Gerakan Memurnikan Bahasa: Perihal Bahasa Melayu VS Beka Melayu

1,209

https://bit.ky/kombowww

Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang dituturkan oleh 300 juta penutur di seluruh dunia khususnya di Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Timur Timor, Filipina dan Palawan serta Pulau Krismas dan Pulau Kokos di Australia. Beka Melayu secara dasarnya ialah kepercayaan bahasa kosa kata jati lebih diutamakan berbanding kata pinjaman. Perkataan “bahasa” yang merupakan kata pinjaman bahasa Sanskrit, bhāṣā (भाषा) digantikan dengan “beka” yang secara harfiahnya bermaksud “berbual-bual”.  Untuk pengetahuan, perkataan “beka” merupakan serumpun dengan “Wika” dalam bahasa Tagalog.

Persoalannya, bagaimana hendak mencipta “Beka Melayu”? Kosa kata Beka Melayu boleh dicipta dengan menggunakan gabungan asas perkataan jati seperti “Matahari” daripada perkataan “Mata” dan “Hari”. Selain itu, terjemahan langsung daripada bahasa asing seperti Hidrogen (Bahasa Yunani) kepada Akar Air (Beka Melayu) membantu penciptaan tersebut. Menambahkan makna asas perkataan jati seperti “Akar” bagi menggantikan istilah Sains “Zarah” (Particles) turut berupaya. Malah, perkataan secara langsung daripada Proto-Austronesia boleh digunakan jika bahasa moden tidak mempunyai perkataan tertentu.

Antara kosa kata dalam Beka Melayu ialah “Kalilangit” dan “Kaliapi”. Perkataan “Kalilangit” dan “Kaliapi” masing-masing digunakan untuk menggantikan “Syurga” dan “Neraka”. Kedua-dua kosa kata jati itu terdiri daripada perkataan “Kali” serta “Langit” dan “Api”. Dalam Proto-Austronesia, “Kali” ialah imbuhan awalan yang menunjukkan hubungan alam ghaib.

Selain itu, “Akar Air” dan “Akar Tajam” adalah contoh kosa kata dalam Beka Melayu. Perkataan tersebut masing-masing digunakan untuk menggantikan istilah Sains “Hidrogen” dan “Oksigen”. Kedua-dua kosa kata tersebut terdiri daripada perkataan “Akar” serta “Air” dan “Tajam”. Dalam Sains, molekul air terdiri daripada dua atom Hidrogen dan satu atom Oksigen. Dalam Sains juga, Oksigen berperanan dalam pembentukan asid.  Justeru, “Akar Air” terbentuk daripada pengetahuan Sains dalam bilangan Hidrogen yang lebih banyak daripada Oksigen di dalam setiap molekul air.

Di samping itu, “Rumah Makan” atau “Balai Makan” adalah contoh kosa kata dalam Beka Melayu. Kedua-dua perkataan tersebut digunakan untuk menggantikan istilah sedia ada seperti “Restoran”, “Warung”, “Kedai Makan” dan sebagainya. Kedua-dua istilah tersebut terdiri daripada perkataan “Rumah”, “Makan” dan “Balai”.

Kemudian, “Buah Api” adalah contoh kosa kata dalam Beka Melayu. Perkataan tersebut digunakan untuk menggantikan perkataan “Lampu”. Perkataan itu terdiri daripada perkataan “Buah” dan “Api”. Menurut Sejarah, Thomas Alva Edison berjaya membuat paten untuk lampu ciptaannya pada tahun 4 November 1879. Lampu tersebut seolah-olah seperti bentuk buah pir.  Bentuk buah tersebut menjadi ilham pembentukan istilah “Buah Api”.

 Seterusnya, “Nusaraya”, “Nusatengah” dan “Nusamatahari” adalah contoh kosa kata dalam Beka Melayu. Ketiga-tiga perkataan tersebut masing-masing digunakan untuk menggantikan nama tempat sedia ada iaitu “Indonesia”, “Singapura” dan “Jepun”. Perkataan tersebut terdiri daripada perkataan “Nusa” (Pulau), “Raya” (Besar), “Tengah” dan “Matahari”. Kedudukan geografi ketiga-tiga negara tersebut memberi ilham kepada istilah Beka Melayu. Nusaraya (Indonesia) mempunyai banyak pulau, Nusatengah (Singapura) dikelilingi oleh dua negara dan matahari terbit dahulu di Nusamatahari (Jepun).

 Akhir sekali, “Rumah Sembahyang” dan “Balai Sembahyang”  adalah contoh kosa kata dalam Beka Melayu. Kedua-dua perkataan tersebut digunakan untuk menggantikan istilah khusus tempat ibadat mengikut agama tertentu seperti Masjid, Surau, Gereja, Sinagog dan sebagainya. Perkataan tersebut terdiri daripada perkataan “Rumah”, “Balai” dan “Sembahyang”. Untuk pengetahuan, perkataan “sembahyang” terdiri daripada perkataan “Sembah” dan “Hiang” (Tuhan).

 Akhir kata, itu adalah contoh kosa kata dalam Beka Melayu. Antara kelebihan dalam kejayaan pembersihan bahasa Melayu ialah, penutur bahasa tersebut akan lebih mudah mempelajari dan memahami bahasa serumpun yang lain. Sebagai contoh, perkataan “balai” adalah serumpun dengan “fale” (Tonga), “hale” (Hawaii), “bahay” (Tagalog), “bai” (Palau) dan “walai” (Dusun). Keburukannya ialah, gerakan ini akan memperlahankan perolehan maklumat baharu. Sebagai contoh, ahli bahasa mengambil masa yang agak panjang untuk mencipta perkataan jati bagi menggantikan perkataan Selfie, Joystick, Games dan sebagainya. Masa yang panjang tersebut menyebabkan perkataan asing itu sebati dalam diri kita.

Artikel disumbangkan oleh Alam Bahasa untuk The Patriots.

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.