Haiwan-Haiwan Yang Darahnya Tidak Berwarna Merah!

0
536
views

Haiwan yang darahnya bukan berwarna merah!

Alam semulajadi tidak pernah berhenti dari mengejutkan dunia manusia. Saban tahun, pelbagai haiwan yang aneh dan pelik  ditemui oleh para peneroka dan saintis.

Jetpack Langkawi

Mereka (peneroka dan saintis) menjejak jauh ke hutan belantara dan menyelam ke bawah laut yang paling dalam demi untuk mencari spesies baharu untuk direkodkan. Dan setiap kali hasilnya membawa kepada suatu penemuan baru yang menakjubkan dan mungkin dapat memberi manfaat kepada manusia.

Diantara penemuan tersebut, merupakan haiwan yang mempunyai darah selain dari warna merah. Keganjilan ini menyebabkan para saintis ingin mengetahui lebih lanjut, apakah yang menyebabkan darah haiwan ini menjadi sebegitu.

Untuk memahami tentang perbezaan diantara warna darah, anda terlebih dahulu perlu memahami fakta tentang darah.  Dibawah merupakan sedikit catatan ringkas tentang darah;

Darah seperti yang kita tahu merupakan medium atau perantara yang berfungsi sebagai pembawa / pengangkut oksigen, karbon dioksida, vitamin dan mineral kepada keseluruhan organ dan anggota badan. Ianya diperlukan demi kelangsungan hidup sesuatu hidupan, serta membolehkan organ dan anggota badan berfungsi dengan baik dan normal.

Majoriti dari hidupan di bumi ini mempunyai darah berwarna merah. Mengapa? Secara ringkasnya, setiap satu daripada sel darah merah mempunyai sebuah molekul yang dinamakan hemoglobin.

Hemoglobin ini merupakan sebuah protein yang membantu sel darah merah membawa oksigen. Di dalam setiap molekul hemoglobin pula mempunyai 4 kumpulan heme (*disebut him) yang terdiri daripada atom zat besi (Fe). Atom oksigen dan atom karbon dioksida akan bercantum dengan 4 kumpulan heme ini. Atom zat besi inilah yang menyebabkan darah itu berwarna merah.

Sel darah merah hanya hidup selama 120 hari sahaja. Apabila sel darah merah ini mati, hemoglobin ini akan dileraikan dan atom zat besi kemudian dibawa oleh sejenis protein yang dinamakan transferrin ke “kilang darah” iaitu tulang sum-sum (bone marrow). Disini, majoriti daripada atom zat besi digunakan semula dalam pembuatan sel darah merah yang baru.

Manakala terdapat lebihan atom zat besi ditukarkan bentuk oleh enzim heme oxygenase kepada biliverdin yang berpigmen hijau.

Selepas itu, dengan kehadiran enzim biliverdin reductase (BVR), ianya ditukar bentuk sekali lagi kepada bilirubin berpigmen kuning di dalam hati (liver). Bilirubin ini kemudiannya bersama cecair hempedu akan ke usus. Kandungan bilirubin inilah yang membuatkan najis anda berwarna kuning.

Kembali ke artikel, dibawah adalah senarai haiwan yang darahnya bukan berwarna merah.

Mengkarung Prasinohaema New Guinea

Mengkarung Prasinohaema New Guinea. Menunjukkan bahagian dalam mulutnya yang yang berwarna hijau. Gambar dari Christopher Austin, Louisiana State University, Museum of Natural Science.

Hutan Papua New Guinea merupakan antara tempat yang kurang diterokai oleh manusia yang disebabkan oleh ketebalan hutan serta topografi yang berbukit-bukau menyukarkan akses untuk masuk. Disini terdapat beberapa spesies biawak mengkarung dari genus Prasinohaema yang mempunyai darah yang berwarna hijau. Ini terjadi disebabkan oleh kandungan tinggi biliverdin di dalam darahnya.

Pada asalnya kandungan darah mengkarung ini juga sama seperti hidupan lain yang mempunyai bacaan tinggi hemoglobin di dalam sel darah merah. Dan seperti biasa, sel darah merah akan mati jua akhirnya, justeru terhasilnya biliverdin yang mempunyai pigmen berwarna hijau.

Hidupan lain, akan “menapis” dan membuang biliverdin. Tetapi, ia tidak terjadi bagi mengkarung ini apabila kandungan terlalu tinggi biliverdin mengatasi kandungan sel darah merah berhemoglobin. Justeru menyebabkan bukan sahaja darah, malah lidah, otot dan tulangnya juga berwarna hijau yang berlainan tona.

Perbezaan diantara tiub darah manusia berhemoglobin berwarna merah, dan tiub darah mengkarung Prasinohaema yang tinggi kandungan pigmen biliverdin berwarna hijau. Gambar dari Christopher Austin, Louisiana State University Museum of Natural Science.

