Pernah tonton drama Korea yang bertajuk Sungkyunkwan Scandal? Terdapat babak dalam drama berkenaan yang memaparkan peperiksaan perkhidmatan awam Joseon sedang dijalankan. Jika anda peminat siri drama sejarah Korea (sageuk), anda pasti akan mengetahui akan sistem peperiksaan purba yang biasa dipaparkan di dalam drama-drama tersebut. Sistem peperiksaan yang dijalankan bagi memilih para pegawai yang akan berkhidmat dengan pihak kerajaan.

Artikel ini akan menyorot serba sedikit berkaitan dengan sistem peperiksaan perkhidmatan awam dalam dinasti Korea, terutamanya ketika era Dinasti Joseon, kaedah dan jenis-jenis peperiksaan yang dijalankan pada waktu itu. Ia juga akan mengupas bagaimana sistem peperiksaan ini turut mempengaruhi sistem moden yang diamalkan hari ini.

Dinasti Silla Bersatu

Sistem peperiksaan perkhidmatan awam yang pertama, gwageo telah diperkenalkan pada zaman Dinasti Silla Bersatu, iaitu pada sekitar tahun 788 Masehi. Kerajaan Silla secara rasminya telah memperkenalkan sistem peperiksaan perkhidmatan awam negara atas dasar nasihat yang diberikan oleh seorang sarjana bernama Choe Chi Won.

Namun, pada waktu itu, sistem kasta yang berasaskan bone rank system yang diamalkan oleh Silla hanya membenarkan pelantikan jawatan dalam kerajaan berdasarkan kepada asal kelahiran seseorang sahaja. Ini bermakna bagi pegawai yang telah mempunyai pangkat tertentu dalam kerajaan, peluang bagi anak-anak mereka untuk lulus peperiksaan dan mendapat jawatan dalam kerajaan adalah lebih tinggi.

Dinasti Goryeo

Sistem peperiksaan perkhidmatan awam ini semakin berkembang dengan lebih sistematik pada era Dinasti Goryeo. Namun, ia masih laagi terikat dengan peraturan yang berasaskan siapa yang lebih berkuasa dalam kerajaan. Seseorang yang telah mencapai pangkat kelima atau lebih tinggi secara automatiknya boleh meletakkan seorang anak lelakinya dalam mana-mana jawatan atau pangkat.

Sistem peperiksaan ini telah diperkemaskan pada era pemerintahan Gwangjong (Wang So) iaitu raja keempat Goryeo yang berkuasa pada sekitar 949 Masehi hingga 975 Masehi. Ia adalah bertujuan untuk memecahkan pegangan kuasa beberapa buah keluarga dan puak tertentu dalam jawatan kerajaan. Melalui amalan baharu ini, peperiksaan telah berjaya membendung golongan bangasawan daripada memonopoli jawatan dalam kerajaan.

Pada tahun 958, Gwangjong telah memulakan suatu kaedah baharu dalam peperiksaan perkhidmatan awam ini, yang memilih individu berbakat serta bijak, tanpa mengira kedudukan status (kasta) sosial dan asal usul mereka. Melalui sistem yang diperkenalkan oleh Gwangjong ini, mana-mana individu daripada kasta yangin dibenarkan untuk mengambil peperiksaan, namun pihak kerajaan tetap melarang para sami dan keturunannya, penjenayah dan kasta cheonmin (golongan hamba) daripada menduduki peperiksaan ini.

Peperiksaan besar era Goryeo ini menguji pengetahuan calon dalam bidang kesusasteraan, yang dibahagikan kepada dua ujian, iaitu ujian karangan dan ujian pengetahuan klasik. Pihak istana kebiasaannya akan menganjurkan ujian-ujian ini setiap tiga tahun sekali, tetapi peperiksaan juga boleh diadakan mengikut waktu-waktu yang tertentu.

Ujian karangan ini adalah lebih prestij, dan calon-calon yang berjaya akan dibahagikan mengikut tiga gred utama. Manakala bagi ujian pengetahun klasik, calon yang berjaya tidak akan diberikan apa-apa gred. Dalam sejarah Dinasti Goryeo, dianggarkan 6000 orang lelaki telah berjaya lulus dalam ujian karangan dan hanya 450 orang sahaja yang lulus ujian pengetahuan klasik.

Ujian bagi pengetahuan klasik ini yang pada asalnya adalah berdasarkan model peperiksaan Dinasti Yuan China telah disemak semula oleh pihak istana Goryeo pada tahun 1344, iaitu sewaktu pemerintahan Chunghye. Sistem lama ini telah diubah kepada ujian berasaskan interpretasi klasik Neo-Confucian.

