Gigi Hitam Sebagai Simbolik Kejelitaan Jepun Purba

424

Amalan menghitamkan gigi dapat dijejak dalam kepelbagaian di dunia. Dari Asia Tenggara sehingga ke benua Amerika, memang ada rekod manusia menghitamkan gigi mereka. Namun, amalan paling dikaitkan dengan negara Jepun. Di sana, menghitamkan gigi dipanggil sebagai Ohaguro.

Mungkin kalian terkejut. Apa kejadahnya yang cantik sangat gigi hitam metalik ni? Tapi nanti dulu. Bukankah kecantikan itu ialah social construct di mana definisinya ditentukan oleh demografi dan kebudayaan sebuah bangsa. Contohnya terdapat ceruk di dunia ini, berbadan XXXL itu ialah definisi sebuah kecantikan yang sebenar. Untuk menghitamkan gigi, bagi sekurang-kurangnya sehingga penghujung abad ke-19 di Jepun, ia juga lambang kecantikan.

Dah tentu, bila bercakap mengenai amalan ohaguro ini, tentu kita tertanya-tanya bagaimana agaknya rakyat Jepun dulu menghitamkan gigi mereka? Amalan ini bermula dengan pengambilan pewarna yang diletakkan dalam minuman yang dipanggil sebagai Kanezimu. Rasa pewarna ini dikatakan tidak menyenangkan peminumya, justeru beberapa tambahan herba seperti kayu manis dan bunga cengkih akan dimasukkan bagi memberi perasa tambahan demi memudahkan proses meminumnya.

Tengkorak zaman Edo yang giginya hitam.

Untuk memastikan gigi kekal hitam, proses meminumnya diambil setiap hari sehinggalah akhirnya kesannya menjadi dominan di mana warta hitam akan kekal. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan tengkorak yang dapat dijejak sehingga ke zaman Edo (1603 – 1868 Masihi) yang masih hitam akibat pengamalan Ohaguro yang konsisten.

Kita kasi zoom sikit!

Tidaklah diketahui sejak bila amalan ini bermula. Tetapi ia dipercayai menjadi popular ketika era Heian (794-1185 Masihi). Ketika waktu ini, golongan bangsawan paling banyak mengamalkan, terutamanya kaum perempuan. Ketika waktu ini jugalah gigi hitam menjadi simbol kecantikan. Terdapat satu kisah bagaimana menghitamkan gigi menjadi popular pada waktu ini.

Selain daripada gigi yang hitam, masyarakat Jepun pada zaman Heian biasanya akan memutihkan wajah mereka menggunakan bedak beras. Namun penggunaan bedak beras ini sebenarnya akan membuatkan gigi menjadi kuning daripada sekuning gigi mereka yang asal.

Kan dah cakap macam takde gigi!

Jadi, untuk memastikan warna kuning gigi tidak merosakkan kecantikan, maka gigi diwarnakan dengan warna yang kontradik dengan putihnya wajah mereka akibat bedak beras. Ini juga memberi ilusi apabila seorang wanita tersenyum, seolah-olah mereka tidak mempunyai gigi langsung.

Selain sebagai simbolik kecantikan, masyarakat Jepun pada zaman itu percaya dengan menghitamkan gigi mereka sebenarnya mampu menguatkan gigi, serta melindungi gigi daripada penyakit seperti kaviti dan sakit gigi. Malah, selain sebagai simbolik kecantikan, para Samurai yang menghitamkan gigi sebagai simbolik kesetiaan mereka kepada para Damyo yang menjadi tuan mereka.

Ketika zaman Edo amalan menghitamkan gigi yang dulu popular dalam kalangan bangsawan di zaman Heian, mula diamalkan oleh masyarakat awam. Jadi, anda akan dapat melihat pelbagai kelas masyarakat mula menghitamkan gigi mereka. Daripada wanita yang berkahwin, bujang sehingga ke geisha dan pelacur turut menghitamkan gigi mereka.

Geisha sedang menghitamkan gigi.

Amalan menghitamkan gigi ini juga dikenali sebagai lambang kematangan seksual. Kepercayaan ini dijangka datang daripada Zaman Muromachi (1336-1573 Masihi). Pada zaman ini, terdapat amalan yang melibatkan anak-anak komander perang akan mewarnakan gigi mereka menjadi hitam pada usia 8-10 tahun sebagai simbolik mereka dah capai akil baligh.

Jadi, bagaimana simbolik kecantikan dalam masyarakat Jepun ini boleh lenyap ditelan zaman? Jawapan kepada persoalan tersebut ialah ketika Jepun mula memasuki zaman permodenan dibawah Maharaja Meiji. Pada zaman ini, ada percubaan untuk normalisasikan gigi putih sebagai simbolik kecantikan.  Pada tahun, 1870, Ohaguro mula diharamkan oleh kerajaan. Malah, Maharani Jepun pada ketika yang muncul dikhalayak awam dengan gigi putih sebagai sebuah bentuk menyokong pemutihan gigi sebagai simbolik kecantikan yang baru.

Foto gadis Jepun menghitamkan giginya pada abad ke-19.

Akhirnya, secara perlahan-lahan, amalan gigi hitam mula lenyap dalam masyarakat Jepun. Hari ini, kita mungkin boleh melihatnya dalam pementasan, filem, dan juga festival-festival kebudayaan. Mungkin juga dalam kuarters Geisha di Kyoto, anda dapat melihatnya masih diamalkan.

RUJUKAN:

Mingren, Wu. (2020). The Allure of Blackened Teeth: A Traditional Japanese Sign of Beauty. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/blackened-teeth-traditional-005544

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.