Apa yang menakjubkan ialah, walaupun dengan kandungan tinggi biliverdin ini di dalam darah, mengkarung ini masih hidup sihat dan tanpa penyakit. Saintis berpendapat bahawa mengkarung ini beradaptasi untuk menghalang dari menerima jangkitan parasit Plasmodium (falciparum,vivax,malariae) penyebab penyakit malaria. Ini kerana penyakit malaria memerlukan sel darah merah sihat untuk menjangkiti sesuatu hidupan. Selain manusia, malaria ini juga dapat menjangkiti haiwan lain seperti reptilia dan burung.

Funfact: Tahukah anda bahawa Burung Cenderawasih yang mendapat gelaran Burung Kayangan juga menjadikan hutan Papua New Guinea sebagai habitatnya?

Crocodile Icefish

Crocodile Icefish tubuhnya yang lutsinar oleh kerana ketiadaan sel darah merah berhemoglobin.

Dinamakan ‘crocodile’ oleh kerana ikan ini mempunyai ciri yang bermuncung panjang serta dibarisi oleh gigi-gigi tajam. Manakala ‘ice’ adalah kerana ikan ini hidup di kawasan laut sejuk ekstrem Antartika dengan suhu 1 darjah celsius di musim panas, manakala -1.8 darjah celsius ketika di musim sejuk. Suhu yang mampu membuatkan air tawar membeku!

Jadi, apakah sebab yang membolehkan ikan ini hidup dengan kondisi ekstrem sebegini? Ikan ini mempunyai kelebihan menarik, iaitu ia tidak menpunyai sel darah merah berhemoglobin langsung!

Mungkin soalan ini bermain di fikiran anda:
“Jika tiada sel darah merah dan hemoglobin, bagaimana oksigen dibekalkan ke seluruh badan ikan tersebut?”

Jawapannya mudah sahaja. Pertama sekali, saya jelaskan mengapa ikan ini tiada sel darah merah dan hemoglobin.

Dengan kondisi ekstrem sejuk, sel darah merah merupakan suatu liabiliti, oleh kerana dalam suhu yang sangat sejuk, sel darah merah berhemoglobin akan memekat dan perkara ini akan menyukarkan proses membekalkan oksigen ke seluruh anggota badan ikan tersebut. Oleh sebab itu, ikan yang berada di lautan beriklim sejuk, mempunyai jumlah sel darah merah berhemoglobin kurang daripada ikan yang mendiami laut beriklim tropika.

Tetapi crocodile ice fish pula, beradaptasi dengan lebih ‘ekstrem’ apabila langsung tidak mempunyai sel darah merah dan hemoglobin!

Jawapan kepada soalan “dari mana ikan ini mendapat bekalan oksigen tanpa kehadiran sel darah merah dan hemoglobin” pula adalah, dari air laut itu sendiri.
Ini kerana air laut beriklim sejuk mempunyai kandungan oksigen terlarut yang lebih banyak berbanding air laut beriklim tropika.

Oleh sebab itu, ikan ini tidak memerlukan ‘pengangkut’ (sel darah merah) untuk membawa oksigen untuk dibekalkan kepada seluruh badannya. Ikan ini akan menapis oksigen menggunakan insang dan oksigen tersebut boleh bergerak bebas di dalam plasma (komponen cecair darah) ikan tersebut tanpa memerlukan sel darah berhemoglobin.

Darah ikan ini, tidak mempunyai sebarang warna (colorless). Suatu fakta yang membingungkan ahli biologi Ditlef Rustad yang menjumpai ikan ini buat pertama kali pada tahun 1928 apabila beliau membedahnya.

Funfact: Crocodile Icefish juga mempunyai protein antibeku (antifreeze) di dalam darahnya. Menghalang darah daripada membeku berikutan suhu sejuk melampau.

Sotong Kurita

Sotong kurita mampu menyamar mengikut keadaan persekitarannya. Ini merupakan mekanisma untuk memburu serta mempertahankan diri daripada pemangsa.

Haiwan vertebra (mempunyai tulang belakang) sebahagian besar nya mempunyai hemoglobin di dalam darah justeru menjadikannya berwarna merah. Tetapi ianya berlainan bagi sesetengah haiwan invertebra (tidak mempunyai tulang belakang). Kandungan darah mereka mempunyai molekul hemocyanin yang memberi warna biru.

Perbezaan diantara hemocyanin dan hemoglobin ialah, hemocyanin mempunyai atom zat tembaga (copper- Cu) manakala hemoglobin mempunyai atom zat besi (Iron- Fe).

Walaubagaimanapun, kedua-dua molekul hemocyanin dan hemoglobin ini mempunyai fungsi yang sama, iaitu ‘mengangkut’ oksigen dan karbon dioksida ke seluruh anggota badan serta organ.

Jadi mengapa sotong kurita mempunyai molekul hemocyanin di dalam darahnya? Ia kerana hemocyanin berfungsi dengan lebih baik di laut dalam beriklim sejuk berbanding hemoglobin.

Selain sotong kurita, antara haiwan yang mempunyai darah berwarna biru disebabkan mempunyai molekul hemocyanin di dalam darahnya adalah belangkas.

Funfact: Tahukah anda bahawa sotong kurita mempunyai 3 jantung? Satu jantung sistemik yang mengepam darah keseluruh anggota badannya, manakala dua lagi jantung brankial untuk mengepam melalui setiap satu insangnya.

Caption: Belangkas merupakan haiwan yang telah wujud sejak dari zaman prasejarah, dimana fosil terawal belangkas dijumpai berusia 450 juta tahun dahulu.

Seperti sotong kurita, belangkas mempunyai darah berwarna biru oleh kerana kehadiran molekul hemocyanin yang terkandung di dalam darahnya. Tidak perlu lagi saya menjelaskan tentang molekul hemocyanin ini. Cuma saya memasukkan belangkas ke dalam senarai ini adalah kerana faedah darahnya yang memberi sumbangan besar kepada dunia perubatan dan farmaseutikal.

Belangkas tidak mempunyai sel darah putih (leukosit). Jadi, mungkin anda bertanya; “bagaimana belangkas melawan jangkitan daripada bakteria?”. Jawapannya adalah, ‘kekurangan’ tersebut digantikan dengan kehadiran sel hebat yang dinamakan amebosit (amebocytes).

Apabila sel amebosit ini bertemu bakteria, ia akan bertindak balas dengan endotoksin bakteria dengan mengeluarkan cecair penggumpal yang akan bergumpal di sekeliling bakteria tersebut dan menghalang bakteria dari tersebar ke kawasan lain di dalam badan belangkas tersebut. Cecair ini dinamakan saintis sebagai koagulagen.

Bagi komuniti perubatan, kebolehan untuk bergumpal apabila terdapat kehadiran bakteria ini merupakan suatu kebolehan yang menakjubkan. Dan darah belangkas kini digunakan di dalam industri perubatan sebagai ujian pengesan bakteria terhadap ubat-ubatan intravena (ubat yang dimasukkan ke saluran darah). Jika cecair ubatan tersebut bergumpal, penyelidik akan tahu bahawa ubatan tersebut telah dicemari bakteria.

Darah belangkas sedang diekstrak untuk kegunaan industri perubatan dan farmaseutikal. Oleh kerana kandungan molekul hemocyanin di dalam darahnya, ia berwarna biru.

Funfact: Tahukah anda bahawa darah belangkas merupakan antara salah satu cecair yang termahal didunia dengan 1 liter darah belangkas bernilai USD15,000. (Anggaran, tidak termasuk cukai sst/gst)

Brakiopod seperti belangkas, merupakan haiwan yang telah wujud sejak dari zaman prasejarah lagi. Fosil terawal brakiopod berusia 500 juta tahun. Haiwan bercengkerang ini menyerupai kima atau kerang. Brakiopod ini hanya menjelajah kawasan dasar laut.

Brakiopod tidak menggunakan sama ada molekul hemocyanin mahupun hemoglobin untuk membawa oksigen. Tetapi, ia menggunakan molekul protein yang dinamakan hemeryhtrin. Iaitu sejenis lagi protein berpigmen (berwarna). Tetapi seperti hemoglobin, hemerythrin mempunyai atom zat besi (Fe) yang akan ‘mengangkut’ atom oksigen atau karbon dioksida.

Apabila hemerythrin ini mengangkut oksigen, ia akan mempunyai warna ungu atau merah jambu (pink), manakala jika ia tidak mengangkut oksigen, ia akan berwarna kuning cerah atau tidak berwarna.

Kesimpulannya, alam semulajadi akan beradaptasi atau berevolusi mengikut keadaan persekitarannya. Memetik kata-kata pelakon Jeff Goldblum yang melakonkan watak Dr. Ian Malcolm di dalam filem Jurassic Park; “Life, Uh, finds a way”.

———–

Silakan kongsikan artikel ini jika anda mempelajari sesuatu yang baru dari artikel ini.

🚩 Bacaan Lanjutan:

https://www.britannica.com/science/hemoglobin

https://blog.nationalgeographic.org/2013/09/30/why-do-mysterious-lizards-have-green-blood-3/

https://blogs.scientificamerican.com/brainwaves/how-the-antarctic-icefish-lost-its-red-blood-cells-but-survived-anyway/

https://www.smithsonianmag.com/science-nature/ten-curious-facts-about-octopuses-7625828/

http://www.iflscience.com/plants-and-animals/how-horseshoe-crab-blood-saves-millions-lives/

https://www.sciencedirect.com/topics/neuroscience/brachiopods