Gas Paling Membunuh Di Dunia

123

Gambar pertama yang diambil pada tahun 1970 ini, menunjukkan seekor arnab di dalam sebuah sangkar sedang menjadi bahan ujikaji.

Ia dilaksanakan sebagai langkah pemeriksaan sekiranya terdapat kebocoran gas di sebuah fasiliti yang menghasilkan senjata kimia gas Sarin, iaitu di gudang senjata yang terletak di Gunung Rocky, Colorado, Amerika Syarikat.

Jika arnab tersebut mati ketika pemeriksaan dijalankan, maka ia menjadi tanda bahawa terdapat kebocoran gas Sarin yang sangat berbahaya itu.

Walaupun menggunakan arnab itu tampak kejam, bagaimanapun di dalam perihal kompaun berbahaya yang mampu membunuh manusia dalam masa beberapa minit sahaja, bak kata ‘omputih’..

“As long as it works.”

Gas Sarin ialah salah satu daripada senjata kimia yang sangat berbahaya dan menyerang saraf manusia. Ia hadir di dalam bentuk gas dan cecair yang mampu mengewap serta merta.

Seterusnya, anda juga perlu tahu bahawa gas dan cecair Sarin ini tidak berwarna, tidak mempunyai bau-bauan dan juga tidak mempunyai sebarang rasa.

Justeru, ini membuatkan strategi serangan yang menggunakan gas Sarin ini dianggap sangat ‘kotor’, oleh kerana individu yang diserang itu tidak menyedarinya, sehinggalah terlewat dan gas Sarin telah mula memberikan kesan kepada tubuh badan.

Antara kesan terhadap pendedahan manusia kepada gas Sarin ialah:

– Muntah
– Mata tidak berhenti berair
– Air liur meleleh tanpa henti
– Terbuang air kecil dan besar tanpa kawalan
– Kekejangan otot
– Lumpuh

Akhirnya.. jika seseorang itu terdedah secara terus kepada dos berbahaya gas Sarin, individu itu akan mengalami sesak nafas dan segera menemui ajal.

Bagaimanapun, wujud penawar atau rawatan awal bagi pendedahan ke atas gas Sarin yang mampu menyelamatkan mangsa.

Tahukah anda, bahawa sejarah atau kisah di sebalik penghasilan gas Sarin ini pada permulaan penghasilannya ialah ingin membantu manusia itu melenyapkan masalah kebuluran, akibat kemusnahan tanaman?

Kisahnya begini..

Di pertengahan 1930-an, majoriti daripada ladang-ladang petani di Jerman pada waktu itu tidak mendapat hasil yang memuaskan akibat serangan serangga perosak.

Jadi untuk menyelesaikan perkara tersebut, kerajaan Jerman terpaksa bergantung-harap kepada penggunaan racun perosak serta makanan yang diimport dari negara lain dengan kos yang sangat mahal.

Jadi untuk mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung, kerajaan Jerman seterusnya menggesa saintis dari syarikat farmaseutikal terkenal dan kebanggaan Jerman, iaitu Bayer. Syarikat yang sama bertanggungjawab menghasilkan ubatan ‘magis’ Aspirin.

Gerhard Schrader, Bayer Archive.

Kemudian pada tahun 1936, seorang saintis berumur 33 tahun yang dikenali sebagai Gerhard Schrader, dalam usaha beliau, telah mencampurkan pelbagai bahan kimia, kompaun dan molekul yang dikira mampu untuk membunuh serangga perosak tetapi tidak berbahaya kepada manusia dan haiwan lain.

Tetapi, secara tidak sengaja, Schrader telah menghasilkan gas Tabun, agen saraf yang bertoksik dan berkebolehan membunuh manusia. Gas Tabun ini dikatakan 20 kali lebih berbahaya daripada gas Mustard yang pernah digunakan di dalam Perang Dunia Pertama.

Jika gas Mustard itu berkebolehan membunuh dalam masa beberapa jam atau hari, bahayanya gas Tabun, ia mampu membunuh manusia dalam masa 20 minit sahaja.

Ketika penemuan tersebut, Schrader telah terdedah kepada gas Tabun, dan memerlukan beliau menjalani rawatan dan berehat selama 3 minggu sebelum kembali bertugas.

Walau bagaimanapun, perkara ini kemudian telah dilaporkan oleh pemilik syarikat Bayer kepada pihak tentera Nazi. Dengan berlalunya masa, tidak lama kemudian iaitu pada tahun 1938, Schrader sekali lagi tanpa sengaja telah menghasilkan sebuah kompaun yang dikenali sebagai gas Sarin, 10 kali ganda lebih bertoksik dari gas Tabun.

Sebagai fakta tambahan, walaupun pihak tentera Nazi telah menjadikan gas Sarin ini sebagai senjata kimia, dipercayai bahawa ia tidak pernah digunakan untuk menyerang mana-mana kedudukan musuh.

Contoh serangan yang menggunakan Sarin.

Pada tarikh 20 Mac 1995, kira-kira pada jam 8 pagi, ketika warga Tokyo sedang dalam perjalanan menuju ke tempat pekerjaan masing-masing, beberapa individu yang merupakan pengikut kepada sebuah kultus yang dikenali sebagai Aum Shinrikyo di Jepun, telah bertindak menyerang sistem keretapi dengan bersenjatakan beberapa kantung plastik berisi cecair Sarin.

Plastik-plastik berisi cecair Sarin tersebut telah dibawa berasingan dan diletakkan secara strategik di dalam 5 buah gerabak keretapi haluan berbeza. Kemudian ia telah dipecahkan oleh kumpulan penyerang tersebut.

Seperti yang dinyatakan di atas, cecair sarin tersebut mudah mengewap, dan ia mula memberi kesan kepada individu yang terdedah beberapa saat sejurus plastik itu dipecahkan.

Kerja-kerja pembersihan oleh pasukan keselamatan di dalam gerabak keretapi yang tercemar dengan Sarin.

Serangan tersebut telah mengakibatkan kematian 13 orang individu, dan mendatangkan kecederaan serta telah memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 6000 individu lain.

Mereka yang merancang serta terlibat di dalam serangan tersebut, termasuklah ketua kultus yang dikenali sebagai Shoko Asahara atau nama sebenar Matsumoto Chizuo, telah dikenakan hukuman gantung sampai mati.

RUJUKAN:

The Nazi Origins of Deadly Nerve Gases by Sarah Everts. Retrieved from: https://cen.acs.org/articles/94/i41/Nazi-origins-deadly-nerve-gases.html?fbclid=IwAR008IgO6cizBUWH4nchTqgBAnQDqMGjRVsrYkCNO0xhhF-uzotZHacUwV8

Centers for Disease Control and Prevention, Emergency Response and Preparedness, Facts About Sarin. Retrieved from :https://emergency.cdc.gov/agent/sarin/basics/facts.asp

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.