Moving Forward As One

Habbatus Sauda: Penawar Segala Penyakit

2,251

Ketika ini, program pemvaksinan Covid-19 peringkat kebangsaan sedang berjalan di seluruh negara. Tatkala usaha ini giat dijalankan, geng anti-vaksin masih berusaha menyebarkan dakyah mereka bagi menyakinkan orang ramai untuk menolak vaksin Covid-19. Antara dakyah mereka ialah mempergunakan hadis Rasulullah s.a.w berkenaan kelebihan habbatus sauda.

IKLAN: Patriots baru sahaja melancarkan novel keempat terbitannya. Boleh beli si Shopee kami: http://bit.ly/mahapsiko

Menurut golongan ini, mereka berpegang kepada sabda baginda mafhumnya, “Pada habbatus sauda itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali ma_ti.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Mereka percaya secara literal bahawa ia boleh mengubati semua jenis penyakit kecuali ma_ti. Lebih buruk, hadis ini turut dipergunakan golongan tertentu untuk melariskan penjualan produk-produk berasaskan habbatus sauda tanpa mengira akibat kepada umat Islam.

Salah faham ini perlu diperbetulkan dengan pertama, memahami syarahan para ulama tentang habbatus sauda. Dalam kitab Fathul Bari yang dikarang Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah, beliau menjelaskan secara terperinci beberapa kegunaan habbatus sauda sebagai penawar penyakit.

Misalnya, bagi individu yang mengalami selesema akibat cuaca sejuk, penawarnya ialah habbatus sauda dihan_curkan dalam bentuk serbuk sebelum diletakkan dalam beg uncang agar boleh dihidu pesakit. Manakala bila dimasak bersama cuka, ia boleh dijadikan sebagai ubat kumur untuk merawat sakit gigi.

Kedua dan paling penting, memahami ungkapan “penawar segala penyakit” merupakan lafaz umum yang membawa maksud yang khusus. Menurut Imam al-Khattabi, penggunaan ungkapan ini amat tepat kerana menurut beliau, tidak ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah s.w.t di dunia ini yang terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan.

Perkara ini turut diperincikan oleh Imam Ibnu Hajar dan Imam al-Nawawi bila diminta mengulas ungkapan “penyakit yang sesuai diubati dengannya”. Berdasarkan pengamatan mereka, habbatus sauda hanya sesuai dijadikan penawar bagi penyakit-penyakit yang muncul semasa cuaca sejuk dan tidak berkesan untuk penyakit yang timbul pada cuaca panas.

Imam al-Nawawi turut menambah penyakit-penyakit yang muncul akibat keadaan yang sejuk merupakan penyakit-penyakit yang biasa dalam kalangan masyarakat pada zaman Rasulullah s.a.w. Atas sebab itulah, hadis tentang habbatus sauda’ menggambarkan bahawa banyak manfaat boleh diperoleh daripadanya kerana ia berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit yang biasa pada masa tersebut.

Tidak dapat dinafikan herba ini mempunyai khasiatnya yang tersendiri termasuk sebagai ubat untuk penyakit-penyakit tertentu. Memandangkan ia disebut baginda dalam hadisnya, maka apa salahnya lebih banyak kajian dan penyelidikan (R&D) dilakukan untuk mengetahui manfaatnya kepada manusiawi. Ini sudah pasti dapat menguntungkan manusiawi dari segi kesihatan untuk jangka masa panjang.

Yang perlu dielakkan ialah menggunakan sesuatu produk kesihatan di pasaran yang mengandungi habbatus sauda dengan harapan dapat mengubati semua jenis penyakit yang dialami. Bagi penulis, cara usaha dan bertawakal itu sudah lari jauh daripada apa yang diajarkan Rasulullah s.a.w.

Sekiranya hendak berubat, dapatkan dahulu nasihat dan rundingan daripada pakar-pakar kerana ilmu mereka lebih diyakini. Tawakal yang didahului dengan usaha yang lebih diyakini lebih tinggi nilainya di sisi agama. Ini kerana ini menunjukkan sebarang urusan diserahkan kepada orang yang berkepakaran seperti yang dilakukan baginda bila ditanya cara mengusahakan tanaman kurma.

Rasulullah s.a.w memberitahu lebih elok ia diserahkan kepada orang yang pakar dan menambah, “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.” (Riwayat Muslim).

RUJUKAN:

Malek, M. (2019). Habbatus Sauda’ Penawar Penyakit?. Utusan Malaysia.

Ruangan komen telah ditutup.