https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Gerhana Mengikut Kepercayaan Tamadun Awal China

612

Fenomena gerhana matahari yang berlaku semalam nyata mengujakan ramai yang melihatnya terutama di Malaysia. Bagi umat Islam, fenomena ini merupakan tanda kebesaran Allah s.w.t sebagai pentadbir alam semesta. Tetapi jika diamati sejarah tamadun-tamadun lain, ada menganggap gerhana ini sebagai raksasa yang cuba menelan matahari dan bulan. Antara tamadun yang mempercayai kisah sebegini ialah Tamadun China.

Bagi penduduk-penduduk zaman awal China, bila berlakunya gerhana, mereka akan berlari keluar sambil mengetuk gong dan menjerit. Ada pula yang memilih menyalakan bunga api dengan tujuan menghasilkan bunyi bising yang kuat. Semua ini bertujuan menakutkan gerhana yang dianggap sebagai raksasa pemakan matahari. Atas sebab itulah, jika anda meneliti perkataan gerhana matahari dan gerhana bulan dalam Bahasa Cina, dua perkataan itu merujuk kepada dimakan. Gerhana matahari dipanggil rishi (matahari dimakan) sementara gerhana bulan pula dipanggil yueshi (bulan dimakan).

Mitos tamadun itu menceritakan pemakan dua objek cakerawala ini ialah naga tetapi ada juga sumber yang mengatakan ia sebenarnya seekor anjing langit bernama Tiangou. Tetapi cubaannya sentiasa dihalang oleh Dewa Zhang Xian yang juga dewa kanak-kanak yang baru lahir. Justeru tidak hairanlah bila gerhana berlaku, ahli-ahli astrologi istana cuba memanah ke langit dengan tujuan menghalau Tiangou dari memakan matahari atau bulan. Selain dikaitkan dengan gerhana, Tiangou juga sinonim dengan komet-komet yang dilihat di langit, satu petanda malang bagi masyarakat Tionghua.

Ketepikan seketika kisah ini, perlu diingat para cendekiawan China dilihat sudah mempunyai kepakaran mencerap angkasaraya termasuk menentukan bila berlakunya gerhana matahari atau gerhana bulan. Buktinya, satu peristiwa gerhana direkodkan dalam Shangshu (Buku Dokumen-Dokumen) yang dikatakan dikarang pada abad kelima Masihi.

Peristiwa gerhana ini dikatakan berlaku semasa pemerintahan Raja Zhongkang dari Dinasti Xia. Semasa peristiwa gerhana berlaku, seorang ahli astrologi istana bernama Yihe tidak kelihatan mencerap langit kerana terlalu sibuk bergembira di kediaman peribadinya. Kegagalan ahli astrologi itu mengesan gerhana menimbulkan panik bukan saja dalam masyarakat tetapi juga Zhongkang sendiri. Akibatnya, Yihe kemudiannya ditahan sebelum dihukum bvnvh kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Berikutan ketiadaan rekod sejarah berkenaan tempoh awal Tamadun China ini, tiada siapa yang pasti bila peristiwa gerhana ini berlaku. Tetapi ia merupakan satu misteri menarik yang menarik perhatian sejarawan dan ahli astronomi sepanjang sejarah China. Salah seorang daripadanya ialah seorang mubaligh Jesuit dari Jerman bernama Johann Adam Schall von Bell. von Bell berkhidmat sebagai ahli astronomi istana Dinasti Qing semasa pemerintahan Maharaja Shunzhi. Selain menulis dua dokumen berkenaan gerhana semasa berkhidmat di China, beliau juga berjaya menentukan peristiwa gerhana matahari yang berlaku pada hari pertama bulan kelapan kalendar bulan pada tahun 1644.

Dalam satu teks lain yang berjudul Zhushu Jinian (Bamboo Annals), satu rekod sejarah yang ditulis pada abad ketiga SM mendedahkan matahari terbenam berlaku sebanyak dua kali di bandaraya Zheng pada tahun pertama pemerintahan Raja Yi dari Dinasti Zhou. Kebanyakan cendekiawan berpandangan peristiwa gerhana matahari ini berlaku pada waktu pagi. Dan pada tahun 1997, pemerhati-pemerhati astronomi di Xinjiang mendedahkan apa yang direkodkan dalam Zhushu Jinian itu berlaku pada mereka.

Justeru tidak hairanlah, setahun sebelum itu China menubuhkan satu projek iaitu Projek Kronologi Xia-Shang-Zhou untuk mengenalpasti tempoh masa dan lokasi tiga dinasti tertua China itu. Salah satu petunjuk yang digunakan ialah peristiwa gerhana. Bagaimanapun, wujud kritikan penggunaan petunjuk sebegitu dianggap bermasalah kerana ia boleh saja salah, bersifat metafora atau kesilapan perekodan. Tetapi itu tidak boleh menafikan rekod sejarah China selama 4,000 tahun ditambah dengan seribu kes gerhana yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai tepat dan menyeluruh. Selain berfungsi sebagai petunjuk latar masa dan tarikh sesebuah peristiwa, ia juga berguna untuk mengkaji perubahan peredaran bumi pada alaf sebelumnya.

