Gelombang Panas Yang Membunuh, Adakah Ia Disebabkan Oleh HAARP?

0
352
views

Musim panas beberapa tahun ini menyaksikan beberapa buah negara Asia Pasifik mengalami gelombang panas yang melampau sehingga membunuh ramai rakyat negara-negara tersebut. Jepun, Korea, China, Filipina dan tidak terkecuali negara kita Malaysia mengalami suhu panas luar biasa sehingga melebihi 400C. Suhu panas ini menyebabkan kemarau yang berpanjangan, kemusnahan tanaman, hujan lebat luar biasa, banjir dan strok haba. Lebih teruk lagi, suhu panas melampau ini boleh mengakibatkan kematian. Fenomena El-Nino yang melanda Malaysia pada tahun 2016 contohnya menyebabkan suhu tinggi yang sangat melampau dan berlakunya kematian disebabkan oleh strok haba.

Menurut seorang rakan, suhu panas luar biasa ini disebabkan oleh aktiviti HAARP (High Frequency Active Auroral Reseacrh Programme) yang dijalankan oleh oleh tentera Amerika Syarikat. HAARP ini dikatakan mampu mengubah keadaan pada ionosfera bumi atau meninggikan ionosfera, lalu menyebabkan suhu udara menjadi sangat panas. HAARP ini mengeluarkan sehingga 3.6 Mega Watt isyarat gelombang mikro ke ionosfera, lalu menjadikan suhu udara semakin panas dan mencetuskan pelbagai fenomena yang berkaitan dengan cuaca. Menurut rakan admin lagi, HAARP ini menjadi alat untuk mengubah cuaca di sesuatu tempat seperti tanah runtuh, tsunami dan ribut taufan.

Benarkah begitu?

Menurut Fu Cheung Sham, Ketua Pegawai Pengeksperimen di Hong Kong Observatory, “perubahan iklim memainkan peranan yang sangat penting dalam kejadian gelombang panas. Apabila iklim semakin panas, peluang untuk kepanasan melampau juga akan meningkat.”

Kenyataan ini sangat bertepatan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Gelombang panas melampau yang terjadi merupakan kesan langsung kepada perubahan iklim dan pemanasan global yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang membebaskan terlalu banyak gas-gas rumah hijau ke atmosfera. Dengan kumulatif karbon dioksida yang terlalu banyak di dalam udara, ia akan menyebabkan suhu udara menjadi panas. Karbon dioksida mempunyai keupayaan untuk menyimpan haba di dalam molekulnya, menyebabkan udara yang tinggi kandungan karbon dioksida akan kekal panas sehingga ke malam hari. Keadaan ini menyebabkan kurangnya haba dipancarkan kembali ke angkasa lepas dan permukaan bumi serta air laut dapat mengekalkan kepanasan masing-masing.

Apabila udara panas ini berkekalan di atmosfera, ia menyebabkan tenaga haba yang banyak berada di atmosfera dan menyebabkan darjah kepanasan meningkat apabila haba dari matahari terus-menerus memancarkan sinarnya di kawasan tersebut. Pada musim panas (Jun hingga September), bahagian hemisfera utara bumi akan menghadap matahari dan menerima lebih banyak matahari berbanding bulan-bulan lain.

Waqaf Saham

Keadaan ini menyebabkan atmosfera di kawasan sekitar garisan sartan (23 1/20 U) akan menjadi lebih panas dan udaranya menjadi kurang tumpat. Udara dari Australasia yang lebih sejuk akan bergerak ke arah utara. Namun, apabila tiba di kawasan garisan khatulistiwa yang agak panas, angin akan membelok dari arah barat daya ke arah timur laut dan mewujudkan angin monsun barat daya yang kurang membawa hujan ke Malaysia kerana tersekat di Banjaran Barisan. Namun begitu, hujan perolakan masih berlaku sekitar Semenanjung sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa buah kawasan.

Info gambar: Info gambar: Kawasan panas luar biasa pada bulan April 2016. Sumber gambar: https://mashable.com/2016/05/14/earth-warmest-april/#cQbZgvgMwGql

Menjadi kebiasaan, jika fenomena El-Nino berlaku semasa monsun Barat Daya ini, kumpulan awan-awan yang membawa hujan akan tertolak ke tengah-tengah Lautan Pasifik dan akan menyebabkan seluruh Malaysia menjadi kering tanpa hujan. Fenomena ini terjadi selepas suhu air laut di tengah-tengah lautan pasifik menjadi terlalu panas dan berlaku sistem perolakan yang berbeza seterusnya mewujudkan dua sistem angin yang menyebabkan awan hujan tidak terbentuk di Australasia, sebaliknya hanya turun di tengah-tengah lautan pasifik semata-mata. Fenomena El-Nino ini berlaku secara tidak tetap dalam tempoh 2 ke 7 tahun. Terakhir fenomena ini menghentam bumi Malaysia ialah pada Tahun 2016.

Namun begitu, apa yang menjadi kerisauan kita semua ialah berkenaan dengan gelombang panas melampau yang menjejaskan ribuan orang di Asia Pasifik seperti di Jepun, China, Korea, Filipina dan Vietnam. Gelombang panas tidak menentu ini berkenaan dengan keadaan panas melampau permukaan bumi dan lautan dan anomaliti suhu ini menyebabkan pelbagai kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kemarau dan kemusnahan tanaman. Banyak kawasan-kawasan penampan di sekitar gurun telah lenyap dan berubah menjadi gurun. Pertambahan gurun yang dilihat seluruh dunia ini amat menakutkan kerana ia mengurangkan jumlah makanan sedunia, meningkatkan kebuluran dan menyebabkan bumi semakin panas. Dengan pertambahan populasi manusia yang meningkat dengan cepatnya, kemiskinan dan kemelaratan hidup manusia di kawasan gurun semakin teruk terjejas.

Fenomena ini tiada kaitan dengan HAARP secara langsung, kerana apalah sangat kepanasan daripada gelombang mikro yang dipancarkan oleh pemancar ke lapisan ionosfera itu. Jika dibandingkan dengan fenomena kilat, kilat beratus-ratus kali ganda lebih tinggi kuasanya daripada HAARP yang hanya membawa gelombang mikro dan paket-paket data sahaja. HAARP tidak membawa gelombang alpha, beta atau gamma yang memancarkan sinar radioaktif dan tidak pula memancarkan tenaga bervoltan tinggi seperti kilat. Ia hanya penalaan gelombang mikro daripada pengayun yang dibina untuk mengayun gelombang dengan kekuatan tertentu supaya paket-paket data boleh dihantar ke tempat yang jauh tanpa bantuan satelit dan tanpa boleh dikesan oleh radar. Sekadar gelombang VHF dan UHF tersebut, hari-hari kita lalui di Malaysia ini dengan isyarat gelombang radio yang dipancarkan daripada menara-menara pemancar di puncak bukit untuk mendapatkan siaran radio dan televisyen, serta gelombang-gelombang yang dipancarkan dari pemancar isyarat syarikat teekomunikas yang berselerakan seluruh kawasan petempatan di Malaysia.

Info gambar: kejadian El-Nino dan La Nina yang berlaku. Sumber: http://asmc.asean.org/asmc-el-nino/

Gelombang panas luar biasa yang direkodkan sejak 2013 hingga kini adalah disebabkan oleh pemanasan global yang menjadi pemangkin kepada perubahan iklim. Lebih kurang 85% tenaga yang digunakan di atas muka bumi ini berpunca daripada pembakaran bahan api fossil seperti petroleum, arang batu dan gas asli. Sejak zaman revolusi perindustrian 1.0 lagi, purata suhu bumi telah meningkat dengan pesatnya dan melampaui batasan yang ditetapkan oleh saintis iklim, iaitu tidak lebih 2oC setiap abad (100 tahun). Namun, dalam masa 7 bulan terakhir ini, peningkatan purata suhu dunia meningkat hampir 10C dan ini menjadi rekod betapa teruknya situasi pemanasan global ini berlaku. Sebagai manusia, kita perlu sedar bahawa kita sebenarnya penyumbang serba sedikit kepada perubahan iklim ini. Dengan pembakaran petrol dari kenderaan kita, dengan asap rokok yang kita hembus dan dengan pembakaran arang batu di stesen-stesen janakuasa (IPP) elektrik terma, kita adalah penyumbang terbesar perubahan iklim ini, bukan HAARP.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama mengurangkan kadar pelepasan gas-gas rumah hijau terutamanya gas karbon dioksida dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat mengawal pembebasan gas-gas ini. Kita perlu mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor dan gunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak mencemarkan alam seperti rel keretapi (LRT, MRT, ECRL dan sebagainya), bas elektrik dan berkongsi kenderaan jika kurang akses kepada pengangkutan awam. Dengan langkah kecil untuk mengurangkan pembebasan asap ini, kita telah memainkan sedikit peranan yang kecil dalam membantu menyediakan bumi yang lebih baik dan dapat dikekalkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Kita perlu fikirkan akan dunia yang diwarisi oleh anak cucu kita. Adakah ia tempat kediaman terbaik buat mereka, atau hanya kawasan tandus yang hanya dipenuhi dengan kawasan-kawasan panas yang tidak boleh dihuni.

Rujukan:

  1. https://weather.com/safety/heat/news/2018-07-18-japan-deadly-heat-wave
  2. http://www.eco-business.com/news/climate-change-causes-killer-heatwaves/
  3. B. Cohen, U. S. Inan and M. A. Golkowski, (2008), Geometric modulation: A more effective method of steerable ELF/VLF wave generation with continuous HF heating of the lower ionosphere, Stanford University
  4. https://www.science.org.au/learning/general-audience/science-booklets-0/science-climate-change/1-what-climate-change
  5. http://asmc.asean.org/asmc-el-nino/
  6. https://weather.com/news/climate/news/japan-record-april-heat-wave-china
  7. https://phys.org/news/2014-10-eastern-china-record-hot-summers.html#nRlv
  8. https://www.vox.com/2014/9/23/6835285/why-rich-countries-worry-more-about-climate-change-than-poor-ones