Goldrush Dan Cyptomining: Siapa Yang Kaya?

0
627
views

Saya masih menyesal kerana tidak mengambil kesempatan atas letusan cryptomining. Bukan kerana tak dapat melabur di dalam matawang crypto. Kamu boleh bawa beribu hujah dan saya masih tak akan percaya pada apa-apa coin seangkatan. Sebagai pelajar undang-undang saya mempunyai sebab sendiri mengapa saya berpendapat matawang crypto dan seangkatan mampu membawa mudarat dari segi perundangan. Bukan tidak melabur dalam matawang crypto yang saya kesalkan. Apa yang saya kesalkan adalah kerana saya tidak mengambil kesempatan atas TREND dan bukannya matawang crypto itu sendiri. Trend matawang crypto mampu membuatkan seseorang itu kaya dengan dengan risiko yang jauh lebih rendah berbanding pelaburan matawang crypto itu sendiri. Ini kerana trend matawang crypto cuma sejarah berulang semula. Sejarah yang diberi nama GOLDRUSH.

Rata-rata rakyat Malaysia mengenali perkataan goldrush melalui filem. Antara filem yang popular dalam memaparkan perihal goldrush ialah sebuah filem oleh Charlie Chaplin yang diberi nama The Gold Rush yang diterbitkan pada tahun 1925. Rakyat Malaysia sekiranya ditanya mungkin boleh memberi penerangan secara umum yang goldrush merupakan satu kegilaan dalam satu tempoh masa apabila emas dijumpai di sesuatu kawasan. Yang mana kegilaan itu mendorong puluhan malah ratusan ribu manusia untuk berhijrah secara berkelompok demi mencapai impian untuk kaya dengan melombong emas.

Gambar 1: Poster filem The Gold Rush oleh Charlie Chaplin. Filem ini amat menarik kerana ia merupakan eksperimen peribadi Charlie Chaplin dalam menggabungkan elemen komedi dan tragedi.

Namun terdapat beberapa salah faham rakyat Malaysia mengenai goldrush yang perlu diperbetulkan. Ramai menyangka goldrush hanya berlaku di US khususnya di California dan ia hanya berlaku sekali sahaja dalam lipatan sejarah. Salah faham ini mungkin timbul kerana pendedahan utama mengenai goldrush bagi rakyat Malaysia majoritinya melalui filem-filem yang lebih memberi fokus pada kesan goldrush pada US. Topik ini juga tidak diajar dalam silibus sejarah SPM. Melainkan jika anda mengambil STPM yang mana anda mungkin akan belajar mengenainya dalam topik sejarah dunia.

Goldrush tidak berlaku sekali sahaja dalam lipatan sejarah sebaliknya beberapa kali. Trend goldrush ini juga tidak spesifik kepada US sahaja. Malah jika ditukar emas kepada timah kita masih boleh menggunakan teori trend yang sama bagi meneliti kesan perlombongan timah pada bandar-bandar di Malaysia seperti Taiping, Perak dan juga Kuala Lumpur. Skala goldrush juga berbeza-beza. Ada goldrush yang skalanya amat kecil sehingga rekod mengenainya teramat sedikit. Rata-rata rekod lengkap mengenai goldrush majoritinya cuma menyebut mengenai goldrush pada skala besar. Menurut rekod, salah satu goldrush pada skala besar yang terawal berlaku pada tahun 1695 di Brazil.

Setiap goldrush akan memberi impak yang nyata dari segi penghijrahan populasi dan juga ekonomi. Goldrush Brazil juga tidak terkecuali. Berita mengenai penemuan emas tersebut telah mengembang populasi pendatang dari Portugis di Brazil. Hampir separuh juta hamba-hamba dari Afrika juga dikatakan dibawa masuk. Penghijrahan orang Portugis dan juga hamba dari Afrika dikatakan mempengaruhi genetik rakyat Brazil hingga ke hari ini. Ia juga mengubah landskap ekonomi Brazil. Pada ketika itu Brazil masih memberi fokus yang amat besar pada tanaman tebu demi menghasilkan gula sebagai produk eksport. Goldrush ini memperlihat peralihan ekonomi di mana Brazil mula terlibat dalam sektor perlombongan. Ia juga memberi kesan secara politik kepada Portugal. Emas-emas yang dilombong dari Brazil majoritinya dibawa pulang ke Portugal selain dari digunakan bagi menghiasi gereja-gereja.

