Golongan Putih: Boikot Pilihanraya

53

Bergegar sebentar pentas politik Malaysia apabila sebilangan rakyat Malaysia dengan suara lantang bersuara enggan mengudi dalam PRU akan datang. Pelbagai nama diberikan, dengan tanda pagar #BoikotPRU memenuhi media sosial. Belum ada yang mampu memberi nama yang ‘catchy’ terhadap gerakan ini. Namun sejarah telah membuktikan bahawa dari sudut peminjaman kosa kata politik – kita banyak meminjam atau menyadur perkataan Indonesia: dari status ‘marhaen’ yang dipopularkan Bung Karno hinggalah teriakan Reformasi di era kejatuhan Suharto. ‘Gerakan Selamatkan Negara Kesatuan Indonesia’ juga mempunyai nisbatnya dalam politik Malaysia. Kali ini rasanya, kita bakal meminjam kosa kata politik yang baru: Golongan Putih, atau ringkasannya Golput.

Gerakan Golput ini dimulakan oleh sekelompok aktivis pada zaman awal pemerintahan Suharto. Antara ketua awalnya adalah Arif Budiman (nama Tionghuanya Soe Hok Djin), aktivis demokrasi Indonesia. Gerakan ini dilahirkan pada tanggal 3 Jun 1971 melalui Proklamasi Golongan Putih di Gedung Balai Budaya Jakarta. Antara tokoh-tokoh aktivis Indonesia yang hadir memberikan sokongan penuh adalah Imam Waluyo, Julius Usman dan Husin Umar. Berbeza dengan sesetengah deklarasi politik, deklarasi kali ini bukan bertujuan untuk mengambil tampuk pemerintahan tetapi sebagai deklarasi moral oleh aktivis demokrasi yang tidak mewakili mana-mana parti.  Bantahan mereka pada ketika itu adalah kerana kesemua calon yang dikemukakan untuk pilihan rakyat adalah berkait dengan Presiden Suharto pada era Orde Baru.

Dalam era selepas Orde Baru, iaitu selepas kejatuhan Suharto, gerakan Golput tetap wujud dan terus memberi tekanan yang tinggi kepada parti-parti yang bertanding supaya mengikut citarasa mereka. Dalam erti kata yang lain – mereka inginkan parti atau calon yang benar-benar mewakili benak hati mereka dan bukan sekadar politikus yang mengambil kesempatan atas kelemahan parti lawan. Sebagai contoh, sekiranya penyokong falsafah Parti Golkar diberi pilihan antara calon mereka yang korup dan calon Partai Bulan Bintang (memang betul nama parti dia macam ni) yang Islamis – pilihan yang dilihat mampu memberikan ‘tamparan jelas’ kepada parti-parti yang bertanding adalah dengan tidak turun mengundi atau memulangkan kertas undi kosong. Bagi mereka, ini merupakan pendirian yang berprinsip – walaupun ‘outcome’ kelak mungkin serupa sekiranya mereka mengundi Parti Bulan Bintang.  Kerana itulah Golput sering dilihat sebagai gerakan moral yang menghambat mana-mana pihak yang korup – sepertimana slogan mereka “Tidak Memilih Hak Saudara” dan “Golongan Putih Penonton Yang Baik”.

Kejayaan Golput

Walaupun di Malaysia gerakan Golput dimomokkan dengan alasan ‘kau tak ada hak untuk mengadu kalau tak mengundi’, gerakan Golput sebenarnya telah menunjukkan hasil di Indonesia. Contoh yang paling terang dan mantap adalah semasa Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2014 di Kota Bekasi, Jawa. Di sana, Cuma 48.8 pengundi yang aktif atau turun padang semasa Pilkada tahun itu, manakala kebanyakan yang lain menyertai Golput. Ini kerana kedua-dua calon yang dikemukakan dilihat oleh para pengundi sebagai lemah, dengan kedua-dua parti mengambil kesempatan atas isu remeh dan tidak berkait. Hasil daripada situasi tersebut, parti-parti politik yang terbabit menjadi semakin gigih memperincikan strategi dan memaksa mereka memahami detik nadi rakyat.

Situasi ini turut kelihatan, walau kurang jelas di seantero Indonesia – dengan bilangan pengundi berdaftar yang turun mengundi semakin berkurang saban tahun. Golput menjadi satu gerakan yang memaksa parti-parti politik di Indonesia untuk benar-benar menjiwai denyut nadi rakyatnya, dan bukan sekadar ‘undi parti B sebab benci parti A’, ataupun ‘asalkan bukan parti A’. Bagaimana harus pengundi mengundi Parti B yang tidak menggambarkan aspirasi mereka hanya kerana Parti A menonjolkan calon yang lemah? Begitulah lebih kurang tunjang utama pemahaman Golput. Bahkan parti-parti politik juga semakin gusar dengan Golput. Partai Keadilan Sejahtera (PKS) turut menyatakan perasaan takut mereka terhadap Golput melalui Ketua Majlis Syuro, Hidayat Nur Wahid. Nyata di sini segala persiapan telah dilakukan bagi memastikan calon dan parti mereka benar-benar memahani nadi rakyat.

Antara teras golongan putih adalah menggariskan bahawa ‘demokrasi adalah sistem yang berlandaskan nilai hak dan kebebasan manusia’. Ini termasuk kebebasan untuk tidak memilih, dan bukan dipaksa pilih. Apakah pilihan yang dilihat realistik oleh pihak Golput? Memperkasakan NGO yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik selaku ‘check and balance’ kepada seluruh sistem.

Walaupun ada yang membangkang gerakan Golput, gerakan ini kekal menjadi salah satu mercu utama politik Indonesia. Dan sepertimana laungan reformasi dan teriakan marhaen menjadi sebahagian wacana daulah serumpunnya, begitu jualah Golput yang kini tiba di arena politik tempatan.

Sumber:

  1. Deklarai Selamatkan Negara Kesatuan Republik Indonesia – http://www.repelita.com/deklarasi-gerakan-selamatkan-negara-kesatuan-republik-indonesia/
  2. Journalism and Politics in Indonesia: A Critical Biography of Mochtar Lubis (1922-2014) as editor and author oleh David T. Hill
  3. Pemuda Rising – Why Indonesia Should Pay Attention to Its Youth (RSIS Monograph No. 29) oleh Leonard C. Sebastian, Jonathan Chenda dan Emirza Adi Syailendra
  4. The Politics of NGOs in Indonesia: Developing Democracy and Managing a Movement oleh Bob S. Hadiwinata
  5. https://www.merdeka.com/politik/pks-takut-golput-menang-di-pemilu-2019-jika-pakai-ambang-batas-capres-20-persen.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.