Pada zaman pemerintahan Yejong, dan kemudiannya Gongyang (sebelum kejatuhan Dinasti Goryeo), peperiksaan ketenteraan telah diperkenalkan. Pada waktu itu, peperiksaan ketenteraan ini tidaklah memberi apa-apa kelebihan bagi mendapatkan jawatan dalam pasukan tentera. Ia hanyalah sekadar menunjukkan kekuatan kuasa elit tentera yang wujud pada waktu itu.

Pihak istana Goryeo sebenarnya telah menganjurkan peperiksaan dalam banyak bidang, termasuklah Buddhism. Melalui peperiksaan khas Buddhism ini, para sami yang telah lulus akan menerima jawatan istimewa, bermula dengan jawatan-jawatan tertentu. Malah, pihak kerajaan turut mengadakan ujian berasingan untuk dua institusi Buddha utama sewaktu era Goryeo iaitu Seon dan Gyo.

Dinasti Joseon

Beberapa pakar sejarah berpendapat bahawa maklumat sistem peperiksaan perkhidmatan awam (gwageo) dan rekod karier para calon sewaktu era Joseon merupakan data terpanjang yang pernah dicatatkan mengenai sesuatu sistem peperiksaan dalam sesebuah kerajaan.

Gwageo pada zaman Joseon mempunyai kriteria yang sangat ketat. Gwageo era Joseon terbahagi kepada tiga jenis yang utama, iaitu peperiksaan kesusasteraan (mungwa), peperiksaan ketenteraan (mugwa) dan peperiksaan pelbagai (japgwa). Bagi kategori peperiksaan pelbagai, ia merangkumi bidang perubatan, geografi, astronomi dan penterjemahan. Dalam kategori peperiksaan pelbagai ini jugalah pegawai-pegawai pelbagai bidang telah dipilih seperti ahli perubatan istana dan pakar astronomi.

Gwageo ini sebenarnya adalah jalan utama bagi seseorang itu mendapat jawatan yang tinggi dalam kerajaan dan sekaligus menaikkan status mereka. Terdapat beberapa syarat yang dikenakan bagi setiap jenis peperiksaan tersebut. Bagi peperiksaan kesusasteraan, hanya kelas sosial yangban (golongan aristokrat) yang boleh mendudukinya, yang mana golongan inilah yang paling banyak memegang jawatan kerajaan.

Sewaktu peperiksaan kesusasteraan ini dijalankan, calon harus meletakkan nama serta pangkat bagi empat moyang keturunan mereka. Hanya mereka yang mempunyai pangkat tertentu atau yang telah lulus peperiksaan peringkat rendah boleh meneruskan peperiksaan kesusasteraan peringkat lebih tinggi.

Kelas sosial yangban ini sering memandang rendah kepada peperiksaan yang hanya boleh diambil oleh golongan jungin (golongan pertengahan/pekerja teknikal). Syarat yang dikenakan bagi setiap jenis peperiksaan ini semakin ditambah baik sehinggalah pada satu masa, individu daripada kelas sosial paling bawah, iaitu cheonmin (hamba) telah dibenarkan untuk mengambil peperiksaan ketenteraan.

Jenis-jenis peperiksaan

Seperti yang terdapat dalam era Joseon, gwageo ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis peperiksaan yang utama.

  • Peperiksaan kesusasteraan

Peperiksaan ini dibahagikan kepada peringkat rendah dan tinggi. Kebanyakan calon yang menduduki peperiksaan peringkat rendah akan memohon sama ada untuk ‘kelulusan bahagian klasik’ (saengwon) atau ‘kelulusan bahagian sastera’ (jinsa). Selepas lulus di peringkat rendah ini, mereka boleh meneruskan peperiksaan peringkat tinggi.

Dalam peperiksaan peringkat rendah, calon bahagian sastera akan diuji dalam kemahiran mereka untuk mengarang pelbagai jenis puisi China dan prosa. Manakala calon bahagian klasik pula diuji pengetahuan mereka berkaitan interpretasi Neo-Confucian daripada Four Books dan Five Classics.

Pihak istana menganjurkan peperiksaan kesusasteraan peringkat tinggi setiap tiga tahun sekali dan hanya akan memilih 33 orang calon yang berjaya daripada sejumlah 240 orang calon. Pada peringkat tinggi ini, peperiksaan telah dipecahkan kepada tiga bahagian.

Dalam bahagian pertama, calon perlu menunjukkan kefahaman mereka terhadap prinsip Confucian, manakala dalam bahagian kedua, mereka harus menunjukkan kemahiran untuk menghasilkan pelbagai jenis kesusasteraan, dan dalam bahagian akhir, calon perlu menulis suatu esei yang dapat mencerminkan bakat politik mereka.

  • Peperiksaan ketenteraan

Dalam peperiksaan ini, kebiasaannya seramai 190 orang calon akan dipilih pada peringkat pertama, dan hanya 28 akan mara ke peringkat kedua. Daripada jumlah ini, majoriti calon adalah dari ibu kota Joseon sendiri.

