Grigori Perelman : Genius Yang Menolak AS$ 1 Juta

0
662
views

Sekiranya anda berjaya menyelesaikan masalah matematik yang sangat rumit, apakah yang anda lakukan? (a) Terima semua penghargaan dan wang tunai yang dihadiahkan kepada anda atau (b) Tolak semua penghargaan dan wang tunai yang dihadiahkan kepada anda dan letak jawatan sebagai seorang penyelidik. Sebagai manusia yang normal, sudah tentu kita akan memilih (a) kerana kita inginkan penghargaan di atas segala pengorbanan dan jasa yang telah kita lakukan. Namun begitu, sebaliknya berlaku kepada seorang insan istimewa yang bernama Grigori Perelman. Grigori Perelman, seorang pakar matematik dari Russia menjadi terkenal kerana tindakannya yang menolak semua penghargaan dan wang tunai yang dihadiahkan kepada dirinya.

Grigori Yakovlevich Perelman dilahirkan di Leningrad, Kesatuan Soviet (kini Saint Petersburg, Russia) pada 13 Jun 1966. Kedua–dua ibubapanya merupakan keturunan Yahudi. Beliau tinggal bersama ibu dan adik perempuannya setelah ayahnya berpindah ke Israel. Beliau mula menunjukkan bakatnya dalam bidang matematik semenjak berusia 10 tahun semasa menyertai pertandingan matematik peringkat daerah. Pada tahun 1982, Perelman terpilih untuk menyertai pasukan Olimpiad Kesatuan Soviet yang bertanding di pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa. Beliau berjaya mendapat markah penuh lalu memenangi pingat emas dalam pertandingan tersebut. Malah, beliau turut menerima anugerah khas atas kebijaksanaan beliau menyelesaikan masalah matematik tanpa sebarang kesalahan. Perelman juga diterima masuk ke Universiti Negeri Leningrad kerana mewakili Kesatuan Soviet ke pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa.

Pada tahun 2000, Institut Matematik Clay (CMI) telah menyenaraikan tujuh masalah matematik yang dikenali sebagai Masalah Hadiah Milineum dan Tekaan Poincare merupakan antara masalah yang disenaraikan. CMI menawarkan pingat dan wang tunai AS$ 1 Juta kepada sesiapa yang dapat menyelesaikan salah satu daripada Masalah Hadiah Milineum.

Grigori Perelman mengejutkan dunia matematik pada tahun 2002 setelah beliau menerbitkan 3 kertas kajian melalui laman web ArXiV. Kertas-kertas kajian tersebut mengandungi penyelesaian kepada masalah matematik yang sangat rumit yang dikenali sebagai Tekaan Poincare (Poincare Conjecture). Ia merupakan salah satu masalah yang paling utama dalam bidang Topologi dan telah membingungkan pakar-pakar matematik sejak dicadangkan oleh Henri Poincare pada tahun 1904.

Perelman berjaya membuktikan bahawa sebarang bentuk yang tidak memiliki lubang boleh diunjur atau dikecilkan menjadi satu sfera (Every simply connected, closed 3-manifold is homeomorphic to the 3-sphere) dengan menggunakan “Ricci flow”, teknik yang digunakan dalam Geometri Pembezaan (Differential Geometry). Setelah kertas kajian Perelman tersebar di Internet, pakar-pakar matematik di seluruh dunia mula menyemak penyelesaian beliau bagi memastikan dakwaan Perelman adalah tepat. Sebelum Perelman, ramai ahli matematik profesional dan amatur yang mendakwa telah berjaya menyelesaikan Tekaan Poincare namun penyelesaian mereka sebenarnya tidak tepat.

Pada tahun 2006, seramai 9 ahli matematik telah mencadangkan nama Perelman untuk Pingat Fields (Fields Medal) atas jasanya yang menyelesaikan Tekaan Poincare. Pingat Fields merupakan anugerah tertinggi dalam matematik yang diberikan kepada ahli matematik yang memberikan sumbangan besar dalam bidang matematik. Pingat Fields merupakan anugerah yang setaraf dengan Hadiah Nobel.

Namun begitu, Perelman memilih untuk menolak daripada menerima hadiah tersebut. Presiden Kesatuan Matematik Antarabangsa, Sir John Ball pergi ke Saint Petersburg untuk bertemu dengan Perelman. Beliau cuba memujuk Perelman untuk menerima anugerah tersebut. Beliau dikatakan cuba memujuk Perelman selama 10 jam namun Perelman tetap berkeras untuk menolak daripada menerima anugerah tersebut lalu Sir John  Ball pulang dengan penuh kehampaan.

Setelah beberapa minggu, Perelman menceritakan kembali tawaran yang dibuat oleh Sir John Ball, “Pertama, datang dan terima anugerah tersebut. Kedua, terima tanpa perlu datang. Ketiga, tidak perlu terima.” Perelman menyatakan bahawa awal-awal lagi beliau sudah memilih pilihan ketiga. Bagi Perelman, menyelesaikan Tekaan Poincare merupakan anugerah terbesar, tiada anugerah lain yang dapat memberikan kepuasan kepada dirinya. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak berminat dengan sebarang anugerah, duit mahupun kemasyhuran. Hal ini kerana beliau tidak ingin dipaparkan seperti binatang yang berada di dalam zoo.

Akhirnya, pada 18 March 2010, setelah berpuas hati dengan penyelesaian Perelman, pihak CMI bersetuju untuk menganugerahkan Hadiah Milenium dan wang tunai AS$1 Juta kepada Grigori Perelman. Namun begitu, beliau mengejutkan ramai pihak apabila menolak hadiah yang diberikan oleh CMI! Beliau berasakan keputusan CMI tidak adil kerana hadiah wang tunai tersebut sepatutnya dikongsi bersama Richard Hamilton, individu yang bertanggungjawab mencipta “Ricci flow”. Beliau menyatakan pencapaian Richard Hamilton setanding dengan beliau kerana telah mencipta teknik yang membolehkan dirinya menyelesaikan Tekaan Poincare. Setelah Perelman menolak hadiah wang tunai tersebut, pihak CMI menggunakan wang tersebut untuk tujuan penyelidikan matematik.

Perelman dikatakan telah meninggalkan dunia matematik selepas meletakkan jawatan sebagai penyelidik di Institut Steklov. Beliau enggan ditemu bual oleh pihak media malah beliau dikatakan tidak memotong kuku dan rambut kerana ingin menjauhkan dirinya daripada orang ramai. Walaupun berjaya menyelesaikan salah satu daripada masalah matematik yang paling rumit, beliau tetap tinggal bersama ibu dan adiknya di sebuah apartmen kecil. Terdapat beberapa dakwaan menyatakan bahawa Perelman menjauhkan dirinya daripada orang ramai kerana beliau sedang cuba menyelesaikan masalah – masalah matematik yang lain. Mungkin pada satu hari nanti, Perelman bakal mengejutkan dunia kembali dengan penyelesaiannya.

Sebagai penutup, kita dapat simpulkan bahawa ahli matematik sebenarnya bekerja dengan bertungkus lumus bukan untuk wang mahupun kemasyhuran tetapi sebenarnya mereka inginkan kepuasan dalam bidang yang mereka cintai. Menyelesaikan suatu masalah matematik dapat memberikan kepuasan yang tidak ternilai walaupun masalah tersebut hanyalah latihan dalam tutorial!

Rujukan :

http://wwkosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

https://www.theguardian.com/world/2010/mar/23/grigory-perelman-rejects-1m-dollars

http://www-history.mcs.st-andrews.ac.uk/Biographies/Perelman.html

https://www.telegraph.co.uk/culture/9475585/Searching-for-Grigori-Perelman-Russias-reclusive-maths-genius.html

Artikel ditulis oleh Addeen untuk The Patriots.