Dalam mitologi Yunani, Hades merupakan dewa roh mati dan pemerintah Alam Kematian. Oleh kerana itu, beliau dianggap sebagai salah satu dewa yang penting dalam pantheon Yunani. Walau bagaimanapun, beliau tidak tergolong dalam 12 Dewata Olympia memandangkan Hades hanya mendiami Alam Kematian, bukannya Gunung Olympus.

Memandangkan kekuasaan Hades terletak di bawah bumi, masyarakat Yunani purba turut menganggapnya sebagai dewa khazanah bumi yang tersembunyi. Sebagai salah satu dewa utama Yunani, Hades hadir dalam sejumlah mitos walaupun lazimnya hanya muncul sebagai watak tambahan. Hanya sebahagian sahaja mitos yang menampilkannya sebagai watak utama.

PERANG TITAN MELAHIRKAN GENERASI BARU PARA DEWA


Masyarakat Yunani purba mempercayai bahawa Hades merupakan generasi pertama dewata Olympia. Bapanya adalah Titan Cronus manakala ibunya pula adalah Rhea. Oleh kerana khuatir salah seorang anaknya akan mengguling dan menggantikan kedudukannya sebagai raja dewa, Cronus pun memakan kesemua anaknya, termasuklah Hades sebaik sahaja mereka dilahirkan.

Namun anak bongsu Cronus, iaitu Zeus, sempat diselamatkan oleh ibunya dan beliau membesar secara rahsia. Apabila Zeus sudah meningkat dewasa, beliau kembali menghadap Cronus, membebaskan adik-beradiknya dan mencabar Titan untuk merebut tempat sebagai dewata penguasa. Perang yang meletus antara dua generasi dewa ini dikenali sebagai Perang Titan atau Titanomachy. Dalam peperangan ini, generasi dewata yang lebih muda yang kelak dikenali sebagai Dewata Olympia tampil sebagai pemenang, menewaskan dewata Titan.

Semasa berlakunya Perang Titan itu, makhluk-makhluk yang dikenali sebagai Cyclope yang dibebaskan oleh dewa-dewa Olympia menghasilkan senjata yang berkuasa untuk para dewa. Zeus diberikan panah petir, Poseidon diberikan trisula sementara Hades pula diberikan topi kegelapan. Kelengkapan kepala ini membolehkan pemakainya menjadi halimunan.
Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa selepas berlakunya Perang Titan, topi tersebut menjadi semakin berkuasa dan meraih keupayaan untuk mengawal roh-roh si mati. Hades dicatatkan pernah meminjamkan topi kegelapan ini kepada dewa-dewa lain.

Misalnya semasa Perang Trojan, Athena memakai topi ini ketika beliau membantu Diomedes. Topi kegelapan ini juga pernah dipinjamkan kepada Perseus semasa beliau menjalankan misi membunuh Gorgon Medusa.
Berikutan kekalahan dewa-dewa Titan, tiga dewa bersaudara iaitu Zeus, Poseidon dan Hades saling membahagikan wilayah kekuasaan menerusi cabutan undi. Zeus diberikan kekuasaan ke atas langit, Poseidon menguasai laut sementara Hades diberikan hak ke atas Alam Kematian. Sebagai pemerintah Alam Kematian, nama Hades lazimnya dianggap membawa maksud, ‘Yang Ghaib’.

PANDANGAN MITOLOGI YUNANI TERHADAP HADES


Memandangkan kematian kebiasaannya dianggap sebagai suatu perkara yan taboo, maka Hades turut diberikan beberapa gelaran lain seperti Plouton yang membawa maksud ‘Khazanah’ dan Theon/Zeus Khthonios yang bermaksud ‘Dewa/Zeus Alam Kematian’. Ada juga beberapa gelaran lain lagi yang diberikan kepada Hades, seperti Polysemantor (Pemerintah Makhluk Yang Banyak), Polydegmon (Pemilik Roh Yang Banyak) dan juga Nekrodegmon (Penerima Roh Si Mati).

Walaupun beliau merupakan salah satu dewata utama, Hades tidak banyak membuat penampilan dalam mitologi Yunani seperti dewata Olympia yang lain. Perkara ini tidaklah mengejutkan, memandangkan kematian merupakan suatu subjek yang lazim dihindari oleh manusia. Gambaran Hades juga jarang sekali dibuat dalam hasil-hasil seni, walaupun kerja-kerja seni sebegini tidak dikawal ketat oleh sebarang peraturan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ciri tertentu yang membolehkan kita mengenali Hades. Antaranya seperti tongkat dan kunci yang kedua-dua ciri ini dianggap sebagai simbol kekuasaannya ke atas Alam Kematian. Begitu juga dengan simbol cornucopia (simbol tanduk kambing yang dipenuhi buah-buahan) yang merujuk kepada peranannya sebagai dewa khazanah. Selain itu, seringkali juga dinyatakan bahawa peranan Hades sebagai dewa khazanah lazim dibayangi oleh peranannya sebagai dewa alam kematian.

Hades, dewa Alam Kematian, roh si mati dan kekayaan

Masyarakat Yunani purba meyakini bahawa berkuasa Hades ke atas Alam Kematian turut membawa maksud bahawa dewa itu memiliki akses terhadap khazanah-khazanah yang tersimpan atau tersembunyi di ceruk bumi. Khazanah yang dimaksudkan ini termasuklah logam-logam berharga dan tanah-tanah subur yang diperlukan untuk menumbuhkan tanaman. Dari sudut peranan yang sebegini, Hades kelihatan sebagai dewa yang baik lagi pemurah.

PENEMAN KEPERCAYAAN HADES – CERBERUS


Salah satu ciri Hades yang lazim lagi pasti adalah ia ditemani leh Cerberus, seekor anjing berkepala tiga. Menurut Hesiod di dalam puisinya, bilangan kepala Cerberus mencecah 50. Selain memiliki kepala yang banyak, Cerberus juga masyhur dengan ular yang tumbuh di bahagian belakang tubuhnya.

Cerberus sememangnya satu raksasa yang amat menggerunkan, walaupun hakikat ini sama sekali tidaklah mengejutkan jika kita lihat siapakah ibu bapanya. Dalam mitologi Yunani, Cerberus adalah anak kepada Typhon dan Echidna. Antara anak-anak lain bagi pasangan ini adalah Orthrus (anjing berkepala dua yang melindungi Ternakan Geryon), Lernaean Hydra dan juga Chimera.

Masyarakat Yunani purba mempercayai bahawa Cerberus berperanan mengawal gerbang-gerbang Alam Kematian – memakan sesiapa sahaja roh si mati yang cuba keluar daripadanya dan menghalang sesiapa sahaja manusia hidup dari memasukinya. Mitos masyhur yang menampilkan Cerberus adalah Dua Belah Tugas Heracles. Tugas ke-12 merangkap yang terakhir bagi wira legenda Yunani itu adalah menangkap Cerberus dan mempersembahkannya di hadapan Eurystheus, raja Tiryns. Dalam kebanyakan versi yang mengisahkan tentang mitos tersebut, Heracles kononnya menwaskan Cerberus dengan tangan kosong.

Cerberus, anjing Hades yang mengawal gerbang Alam Kematian

Semasa pengembaraannya memasuki Alam Kematian, Heracles berkesempatan berjumpa dengan dua orang wira Yunani, iaitu bernama Theseus dan Pirithous yang dikurung di sana sebagai satu hukuman oleh Hades. Hal ini disebabkan Pirithous mahu memperisterikan Persephone, isteri Hades justeru mengajak Theseus memasuki Alam Kematian bersamanya.

Dalam satu versi mitos, kedua-dua wira ini duduk beristirehat di atas sebongkah batu semasa dalam perjalanan. Namun, mereka menydari tubuh mereka tidak dapat diangkat sejurus selepas mereka melihat Furies datang menghampiri. Dalam versi lain, diceritakan bahawa mereka ditundukkan oleh Hades sendiri.

Kononnya, Dewa Alam Kematian itu menjemput Pirithous dan Theseus agar duduk di sebuah kerusi khas. Tanpa mereka ketahui, itulah Kerusi Kelupaan (Chair of Forgetfulness) yang mengakibatkan sesiapa sahaja yang duduk di atasnya terlupa akan segala perkara. Dengan demikian, Hades berhasil mengurung mereka di Alam Kematian.


Semasa Heracles memasuki Alam Kematian untuk menangkap Cerberus, beliau sempat menyelamatkan dua wira itu. Dalam beberapa versi penceritaan, Theseus dan Pirithous berjaya diselamatkan. Namun dalam beberapa versi, Heracles hanya berhasil menyelamakan Theseus sementara dalam versi lain lagi, kedua-dua wira itu tidak berjaya diselamatkan justeru terus dikurung di Alam Kematian.

Cerberus dan Hercules

Di samping itu, Cerberus juga pernah ditundukkan dalam beberapa kesempatan lain, sebagaimana yang dikisahkan di dalam mitos Orpheus dan Eurydice. Dalam legenda yang tragi situ, Orpheus berjaya menjampi Cerberus dengan mainan muziknya yang amat mengasyikkan justeru membolehkannya memasuki Alam Kematian dan menghadap Hades. Beliau turun ke Alam Kematian dengan tujuan untuk menghidupkan semula isterinya, Eurydice yang telah meninggal dunia.

Untuk itu, Orpheus pun berjumpa dengan Hades. Mainan muzik serta kisahnya yang menyedihkan itu berhasil menyentuh perasaan Hades hinggakan raja Alam Kematian itu membenarkan agar Eurydice kembali kea lam kehidupan. Walau bagaimanapun, Orpheus diberikan amaran agar sama sekali tidak menoleh ke belakang sehinggalah beliau dan isterinya itu melepasi gerbang Alam Kematian.

Malangnya, ketika Orpheus berada beberapa langkah sahaja dari gerbang yang memisahkan antara Alam Kematian dan Alam Kehidupan, fikirannya mula dipenuhi keraguan memandangkan beliau langsung tidak mendengar tapak kaki isterinya sepanjang perjalanan. Maka, beliau pun menoleh kebenaran untuk mendapatkan kepastian, sama ada Eurydice benar-benar mengikutinya sedari tadi.

Dalam versi yang lain, sebaik sahaja pandangan Orpheus menyapa sinaran matahari, hatinya melonjak kegirangan sehingga terlupa akan amaran yang diberikan oleh Hades. Beliau menoleh ke belakang untuk berkongsi kegembiraannya itu dengan si isteri. Akibatnya, tubuh Eurydice langsung sahaja menghilang dan Orpheus terpaksa kembali kea lam kehidupan sendirian.

Orpheus dan Eurydice cuba meloloskan diri dari Hades dan Alam Kematian

HADES MENGAMBIL ISTERI

Seperti yang telah pun disebutkan sebelum ini, Persephone adalah isteri kepada Hades. Ratu Alam Kematian itu merupakan anak kepada Zeus dan Demeter, dewi hasil tuaian dan pertanian. Penculikan Persephone dianggap sebagai mitos paling masyhur yang menampilkan Hades, dan ia adalah salah satu mitos di mana Hades muncul sebagai watak utama.

Dalam mitos ini, Hades membuat permintaan kepada saudaranya, Zeus agar mengurniakan salah seorang puterinya untuk dijadikan sebagai isteri. Zeus memilih Persephone walaupun mengetahui bahawa Demeter sama sekali tidak akan bersetuju dengan aturan ini.

Pada suatu hari, Persephone keluar memetik bunga di dataran Nysa bersama anak-anak perempuan Okeanos. Dalam satu kesempatan, beliau berjalan agak jauh daripada kumpulannya itu dan mendekati sekelompok bunga yang harum.

Sebaik sahaja Persephone mendepakan tangannya untuk memetik bunga tersebut, tanah di bawah tapak kakinya terbuka dan muncullah Hades yang menaiki pedati emas yang ditarik oleh empat ekor kuda. Dewa Alam Kematian itu lantas menculik Persephone dan membawanya ke Alam Kematian untuk dijadikan sebagai ratu.

Hades menculik Persephone yang kemudiannya menjadi isterinya

Berita penculikan Persephone ini merupakan satu kesedihan yang besar buat Demeter. Beliau langsung sahaja berangkat keluar untuk mencarinya. Sembilan hari lamanya, dewi itu berkelana di atas bumi sambil membawa sebatang obor. Namun, tiada seorang pun mampu melaporkan kepadanya apa yang terjadi kepada Persephone.

Pada hari yang ke-10, Demeter bertemu dengan Dewi Hekate yang memaklumkan bahawa beliau ada mendengar suara Persephone, namun tidak berkesempatan melihat apa yang sebenarnya terjadi. Tidak lama kemudian, kedua-dua itu pun berjumpa dengan Helios, dewa dan personafikasi matahari memandangkan dewa itu mampu melihat segala perkara yang berlaku di bumi.

Setelah diajukan pertanyaan daripada Demeter, Helios pun mendedahkan bahawa Zeus telah pun memberikan izin kepada Hades untuk mengambil Persephone sebagai isteri. Oleh kerana berasa berang atas tindakan Zeus itu, Demeter pun bersumpah untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke Gunung Olympus. Malah, beliau enggan membenarkan hasil tuaian tumbuh dengan baik melainkan beliau dapat berjumpa dengan anak perempuannya itu.

Tatkala Zeus mendengar tentang perkara ini, beliau berasa khuatir kalau-kalau tindakan Demeter itu akan membawa penamat kepada manusia. Justeru, beliau pun mengutus Hermes agar membawa Persephone keluar dari lam Kematian. Hermes yang masyhur dengan kemahiran diplomasinya itu berjaya memujuk Hades agar membebaskan Persephone. Namun sebelum membenarkan isterinya beredar, Hades sempat memberikannya biji delima sebagai hadiah perpisahan.

Susulan daripada memakan biji itu, yang mana delima dianggap sebagai makanan kematian, Persephone langsung terikat untuk kekal hidup di Alam Kematian. Maka, Zeus pun mencampuri urusan dan memberikan cadangan. Menurutnya, Persephone akan hidup bersama Demeter selama dua pertiga tahun dan tempoh bakinya pula akan diluangkan bersama Hades di Alam Kematian. Kesemua pihak yang terlibat bersetuju dengan cadangannya itu.

Persephone dikembalikan kepada Demeter namun beliau perlu kembali ke pangkuan Hades dan Alam Kematian pada setiap tahun

Perkara ini dianggap oleh masyarakat Yunani sebagai penerangan berlakunya perubahan musim. Kononnya, pada bulan-bulan Persephone hidup bersama Hades, Demeter akan meninggalkan Gunung Olympus dan pergi ke kuilnya yang terletak di Eleusia. Di sana, beliau meratapi ketiadaan puterinya justeru menghasilkan musim salji di bumi.

HADES BUKANLAH DEWA YANG MENGHAKIMI ROH SI MATI

Walaupun Hades merupakan penguasa Alam Kematian, beliau sama sekali bukan dewa yang bertanggungjawab menghakimi roh-roh si mati. Masyarakat Yunani purba meyakini bahawa roh si mati yang baik akan diganjar dengan dimasukkan ke dalam Pulau Rahmat (Isles of Blessed) manakala roh yang jahat pula akan dihumban ke dalam Tartarus.

Pada masa Cronus berkuasa dan juga awal kekuasaan Zeus, penghakiman ini dibuat oleh hakim-hakim manusia yang menyaksikan hari terakhir si mati itu hidup. Dalam beberapa kesempatan, belaku kesilapan di mana orang jahat dimasukkan ke dalam Pulau Rahmat. Kesilapan ini berlaku disebabkan si jahat itu menyelubungkan dirinya dengan pakaian yang mewah ketika beliau dihakimi sekaligus membuatkan para penghakim menganggap beliau menjalani hidup yang baik. Rentetan itu, Zeus memutuskan agar si mati yang bakal dihakimi perlu menanggalkan segala pemilikan yang bersifat duniawi.


Tambahan lagi, Zeus turut melantik tiga penghakim iaitu Rhadamanthys, Aeacus dan Minos. Rhadamanthys menghakimi si mati yang berasa dari Asia, sementara Aeacus pula menguruskan si mati yang berasal dari Eropah. Minos pula diberikan autoriti untuk membuat keputusan akhir.

Penghakim roh si mati, Minos, Aiakos, Rhadamanthys duduk di bangku takhta dan menyoal roh tentang kehidupan dan amal-amal mereka

Di samping itu, Hades juga bukanlah Dewa Kematian. Hades sama sekali tidak memiliki kuasa untuk mencabut nyawa manusia. Personafikasi Kematian dalam mitologi Yunani adalah Thanatos. Dalam mitos Asclepius, Hades disifatkan sebagai dewa yang menerima kesan daripada keupayaan menyembuh yang dimiliki oleh Asclepius si separa-dewa.

Asclepius adalah anak lelaki Apollo dan seorang manusia. Ibu Asclepius meninggal dunia semasa melahirkannya, dan Apollo menyelamatkan Asclepius dengan mengeluarkannya dari rahim si ibu. Asclepius kemudiannya diletakkan di bawah asuhan Chiron si centaur dan daripada situlah beliau mempelajari seni perubatan.

Seiring peredaran masa, kemahiran menyembuh yang dimiliki Asclepius melangkaui Chiron dan bahkan Apollo sendiri. Beliau mampu merawat semua orang dan bahkan memiliki keupayaan untuk menghidupkan orang yang telah mati. Walaupun Asclepius dianggap oleh manusia sebagai perwira, beliau sama sekali tidak disenangi oleh para dewa.

Hades secara khusus menyimpan rasa amarah terhadap Asclepius memandangkan keupayaan menyembuhnya itu membuatkan semakin sedikit manusia yang mati. Hal ini membawa maksud roh yang memasuki Alam Kematian semakin berkurangan.Lantas, Hades pun membawa permasalahan ini kepada Zeus dan menggesanya agar membunuh Asclepius agar status quo dapat dikembalikan. Zeus sendiri turut menyimpan dendam terhadap Asclepius memandangkan separa-dewa itu menghidupkan semula orang yang telah mati tanpa terlebih dahulu mendapatkan keizinannya. Perbuatan ini dianggap oleh Zeus sebagai satu penghinaan terhadap kedudukannya sebagai raja dewa.

Walaupun Apollo cuba untuk mencampuri urusan bagi menyelamatkan anaknya itu, Zeus enggan berganjak. Beliau menyambar Asclepius dengan panahan petir. Jasad Asclepius disemadikan di langit sebagai buruj Ophiuchus yang bermaksud ‘Pembawa Ular’.

DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (12 Oktober 2019). Hades, God of the Underworld and His Unsung Powers. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/hades-0012712


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.