Griffin – Makhluk Legenda Mitologi Yunani

345

Griffin merupakan suatu makhluk legenda berkepala dan bersayap helang, dan bertubuh, berekor serta berkaki-belakang singa. Memandangkan helang lazim dianggap sebagai ‘raja segala burung’ sementara singa pula didendangkan sebagai ‘raja segala haiwan’, maka griffin dianggap sebagai suatu makhluk yang amat berkuasa dan memiliki kemegahan tersendiri. Pada zaman kepenguasaan Empayar Parsi, griffin dilihat sebagai makhluk pelindung dari kejahatan, kerja-kerja sihir dan hasad fitnah.

Walaupun griffin sering dilihat pada jata-jata di zaman pertengahan, pada hakikatnya asal-usul makhluk ini boleh dijejak pada rentang masa yang jauh lebih lama. Sebagai contoh, sejarahwan masyhur dari Yunani yang bernama Herodotus pernah menulis:

“Namun di utara Eropah, terdapat wilayah yang penuh dengan emas. Dalam hal ini, sekali lagi saya tidak mampu berkata dengan pasti bagaimana emas tersebut dihasilkan. Namun, dikatakan bahawa lelaki bermata-satu iaitu Arimaspians mencuri (emas itu) daripada sejumlah griffin. Apapun, saya tidak mempercayai hal ini; iaitu terdapat seorang lelaki bermata-satu yang memiliki sifat dan ciri yang bersalahan dengan manusia lain. Akan tetapi, wilayah-wilayah jauh itu apabila ia meliputi kawasan-kawasan lain secara menyeluruh, cenderung bahawa ia memiliki barangan yang kita anggap sebagai barangan terbaik dan langka.” (Herodotus, The Histories. 3.116)

Walaupun makhluk griffin ini paling lazim ditemui di dalam kesenian dan mitologi Yunani purba, terdapat juga bukti gambaran griffin dalam kebudayaan purba Parsi dan Mesir yang ianya dipercayai berusia seawal milenia ke-4 Sebelum Masehi. Di Pulau Crete, Greece, para arkeologis pernah menemukan gambaran griffin pada lukisan-lukisan dinding di ‘Ruangan Singgahsana’ Istana Knossos di Zaman Gangsa, sekitar abad ke-15SM.

Lukisan dinding di ‘Ruang Singgahsana’, Istana Knossos, Crete

Lebih menarik, terdapat juga pelbagai makhluk hibrid (kacukan) lain yang mirip griffin. Misalnya, Lamassu adalah makhluk mitos bagi masyarakat Assyria yang berkepala manusia, berbadan singa ataupun kerbau, dan bersayap helang.

Lamassu, kerbau bersayap dan berkepala manusia. University of Chicago Oriental Institute. Zaman Neo-Assyria, sekitar 721-705SM

Lebih jauh ke timur, makhluk separuh-manusia dan separuh-burung yang dikenali sebagai Garuda hadir sebagai tunggangan kepada Dewa Vishnu dalam kepercayaan Hindu. Berkemungkinan, daya tarikan yang wujud dalam makhluk-makhluk hibrid sebegini adalah kerana ia membenarkan manusia menggabungkan sifat-sifat terbaik dari pelbagai makhluk ke dalam satu makhluk ulung sekaligus membenarkan simbolisme yang memikul maksud yang agak mendalam dilekatkan pada sosok makhluk tersebut.

Dewa Vishnu bersama Garuda, dalam kepercayaan Hindu

Hal sebegini mungkin turut berlaku pada griffin di Zaman Pertengahan. Dalam legenda masyarakat Eropah pada zaman ini, dipercayai bahawa griffin bersenyawa untuk melangsungkan zuriat. Apabila salah satu daripada mereka mati, maka yang lain akan meneruskan hidup tanpa mencari pasangan yang baru. Hal ini membawa kepada dakwaan bahawa griffin digunakan oleh pihak Gereja sebagai simbol penentangan terhadap budaya perkahwinan-semula. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan secara jelas adakah hal ini merupakan kepercayaan yang sebenar, ataupun hanya sekadar pemahaman di zaman moden.

Walaupun makhluk griffin ini mungkin hanya dilihat sebagai makhluk yang lahir daripada imaginasi manusia, terdapat juga kemungkinan wujudnya kebenaran di sebalik makhluk ini. Terdapat satu teori yang berpendapat bahawa griffin dibawa masuk ke Eropah oleh para pedagang yang melalui Laluan Sutera, dari Gurun Gobi di Mongolia. Di gurun ini, fosil-fosil dinosaur Protoceratops ditemui. Memandangkan tulang-temulang makhluk ini, terutama tengkoraknya memiliki paruh seperti burung, maka orang-orang yang menyaksikannya di zaman purba berkemungkinan menafsirkan temulang tersebut sebagai bukti bahawa makhluk hibrid kononnya memang pernah hidup di gurun.

Walau bagaimanapun, sejarahwan mendapati bahawa kisah berkenaan griffin telah pun wujud sejak sebelum Laluan Sutera ditemui lagi. Mungkin, hal yang sebaliknya yang berlaku – di mana kisah griffin inilah yang membuatkan para pedagang menafsirkan fosil Protoceratops sebagai suatu makhluk legenda.

Walau apapun asal-usulnya, griffin tetap merupakan sebahagian daripada kebudayaan manusia buat tempoh masa yang sangat lama dan ianya kekal sehingga ke hari ini sebagaimana yang dapat dilihat menerusi logo sekolah, mascot dan bahkan literasi masyhur. Griffin khususnya dan makhluk-makhluk hibrid daripada mitos lain umumnya kelihatan akan terus hidup buat jangka waktu yang cukup lama, diwarisi dari generasi ke generasi.

SUMBER:

Wu Mingren. (27 Mei 2014). The ancient origins of the legendary griffin. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/ancient-origins-legendary-griffin-001693

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.