Usaha merekod dan menentukan peristiwa gerhana berlaku amat penting kepada hal ehwal pentadbiran kerajaan China lama. Ia menjadi semakin penting pada abad kedua SM apabila cendekiawan Dong Zhongshu menganggap ia sebagai interaksi antara syurga dengan manusia untuk menentukan kesahihan sesebuah monarki. Sesebuah dinasti dikatakan menerima mandat dari syurga sebagai tanda pengesahan pemerintahan mereka. Jika berlakunya peristiwa kosmik seperti gerhana atau lintasan komet, maka ia dianggap sebagai amaran dari langit kepada pemerintahn berkenaan sama ada mengubah cara pemerintahan mereka atau berpotensi kehilangan hak pemerintahan negara.

Pada 178 SM, Maharaja Wen dari Dinasti Han memulakan tradisi maharaja mengeluarkan teguran terhadap diri sendiri di khalayak ramai apabila berlakunya gerhana matahari, bertanggungjawab atas petanda berkenaan dan berjanji akan memperbetulkan kompas moralnya atau kesilapan urus tadbir kerajaan. Dalam kritikannya yang pertama, baginda menyalahkan dirinya kerana tidak mempunyai moral yang mencukupi dan menggalakkan pegawai-pegawainya untuk menegur setiap tindak-tanduk baginda.

Fenomena gerhana bukan saja berpotensi menentukan nasib sesebuah pemerintahan dinasti tetapi juga sebagai bukti paling kukuh bahawasanya bumi ini berbentuk sfera. Cendekiawan China bernama Shen Kuo (1031-1095) menggunakan model fenomena gerhana matahari dan gerhana bulan sebagai bukti bumi berbentuk sfera selepas ditanya Pengarah Pusat Pencerapan Astronomi sama ada bumi berbentuk sfera atau rata. Dalam catatannya yang bertajuk Dream Pool Essays yang ditulis pada tahun 1088, beliau menyifatkan pergerakan bulan semasa berlakunya gerhana termasuk bila ia menutup separuh daripada matahari berbentuk bulat. Justeru, Shen Kuo berpandangan objek-objek cakerawala yang wujud berbentuk sfera.

Tetapi bukan Tamadun China sahaja yang percaya kepada mitos raksasa pemakan bulan dan matahari ini. Bagi orang Viking, ada dua raksasa yang sentiasa mengintai peluang memakan bulan dan matahari iaitu dua serigala bernama Hati dan Skoll. Skoll mengejar bulan manakala Hati mengejar matahari. Apabila salah seekor daripadanya berjaya mendapat mangsa mereka, ia akan menutup cahaya. Seperti penduduk awal China, orang Viking juga akan keluar dan membuat bising sekuat yang mungkin untuk menghalau Hati atau Skoll.

Manakala bagi penganut Hindu, gerhana itu melambangkan syaitan bernama Rahu. Mengikut mitologi agama Hindu, syaitan dan dewa-dewi bekerjasama menghasilkan ramuan minuman keabadian. Rahu amat menginginkan minuman tersebut lalu menyamar untuk menyusup masuk ke dalam sebuah jamuan. Bagaimanapun, rancangan syaitan itu didedahkan oleh bulan dan matahari kepada Dewa Vishnu tatkala dia baru saja mengambil sedutan yang pertama.

Akibatnya, Rahu dip3nggal dengan kepalanya saja yang masih bernyawa sementara badannya m4ti. Ini menyebabkan kepala Rahu terus mengejar bulan dan matahari dalam keadaan marah. Gerhana matahari dan bulan dikatakan berlaku kerana Rahu berjaya menggigit matahari dan bulan tetapi kedua-duanya berjaya melepaskan diri kerana dia tidak mempunyai tangan untuk memegang mereka sekaligus menyaksikan kejar-mengejar ini bermula semula.

SUMBER

  1. EarthStoriez.com. CHINA: Solar Eclipses in History and Mythology. https://www.earthstoriez.com/china-eclipse-history-mythology/
  2. Jue, Liu. (2017). A brief history of the solar eclipse. The World of Chinese. https://www.theworldofchinese.com/2017/08/a-brief-history-of-the-solar-eclipse/
  3. Waldek, Stephanie. (2018). How 5 Ancient Cultures Explained Solar Eclipses. History. https://www.history.com/news/how-5-ancient-cultures-explained-solar-eclipses

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.