Peperiksaan ini menguji calon dalam aspek gabungan ketenteraan dan kesusasteraan. Peringkat pertama ujian akan memberi ujian praktikal untuk calon berkaitan kemahiran ketenteraan. Peringkat kedua pula, bagi calon yang telah berjaya, ujian lisan akan diberikan bagi menguji kemahiran dalam prinsip Confucian dan asas pemikiran klasik bagi ketenteraan. Manakala dalam peringkat ketiga, calon sekali lagi akan diuji dengan kemahiran praktikal ketenteraan bagi penentuan kedudukan calon.

  • Peperiksaan pelbagai

Peperiksaan ini dipecahkan kepada empat bahagian utama, iaitu penterjemahan, perubatan, sains semulajadi (astrologi dan geografi) dan matematik. Pihak kerajaan akan melantik pakar dalam bidang-bidang tersebut bagi menyelia peperiksaan yang dijalankan.

Dalam bahagian penterjemahan, peperiksaan akan meliputi empat bahasa utama yang digunakan oleh istana Joseon, iaitu Cina kontemporari, Mongolia, Jurchen/Manchu dan Jepun. Pejabat penterjemahan yang menguruskan para penterjemah di ibu kota serta bandar-bandar utama akan menyelia peperiksaan ini.

Bagi bahagian perubatan pula, peperiksaan perubatan akan memilih 18 orang calon akhir pada peringkat pertama, dan seterusnya 9 orang akan dipilih pula dalam peringkat kedua. Hanya 9 orang ini sahaja akan memasuki Biro Perubatan, ditempatkan di istana dan dihantar ke mana-mana bahagian daerah yang lain dengan memegang jawatan hyeon.

Calon-calon yang lulus peperiksaan pelbagai ini akan menerima sijil berwarna merah lembayung (crimson), sama seperti calon bagi peperiksaan kesusasteraan. Namun, tekanan daripada pihak yangban telah memaksa pihak kerajaan menukar warna sijil kepada putih, yang menunjukkan pencapaian paling bawah dan pemegang jawatan terendah dalam kerajaan.

Kesan daripada sistem gwageo

Pada tahun-tahun akhir era Joseon, sistem gwageo ini telah dicemari oleh korupsi dan penyelewengan oleh pegawai yang bertugas. Para sarjana yang tidak lulus peperiksaan mula membentuk pakatan terhadap golongan yangban yang tidak terkesan dengan keadaan ini. Malah, semakin ramai sarjana yang mula menjauhkan diri daripada berkhidmat dengan pihak kerajaan. Akhirnya, pada tahun 1894, Raja Gojong telah menghapuskan gwageo bersama dengan diskriminasi kelas dan sistem pangkat yang lama.

Kenapa ramai calon mahu mengikuti gwageo terutamanya ketika era Joseon? Ini adalah kerana keinginan para calon yang ingin meningkatkan taraf sosial mereka di mata masyarakat. Bagi memasuki biro perkhidmatan awam, tiga saluran utama akan dibuka kepada para calon.

Yang pertama, adalah melalui kedudukan istimewa yang diperoleh daripada pegawai tertentu yang dibenarkan untuk mencalonkan individu yang disukai. Dan saluran kedua adalah pelantikan melalui saranan, yang dikenali sebagai ch’on’go, yang mana individu yang disyorkan itu akan dilantik memegang jawatan setelah mesyuarat dijalankan.

Manakala saluran ketiga adalah dengan lulus peperiksaan perkhidmatan awam. Oleh itu, lulus dalam peperiksaan ini adalah sangat penting bagi sesetengah individu yang mempunyai cita-cita serta berbakat besar bagi memegang jawatan penting dalam istana. Hanya melalui kelulusan yang diperoleh ini sahaja mereka akan mendapat perlindungan dan seterusnya meningkatkan taraf sosial mereka.

Sehingga ke hari ini, sistem peperiksaan peperiksaan perkhidmatan awam ini masih diamalkan di Korea Selatan, bersama dengan peperiksaan kemasukan di universiti bagi pelajar sekolah tinggi yang telah menamatkan pengajian mereka.

RUJUKAN:

Ch’oe, Y.-H. (1974). Commoners in Early Yi Dynasty Civil Examinations: An Aspect of Korean Social Structure, 1392-1600. The Journal of Asian Studies, 33(4), 611–631.

Jeong, M.-R., & Lee, W. (2018). Korean Education: Educational Thought, Systems and Content. Gyeonggi-do, South Korea.

Sok, C. H., Paik, C., & Yun, Y. (2019). Family Matters in a Meritocracy: Networks, Civil Service Exams, and Officialdom in the Joseon Dynasty.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.