Lebih seminggu lepas, pengkaji arkeologi di Gua Ular Tedung, Laos membuat satu penemuan menakjubkan. Penemuan gigi molar dipercayai milik seorang budak perempuan yang berusia 164,000 tahun itu dilihat menyokong teori kewujudan manusia pra-sejarah misteri yang dikenali sebagai Denisovan.

Denisovan terpisah dengan kumpulan saudara mereka, Neanderthal kira-kira 400,000 tahun lalu dengan Neanderthal menuju ke Eropah. Sementara Denisovan pula terus menuju ke sebelah Asia. Walaupun banyak rangka Neanderthal ditemui oleh pakar-pakar antropologi, rangka dan tulang Denisovan masih sukar ditemui sehingga hari ini.

Fosil gigi molar yang didakwa gigi Denisovan yang berusia 164,000 tahun. Sumber: Fabrice Demeter.

Jika ada pun yang ditemui, bilangannya boleh dibilang dengan jari. Semua tulang dan gigi yang disahkan milik Denisovan boleh dimuatkan dalam sehelai beg plastik. Ini berikutan semua lima fosil tulang dan gigi manusia pra-sejarah ini datang dari dua lokasi iaitu Tibet dan Siberia. Sebelum itu, ada saintis China mendakwa menemui tengkorak yang merujuk kepada manusia pra-sejarah baru yang dikenali sebagai Homo Iongi. Tetapi ramai pakar antropologi percaya tengkorak itu sebenarnya Denisovan.

Advertisements
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal-usul manusia, ayuh beli buku GENESIS II yang sudah tiba di Shopee – https://shopee.com.my/Genesis-II-Sapien-Neo-Manusia-(Zamir-Mohyedin)-i.238336777.21215814073

Bagaimanapun, saintis percaya Denisovan telah berjalan lebih jauh ke selatan. Ini disebabkan setiap kali mereka bertembung dengan manusia pra-sejarah lain, mereka akan bergaul dan menghasilkan hibrid. Kesan genetik mereka masih dapat dilihat kebanyakan penduduk moden Asia hari ini.

Bagi penulis kajian Clément Zanolli, sekiranya gigi tersebut disahkan milik Denisovan, ini menunjukkan keupayaan mereka beradaptasi dengan persekitaran dan latitud berbeza. Sebelum ini, bukti genetik menunjukkan mereka berupaya hidup di kawasan sejuk di Siberia dan Tibet. Tetapi dengan penemuan gigi ini, wujud kemungkinan mereka juga mampu mendiami kawasan yang lebih panas termasuk hutan tropika di Asia Tenggara.

Fosil gigi molar dari pelbagai sudut pandang. Sumber: Demeter, F. et al. Nature Comunnications

Analisis dan pemeriksaan menunjukkan ia berbeza dengan gigi manusia moden (Homo sapiens) dan Homo erectus, manusia pertama yang menggunakan peralatan batu. Walaupun pengkaji arkeologi tidak menolak gigi molar itu milik Neanderthal, tetapi persamaan sampel gigi Denisovan dari China dengan sampel gigi mereka cukup untuk mengesahkan ia gigi Denisovan.

Penemuan baru ini juga menyingkap persoalan baru tentang sejauh mana kumpulan-kumpulan manusia yang berbeza ini dapat hidup bersama. Ini kerana di Eropah dan Asia Barat, Neanderthal menghuni kawasan tersebut dengan manusia moden. Sementara Denisovan pula menghuni sebahagian besar timur Asia bersama kumpulan manusia lain seperti Homo erectusHomo floresiensisHomo luzonensis dan manusia moden. Justeru, semua artifak dan kajian sebelum ini perlu dilihat semula menggunakan teknik-teknik moden dan terkini.

Jika fosil gigi ini bukan fosil gigi Denisovan, itu bukan bermakna usaha pengkaji arkeologi ini sia-sia. Ini kerana sebarang fosil manusia pra-sejarah yang ditemui seperti di Laos dianggap penting terutama jika ia fosil manusia yang bukan jenis Homo sapiens.

Yang pasti, penemuan gigi molar ini merupakan satu lagi penemuan menarik dari kawasan Pergunungan Annamite, Laos. Kawasan pergunungan ini terletak di kawasan sepanjang 700 batu persegi sepanjang sempadan Laos-Vietnam. Sistem guanya terhasil selepas sungai menghakis batu-batu kapur gunung selama sealaf.

Begitupun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan khazanah-khazanah fosil yang tersimpan di sistem gua berkenaan. Cuaca panas dan lembap boleh mengakibatkan tulang yang dijumpai lebih rapuh. Sementara permukaan yang kasar dan mencabar menyebabkan mana-mana fosil yang ditemui sukar diambil. Di sebalik semua ini, banyak penemuan dibuat sekitar kawasan pergunungan termasuk penemuan fosil-fosil manusia tertua di Asia Tenggara.

Kini, fokus kajian terbaru ialah mengetahui sebab bagaimana gigi molar itu boleh berada di dalam gua dan sama ada wujud aktiviti manusia di situ atau tidak. Satu lagi persoalan ialah jenis makanan yang diambil pemilik gigi molar semasa hayatnya dan iklim semasa ia berada dalam gua. Semua ini direkodkan dalam keluaran terbaru jurnal Nature Communications.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Q. Choi, C. (2022, 19 Mei). Ancient tooth of mysterious Denisovan girl possibly found. Live Science.

Wei-Haas, M. dan Greshko, M. (2022, 19 Mei). Tooth from mysterious human relative adds new wrinkles to their story. National Geographic.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply