Gorila Pun Dijangkiti Covid-19

234

Pra-tempah hanya di Shopee

Pada tahun lepas, dunia dikejutkan dengan beberapa kes jangkitan Covid-19 membabitkan haiwan-haiwan zoo di Amerika Syarikat. Antara spesies haiwan yang terkesan ialah spesies kucing besar seperti harimau Malaya dan harimau kumbang salji. Tetapi pada tahun ini, spesies haiwan lain pula yang terkesan iaitu gorila.

Kes jangkitan Covid-19 membabitkan beberapa ekor gorila dilaporkan taman safari zoo San Diego, California pada Isnin lepas. Mengikut laporan pihak zoo, lapan ekor gorila dijangkiti dengan sesetengah daripadanya menunjukkan simptom. Perkara ini turut disahkan Gabenor California, Gavin Newsom dalam sidang media harian Covid-19nya.

Haiwan ini dikatakan mendapat jangkitan Covid-19 daripada seorang ahli pasukan penjaga hidupan liar taman. Ahli tersebut turut disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan tetapi tidak menunjukkan simptom. Pengesahan ujian Covid-19 gorila-gorila ini dibuat dengan menguji sampel najis mereka dan pihak zoo tidak menolak kemungkinan gorila-gorila lain dijangkiti.

Ketika ini, semua gorila ditempatkan dalam habitat mereka di taman yang terletak di utara San Diego itu dan dipantau oleh pasukan veterinar bertugas. Pasukan ini turut bekerjasama dengan pakar-pakar perubatan sekiranya keadaan gorila yang dijangkiti semakin serius.

Isu jangkitan antara spesies merupakan antara isu jangkitan Covid-19 yang menjadi tumpuan para saintis. Malah, ramai pakar termasuk Pusat Kawalan Peny-akit (CDC) Amerika Syarikat tidak menolak punca sebenar jangkitan koronavirus datangnya dari seekor kelawar. Bagaimanapun, tidak diketahui spesies haiwan mana yang terkesan dengan beberapa haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing jatuh sakit di beberapa negara termasuk AS.

Bagi gorila-gorila ini, pakar-pakar veterinar akan memantau tingkah laku mereka sambil memastikan mereka mendapat vitamin, cecair dan makanan yang mencukupi. Begitupun, tiada rawatan Covid-19 yang spesifik diberikan. Menurut pengarah eksekutif zoo, Lisa Peterson, haiwan liar seperti gorila amat berdaya tahan dengan penyakit dan mempunyai kadar pemulihan berbeza berbanding manusia.

RUJUKAN:

Ho, V. (2021). Gorillas at San Diego Zoo test positive for Covid in apparent first. The Guardian.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.