Pernah dengar nama-nama tokoh sufi seperti Imam Hasan al-Basri atau Abū Yazīd al-Bustāmi? Bagaimana pula dengan Imam Junaid al-Baghdādi atau Rabiatul Adawiyah? Sudah pasti ramai yang tahu. Kerana mereka telah dianggap sebagai antara tokoh sufi yang terpenting di kurun awal Islam.

Berganjak ke kurun pertengahan, lahir pula tokoh seperti Imām al-Ghazāli, Syeikh Abdul Qādir al-Jailāni, Jalāluddīn ar-Rūmi, Syeikh Abū Hassan as-Syādzili dan ramai lagi.

Selang beberapa kurun setelah itu, muncul Imam Jazūli di Mesir yang merupakan pengarang bagi Kitab Dalāil Khairāt yang masyhur, Syeikh Muhammad Bahā’uddīn an-Naqsyabandi pendiri Tarekat Naqsybandiyyah di Parsi (Bukhara), dan Syeikh Abdullah as-Syattār pendiri Tarekat Syattāriah di India.

Kesemua mereka bukan saja dikenali sebagai tokoh sufi, bahkan boleh dikatakan penyumbang besar kepada perkembangan ilmu tasawuf. Namun dalam ramai yang disebutkan, tak ada seorang pun yang berbangsa Melayu.

Adakah kerana Alam Melayu ketandusan ikon tasawuf, walhal pada ketika itu kita sudah mencapai kemajuan dalam lapangan-lapangan lain seperti persenjataan, perniagaan dan perundangan?

Sebenarnya, figura-figura yang membawa peranan tersebut sememangnya telah lahir di Alam Melayu.

Antaranya ialah Syeikh Hamzah Fansuri. Beliau dikatakan lahir di Barus, sebuah perkampungan yang terletak di Daerah Singkel, Aceh. Pedagang Parsi mengenalinya sebagai Fansur. Wilayah Barus suatu masa dahulu terkenal dengan pengeluaran kapurnya di seluruh dunia, yang sehingga ke hari ini pun kita kenal dengan Kapur Barus. Kerana itulah nisbah namanya disandarkan kepada wilayah tersebut.

Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas pula berpendapat bahawa Hamzah Fansuri dilahirkan di Syahr Nawi, sebuah wilayah di Siam pada era kerajaan Ayyutthaya.

Para pengkaji berpendapat beliau hidup di sekitar pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17 pada era pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Shah Sayyid al-Mukammil. Sebahagian lain pula berpendapat beliau sempat hidup di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

Syeikh Hamzah Fansuri merupakan adik kepada Syeikh Ali Fansuri yang merupakan bapa kepada Syeikh Abdul Rauf al-Singkili, seorang ulama masyhur di Tanah Aceh yang menjadi orang pertama menterjemahkan al-Quran ke dalam Bahasa Melayu.

Syeikh Hamzah Fansuri mengembara ke banyak negara di pelusuk dunia dalam perjalanannya mendapatkan makrifatullah. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri sebelum menempuh perjalanan ke India, Parsi, Baghdad, Mekah dan Madinah.

Di Baghdad, beliau berbaiat kepada Tarekat Qadiriyah yang pada masa itu sedang berkembang luas. Tarekat Qadiriyah didirikan oleh seorang ulama sufi masyhur kurun ke-12, Syeikh Abdul Qādir al-Jailāni (1077-1166).

Setelah itu, beliau pulang semula ke Barus bagi menyebarkan ajaran tasawufnya yang dikenali sebagai Martabat Lima. Dengan menjadikan Sastera Melayu sebagai medan penyebarannya, beliau telah mengarang banyak kitab berbentuk syair.

Antara karya-karyanya yang diketahui:

  1. Syair Perahu
  2. Syair si Burung Pungguk (burung hantu)
  3. Syair si Burung Pingai (burung pipit)
  4. Syair Dagang
  5. Asrār al-Ārifīn
  6. Syarāb al-’Āsyiqīn

Dalam kebanyakan karyanya, beliau menjadikan objek penceritaan sebagai perumpamaan untuk menggambarkan keadaan manusia dengan tuhan. Mungkin kerana beliau terkesan dengan kesusateraan Parsi dan Arab sepanjang perkelanaannya seperti Mantiq al-Thayr (Persidangan Unggas) karya Fariduddīn Attār, ulama sufi terkenal asal Parsi.

Martabat Lima yang dibawa beliau dikatakan hasil pengaruh daripada ajaran Wahdatul Wujūd, suatu konsep yang dibawa Ibn ‘Arabi (1165 – 1240), seorang sufi dan ahli falsafah yang lahir di Andalusia.

Asasnya, konsep Wahdatul Wujūd ini berteraskan kepercayaan bahawa tuhan dan alam berada dalam suatu kesatuan yang tidak terpisah. Juga disebut panteisme.

Setelah Syeikh Hamzah Fansuri, pemahaman Martabat Lima ini dikembangkan lagi oleh murid beliau bernama Syeikh Syamsuddin Pasai atau masyhur dengan nama Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani menjadi Martabat Tujuh. Syamsuddin Pasai pada ketika itu menjawat jawatan mufti dan penasihat agama kepada Sultan. Beliau wafat sebagai syahid dalam sebuah pertempuran menentang Portugis di Melaka.

Oleh kerana pembawaan ajaran ini dilihat oleh Syeikh Nūruddīn ar-Ranīri sebagai menyimpang, beliau yang setelah itu menjawat jawatan kadi di istana mengarahkan agar kesemua karya Hamzah Fansuri dibakar, dan para pengikutnya ditangkap bahkan ada sebahagiannya dibu.nuh.

Syeikh Nuruddin dilihat mendapat pengaruh anti tasawuf mistik daripada gurunya di India. Hal ini dikatakan menjadi faktor kekerasannya menentang Konsep Wahdatul Wujūd.

Walau bagaimanapun, Hamzah Fansuri tidak hanya dilihat sebagai individu yang berperanan menyumbang kepada ilmu agama bahkan juga Kesusateraan Melayu. Syair-syairnya dikatakan menjadi lagu di bibir masyarakat pada ketika itu.

Selain memilih untuk mengekalkan banyak  perkataan-perkataan Arab daripada menterjemahkannya, beliau kerap kali menggunakan perkataan-perkataan yang membawa maksud berganda (double meaning). Dalam Kesusasteraan Arab, ia disebut al-Majāz (at-Tawriah).

Sebagai contoh, salah satu rangkap syairnya yang berbunyi:

Hamzah nin asalnya Fansuri,
Mendapat wujud di Tanah Syahr Nawi,

Menurut sebahagian pengkaji, “mendapat wujud” di sini bukanlah bermaksud mendapat kelahiran, sebaliknya mendapat ajaran Wujúdiyyah yang dipegangnya.

Tidak banyak maklumat tentang diri dan kehidupannya yang sampai kepada kita, namun yang tersisa itu pun sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengaruh beliau dalam pembinaan intelektual dan spiritual masyarakat melalui sastera. Semoga Allah SWT merahmati rohnya.

RUJUKAN:

Zulqarnain Yani (2009). Syair Burung Pingai Karya Hamzah Fansuri (Kajian Analisis Tematik)

Syed Muhammad Naquib al-Attas (1966). The Mysticism of Hamzah Fansuri https://archive.org/details/themysticismofhamzahfansuri/mode/2up

A. Johns (1990). The Poems of Hamzah Fansuri

Abdul Hadi W.M, L.K Ara (1984) Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Fateh bin Abdul Shukor. Pelajar Usuluddin di Universiti Al-Azhar. Mempercayai ilmu sebagai teras tamadun, bahasa dan penulisan sebagai penghubung.

Comments are closed.