoo N, Tasanathai K, Khonsanit A, Noisripoom W, Srikitikulchai P, Somnuk R, Luangsa-ard JJ (2012). “Life cycle, host range and temporal variation of Ophiocordyceps unilateralis/Hirsutella formicarum on Formicine ants”. Journal of Invertebrate Pathology111 (3): 217–24. doi:10.1016/j.jip.2012.08.007. PMID 22959811.

Poinar Jr., G (January 2008). “Global diversity of hairworms (Nematomorpha: Gordiaceae) in freshwater”. Hydrobiologia. 595 (1): 79–83. doi:10.1007/s10750-007-9112-3.

​​R. Gal and F. Libersat. “A wasp manipulates neuronal activity in the sub-esophageal ganglion to decrease the drive for walking in its cockroach prey”. PLOS One. Vol. 5, April 7, 2010. doi: 10.1371/journal.pone.0010019.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.