Antara goldrush lain yang popular sudah tentulah goldrush California di US. Berlaku dalam tempoh masa 1848–1855 ia bermula dengan penemuan emas oleh James W. Marshall di Sutter’s Mill yang pada asal merupakan tempat pemprosesan kayu. California ketika itu merupakan sebuah negara republik yang tersendiri dan masih bukan salah satu kawasan milik US. Sebelum itu California merupakan salah satu kawasan di bawah jajahan Mexico namun hasil pemberontakan rakyat California mereka telah berjaya membentuk negara tersendiri. Jangka hayat negara tersebut pendek namun. Tidak lama selepas itu peperangan sedang berlangsung antara Mexico dan juga US. Peperangan tersebut tamat empat hari selepas penemuan emas oleh James W. Marshall dan California secara rasminya menjadi salah satu kawasan US. Berita penemuan emas tersebut telah tersebar luar dan ini mendorong penghijrahan beramai-ramai ke California demi melombong emas.

Bukanlah locus artikel ini untuk menerangkan satu per satu kesemua goldrush yang telah berlaku. Ini kerana jumlahnya terlalu banyak. Namun setiap kali trend goldrush berlaku terdapat reaksi trend yang malar berlaku. Ini bermakna walau bila pun berlakunya goldrush reaksi-reaksi ini akan tetap berlaku iaitu:

  • Berita penemuan emas akan tersebar luar dan mendorong penghijrahan masuk orang luar demi melombong emas. Penghijrahan ini akan membentuk populasi kekal dan mengubah taburan populasi.
  • Perlombongan emas pada awalnya amat senang. Namun semakin lama ia akan semakin sukar sehingga perlombongan secara individu tidak boleh menguntungkan lagi. Pada saat ini syarikat-syarikat perlombongan akan mula terbentuk dengan teknologi perlombongan yang lebih efektif. Syarikat perlombongan ini majoritinya ditubuhkan oleh mereka yang sempat melombong di peringkat awal trend goldrush. Rata-rata pelombong individu pada peringkat pertengahan atau hujung trend tidak mempunyai pilihan lagi melainkan menjadi pekerja syarikat perlombongan. Pada saat ini mereka mula bekerja demi mendapat upah makan gaji dan tidak lagi untuk menjadi kaya.
  • Adalah amat jarang jumlah besar pelombong mampu menjadi kaya. Namun terdapat sekumpulan ahli perniagaan lain yang akan menjadi kaya biarpun perniagaan mereka tidak melibatkan melombong emas. Sebagai contohnya mereka yang melabur dalam syarikat kereta api ketika itu menjadi kaya kerana emas tetap perlukan pengangkutan untuk di eksport keluar. Syarikat-syarikat yang menguruskan bar, pusat pelacuran, kasino dan sebagainya juga menjadi kaya kerana pelombong-pelombong mahukan hiburan. Pusat pelacuran memainkan peranan penting. Mungkin pelik bagi anda namun dalam lipatan sejarah mereka yang membuka pusat pelacuran ini kemudiannya akan mula membangunkan kawasan setempat mereka terutamanya dalam kes goldrush US dengan membina sekolah, pusat membeli belah malah tempat beribadat seperti gereja. Syarikat-syarikat keperluan harian yang mengimport masuk makanan, yang menguruskan pembinaan rumah, membuka rumah tumpangan atau hotel juga menjadi kaya kerana pelombong tetap perlukan tempat tinggal dan makanan. Berbeza dengan syarikat perlombongan yang terpaksa mengalihkan fokus mereka ke bidang lain setelah emas tidak lagi boleh digali dan trend tamat, syarikat-syarikat sedemikian ini kekal hidup malah ada yang bertahan sehingga sekarang. Ini atas sebab syarikat-syarikat ini masih boleh mengekalkan skop asal perniagaan mereka kerana pelombong-pelombong emas telah menjadi penduduk tetap di sesuatu kawasan itu.

Pada saat ini saya rasa anda semua yang mengetahui secara asas mengenai cryptomining sudah dapat mengagak hala tuju artikel ini. Ini kerana Cryptomining sudah menjadi semakin sukar untuk dilombong kerana algoritma cryptomining adalah hampir sama dengan melombong emas di dunia sebenar di mana ia akan menjadi semakin lama semakin sukar. Sejarah seolah berulang kembali apabila sudah ada syarikat-syarikat besar yang ditubuhkan demi menghadapi kesukaran melombong dan mula melaksanakan aktiviti melombong pada skala besar. Adalah amat jarang seorang pelombong cryptocoin mampu menjadi kaya pada tahap ini melainkan mereka melombong pada peringkat awal trend.

Jadi siapakah pula yang menjadi kaya?

Jawapannya secara umum merupakan syarikat yang menghasilkan komponen elektronik bagi komputer. Jika ingin dikhususkan lagi ia merupakan syarikat yang menghasilkan graphics processing unit (GPU) yang mana hanya dua sahaja syarikat utama dalam dunia terlibat iaitu AMD dan juga Nvidia. Intel graphics tak perlu disebut kerana Intel tidak mampu bersaing mana pun dalam isu grafik berkemampuan tinggi. GPU atau nama umumnya kad grafik merupakan satu komponen penting dalam komputer.

Ini kerana segala pemprosesan grafik memerlukan kad grafik baik untuk menonton video 4K, bermain permainan video mahupun untuk melaksanakan kerja-kerja visual grafik seperti mengedit video dan juga kerja photoshop. Namun dalam isu cryptomining GPU boleh digunakan dalam pemprosesan algoritma untuk melombong matawang crypto. Disebabkan trend cryptomining rata-rata kedai komputer telah melaporkan GPU mereka telah kehabisan stok. Harga sebuah GPU seperti model GTX1080 Ti ataupun Titan yang merupakan produk syarikat Nvidia kini melonjak naik hingga belasan malah puluhan ribu ringgit. Terdapat beberapa laporan mereka yang sempat mengumpul kad grafik terpakai sewaktu awal trend berjaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil jualan semula grafik kad mereka. Saham-saham syarikat yang mengeluarkan kad grafik juga melonjak naik.

AMD terutamanya mendapat kesan positif dari trend ini. Bagi mereka yang telah lama mengambil tahu mengenai persaingan antara Intel, Nvidia dan AMD, anda akan tahu AMD sudah beberapa tahun tidak dapat menghasilkan produk yang cukup kompetitif untuk bersaing dengan Intel dan Nvidia. Namun segalanya berubah dalam beberapa tahun terdekat dengan trend matawang crypto. Ketidakcukupan GPU dalam pasaran telah menyebabkan GPU daripada AMD juga mendapat tempat dalam penggunaan melombong cryptocoin. Dengan dua produk terbaru AMD pula iaitu CPU AMD Ryzen dan juga GPU AMD Vega yang menawarkan harga lebih murah dari Intel dan Nvidia dengan kadar prestasi yang hanya sedikit sahaja berbeza telah meletakan mereka sekali lagi dalam arus persaingan. Ini melonjakkan saham mereka ke tahap yang amat baik. Kelompok pelabur saham yang sempat membeli saham AMD sewaktu ia masih rendah sebelum trend cryptomining dan juga Ryzen dan Vega dikeluarkan kini boleh dikatakan mendapat manfaat yang amat tinggi bagi pelaburan mereka.

Taktik pelaburan dan juga perniagaan menyokong trend namun tidak menyertai trend secara langsung ini bukanlah perkara yang hanya khusus dalam perlombongan emas. Kita boleh ambil trend harga rumah yang sedang meningkat di Malaysia sebagainya. Biarpun mungkin terdapat banyak faktor lain yang turut sama menyumbang kepada kenaikan harga rumah namun faktor yang paling popular diperkatakan ialah kerana jumlah mereka yang membeli rumah terlampau ramai atas momokan dari pelbagai media yang mengatakan rumah boleh menjadi sumber pelaburan yang stabil jika disewakan dan dijual semula atas kepercayaan harga hartanah akan selalu meningkat. Antara syarikat yang berjaya memanfaatkan trend membeli rumah di Malaysia ialah syarikat-syarikat lori yang membantu pemilik rumah berpindah selain syarikat-syarikat yang membekalkan bahan binaan.

Sama juga dengan letusan jualan online di Malaysia. Saya juga menyesal kerana gagal manfaatkan trend tersebut. Namun ia bukan bermakna saya ingin buka kedai online dan menjual secara online. Potensi kerugian masih ada jika anda ingin membuka kedai atas talian mirip Lazada dan lain-lain mahupun sekecil-kecil jualan mirip dropship jika produk anda tidak laku.  Namun terdapat satu lagi industri yang lebih selamat namun masih mendapat manfaat dari letusan jualan online, yang tak lain dan tak bukan merupakan industri penghantaran. Kurier adalah satu peluang perniagaan yang harus diambil kesempatan oleh peniaga dan pelabur di Malaysia. Hakikatnya jualan online hanya melibatkan jual beli sahaja. Untuk sesuatu perkara tiba di tangan pengguna masih lagi perlu proses penghantaran. Lihat sajalah apa yang berlaku pada syarikat pos Malaysia. Sejak letusan jualan online rata-rata pekerja mereka hampir pitam menguruskan ledakan pos dan situasi di Pos Malaysia ibarat tongkang pecah dengan limpahan barang yang perlu di pos. Rata-rata peniaga masih lagi gemar Pos Laju kerana harga yang ditawarkan oleh mereka amat murah. Biarpun jelas terang dan nyata Pos Laju sudah tidak mampu untuk menyediakan perkhidmatan yang efisien. Syarikat kurier lain masih tidak menjadi alternatif kerana ramai berpendapat harga yang ditawarkan oleh mereka lebih tinggi. Jika wujud syarikat kurier yang mampu menyaingi pos laju dari segi harga… anda boleh fikir sendiri apa yang akan berlaku bukan?

Sebagai konklusi pendek, soalan siapa akan kaya mungkin soalan yang sensitif pada rakyat Malaysia. Namun rakyat Malaysia juga harus mula mengubah cara pemikiran mereka mengenai perniagaan dan trend. Acapkali apabila berlaku trend ramai ingin menyertai trend. Sebagai contoh jika diambil corak perniagaan berasaskan keju sehingga segala perkara ingin dikejukan atau perniagaan berasaskan food truck namun makanan yang dihidangkan lebih kepada makanan hipster hingga hilang konsep asal food truck iaitu makanan tempatan pada harga yang murah. Rakyat Malaysia termasuklah saya sendiri perlu mencuba lebih lagi menceburi bidang perniagaan yang menyokong trend berbanding terlibat dalam di dalam trend itu sendiri kerana bidang seperti ini masih kurang diceburi biarpun peluang perniagaan tetap ada dalam perniagaan sebegitu.

RUJUKAN

  • Reeves, Keir; Frost, Lionel; Fahey, Charles (2010). “Integrating the Historiography of the Nineteenth-Century Gold Rushes”. Australian Economic History Review. 50 (2): 111. doi:10.1111/j.1467-8446.2010.00296.x
  • R. Boxer, “Brazilian Gold and British Traders in the First Half of the Eighteenth Century,” Hispanic American Historical Review (1969) 49#3 pp. 454-47
  • “California Gold Rush, 1848–1864”. Learn California.org, a site designed for the California Secretary of State. Archived from the original on July 27, 2011. Retrieved 2011-08-22.
  • qld.gov.au. (2018). Trend analysis for business improvement | Business Queensland. [online] Available at: https://www.business.qld.gov.au/running-business/growing-business/trend-analysis [Accessed 7 Mar. 2018].
  • PRESSMAN, A. (2018). Why AMD’s Stock Price Is Close to a 10 Year High. [online] Fortune. Available at: http://fortune.com/2017/07/26/amd-stock/ [Accessed 7 Mar. 2018].
  • The Verge. (2018). Bitcoin mania is hurting PC gamers by pushing up GPU prices. [online] Available at: https://www.theverge.com/2018/1/30/16949550/bitcoin-graphics-cards-pc-prices-surge [Accessed 7 Mar. 2018].
  • Evans, N. (2018). Bitcoin lessons from the California gold rush. [online] CIO. Available at: https://www.cio.com/article/3216496/digital-transformation/bitcoin-lessons-from-the-california-gold-rush.html [Accessed 7 Mar. 2018].