Gladbeck: Bila Media Melampaui Batas

3772
views

Tahun 1988 mungkin dianggap biasa saja bagi ramai orang tetapi ia merupakan satu tahun memilukan di Jerman Barat. Ini kerana beberapa tahun sebelum berlakunya penyatuan semula Jerman Barat dan Jerman Timur, ia menyaksikan satu krisis tebusan berdarah yang mengakibatkan dua tebusan terbunuh. Dan semua ini berlaku gara-gara keghairahan pihak media mengejar berita tatkala krisis sedang berlangsung. Peristiwa itu turut mengubah kod kewartawanan Jerman untuk selama-lamanya.

Pada 16 Ogos 1988, dua orang perompak iaitu Dieter Degowski dan rakan subahatnya, Hans-Jurgen Rosner melakukan rompakan di sebuah cawangan Deutche Bank di Gladbeck, sebuah bandar perindustrian di wilayah Ruhr. Kedua-dua lelaki itu mengancam staf-staf bank dengan senjata api untuk mendapatkan wang dari bank berkenaan. Tidak ramai orang dalam bank ketika itu kerana bank belum beroperasi mengikut waktu operasinya. Bagaimanapun, kehadiran Degowski dan Rosner disedari pihak berkuasa dan dalam masa beberapa minit, polis sudah berada di tempat kejadian.

Selepas berunding sepanjang hari, pihak polis bersetuju memenuhi permintaan kedua-duanya. Sebagai syarat melepaskan tebusan, Degowski dan Rosner dibenarkan membawa wang rompakan berjumlah beberapa ratus ribu Deutchmarks dan sebuah kereta untuk melarikan diri. Pada waktu malam dan ditemani oleh dua tebusan, kedua-duanya segera melarikan diri. Selepas bergerak tidak tentu hala dan pada satu ketika berhenti untuk mengambil teman wanita Rosner, pada hari berikutnya, kedua-duanya berhenti di pinggir bandar Bremen, 230 kilometer dari Gladbeck.

Semasa di Bremen, kedua-duanya cuba mendapatkan kereta tetapi gagal. Ini memaksa Degowski dan Rosner menyerang sebuah bas dan menjadikan lebih 30 penumpang sebagai tebusan. Bagi pihak media, ini satu peluang yang tidak dilepaskan begitu saja. Ada yang mengambil gambar semasa berada dalam bas itu sendiri. Sementara Rosner pula mengadakan sidang media tak rasmi di jalanan sambil memegang sepucuk pistol. Bas tersebut bergerak untuk beberapa ketika sebelum akhirnya berhenti semasa dalam perjalanan ke Hamburg. Bila mereka berhenti di sebuah stesen minyak di autobahn (lebuh raya versi Jerman), dua tebusan dilepaskan sementara teman wanita Rosner, Marion Loblich pula mahu ke tandas untuk melunaskan panggilan alam.

Polis yang semakin kecewa dengan perkembangan krisis tersebut membuat kesilapan besar dengan menahan Loblich semasa dia keluar dari tandas. Sedar bahawa teman wanita rakannya itu tidak pulang, Degowski mengancam akan menembak mati seorang tebusan sekiranya Loblich tidak dilepaskan dalam tempoh lima minit. Selepas pihak polis gagal berbuat demikian, perompak itu menembak mati seorang remaja berusia 15 tahun bernama Emanuele di Giorgi. Bas tersebut kembali bergerak dan pada awal pagi, ia sudah menyeberangi sempadan Belanda. Degowski, Rosner dan Loblich yang dilepaskan polis meninggalkan bas itu dan mengambil sebuah kereta BMW yang disediakan pihak polis. Seperti mana apa berlaku di Bremen, kedua-duanya membawa dua tebusan iaitu Silke Bischoff dan rakannya Ines Voitle. Ketika jam hampir mencecah 7.00 pagi, mereka kembali semula ke Jerman Barat.

Figure 2: Udo Robel. Kredit: https://kress.de/news/detail/beitrag/127271-als-berater-und-autor-udo-roebel-verstaerkt-madsacks-redaktionsnetzwerk.html

Jutaan penonton televisyen di seluruh negara menonton dnegan penuh berdebar, mengharapkan krisis tersebut berakhir dengan baik. Dan mereka ada sebab berharap perkara sedemikian berlaku. Ini kerana semasa di Bremen, Rosner memberitahu pihak media bahawa dia bersedia menamatkan semua ini dan meletakkan muncung pistol pada mulutnya. Tetapi bagi Udo Robel, beliau terlepas semua ini kerana pada hari kejadian, beliau sedang bercuti. Robel hanya tahu apa yang berlaku apabila menonton siaran berita dari kafetaria kelab tenisnya. Ini mendorong wartawan ini segera memandu ke pejabatnya kerana tahu ini satu kisah sensasi yang tak patut dilepaskan begitu saja. Tetapi tiada siapa menyangka Robel akan menjadi sebahagian daripada cerita Degowski-Rosner.

Setibanya di pejabat, seorang rakannya memberitahu kereta BMW yang dipandu dua perompak itu berhenti di satu kawasan pejalan kaki di sebuah pusat beli-belah di tengah bandar Cologne. Robel segera berlari ke bawah dan memang benar ada sebuah kereta berhenti di tengah jalan. Dan seperti dijangka Rosner berada di tempat duduk pemandu sementara Loblich duduk di sebelahnya. Degowski duduk antara Bischoff dan Voitle di tempat duduk belakang. Tatkala inilah, para wartawan termasuk Robel mengerumuni kereta berkenaan. Bischoff yang ditemubual media hanya tersenyum lemah bila menjawab soalan media. Degowski yang dilihat khayal kerana mengambil dadah amfetamin dan bir sudah bercakap besar bahawa dia sudah membunuh seseorang. Sementara Rosner pula mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa mereka tidak akan menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Seorang jurugambar tiba di situ dan menyediakan tangga bagi membolehkannya mengambil gambar dari sudut yang dimahukan. Tambah memalukan, wujud satu klip video yang menunjukkan seorang wartawan mencadangkan Degowski menggunakan pistolnya dan mengacukan pada tebusan. Walaupun kenyataan tersebut hanya berbentuk perbualan antara wartawan itu dengan jurukameranya, ia merupakan sesuatu yang memalukan dan memperlekeh semangat manusiawi. Bagi Robel pula, beliau cuba mewujudkan hubungan dengan kedua-dua perompak ini. Pada ketika itu, beliau sedar kedua-duanya sudah hilang kawalan dan situasi boleh berubah menjadi merbahaya dalam sekelip mata.

Figure 3: Degowski bila mengacukan pistol pada Bischoff. Kredit: https://yoursonsandyourhusbands.tumblr.com/post/172179567476/the-gladbeck-hostage-crisis-one-of-the-biggest

Pada mulanya, Robel ditanya tentang jalan singkat ke autobahn dan cuba menerangkan laluan kepada kedua-dua perompak itu. Tetapi Rosner yang sudah hilang sabar mengarahkan beliau masuk dalam kereta, duduk bersebelahan Bischoff dan terangkan laluan menuju ke autobahn. Bila ditanya perasaannya berkenaan situasi itu, beliau berkata, “Saya merasakan saya diberi tanggungjawab mengendalikan situasi yang dilihat semakin hilang kawalan. Tetapi saya juga mempunyai naluri seorang wartawan yang mengatakan, ‘Saya mahukan cerita ini. Ini kisah saya.’” Robel cuba mewujudkan perbualan dengan mereka tetapi Degowski mengugut akan menembaknya jika beliau tidak diam. Selepas berada dalam kereta selama 40 minit, Robel akhirnya dilepaskan bila mereka berhenti di sebuah stesen minyak di autobahn. Selepas kereta BMW tersebut beredar, krew televisyen datang dan segera menemubualnya. Beliau menambah, “Pada ketika itulah, lutut saya merasa lemah. Saya sedar apa yang saya lakukan. Saya sedar saya boleh saja mati dalam kereta itu.”

Drama tebusan tersebut berakhir beberapa kilometer dari stesen tersebut, 54 jam selepas ia bermula. Selepas diberi lampu hijau untuk menyelamatkan tebusan dan menahan Degowski, Rosner dan Loblich, polis segera menyerang dan melanggar kereta BMW itu dari arah tepi. Kejadian tembak-menembak kemudian menyusul dan ia berakhir dengan ketiga-tiga suspek berjaya ditahan polis. Sementara Voitle berjaya menyelamatkan diri dengan berlindung dalam satu longkang tepi jalan. Tetapi rakannya, Bischoff tidak bernasib baik kerana ditembak pada bahagian dada oleh Rosner dan mati di tempat kejadian. Robel yang mendengar berita tersebut di sebuah balai polis amat terkejut. Dan sekembalinya beliau ke pejabat, Robel menambah, “Jika ada satu benda yang saya akan perbetulkan ialah saya cuba menulis minit-minit akhir Silke Bischoff, di mana saya bertanggungjawab kepada kegilaan media hingga ke akhirnya. Dan saya masih malu kerana memerah setiap titik cerita berkenaan sampai habis.”

Beberapa tahun selepas itu, Robel dijemput menjadi panel forum awam di sebuah akademi polis tempatan. Kebetulan pula, rakan panel forum itu ialah hakim yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Degowski dan Rosner. Semasa forum berlangsung, Robel masih ingat antara hujah yang disampaikannya, “Pihak media sudah melampaui batas dan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku lagi pada masa akan datang.” Tatkala itu, hakim itu memandangnya dan berkata, “Pada saya, Herr (Encik/Tuan) Robel, anda sebenarnya menghalang pertumpahan darah dari berlaku pada hari itu di Cologne. Jika anda tidak masuk kereta dan mereka tidak dapat melarikan diri, situasi berkenaan boleh saja bertukar menjadi buruk.” Pada Robel, ia satu jawapan yang dapat menenangkan hatinya.

Bagaimanapun, tidak semua berkongsi pandangan hakim berkenaan. Satu jawatankuasa parlimen negeri West Rhine Westphalia yang ditubuhkan untuk menyiasat krisis tersebut mengeluarkan satu laporan menyelar tindakan pihak media pada hari itu. Menurut laporan tersebut, mereka menganggap tindakan pihak media membantu penjenayah menyebabkan tugas polis bertambah sukar. Malah, laporan tersebut turut menyelar sikap Robel yang mengambil kesempatan dari kisah tersebut untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji lebih baik. Laporan itu merujuk kepada tawaran kerja yang diterima wartawan itu dari akhbar tabloid terbesar Jerman, Bild am Sonntag. Beberapa tahu selepas itu, Robel dilantik sebagai ketua editor akhbar Bild.

Selepas apa yang berlaku di Gladbeck, Majlis Kewartawanan Jerman mengeluarkan satu garis panduan secara jelas menyatakan wartawan tidak boleh menemubual penjenayah semasa jenayah tersebut berlaku. Presiden kesatuan wartawan Jerman (DJV), Michael Konken yang menganggap insiden tersebut detik paling suram dalam sejarah Jerman selepas Perang Dunia Kedua. Bagi Degowski, Rosner dan Loblich, kesemua mereka dipenjarakan pihak berkuasa untuk tempoh berbeza-beza. Degowski hidup memencilkan diri selepas dibebaskan dari penjara selama 30 tahun. Loblich pula dipenjarakan sembilan tahun dan hanya menjalani hukuman selama enam tahun. Bagi Rosner pula, sehingga kini penjenayah tersebut masih lagi merengkok dalam penjara dan tidak dianugerahkan parol oleh mahkamah.

SUMBER

Mansel, Tim. (2018). BBC. Gladbeck: The deadly hostage drama where the media crossed a line. https://www.bbc.com/news/stories-45226482

Previous articleTiang Besi Delhi & Teknologi Besi Kedah Tua
Next articleEkuinoks September: Matahari Tepat Di Atas Garisan Khatulistiwa
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE