Gereja Berlin Membuka Pintu Untuk Orang Bersolat

606

Dalam menghadapi dugaan paling besar zaman ini, semua orang perlu bersolidariti. Pergaduhan perlu dielakkan.

Persengketaan mesti diselesaikan. Sebarang unsur negatif yang menentang dengan semangat penyatuan mesti diketepikan sama sekali, kerana musibah mudah diselesaikan tanpa perpecahan.

Koronavirus telah memberikan kesan kepada semua orang. Tetapi umat Islam sekarang ini menerima tempias paling teruk.

Semua mengharungi Ramadan yang suram. Tiada bazar dibenarkan buka, jangankan Malaysia – malah di seluruh negara pun begitu juga.

Iran pula telah berdepan dengan pergeseran diplomasi bersama negara-negara Barat.

Sekatan ekonomi daripada Barat telah memberikan bebanan sepanjang tahun. Peniaga-peniaga kecil-kecilan mengharapkan sambutan Navruz dan Aidilfitri untuk mendapat pulangan besar-besaran.

Tetapi bazar-bazar mereka sunyi tanpa orang ramai (Bozorgmehr, 2020).

Begitu juga dengan Malaysia. Semasa tahun-tahun biasa, keramaian orang di bazar menyukarkan aliran pergerakan pun.

Bagi 2020, semua jalan raya yang pernah digunakan untuk bazar menyepi dengan hanya bunyi deruman enjin dan bingitan serangga.

Jangankan bazar – masjid dan surau pun begitu. Sampaikan rumah-rumah ibadah perlu dielakkan bagi memastikan koronavirus kekal terbendung.

Tetapi sinaran cahaya dilihat kembali mencurahkan harapan apabila masjid mula dibuka semula untuk peserta kecil-kecilan (Khairah, 2020).

Malah Donald J. Trump pun telah menuntut supaya masjid, gereja dan kuil dibuka semula (Agencies, 2020). Dan serata dunia pun begitu; masjid-masjid dibuka dengan syarat solat dikerjakan dengan jarak saf semeter (atau lebih).

Bukan semua orang bersetuju dengan norma baharu ini. Seorang pendakwah Syria bernama Mohib Khouli mencetuskan berang daripada pengguna-pengguna Facebook Malaysia apabila menyuarakan pendapatnya tentang jarak saf.

Semasa Easter yang lepas, seorang penulis konservatif pula menyentuh jika kerajaan Amerika berani membuat penjarakan sosial bagi umat Islam ketika Ramadan.

Dan Trump sendiri mengulang-kicau twit tersebut.

Hari ini Jerman telah menunjukkan nilai murni tentang kepentingan solidariti. Saf yang perlu dijarakkan telah memberikan bebanan besar kepada struktur masjid.

Untuk mematuhi piawaian yang ditetapkan persekutuan, Datuk Bandaraya Berlin Michael Müller telah meletakkan beberapa garis panduan. Dan Masjid Dar Assalam di daerah Neukölln berdepan dengan masalah.

Mereka hanya boleh menempatkan 50 orang sahaja untuk mengerjakan solat Jumaat. Jadi sebuah gereja Martha Lutheran telah menghulurkan bantuan.

Paderi gereja Monika Matthias bertanya kepada Imam Mohamed Taha Sabry – “kamu perlu tempat untuk bersembahyang?” (BBC, 2020).

Dan Mohamed Taha berkata ini merupakan petanda solidariti yang sangat baik. “Koronavirus telah menyatukan kami dalam komuniti,” beliau berkata, sambil mengimamkan solat dibawah bumbung gereja.

Dan jemaahnya berkata, “agak janggal kerana ada alat muzik dan gambar keagamaan. Tetapi apabila kita merenung, apabila kita ketepikan semua ciri-ciri kecil, ini pun rumah ibadat juga.”

Apa Yang Menggerakkan Hati Monika?

Paderi gereja mengambil bahagian dalam solat Jumaat tersebut secara tidak langsung. Azan yang berkumandang memberikan kesan untuknya (secara positif).

Dan selepas solat, beliau memberikan ucapan pendek bahawa komunitinya ingin berkongsi dan belajar.

Tindakan untuk berkongsi gereja tidak datang daripadanya sahaja. Seluruh jemaah sebulat suara untuk merapatkan hubungan. Dan selama mana umat Islam perlukan tempat untuk bersolat, selama itulah gereja tersebut akan dibuka.

Majlis Agama Islam Jerman yang menaungi 400 masjid mengakui bahawa banyak institusi masjid berdepan dengan kemuflisan akibat perintah berkurung.

Kerana Ramadan, bulan yang sepatutnya derma mencurah-curah, ini semua menghadapi kesukaran.

RUJUKAN:

Agencies. (2020, Mei 22). Trump calls on synagogues, churches and mosques to reopen this weekend. The Times of Israel. Retrieved from https://www.timesofisrael.com/trump-calls-on-churches-synagogues-and-mosques-to-reopen-this-weekend/

BBC. (2020, Mei 23). Ramadan: German church opens doors for Muslim prayers. Retrieved from https://www.bbc.com/news/world-europe-52780600

Bozorgmehr, N. (2020, Mac 13). Iranians devastated by prospect of new year under quarantine. Financial Times. Retrieved from https://www.ft.com/content/db0b573c-6390-11ea-b3f3-fe4680ea68b5

Khairah, N.K. (2020, Mei 4). Mosques, suraus may open soon if govt approves guidelines. New Straits Times. Retrieved from https://www.nst.com.my/news/nation/2020/05/589755/mosques-suraus-may-open-soon-if-govt-approves-guidelines

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.