Gergasinya & Kerdilnya Makhluk Haiwan

0
1093
views

Pada tahun 1963, dua orang ahli ekologi iaitu Robert Helmer MacArthur (1930-1972) dan Edward Osborne Wilson (1929-Kini) telah mengemukakan teori baru dalam perkembangan kajian dunia flora & fauna, iaitu Island Biogeography (Biogeografi Kepulauan).

Mereka berdua percaya, pulau-pulau di seluruh dunia memainkan peranan terpenting dalam kepelbagaian spesis flora & fauna. Pulau yang sememangnya bersifat terasing (isolated) dari tanah besar dan mempunyai sumber yang terhad untuk kemandirian (survival) haiwan, mempunyai ‘kuasa’ dalam mengawal populasi haiwan sama ada spesis yang melakukan imigrasi dari tanah besar atau spesis asal (di pulau) yang mengalami kepupusan.

Dengan kata lain, pulau mempunyai ‘kuasa’ dalam mengekalkan kepelbagaian dan populasi spesis yang mendiami pulau. Jadi, kemukalah teori ‘Island Biogeography’.

Apakah sebenarnya kaitan antara teori Island Biogeography dengan kegergasian dan kekerdilan suatu spesis haiwan?

Baik. Jika pulau mempunyai ‘kuasa’ terhadap populasi spesis haiwan, mesti sumber yang terdapat pada pulau mempengaruhi suatu populasi haiwan untuk survival dan mengambil keputusan sama ada kekalkan jumlah populasi ataupun sebaliknya.

Selain menimbang-tara akan jumlah populasi, suatu spesis haiwan yang mendiami pulau juga perlu mengambil keputusan sama ada ingin menjadi spesis gergasi atau kerdil. Maka, beradaptasi untuk menjadi spesis gergasi atau kerdil adalah salah satu langkah dalam melengkapkan evolusi.

Kita ambil contoh bagi fahamkan tentang kegergasian & kekerdilan spesis haiwan:

1. Burung Gajah (Nama saintifik: Aepyornis maximus), keluarga Aepyornithidae. Dulu, kita mempunyai burung gajah. Burung setinggi 10 kaki dan mempunyai berat sebanyak 1000 pounds menjadikan spesis burung ini adalah terbesar dan terberat mengalahkan burung unta. Moyang mereka dahulu adalah burung yang berkebolehan untuk terbang dan berasal dari Australia. Disebabkan Gondwana (benua terbesar sebelum wujudnya 7 benua dunia) telah terpisah oleh aktiviti kerak Bumi, burung tersebut berimigrasi ke Madagascar. Sampai di Madagascar, burung itu telah mengalami evolusi yang ketara setelah berjuta-juta tahun mendiami, kerana:

Waqaf Saham

a. Madagascar ketika itu tiada pemangsa yang menjadi ‘raja’ kepada haiwan lain.

b. Mempunyai sumber makanan yang cukup bagi menampung populasi moyang burung gajah yang baru imigrasi.

Maka, moyang burung gajah memilih untuk menjadi spesis gergasi dan menjadi ‘raja’ di Madagascar dengan mengorbankan sayapnya dan tinggal lama di pulau tersebut untuk mengembangkan kepelbagaian spesis sehingga wujud spesis burung gajah. Namun, pada abad ke-17 & ke-18, burung gajah disahkan pupus secara misteri. Kemungkinan besar kerana aktiviti manusia seperti pemburuan pada zaman penjelajahan Eropah.

GAMBAR 2: Illustrasi Burung Gajah

2. Gajah Kerdil. Kita juga mempunyai gajah kerdil. Gajah kerdil biasanya wujud di kepulauan Mediterranean dan kepulauan Indonesia (berdasarkan bukti arkeologi). Moyang gajah kerdil sama dengan moyang gajah yang wujud sekarang ini. Tapi mengapa gajah kerdil hanya ditemui di pulau dan bukan di tanah besar? Ada sebab mengapa perkara ini berlaku:

a. Di zaman Ais, apabila banyak dataran di bawah aras laut sekarang terdedah (seperti Sundaland di Asia Tenggara), banyak gajah pelbagai spesis berimigrasi ke tempat baru di Eropah dan Asia Tenggara.

b. Di akhir Zaman Ais, paras air laut telah meningkat kerana cairan ais glasier. Pada zaman itulah sesetengah populasi gajah menetap di pulau-pulau. Namun, pulau-pulau yang gajah diami tidak mempunyai sumber makanan yang cukup untuk menampung survival populasi gajah yang bertubuh besar. Jadi, gajah tersebut terpaksa memilih untuk menjadi kerdil bagi mengekalkan spesis di pulau yang terpencil.

Tubuh badan gajah akhirnya berevolusi sehingga bersaiz 1.5-2.3 meter besarnya. Peng’kerdil’an spesis gajah berjaya dalam survival di pulau terpencil. Walau bagaimanapun, kebanyakkan spesis gajah kerdil telah pupus kerana pemburuan tidak terkawal oleh pemburu gajah. Sekarang, hanya satu spesis gajah kerdil yang masih hidup, iaitu Gajah Borneo Pygmy di Pulau Borneo. Lokasi lebih spesifik di sekitar Sungai Kinabatangan, Sabah.

GAMBAR 3: Gajah Borneo

Banyak lagi contoh spesis haiwan lain yang pernah mengalami kegergasian dan kekerdilan spesis. Dua contoh ini saja cukup untuk menjelaskannya.

Mungkin, di masa akan datang, mungkin berjuta-juta tahun akan datang, jika spesis manusia masih wujud, mungkin akan jadi spesis gergasi bila berada di pulau yang kaya dengan sumber makanan.

RUJUKAN:

  1. Filin, I.; Ziv, Y. (2004).“New Theory of Insular Evolution: Unifying the Loss of Dispersability and Body-mass Change” (PDF). Evolutionary Ecology Research6: 115–124.
  2. Herczeg, G. B.; Gonda, A. L.; Merilä, J. (2009-07-16). “Evolution of Gigantism in Nine-Spined Sticklebacks”.Evolution63 (12): 3190–3200
  3. Raia, P.; Meiri, S. (August 2006).“The island rule in large mammals: paleontology meets ecology”.Evolution60 (8): 1731–1742.
  4. Contoh haiwan mengalami kegergasian dan kekerdilan:
    https://en.wikipedia.org/wiki/Island_gigantism#Examples
    https://en.wikipedia.org/wiki/Insular_dwarfism#Examples