Golongan Anti-Monarki Pelik Kenapa Orang Melayu Pertahankan Monarki

3,387

Pernahkah golongan anti-raja terfikir kenapa institusi diraja di Malaysia mampu bertahan sampai ke era kereta terbang sekarang? Kenapa orang Melayu masih sayangkan rajanya? Adakah majoriti orang Melayu terkena sihir penunduk? Kenapa cita-cita golongan anti-raja yang mahu wujudkan republik tanpa raja untuk Malaysia moden boleh dikatakan impian yang sangat mustahil?

Jawapan asasnya, majoriti orang Melayu tak ada masalah pun dengan institusi diraja berdasarkan pengalaman dan sejarah lampau mereka sendiri.

Macam kita tahu, Kerajaan Melayu terdiri daripada banyak negeri dan setiap negeri dikuasai sultan masing-masing. Dalam konteks Malaysia moden, kita ada sultan dan raja untuk 9 negeri (Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan). Lama sebelum merdeka, Melaka pun bersultan. Johor ada Singapura dan Riau. Kedah ada Pulau Pinang dan Perlis, termasuk Setul/Satun (sekarang bawah Thai).

Maknanya kalau tak ada konsep ‘Persekutuan Tanah Melayu’ yang kemudian membentuk Malaysia, memang setiap negeri Melayu berpeluang membentuk negara merdeka. Contoh paling mudah yang kita tahu ialah Brunei.

Kau bayangkanlah kalau betul setiap negeri Melayu jadi negara merdeka bawah PBB, kita mungkin ada konsep perdagangan, sistem matawang sama dan rentas negara macam Kesatuan Eropah (EU). Sekarang kau bayangkan negara-negara Melayu tu sebagai ‘Kesatuan Nusantara’ (Ketara). Dan tak mustahil ada krisis ‘Brexit’ yang buatkan salah satu negara Melayu (contoh: Johor) lancarkan ‘Joxit’. Contoh je ni.

Berbalik kepada sejarah lampau, selepas runtuh empayar Melayu Srivijaya sekitar abad ke-13, tak ada lagi konsep persekutuan atau federasi negeri Melayu di bawah pemerintahan emperor atau raja tunggal macam dinasti-dinasti China, India dan Timur Tengah.

Ini membuatkan pengalaman bersultan orang Melayu setiap negeri terpecah, tak sama. Jadi tak berlaku penolakan rakyat secara total atas sesuatu krisis negeri yang boleh menyebabkan institusi diraja tumbang atau mengalami defisit kepercayaan.

Atau lebih jelas lagi, orang Melayu tak ada (atau lebih tepat, tak sempat) melalui fasa pemerintahan sengsara seperti di bawah rejim raja-raja barbarian dunia macam Caligula, firaun-firaun Mesir, maharaja China dan India. Atau raja-raja Eropah masa zaman gelap dulu.

Kalau diperincikan lagi makna ‘tak sempat’ tu, negeri Melayu tak sempat berada dalam period zaman keemasan yang lama (selepas Srivijaya) hingga mencapai tempoh sekurang-kurangnya 500 tahun ke atas yang boleh dikaitkan sebagai punca kepada korupsi, kejahatan, dan keruntuhan moral sesebuah pemerintahan/dinasti.

Pasca Srivijaya (selepas abad ke-13), negeri-negeri Melayu cuma mampu bertenang dan selesa lebih kurang 200 tahun saja sebelum mula menerima gelombang penjajahan Barat 1.0 sekitar abad ke-15 dan 16 untuk ‘Perang Rempah dan Agama’. Apabila masuk abad ke-17 dan 18, masuk pula gelombang penjajah Barat 2.0 untuk ‘Perang Revolusi Industri’ sebelum Jepun pula join sekali untuk abad ke-19.

Memang kita ada cerita raja-raja Melayu negeri tertentu yang bersekongkol dengan penjajah, dan asyik berbalah berebut kuasa, tapi kita pun ada cerita raja Melayu yang turun berperang, dan berunding nak lawan penjajah. Contohnya, Sultan Kedah pada 1786 punya habis ikhtiar nak selamatkan negeri sampai sanggup pajakkan Pulau Pinang untuk minta bantuan Inggeris.

Ini bukan pajak nak buat istana ke apa, atau nak travel pi Korea, tapi nak mintak bantuan perang untuk selamatkan negeri. Dan Sultan dan rakyat Kedah sendiri turun sama berperang untuk tuntut balik Pulau Pinang, tapi kalah dan hilang pula Seberang Perai.

Masuk abad ke-18, kena pula bala dari Siam. Yang turun berlawan tu pun orang istana juga, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad yang masing-masing lancar dua kempen perang skala besar untuk tahun berbeza. Kedua-duanya berakhir dengan Kedah kalah.

Kalau diimbau pula 87 tahun ke belakang jauh ke negeri selatan. Berlaku peristiwa Megat Seri Rama menikam Sultan Mahmud (Mangkat Dijulang) untuk menuntut bela kematian isterinya Dang Anum yang dibelah perut. Tapi fasa zalim Sultan Mahmud pun tidak panjang.

Baginda memerintah pun 14 tahun saja seawal usia 10 tahun (lebih kurang 3 penggal kalau ikut sistem politik hari ini). Dan kalau dikira tahap kematangan usia, bolehlah kita kata dalam dua penggal akhir ketika usia baginda 15 tahun dan ke atas, serta penggal terakhir (4-5 tahun akhir) sebagai kemuncak krisis moral. Selepas itu Johor dah pulih seperti sedia kala.

Lagi contoh Kedah. Almarhum Tunku Abdul Rahman itu pun berdarah raja juga. Tunku ialah pak menakan kepada almarhum Sultan Abdul Halim (SAH). Tunku dan ayahanda SAH, Sultan Badlishah adalah adik beradik berlainan ibu. Dan kalau ikut pangkat, selepas Badlishah mangkat, Tunku memang boleh jadi Sultan Kedah. Tapi dia bagi ke anak menakan dia, SAH sebab dia pilih untuk jadi ahli politik dan kemudian bergaduh pula dengan doktor Melayu bernama Mahathir.

Itu baru kisah Kedah dan Johor. Aku rasa pengalaman orang Melayu di negeri lain pun sama juga. Dan memang tak hairan kenapa majoriti orang Melayu tak ada masalah pun dengan institut diraja mereka. Dek sayangkan raja jugalah, mereka bangkit melawan penjajah. Ia romantisme Melayu yang penuh misteri. Dan memang susah untuk difahami di medan Twitter dan media sosial.

Artikel disumbangkan oleh Azhan Uthman untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.