Secara amnya, Führer merupakan suatu gelaran yang berasal dari perkataan Jerman yang membawa maksud ‘ketua’ ataupun ‘pebimbing’. Bagi peminat sejarah pula, gelaran Führer pastinya sudah tidak asing sama sekali. Hal ini kerana, gelaran ini begitu popular penggunaanya. Penggunaannya merujuk kepada bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler (1889 – 1945).

Hitler mula menggunapakai gelaran ‘Der Führer’ seawal 1920-an. Gelaran tersebut digunakan bagi merujuk kepada jawatan dia sebagai ketua tertinggi (Oberster Führer) di dalam parti Nazi. Menariknya, sejarah telah membuktikan bahawa Hitler bukanlah individu pertama yang menggunakan gelaran Führer. Sebaliknya dia telah meniru penggunaan gelaran ini daripada Schönerer, Führer pertama sebelum Hitler.

Nasionalis Yang Mendambakan Penyatuan

Schönerer atau nama penuhnya Georg Ritter Von Schönerer merupakan seorang nasionalis dan aktivis politik yang aktif berkecimpung dalam arena politik Austria sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Lahir pada tanggal 7 Julai 1842, beliau membesar untuk menjadi seorang nasionalis yang menjulang tinggi sosok Otto Von Bismarck (1815 – 1898), selain menjadi individu paling lantang memperjuangkan agenda Pan-Jermanisme dan anti-semitisme di Austria.

Georg Ritter Von Schönerer

Berdasarkan sumber, peristiwa yang menjadi titik tolak kepada keseriusan Schönerer untuk melebarkan karier politiknya tercetus apabila Austria tewas dalam Perang Austro-Prussia 1866. Kekalahan Austria itu menyaksikan pembubaran Konfederasi Jerman (Deutscher Bund) yang digantikan dengan penubuhan Konfederasi Jerman Utara (Norddeutscher Bund).

Impaknya, wilayah Austria dipinggirkan dan tidak dimasukkan menjadi sebahagian daripada Empayar Jerman (Kaiserreich) sepertimana keadaan sebelum ini. Prubahan status quo inilah yang menjadikan Schönerer nekad untuk memperjuangkan agenda Pan-Jermanisme dengan harapan agar Austria dapat bersatu kembali dengan Jerman membentuk sebuah negara tunggal sebagai platform keramat bagi menyatukan etnik Jerman di bawah satu bumbung.

Anti-semitisme Sebagai Penggerak Utama

Sejarah karier politik Schönerer mula meningkat sekitar tahun 1873 sejurus beliau terpilih menjadi wakil bagi golongan Liberal di Reichsrat (Parlimen Austria). Agak hairan bagaimana individu yang pada awalnya membawa suara liberal boleh mengubah pandangannya menjadi seorang yang ekstrem dalam berpolitik. Dalam hal ini, sejak tahun1880-an Schönerer mula menzahirkan pandangan ekstremnya; usaha perjuangan bangsa Jerman di Austria adalah untuk menentang dan menghalau keluar orang Yahudi yang didakwa merupakan akar utama kepada masalah yang dihadapi bangsa Jerman di Austria.

Menerusi Jurnal ‘The Founder of Modern Political Antisemitism: Georg von Schoenerer’, Oscar Karbach menegaskan bahawa Schönerer merupakan individu pertama yang menyasarkan kaum Yahudi sebagai kambing hitam dalam usaha mencapai agenda politik beliau. Sudah pasti para pembaca menyedari bahawa taktik sebegini juga bakal digunakan oleh Hitler dan parti Nazi puluhan tahun kemudian.

Antara usaha yang dilaksanakan bagi meraih sokongan massa sepanjang memperjuangkan ideologi ekstrem beliau, seperti yang ditegaskan, Schönerer mula mengambing hitamkan kaum yahudi di atas segala kesulitan yang bangsa Jerman alami. Tidak mengejutkan bahawa Hitler juga membuat perkara yang sama beberapa tahun kemudian.

