Ghani Minhat: Raja Bola Malaya

4529
views

Jauh sebelum Mokhtar Dahari, beliau merupakan pemain bola yang terhebat di zamannya. Insan tersebut ialah tidak lain dan tidak bukan ialah Abdul Ghani Minhat. Gelaran Raja Bola yang dianugerahkannya cukup membuktikan kehebatan beliau di atas padang. Namun siapakah beliau dan apakah kehebatan Abdul Ghani Minhat ini?

Abdul Ghani bin Minhat merupakan anak jati Negeri Sembilan. Dilahirkan di Kampung Solok, Rantau pada 23 Desember 1935. Minat Ghani terhadap bola sepak sejak beliau kanak-kanak lagi. Ketika zaman kanak-kanaknya, Ghani sering bermain bola sepak yang diperbuat daripada getah bersama rakan-rakannya.  Pada usianya berumur 10 tahun, Ghani mewakili sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Princess Road  bagi acara bola sepak hanya dengan berkaki ayam sahaja. Ini kerana pada ketika itu, hanya mereka yang berpendapatan tinggi sahaja mampu membeli but bola sepak.  Walaupun demikian, ianya tidak menghalang untuk Ghani mencipta nama dengan melakukan skil skil lincahan beliau yang menarik.

Kelincahan beliau di atas padang menarik perhatian para pemerhati yang terdiri daripada kalangan pegawai polis. Para pegawai polis itu kemudiannya menghadiahkan Ghani sepasang but untuk menajamkankan lagi skilnya di dalam sukan. Pada usianya 17 tahun, Ghani terpilih untuk bermain bersama Pasukan  Polis Depot Selangor yang bermain di dalam Liga Selangor. Ianya menjadi batu loncatan buat beliau untuk mewakili Selangor pada 1955 bagi merebut semula Piala HMS Malaya selepas 6 tahun. Ternyata, Ghani tidak menghampakan harapan Selangor. Beliau menjaringkan satu gol semasa perlawanan final Piala HMS di antara Selangor dan Singapura yang berkesudahan Selangor 2 SIngapura 1.

Di peringkat antarabangsa, nama Ghani mula digeruni oleh pihak lawan. Ini kerana status beliau sebagai salah seorang penyerang profilik di rantau Asia pada ketika itu. Ketika debut beliau bersama Malaya di bawah bimbingan Neoh Boon Hean, Ghani telah menjaringkan 7 gol ketika menewaskan Kemboja 9-2 pada 1956. Beliau juga menghasilkan satu gol beliau yang menakjubkan, iaitu apabila beliau melakukan voli daripada jarak 40 meter semasa menentang Vietnam semasa Pesta Bola Merdeka 1957. Meskipun Ghani gagal membantu Malaya memenangi piala tersebut, beliau berjaya membantu Malaya menggondol hatrik bagi Piala Merdeka dari tahun 1958 hingga 1960. Malah, pada tahun 1960, beliau telah mencetak sebanyak 34 gol di dalam 9 perlawanan sahaja. Ghani juga menjadi tonggak utama semasa Malaya menggondol pingat emas di dalam Sukan SEAP yang diadakan di Rangoon pada 1961.

Semasa Piala Asia 1962 yang berlangsung di Jakarta, Ghani telah mencetak 11 Gol ketika Malaysia menentang Filipina yang berkesudahan 15-1 di dalam peringkat kumpulan dan 4 gol ketika menewaskan Vietnam bagi merebut tempat ketiga di dalam acara tersebut. Rekod Ghani ini masih bertahan sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1963, sebuah perlawanan persahabatan diadakan di antara pasukan Malaysia dan Elthracht Frankfurt yang berkesudahan Malaysia tewas 4-2. Namun, dua gol yang dijaringkan oleh Ghani telah menarik minat kelab Jerman tersebut untuk membawa masuk beliau.  Selepas itu, Ghani menggembara ke serata Eropah untuk menimba ilmu bersama Robert Choe. Ketika di sana, beberapa kelab Eropah seperti FC Koln dan Cardiff City pernah cuba untuk mendapatkan khidmat beliau. Namun, beliau menolak kesemua tawaran tersebut.  Selepas PestaBola Merdeka 1963, Ghani terus menggantung butnya dari persada antarabangsa lalu menumpukan kariernya terhadap pasukan Selangor.

Selama di Selangor, Ghani telah menjulang kelab tersebut ke peringkat antarabangsa. Ghani membantu Selangor melayakkan diri ke peringkat akhir sebelum ditewaskan oleh Hapoel Tel Aviv semasa Kejohanan  Kelab-Kelab Asia. Sepanjang bersama Selangor, beliau berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Piala Selangor sebanyak 8 kali. Pada 1963, Ghani berjaya menjaringkan 106 gol di dalam 15 buah perlawanan termasuk aksi final ketika menewaskan Pulau Pinang 6-2, menewaskan Terengganu 18-0 dan 9 gol ketika menewaskan Negeri Sembilan. Rekod beliau ini masih lagi bertahan hingga ke hari ini. Pada tahun yang sama, Ghani juga telah dianugerahkan gelaran Raja Bola oleh Persatuan Bola Sepak Selangor  (FAS).

Ghani bersara sebagai pemain pada 1968 selepas membantu Selangor memenangi Piala Malaysia. Selepas itu, beliau dihantar oleh Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke Jepun untuk mengambil lesen kejurulatihan. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang berjaya mendapatkan lesen tersebut. Pada 1969, Ghani dilantik menjadi jurulatih Malaysia bagi menggantikan Peter Veelapan. Sepanjang mengendalikan skuad Harimau Malaya itu, Malaysia menjadi naib johan di dalam Pesta Bola Merdeka 1969, Piala Raja Thai dan pingat gangsa di dalam Sukan SEAP. Selepas itu, beliau meletakkan jawatannya sebagai jurulatih lalu berkahwin dengan wanita pilihannya.

Selepas berkahwin, beliau menjadi jurulatih pasukan Selangor sebanyak dua kali, iaitu pada 1970 hingga 1973 dan 1983 hingga 1985. Sepanjang menjadi jurulatih Selangor, beliau berjaya membawa selangor menjuarai Piala Malaysia 4 kali, Liga Malaysia, Piala FAM dan Piala SUmbangsih kesemuanya sekali.

Pada 28 September  2012, Abdul Ghani Minhat telah pulang ke rahmatullah akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara. Beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya. Sebagai menghargai karier dan sumbangan beliau di dalam sejarah bola sepak tanah air, Abdul Ghani Minhat pernah dianugerahkan beberapa kebesaran seperti Anugerah Mangku Negara (AMN) pada 1967, Darjah Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato pada 2001, Panglima Jasa Negara (P.J.N.) pada 2009 dan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri pada 2012.