Gamergate: Perang Budaya Melawan Golongan Liberal (Kiri)?

434
views

Melihat dan mengikuti perkembangan politik di Malaysia membuatkan makin ramai orang (termasuk penulis) semakin cakna dan mula ambil tahu tentang spektrum politik yang wujud di dunia pada ketika ini. Mulalah orang tahu apa itu haluan kanan dan haluan kiri yang menjadi resmi dan intipati perkembangan politik di dunia barat. Di sana (dunia barat), haluan kanan dan kiri ini menjadi teras dalam banyak perbahasan berkenaan dengan isu-isu berbangkit.

Pihak media dan juga pemerhati akan mendapatkan pandangan dari ahli politik berhaluan kanan dan kiri bagi setiap isu-isu semasa seperti isu pemilikan senjata, isu peperangan dan keganasan, isu pendidikan, isu hak asasi manusia dan banyak lagi. Perbezaan pendapat dalam isu-isu seperti ini selalu sahaja wujud di antara golongan kanan dan kiri berdasarkan kepada pemahaman dan pandangan politik masing-masing. Jadi, secara tidak rasminya, spektrum politik ini bagaikan sebahagian dari resam kehidupan mereka di barat dan membentuk hala tuju kehidupan di masa hadapan.

Percaya ataupun tidak, spektrum identiti politik ini juga pernah memberi impak dan kesan kepada industri permainan video dan gamers secara khasnya. Pada tahun 2014, pernah wujud satu gerakan dalam kalangan gamers yang digelarkan sebagai Gamergate. Gerakan ini pada kaca mata golongan kiri merupakan satu kempen gangguan dan penghinaan kepada golongan wanita dalam industri permainan video, tapi sebaliknya di dalam kacamata golongkan kanan, gerakan ini merupakan satu benteng bagi menghalang kemaraan golongan feminis dan pejuang keadilan sosial (sosial justice warrior) yang ingin mempergunakan industri permainan video sebagai medium penyebaran agenda mereka.

Bermula dengan pergaduhan kekasih

Gambar 2: Zoe Quinn yang memulakan segalanya
Sumber: https://www.wired.com/2017/09/geeks-guide-zoe-quinn/

Segalanya bermula dengan seorang wanita, seorang pembikin permainan video bernama Zoë Quinn. Pada bulan Ogos 2014, bekas teman lelaki Quinn, Eron Gjoni menyatakan ketidakpuasan hatinya pada Quinn melalui sebuah hantaran di blog. Hantaran sepanjang 9000 patah perkataan itu mendakwa bahawa bekas teman wanitanya itu selalu tidur dengan ramai lelaki terutamanya wartawan-wartawan industri permainan video bagi mendapatkan ulasan yang baik untuk permainan video yang Quinn sendiri hasilkan.

Dakwaan Eron itu mendapat sedikit perhatian dalam kalangan gamers (terutamanya rakan-rakan terdekat Eron) dan membawa kepada gangguan dan ejekan kepada Quinn. Ditambah pula pada ketika itu, Quinn baru sahaja melancarkan permainan video Depression Quest, sebuah permainan video teks naratif (point and click), dan menerima ulasan yang baik dan pujian dari pengkritik. Namun begitu, ramai gamers yang bermain Depression Quest tidak bersetuju dengan ulasan dari pengkritik. Mereka merasakan pengkritik seolah-olah sudah dimanipulasi bagi mengeluarkan ulasan seperti itu. Ini menyemarakkan lagi kebencian terhadap Quinn dan seolah-olah membenarkan dakwaan bekas teman lelakinya itu.

Gangguan terhadap Quinn berterusan sehinggalah dia diugut rogol dan juga bunuh oleh para gamers yang tidak berpuas hati dengan tindakan Quinn. Quinn juga terpaksa lari berpindah rumah kerana alamat rumahnya sudah di muat naik di laman maya. Gangguan ke atas Quinn mendapat perhatian dari rakan-rakan wartawan dan ini menimbulkan rasa marah pihak wartawan terhadap segelintir gamers yang sudah melampaui batasan. Quinn yang dikenali dikalangan wartawan sebagai pejuang feminisma mula mengumpulkan rakan-rakan wartawan yang sealiran dan sependapat dengannya seperti Brianna Wu dan juga Anita Sarkeesian.

Pada ketika inilah, berbondong-bondong rencana dikeluarkan oleh media industri seperti Polygon, Kotaku dan juga Gamasutra yang menaikkan kemarahan gamers secara keseluruhan. Perlu diingatkan, gangguan dan ugutan yang diterima Quinn dan konflik yang dialami hanya melibatkan segelintir gamers sahaja. Kebanyakan gamers yang ada tidak mengetahui lansung tentang wujudnya permainan video Depression Quest ataupun mengenali Quinn secara lansung. Yang menjadi isunya apabila portal-portal ini menyerang gamers secara keseluruhan dengan menganggap bahawa kesemua gamers adalah pembenci wanita. Tuduhan ke atas gamers secara keseluruhan inilah yang menyemarakkan kemarahan gamers dan mewujudkan gerakan Gamergate.

Bermulalah Gerakan Tanpa Hala Tuju

Gambar 3: Adam Baldwin, seorang pelakon pro-konservatif yang menyokong Gamergate
Sumber: https://www.hollywoodintoto.com/did-twitter-silence-conservative-adam-baldwin/

Pada permulaannya gerakan Gamergate tidak mempunyai objektif yang jelas. Ia sebenarnya satu reaksi terhadap rencana yang menyerang identiti gamers itu sendiri dan menganggap gamers sebagai seorang yang membenci wanita secara keseluruhannya. Serangan demi serangan yang dilakukan oleh sesetengah gamers dijadikan sebagai contoh bagi menyelar dan memburukkan identiti gamers. Di pihak Gamergate pula, mereka melihat rencana ini sebagai satu bukti bahawa pihak media industri sudah bersikap berat sebelah dan tidak mengamalkan etika kewartawanan. Mereka melihat rencana itu sebagai serangan balas terhadap tindakan segelintir gamers atas gangguan ke atas Quinn dan juga feminis yang lain, tetapi disebabkan media-media ini mempunyai liputan yang lebih meluas, serangan balas itu terkena tempiasnya kepada kesemua gamers.

Gerakan Gamergate mula mendapat perhatian meluas di luar dari industri permainan video, apabila seorang pelakon popular Hollywood, Adam Baldwin yang juga dikenali dengan pendirian pro-konservatif menyokong gerakan tersebut melalui Twitter-nya. Malah beliaulah juga yang mencipta istilah Gamergate dan mewujudkan identiti kepada gerakan tersebut. Baginya gerakan Gamergate bagaikan benteng terakhir terhadap pengaruh golongan kiri yang makin merebak dalam industri. Beliau menganggap telah wujud korupsi dan penyelewengan di dalam media industri permainan video apabila wujudnya hubungan yang erat antara pembangun permainan video dan juga pihak wartawan membuatkan mereka cenderung berhaluan kiri.

Impak dan Kesan

Gerakan Gamergate berterusan sehinggalah ke penghujung tahun 2016, apabila FBI mula masuk campur dan menyiasat gerakan tersebut. Atas perintah mahkamah, banyak hantaran-hantaran di ruang maya diarah untuk dibuang dan diturunkan dari internet. Kebanyakan media arus perdana memandang gerakan Gamergate pada sisi yang negatif. Disebabkan itulah kesan-kesan buruk dari gerakan ini dipaparkan dengan rancaknya oleh media arus perdana. Antarnya kes gangguan ke atas Quinn dan Anita Sarkeesian sehingga mereka terpaksa lari keluar rumah kerana takutkan ancaman bunuh dan juga rogol mengikut dakwaan mereka.

Namun begitu, akibat dari desakan dan juga konsistensi dari gerakan Gamergate, pihak media industri permainan video akhirnya mengakui bahawa tidak wujudnya etika kewartawanan yang jelas. Disebabkan itulah beberapa portal seperti Kotaku dan juga Polygon memperbaiki polisi mereka berkenaan hubungan dengan pembikin dan pembangun permainan video yang mungkin akan mewujudkan bias dalam rencana yang mereka keluarkan. Pemain industri juga tidak ketinggalan. Apabila Gamasutra menaikkan rencana mengkritik identiti gamers dan mengatakan bahawa identiti mereka sudah tidak lagi relevan pada masa kini. Gamergate membalas dengan memberi desakan kepada pemain-pemain industri. Intel yang mungkin mendengar kritikan dari Gamergate, membatalkan perjanjian pengiklanannya di portal Gamasutra.

Perkembangan Terkini

Baru-baru ini, ura-ura tentang Gamergate muncul kembali. Ini berlaku apabila seorang pembangun permainan video, yang juga seorang feminis telah dipecat dari syarikatnya kerana menyerang gamers di Twitter. Ramai portal permainan video yang berhaluan kiri mula mengkritik tindakan pemecatan itu dan menganggapnya sebagai diskriminasi terhadap wanita dan mengaitkannya dengan Gamergate. Namun apabila diteliti dengan lebih jelas tweet tersebut, ia tiada kena mengena lansung dengan feminisma. Pemecatan tersebut hanyalah kerana pembangun permainan itu kurang ajar dengan pelanggannya, tidak lebih daripada itu.

Peristiwa ini jelas menunjukkan yang golongan berhaluan kiri masih lagi wujud dalam kalangan media industri permainan video. Ini bukan sesuatu yang pelik, kerana pernah juga permainan video seperti The Witcher dikritik oleh media berhaluan feminis kerana kononnya mendiskriminasi golongan wanita dan tidak mempamerkan wanita pada tempatnya. Dan peristiwa ini berlaku selepas gerakan Gamergate mula merosot. Selepas perang budaya ini seakan berakhir.

Tapi gerakan Gamergate bukanlah bermakna yang gamers ini majoritinya adalah golongan berhaluan kanan. Kebanyakan gamers setuju yang mereka hanya mahukan permainan video sebagai medium untuk berhibur. Mereka tidak mahu industri ini dijadikan sebagai alat propaganda dalam menyebarkan agenda golongan kanan mahupun kiri. Mereka mahu industri permainan video kekal tanpa sebarang pengaruh dan agenda politik. Permainan video sepatutnya kekal sebagai alat hiburan, tidak lebih daripada itu.

Rujukan dan Bacaan Lanjut:

Wagner,Kyle (Oktober, 2014), “The Future of Culture Wars is Here, and It’s Gamergate” Deadspin

Leigh,Alexander (September, 2014), “Sexism, Lies and Video Games: The Culture War Nobody Is Winning” Time

Leigh,Alexander (Ogos,2014), “’Gamers’ don’t have to be your audience. ‘Gamers’ are over” Gamasutra

Kain,Erik (September, 2014), “GamerGate: A Closer Look At The Controversy Sweeping Video Games” Forbes

Wood,Austin (Julai, 2017), “Guild Wars 2 writers fired following heated Twitter exchange with streamer” PCGamer