Guna Durian Untuk Caj Telefon Anda?

456

Buah-buahan tempatan seperti durian dan belimbing boleh menjadi bahan utama yang mengubah cara manusia mengecas telefon pintar atau kereta pintar pada masa akan datang.

Sekumpulan saintis diketuai Vincent G. Gomes dari Universiti Sydney, Australia mendedahkan mereka telah menemui cara mengubah teras durian dan belimbing sebagai kapasitor super elektrokimia berprestasi tinggi. Ia boleh diaplikasikan dalam banyak perkara termasuk bateri untuk peralatan elektronik dan pengangkutan.

Kapasitor super mempunyai beberapa kelebihan berbanding bateri litium biasa. Pertama, ia boleh dicas dalam tempoh masa yang cepat. Kedua, pengecasan hanya memberi sedikit kesan kepada kapasitor sekaligus ia boleh dicas berkali-kali.

Bagaimanapun, ia tidaklah diguna secara meluas berbanding bateri litium kerana kapasitor ini mengandungi ketumpatan elektrik yang rendah dan amat mahal dari segi kos. Misalnya, kos menyalut elektrod-elektrod pada kapasitor super menggunakan campuran karbon-graphene berjumlah RM400 hingga RM500 per gram.

Mereka menerangkan teras buah-buahan ini diproses hingga menjadi bahan aerogel yang amat ringan dan poros berwarna hitam. Proses ini diterangkan dalam satu kertas kajian yang diterbitkan Journal Of Energy Storage pada Februari lepas.

Promosi Buku DTT

Berdasarkan pemerhatian mereka, elektrod-elektrod berasaskan bahan aerogel ini mempunyai kapasiti tenaga jauh lebih tinggi berbanding elektrod-elektrod berasaskan bahan karbon.

Dengan menggunakan bahan buangan bio sebagai bahan kapasitor super, ia bukan saja murah malah mempunyai prestasi tenaga yang tinggi. Di samping itu, ia juga dapat mengurangkan pembaziran dan pencemaran alam sekitar.

RUJUKAN:

Yeoh, Angelin. (2020). Scientists in Australia say durian has potential to charge devices in the future. The Star. https://www.thestar.com.my/tech/tech-news/2020/03/04/scientists-in-australia-say-durian-has-potential-to-charge-devices-in-the-future

Ruangan komen telah ditutup.