GMO: Makanan Yang Diubahsuai Secara Genetik

1,501

Pernahkah anda mendengar perkataan GMO? GMO adalah singkatan untuk Genetically-Modified Organism, dan dalam konteks pemakanan dan industri agrikultur, GMO ini digelar sebagai Genetically Modified Food.

Kadangkala, dalam kehidupan seharian kita di Malaysia ini, sudah tentu kita pernah ke pasar pagi untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang kelihatan begitu segar sekali. Dalam artikel bergambar ini, saya ingin menerangkan apakah kebaikan GMO dalam penghasilan makanan yang berkualiti tinggi untuk kita semua nikmati. Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai penggunaan baja kimia dan racun makhluk perosak yang digunakan oleh petani untuk menjadikan hasil tuaian mereka lebih besar dan sedap.

Dari sudut sains, maksud GMO ini adalah beberapa cara bagaimana saintis mengubah DNA seseuatu spesis itu untuk menjadikannya lebih baik, serta menjadikan beberapa jenis tumbuhan yang tidak boleh dimakan, boleh dimakan. Sejak 10,000 tahun yang lalu, artificial selection atau selective breeding telah mula diamalkan sejak umat manusia mulai membela haiwan dan menanam tumbuh-tumbuhan untuk pemakanan mereka.

Di zaman moden ini, proses mengubahsuai organisma ini dilakukan dengan cara yang lebih pantas, tepat dan selamat. Kebanyakan GMO ini, walaupun mendapat reputasi yang tidak baik kerana masyarakat menganggap tumbuhan dan buah-buahan yang mengalami proses pertukaran genetik ini adalah ibarat seseorang yang makan hasil ujikaji dan eksperimen sains.

GMO secara asasnya tidak membahayakan kesihatan memandangkan setiap spesis yang diubahsuai ini mengalami pelbagai ujian dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan apa yang dimakan oleh rakyatnya, terutamanya yang diimport dari luar negara itu selamat.

Berikut adalah beberapa contoh yang lain, di mana proses modifikasi genetik ini membuatkan sesuatu organisma itu bertukar daripada bentuk asasnya.

Tumbuhan asal yang digelar sebagai teosinte ini merupakan sejenis tumbuhan yang kelihatan seperti lalang, dan keras kebatun. Untuk memakannya, seseorang itu perlu mengetuknya menggunakan batu, sehinggalah kulit luarnya pecah.

Rasanya pula seperti ubi kentang yang mentah. Daripada sini, petani daripada negara Mexico mulai membuat proses selective breeding, dan jagung merupakan salah satu tumbuhan yang paling awal berjaya mengalami proses kultivasi ini.

Perubahan DNA yang terdapat pada jagung moden berbanding dengan teosinte ini sebenarnya hanyalah melibatkan 5 genomnya sahaja, namun, hasilnya amat menarik dan membolehkan kita untuk makan dan menikmati setiap butiran jagung ini. Ada sesiapa yang teringin nak makan jagung bakar?

Tembikai yang asal mempunyai isi yang jauh berbeza kerana buah ini mempunyai penghadang yang memisahkan isinya kepada 6 bahagian. Penghadang ini atau digelar sebagai ‘partition’ ini merupakan bahagian yang mempunyai struktur dan rasa yang sama dengan kulitnya.

Tembikai moden, sekiranya anda perhatikan dengan betul masih lagi mempunyai penghadang ini. Namun, penghadang ini telahpun mengalami perubahan yang menjadikannya amat nipis, tanpa mempunyai apa-apa kesan pada kulitnya.

Para saintis memerlukan struktur kulit tembikai yang sedikit tebal untuk mengelakkanya daripada rosak akibat kesan fizikal daripada luar dan mereka inginkan struktur partition ini senipis yang mungkin agar kita dapat menikmati isi tembikai ini semaksimum yang mungkin. Juga, terdapat beberapa perubahan untuk menjadikan tembikai ini tanpa biji.

Daripada segi perubahan isi, warna dan rasa, terdapat perubahan yang amat ketara di antara lobak merah yang asal jika nak dibandingkan dengan lobak merah yang moden. Tumbuhan moden ini memberi kita isi yang lebih kaya dengan beta-carotene.

Jika anda nak tahu, warna jingga terang yang dipunyai oleh lobak ini sebenarnya adalah berasal daripada kandungan beta carotene, iaitu sejenis molekul yang bertindak sebagai antioksidan, dan kemasukkannya di dalam tubuh badan manusia akan ditukarkan kepada Vitamin A.

Daripada segi saiz, terdapat perbezaan yang amat nyata di antara anggur yang asal dengan yang moden. Saiz buah anngur ini pada asalnya hanyalah sebesar buah blueberry sahaja. Terdapat juga biji benihnya yang agak besar jika nak dibandingkan dengan anggur yang moden. Perubahan dari segi saiz dan ketiadaan biji benih menjadikan tumbuhan ini lebih besar dan lebih sedap. Oh, bukan itu sahaja, sudah tentu harganya juga lebih mahal 😛

Semasa saya sedang mengikuti pengajian doktor perubatan di USM Kubang Kerian dahulu, terdapat sebuah kedai yang amat terkenal di kelantan di mana makcik tersebut menjual pisang goreng menggunakan pisang liar ini.

Dari segi rasa, tiada perbezaan yang nyata, kerana rasanya seakan-akan rasa pisang nipah yang moden, tetapi, bijinya yang terlalu banyak menyebabkan rasa yang kurang enak jika nak dibandingkan dengan pisang yang moden. Syukur Alhamdulillah kerana pisang moden mempunyai biji yang amat halus, dan kita selalunya tidak akan perasan pun wujudnya biji-biji semasa memakannya.

Dari segi bentuk, sebenarnya jika anda membeli biji benih kobis dan anda cuba menanamnya tanpa penjagaan rapi dan pembajaan, ada kemungkinan kobis yang tumbuh itu mempunyai sifat dan karakter seperti kobis liar. Kobis yang moden mempunyai bentuk seakan-akan sfera, dan lapisan demi lapisan yang ada sebenarnya mempunyai bahagian daun yang jauh lebih banyak.

Walaupun di zaman ini, masih wujud tumbuhan yang bernama terung pipit, namun, perubahan yang paling ketara bukanlah terjadi pada spesisi ini, sebaliknya kepada spesis terung yang lain. Pada asalnya, terung mempunyai saiz sebesar tomato. Warna ungu untuk terung liar ini akan kekal sebentar sahaja sebelum bertukar menjadi kekuningan, menandakannya telah terlalu masak.

Terung moden bewarna ungu gelap, dan mempunyai ketahanan yang lebih lama dari segi perubahannya untuk menjadi terlalu masak. Juga, lihatlah perbezaan saiz yang amat ketara bagi terung moden ini.

Buah lemon yang banyak digunakan oleh masyarakat barat ini sebenarnya pada asalnya hanyalah sebesar buah limau purut. Kulitnya juga amat tebal disamping bijinya yang besar. Jus yang dihasilkan oleh buah lemon liar ini jauh perbezaannya berbanding dengan yang moden. Rasa pahit yang terkandung dalam jus lemon moden juga jauh berbeza walaupun aromanya yang menyegarkan itu sama untuk kedua-dua buah ini.

Buah strawberi ini sebenarnya merupakan pengumpulan kecil biji benihnya. Pada awalnya, buah ini mempunyai struktur yang sedikit tajam dan kasar, serta rasanya yang amat masam dan saiznya yang kecil. Nisbah isi kepada biji benih ini walau bagaimanapun mempunyai perbezaan yang ketara bagi buah strawberi moden ini. Disebabkan buah ini amat popular di barat, para saintis masih lagi menggiatkan usaha untuk mendapatkan perubahan yang lebih baik agar kita dapat nikmati bersama.

Kentang yang asal juga amat kecil, dan saiz yang paling besarpun adalah bersaiz seperti bola golf sahaja. Walaupun rasanya sama, namun, tekstur dan saiznya mempunyai perbezaan yang ketara. Kemunculan kentang-kentang besar inilah yang membolehkan seseorang itu mencipta resepi french fries. Cuba anda bayangkan bagaimana anda nak potong kentang yang asal untuk menjadikannya french fries?

Jadi, walaupun ada sesetengah orang yang menyatakan GMO ini berbahaya, serta banyak syarikat-syarikat besar mempunyai sifat ingin memonopoli industri ini, sebenarnya, mengikut kajian demi kajian yang dilaksanakan terhadap GMO ini tentang kesannya terhadap manusia, setakat ini tiada apa-apa kesan yang boleh dibuktikan sebagai berbahaya kepada manusia yang memakannya.

Kesan-kesan pelbagai penyakit yang munvul ini adalah lebih kepada disebabkan oleh cara masakan bahan-bahan ini, seperti membakar, menggoreng serta memasak dengan cara yang tidak sihat. Apapun, terdapat banyak kajian-kajian yang masih berjalan sehingga sekarang, dan tugas untuk meneliti kajian-kajian tersebut serta keputusan sama ada GMO ini selamat atau tidak bolehlah kita serahkan kepada pakar-pakar dalam bidang ini di seluruh dunia.

Tidak salah jika anda katakan anda lebih suka kepada sayur-saayuran dan buah-buahan ini yang ‘semulajadi’, namun itu tidak bermakna anda boleh mengecam dan menyebarkan fakta-fakta yang tidak benar kepada mana-mana individu yang ingin makan produk-produk GMO ini. Pilihan ditangan anda.

RUJUKAN:

Genetically modified foods: safety, risks and public concerns—a review.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3791249/?fbclid=IwAR0s0u7MOEqe_UrvI0VwKGbJo0qnlUuNUWBsfx7OKDUY3YHoWxBlphxsBg8

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.