Gendang Silat: Alat Muzik Yang Mengiringi Pesilat

473

Mereka bersilat kami berirama, bila bergabung berdirilah bulu roma.”

Ungkapan di atas sudah cukup menggambarkan justifikasi antara silat dengan gendang yang mengiringi para pesilat.

Perkaitan gendang silat dengan silat itu sendiri boleh dikatakan bersilat tanpa gendang umpama seorang penyanyi yang menyanyikan lagu tanpa iringan muzik.

Sebagai seorang pesilat yang menjiwai seni silatnya, jika sedang memperagakan silat tanpa iringan gendang silat, ia umpama tubuh badan tanpa roh.

Jika seseorang pesilat menjiwai irama, dia akan tidak senang duduk hingga ada yang melompat masuk ke gelanggang.

Tamsilnya, dengan iringan gendang silat yang dimainkan oleh kumpulan gendang yang berada di penjuru gelanggang dapatlah memberikan jiwa atau semangat kepada pesilat supaya memperagakan seni silat dengan lebih baik.

Sejarah perkembangan gendang silat agak kabur, namun gendang silat dipercayai datang atau berasal dari istana. Jika di istana, alunan muzik untuk istana dikenali sebagai nobat.

Tidak juga diketahui siapa yang bertanggungjawab membawa nobat Istana menjadi gendang untuk rakyat. Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa Nobat untuk raja, manakala kumpulan gendang untuk rakyat.

Nobat adalah salah satu cabang seni muzik tradisi yang terdapat di Malaysia. Sebagaimana yang kita tahu, terdapat empat buah negeri di Malaysia yang mempunyai kumpulan alat muzik Nobat iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor.

Nobat Diraja dan gendang rakyat tidak banyak berbeza dari segi alat muziknya. Yang membezakan antara gendang rakyat dan juga nobat adalah serunai, manakala nobat menggunakan Nafiri.

Gendang Pantai Timur berbeza dengan gendang di Negeri Utara. Ia berbeza dari segi serunai yang mana bunyi serunai utara lebih nyaring berbanding serunai kawasan Pantai Timur. Ini kerana struktur serunainya lebih pendek dan mempunyai lubang serombong yang lebih besar.

Bagi kawasan Pantai Timur, gendang dipalu menggunakan rotan, manakala di negeri lain, ia dipalu menggunakan tangan.

Penulis berpeluang untuk bertemu dengan sebuah kumpulan gendang silat yang berasal dari Taiping. Sekumpulan anak muda berusia awal 20an ini bergiat aktif memainkan alat muzik tradisi orang Melayu dengan penuh adat.

Sewaktu mengiringi para pesilat di gelanggang, mereka juga turut mengenakan busana Melayu lengkap bertanjak melambangkan adat yang luhur dalam diri mereka.

Mereka adalah Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan yang berpusat di Mukim Bukit Gantang. Mereka terdiri daripada 6 orang anak tempatan iaitu Fazwie Bin Roslan, Ahmad Amir Hanif Bin Abdullah, Farizal Bin Roslan, Muhammad Shahrien Bin Abdullah Halim, Mohamad Sajarathul Muttaha Bin Mat Husin, Muhammad Safwan Bin Mohd Samhudi dan dipimpin oleh Cikgu Rizal Lokman.

Dalam pertemuan tersebut, penulis didedahkan secara terperinci mengenai gendang silat. Antaranya adat yang terdapat dalam gendang silat yang lazimnya hanya diamalkan di negeri sebelah Utara.

Antara adat dan adab yang perlu dipatuhi adalah tidak melangkah gendang, tidak mendirikan gendang di atas simen yang tidak beralas dan alatan hendaklah disimpan secara berdiri.

Menurut mereka lagi, para pemain gendang perlu melalui satu istiadat yang dikenali sebagai istiadat ‘turun tangan’ untuk semua jenis alat muzik tradisional.

Dalam istiadat tersebut, mereka akan diberi sirih pinang yang telah didoa dan hendaklah dimakan sebanyak tiga kali selama tiga hari. Ia sebagai simbolik bahawa semua ahli gendang diakad untuk belajar pada guru mereka. Upacara ini dilakukan bersama guru-guru tua di negeri Kedah.

Terdapat empat jenis alat muzik asas pada kumpulan gendang iaitu serunai, gendang ibu, gendang anak dan juga gong.

Serunai lazimnya dimainkan oleh dua orang pemain secara berganti. Dalam kumpulan ini serunai dimainkan oleh saudara Farizal bin Roslan dan Muhammad Shahrin.

Struktur sebatang serunai terdiri dari tiga bahagian iaitu nail, batang dan serombong. Pada bahagian nali terdapat pipit yang diikat dengan benang gedung sebagai alat untuk meniup. Pipit diperbuat dari daun kelapa laut dan dilapik dengan tempurung kelapa sebagai penampan mulut. Getaran pada pipit berfungsi untuk menghasilkan bunyi.

Serunai berperanan sebagai pembawa irama lagu atau melagukan sesebuah lagu gendang silat. Terdapat 8 lubang pada serunai yang membentuk beberapa not.

Konsep meniup serunai sangat mudah iaitu dengan meniup tanpa memutuskan angin, namun teknik pernafasan yang betul bagi mengelak angin terputus sangat sukar dilakukan iaitu menghembus sambil nafas menyedut kembali udara. Teknik ini menjadikan irama serunai tidak putus bila didendangkan.

Gendang ibu pula bertindak sebagai bass. Bahagian badang gendang dipanggil baloh yang diperbuat daripada kayu nangka atau batang kelapa.

Terdapat dua permukaan pada gendang ibu, permukaan gendang kecil di panggil ‘pak’ diperbuat daripada kulit kambing manakala permukaan yang lebih besar dipanggil ‘bam’ atau ‘duh’ diperbuat daripada kulit lembu. Kedua permukaan kulit ini diikat menggunakan bingkai besi ataupun rotan. Pada bahagian badan gendang diikat dengan tali bertujuan untuk menegangkan bahagia kulit atau untuk melaraskan bunyi gendang.

Gendang anak sama juga dari segi pembuatannya manakala perbezaan hanya pada permukaan gendang lebih kecil dan mengeluarkan bunyi yang berbeza dari gendang ibu. Gendang anak berfungsi memberi rentak lagu dengan bertingkah pada gendang ibu supaya lagu menjadi harmoni.

Alat yang keempat adalah gong yang terdiri darpada badan gong, kaki dan pemukul. Gong yang digunakan diperbuat daripada logam. Bagi muzik gamelan gong berfungsi sebagai tulang belakang pada irama gamelan.

Begitu juga muzik gendang, gong turut memainkan peranan sebagai melengkapkan sesebuah lagu pada kumpulan gendang.

Antara rentak yang boleh dibawa oleh sesebuah kumpulan gendang silat ialah rentak gendang silat Kedah, rentak Pattani, tomi, joget, zapin, rentak cha-cha, dangdut dan rentak ‘jalan’.

Manakala lagu-lagu yang dimainkan ketika persembahan ialah lagu layang mas, ayam didik, aladum, jong-jong  inai, wau bulan dan banyak lagi.

Terdapat beberapa instrumen lain yang boleh berkolaborasi dengan irama gendang silat ini seperti biola, seruling, accordion, tamborin dan lain-lain lagi.

Ketika persembahan silat yang berlansung dengan iringan gendang silat, antara lagu-lagu yang lazimnya dimainkan bagi mengiringi pesilat ialah lagu gendang silat Kedah bagi persembahan tempur.

Manakala untuk persembahan tari pula diiringi dengan lagu Pattani, persembahan jurus akan dimainkan lagu-lagu tradisional yang lain, juga turut dimainkan pada sesuatu majlis seperti majlis rasmi dan majlis perkahwinan.

(Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan. Dari kiri Farizal, Fazwie, Cikgu Rizal, Amir Hanif, Shahrien)

Ketika menceritakan pengalaman sebagai pemain serunai untuk Kumpulan Gendang Anak Warisan Menurut saudara Farizal dia telah bermain serunai sejak berumur 16 tahun.

“Saya sudah 5 tahun meniup serunai bersama Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan. Antara pencapaian tertinggi saya ialah pernah mewakili pasukan gendang silat hingga ke peringkat kebangsaan”.

Bagi Cikgu Rizal pula, sebagai pembimbing dan jurulatih untuk kumpulan Gendang Silat Anak Warisan, beliau sememangnya menaruh harapan supaya seni tradisional ini akan terus dilestarikan oleh generasi muda.

Menurutnya, agak sukar bagi menarik minat golongan muda untuk bermain muzik tradisional ini.

“Bagi menarik minat, generasi sekarang perlu didedahkan kepada persembahan gendang silat. Namun, ia bergantung kepada minat individu”.

Beliau yang sudah berkecimpung dengan gendang silat sejak tahun 2003 kini bergiat aktif bersama kumpulan gendang silatnya.

“Seharusnya lebih ramai generasi sekarang menyertai aktiviti gendang silat bukan sekadar memainkan lagu silat dan juga lagu-lagu tradisional malah boleh dimainkan dengan lagu-lagu moden supaya seni tradisonal ini tidak pupus dan terus berkembang. Jangan sampai anak muda kita tidak tahu apa itu gendang silat”, tambahnya.

RUJUKAN:

Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan

Cikgu Rizal Lokman

Nobat Diraja. http://www.istananegara.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=104:nobat-diraja&catid=91&Itemid=582

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.