Gurauan Tak Kena Tempat

702

Pernahkah anda melihat atau mengalami sendiri satu gurauan yang sering dilakukan sewaktu di bangku sekolah rendah lagi. Gurauan berupa menarik kerusi ke belakang saat kawan kita baru nak duduk, dan akhirnya dia terjatuh dalam posisi terduduk pasti akan digelakkan dengan orang ramai kerana dianggap lucu dan kelakar.

Malangnya, ada sesetengah individu pula mulai bergurau cara sedemikian yang dipaparkan di laman web seperti Youtube, di mana yang menjadi mangsa adalah orang dewasa tidak kira lelaki atau perempuan. Apa yang saya nak perkatakan di sini adalah mengenai perbuatan gurauan ini yang teramat bahaya sebenarnya. Biar saya kupaskan sedikit mengenai kesan terhadap tulang belakang seseorang itu apabila dia jatuh dalam keadaan terduduk.

Sebelum itu, mari kita lihat anatomi tulang belakang secara asas. Gambar di atas menunjukkan salah satu tulang belakang kita yang dipanggil sebagai lumbar vertebra, iaitu tulang yang paling tinggi risikonya untuk mengalami kepatahan jenis mampatan, atau lebih mudah kita panggil sebagai compression fracture. Okay, daripada gambar di atas, anda boleh nampak dengan jelas satu lubang di antara vertebral body, pedicle dan lamina, yang mana struktur ini dinamakan sebagai vertebral foramen.

Secara asasnya, itulah tempatnya di mana saraf tunjang kita berada. Berdasarkan gambar di atas ini pula, anda akan dapat lihat laluan spinal nerve yang keluar di kedua-dua sisi tulang belakang kita yang berasal daripada spinal cord (saraf tunjang).

Perlu anda ketahui bahawa saraf-saraf ini membawa pelbagai isyarat pergi dan balik daripada otak kita. Satu, impuls yang mengalir daripada otak akan bergerak melalui saraf tunjang kita, dan kemudiannya melalui spinal nerve kita dan akhirnya akan berhenti di mana-mana otot untuk pergerakkan (motor function) dan ada juga impuls yang berasal daripada kulit kita (contohnya) bergerak ke arah spinal nerve, saraf tunjang dan akhirnya otak (sensory function). Secara tidak langsung, kita akan dapati betapa pentingnya saraf tunjang dan spinal nerve kita dalam pergerakkan, deria rasa dan lain-lain.

Jadi, berbalik kepada gurauan menarik kerusi dan menyebabkan mangsa jatuh terduduk, akan ada kebarangkalian yang tinggi untuk bahagian vertebra kita, iaitu vertebral body atau disc akan mengalami compression fracture kerana daya hentakan akan bergerak di sepanjang tulang belakang kita.

Masalah muncul apabila compression fracture dan burst fracture ini yang menyebabkan serpihan tulang mula menghimpit saraf tunjang ataupun spinal nerve. Tambahan, adakalanya disc seseorang itu boleh pecah, dan mulai menghimpit spinal nerve juga, yang selalu kita gelar prolapse intervertebral disc atau PID. Trauma jatuh terduduk ini boleh dikatakan sebagai salah satu penyebab PID yang kita ketahui,

Sudah tentu, kepatahan sebegini boleh berlaku kepada beberapa golongan yang berisiko tinggi seperti osteoporosis, kanser tulang mahupun jangkitan kepada tulang, tapi anda kena ingat, kesan sama ada patah atau tidak bergantung kepada daya hentakan apabila seseorang itu jatuh.

Ini kerana saya sendiri mempunyai pengalaman menguruskan seorang pesakit yang berumur 10 tahun yang jatuh akibat gurauan sebegini, yang mana akhirnya memerlukan pembedahan serta fisioterapi memandangkan kedua-dua belah kakinya lumpuh. Walhal, kita semua tahu dan belajar bahawa tulang serta lapisan rawan untuk budak-budak sebenarnya lebih kenyal dan lebih kuat menghadapi apa-apa trauma dan hentakan, tetapi hal ini masih lagi boleh terjadi.

Ada pula kes di mana seseorang itu yang mengalami masalah obesiti, di mana kerusi yang dia duduki tak semena-mena pecah akibat berat badannya yang mencapai 130 kilogram, dan apabila kerusi tersebut pecah, dia terjatuh dan terhentak pada lantai, menyebabkan compression fracture serta tidak boleh berjalan akibat kelumpuhan kedua-dua belah kakinya. Tragedi yang tragis ini bertukar parah apabila pesakit itu maut akibat terkena jangkitan kuman di belakangnya yang bernama pressure sore (ulser tekanan) kerana dia hilang upaya untuk bergerak, dan hanya terperuk di atas katil sahaja.

Kini, tular di laman web mengenai video yang dikatakan prank ini yang mendapat perkongsian serta jumlah tontonan berjuta-juta. Masyarakat sering bergelak tawa saat menonton video-video sebegini, yang walhal, kesan daripada kejatuhan sebegitu boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh seumur hidup. Perlakuan sebegini jika anda terlihat di laman-laman web yang menyiarkan video sebegini, terutamanya di Malaysia, saya amat menggesa kepada anda semua untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ini bukan satu gurauan lawak bodoh yang disukai ramai, sebaliknya, gurauan-gurauan bodoh sebegini hanya akan menyebabkan peningkatan dalam jumlah pesakit yang memerlukan rawatan pembedahan tulang belakang, yang mana memakan masa, kos dan menyusahkan pelbagai jenis pihak. Tambahan, kita sebagai rakyat Malaysia tahu di negara kita ini, hanya ada beberapa orang sahaja pakar bedah yang mempunyai kepakaran dalam pembedahan yang melibatkan tulang belakang.

RUJUKAN:

Epidemiology of vertebral fractures in pediatric and adolescent patients. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5907726/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.