Hal ini kerana, sewaktu Hitler merempat di Viena ketika usia mudanya, dia begitu tertarik dengan falsafah politik Pan-Jermanisme yang ditawarkan oleh Schönerer. Tidak cukup dengan itu, Hitler juga menyerap pandangan anti-semitisme Schönerer. Oleh yang demikian, tidaklah dapat dinafikan bahawa Schönerer merupakan individu terawal yang bertanggungjawab menyemai sifat kebencian terhadap Yahudi dalam diri Hitler.

Dalam pada itu, antara perkara yang pernah dilakukan Schönerer dalam menzahirkan kebenciannya terhadap kaum Yahudi adalah dengan mencadang suatu usul di parlimen untuk menyekat kemasukan imigran Yahudi ke Vienna. Beliau menyuarakan bantahan mengenai kemasukan mereka yang semakin hari semakin ramai ke dalam Vienna. Bagi memastikan beliau mendapat sokongan yang padu, Schönerer tidak teragak-agak untuk mengecop mana-mana individu atau golongan yang menolak seruan ekstremnya sebagai ‘pengkhianat kepada bangsa Jerman’ dan ‘hamba kepada Yahudi’.

Menariknya, perjuangan Schönerer berjaya menarik sebilangan pengikut terutamanya dari golongan kelas pekerja. Di samping itu, antara golongan lain yang menyahut seruan Schönerer adalah persatuan pelajar (Burschenschaft) . Pada waktu inilah, Schönerer mula dijoloki oleh para pengikutnya dengan gelaran Führer, selain memperkenalkan frasa ‘Heil’ sebagai sapaan utama sesama ahli. Jika diperhatikan, kedua-dua perkara ini kemudiannya ditiru oleh Hitler dan parti Nazi.

Antara perkara gila yang pernah dilakukan oleh Schönerer dan para pengikutnya adalah menyerang sebuah pejabat akhbar milik Yahudi. Puncanya? puncanya hanyalah kerana pejabat akhbar tersebut mengeluarkan laporan mengenai kemangkatan Maharaja Jerman, Wilhelm I (1797 – 1888). Susulan daripada insiden serangan itu, Schönerer telah dipenjarakan malah kehilangan statusnya sebagi seorang ahli parlimen.

Kemuncak kepada perjuangan Schönerer dan pengikutnya berlaku pada tahun 1901 apabila 21 ahli daripada partinya berjaya mendapat kerusi di parlimen Austria. Walaubagaimanpun, selepas daripada itu, pengaruh serta prestij Schönerer mulai merosot dengan pantas, lantas menyebabkan partinya berpecah sekitar tahun 1907. Schönerer meninggal dunia pada tanggal 14 Ogos 1921 dan dikebumikan di wilayah Schleswig-Holstein.

Nyatalah, legasi yang ditinggalkan Schönerer ternyata tidak mati dan terkubur bersamanya, sebaliknya ia dibelai dan ‘dihidupkan’ kembali oleh seorang lelaki. Seorang lelaki bernama Adolf Hitler yang bangkit sebagai pemimpin diktator yang bakal mengubah hala tuju Jerman dan dunia pada tahun-tahun mendatang.


Sekiranya anda ingin jual buku secara online, jangan lupa yang delivery adalah bahagian yang penting.

Guna Delyva sebagai platform perbandingan harga rider & kurier anda untuk hantar buku kepada pelanggan!


RUJUKAN:

Hamann, Brigitte (2010). Hitler’s Vienna: A Portrait of the Tyrant as a Young Man. Tauris Parke Paperbacks.

Childers, T. (2018). The third reich: A history of nazi germany. Simon & Schuster Paperbacks.

Britannica, T. Editors of Encyclopaedia (2021, August 10). Georg, Ritter (knight) von Schönerer. Encyclopedia Britannica.

Karbach, O. (1945). The Founder of Modern Political Antisemitism: Georg von Schoenerer. Jewish Social Studies, 7(1), 3–30. http://www.jstor.org/stable/4464624


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply