Game Of Thrones Libya

1,226

Sementara perhatian dunia bertumpu kepada pergolakan di Venezuela (link tulisan lama pasal asal usul pergolakan Venezuela: https://www.thepatriots.asia/apa-yang-sedang-berlaku-di-venezuela-2/), situasi kekacauan di Libya juga semakin memuncak.

Pada 4 April yang lalu, Khalifa Haftar, ketua ‘Libyan National Army’ (LNA) telah melancarkan serangan ke atas Tripoli, ibu negara Libya. Haftar mewakili kerajaan ‘House of Representatives’ (HoR) atau ‘Majlis al-Nuwaab’ yang berpusat di Tobruk, timur Libya. Manakala Tripoli merupakan pusat kepada Kerajaan ‘Government of National Accord’ (GNA) atau ‘Hukumat al-Wifaq al-Watani’. 

Cerita pasal Libya ni gila complicated, kalau betul nak tulis, 800 muka surat pun belum tentu habis. Tapi kalau korang biasa menonton siri Game of Thrones (GOT), maka lebih mudah nak hadam apa yang berlaku di Libya.

Cerita GOT berkisarkan tentang persaingan antara beberapa ‘houses’ di dunia bernama ‘Westeros’ selepas kejatuhan raja Aerys II Targaryen. Justeru, perkataan ‘game of thrones’ (jargon: luʿbat al-ʿurush) menjadi sinonim kepada persaingan kuasa yang bersifat ‘realpolitik’. 

Dalam proses perebutan kuasa, akan berlaku pembentukan pakatan, kerjasama dan juga pengkhianatan. Kawan makan kawan. Pengikut khianat tuan. Hanya pihak yang paling bijak dalam menyusun strategi akan menang.

Manakala pihak yang berpegang kepada prinsip dan keabsahan hanya tunggu mati saja. ‘When you play the game of thrones, you win or you die. There is no middle ground’. Itulah realiti dunia ‘realpolitik’. 

Kekacauan Libya bermula pada Februari 2011, apabila rakyat Libya menyahut gelombang revolusi ‘Arab Spring’ yang melanda negara-negara jiran (Tunisia, Mesir). Rakyat Libya mula mengadakan protes jalanan untuk mendesak Muammar Gaddafi, diktator yang memerintah Libya sejak tahun 1969 untuk berundur.

Golongan anti-Gaddafi ini terdiri daripada macam-macam orang. Ada orang dalam kerajaan Gaddafi yang tak puas hati dengan Gaddafi, ada pejuang demokrasi sekular, ada pejuang politik Islam, ada proksi kuasa asing. Mereka menubuhkan pakatan atas kebencian yang sama terhadap Gaddafi. 

Gaddafi ni macam Aerys II dalam cerita GOT. Kedua-dua jatuh kerana kesilapan diri sendiri. Dalam cerita GOT, pakatan yang menyokong pemberontakan Robert Baratheon mula retak selepas kematian Aerys II dan juga kematian Robert Baratheon sendiri. 

Di Libya pasca-Gaddafi, pakatan anti-Gaddafi juga retak selepas kehilangan musuh bersama. Konflik meletus antara sekularis dan Islamis yang mempunyai matlamat yang berbeza. Dalam pilihanraya yang diadakan Julai 2012, golongan sekularis muncul sebagai parti terbesar, diikuti rapat oleh parti-parti Islamis yang merangkumi Parti Hizb al-Adala wa al-Bina, jelmaan Ikhwanul Muslimin di Libya. 

Konflik antara sekularis dan Islamis menyebabkan kerajaan baharu tak stabil and kurang berkesan, membolehkan golongan ekstremis seperti angkatan Ansar al-Sharia mengambil kesempatan dan merampas bandar Benghazi pada September 2012. 

Dalam pilihanraya yang seterusnya yang diadakan pada Jun 2014, parti-parti Islamis hilang banyak kerusi. Mereka enggan menerima keputusan pilihanraya dan mengiktiraf kerajaan yang baharu, maka kerajaan Libya berpecah. Islamis menguasai Tripoli dengan sokongan daripada militia di Misrata, mendirikan kerajaan ‘Government of National Salvation’ (GNS) atau ‘Hukumat al-Inqadh al-Watani’. 

Sekularis terpaksa berpindah ke Tobruk di sebelah timur Libya, memerintah atas nama HoR. Mereka menubuhkan pakatan dengan Khalifa Haftar yang mengetuai LNA yang terdiri daripada bekas tentera Libya. Haftar ialah bekas jeneral Gaddafi, tapi disebabkan kegagalannya dalam perang di Chad, dia dilucutkan jawatan oleh Gaddafi pada tahun 1987. Haftar melarikan diri ke US seterusnya dan kembali ke Libya semasa pemberontakan terhadap Gaddafi meletus. 

Haftar ni kira macam Tywin Lannister dalam GOT. Tywin pada asalnya merupakan Hand of the King kepada Aerys II. Disebabkan Aerys II menolak cadangan Tywin untuk mengahwinkan anaknya dengan Aerys II, Tywin meletak jawatan. Selepas melihat Robert hampir berjaya menggulingkan Aerys II, Tywin mengkhianati Aerys II dan menyertai pakatan anti-Aerys.

Walaupun pada ramai anggota dalam pakatan anti-Gaddafi sangsi dengan Haftar, menganggap dia sebagai proksi US, tapi slow-slow Haftar memperkukuhkan kedudukannya, bermula dengan pengusiran Ansar al-Sharia daripada Benghazi pada tahun 2014. Langkah demi langkah Haftar menguasai seluruh kawasan timur Libya (kawasan warna merah dalam gambar).

Haftar enggan mengiktiraf GNA yang diketuai oleh Fayez al-Sarraj, walaupun GNA tu ada bekap UN. Tapi bekap UN tak bermaksud apa-apa kalau tak mempunyai ‘hard power’ seperti tentera. Disebabkan tidak mempunyai kekuatan tentera, GNA tidak mempunyai kawalan ke atas kawasan di luar Tripoli. Barat Libya dikuasai oleh militia Zintan dan Misrata yang memusuhi satu sama lain. Misrata juga enggan mengiktiraf GNA kerana masih setia dengan GNS. 

Sarraj ni macam House of Stark, ada keabsahan tapi tak tau macam mana nak kukuhkan kuasa. Haftar pula berpakat dengan Zintan untuk mensabotaj Sarraj, macam pakatan antara Tywin Lannister dan House of Bolton. Sementara itu, di kawasan selatan, kaum nomad seperti Tuareg dan Tebu juga berbalah antara satu sama lain. Libya dah hampir dengan keadaan ‘anarki’ iaitu ketiadaan kerajaan yang berkesan. 

Simpanan minyak Libya adalah antara Top 10 di dunia, tambahan pula dengan kedudukan geografinya yang menghubungkan Eropah dan Afrika, maka kuasa-kuasa asing pun tak duduk diam. Masing-masing nak memperluaskan pengaruh ke atas Libya, mengambil kesempatan ke atas keadaan anarki. 

Di belakang Haftar ada US, Rusia, Perancis, Saudi, UAE dan Mesir. Sarraj punyalah kesian, hanya ada EU, Turki dan Qatar. Boleh nampak di situ, konflik di Libya pun sebahagian daripada ‘perang dingin’ antara Saudi-UAE dan Turki-Qatar. US dan Mesir ‘bet’ ke atas Haftar, harap kemenangan Haftar boleh membasmi Islamis (Ikhwanul Muslimin) yang bersarang di barat Libya.

Di samping persaingan antara Haftar dan Sarraj, ada lagi seorang pemain yang ‘low profile’ iaitu Saif al-Islam Gaddafi, anak kepada Muammar Gaddafi. Dia ni macam Daenerys Targaryen, pewaris kepada Aerys II. Cuma Saif al-Islam ni tak mempunyai naga, tak nampak apa kekuatan dia untuk berjaya dalam ‘game of thrones’ Libya. Dia menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihanraya yang seterusnya, tapi tengok keadaan sekarang, pilihanraya hampir tidak akan diadakan pada masa terdekat.

Apa yang kita boleh simpulkan, dalam politik semua puak ada kepentingan sendiri. Gerakan revolusi yang melaungkan slogan murni-murni seperi demokrasi, akhirnya akan jadi ‘ugly’ apabila sampai masa untuk mengagih kuasa dan ghanimah. 

Pemimpin diktator seperti Gaddafi biarpun tak respect ‘rule of law’, tapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai ‘shawka’ (kekuatan menurut Ibn Khaldun) untuk ‘hold the country together’ dan menghalang penguasaan asing ke atas Libya.

Kejatuhan Gaddafi membuka ‘floodgate’ kepada segala oportunis untuk main game of thrones. Libya menjadi medan permainan, dan rakyat jelata kekal jadi ‘collateral damage’. 

Nak ubah nasib sesuatu bangsa, ‘idealpolitik’ (laungan ideologi dan nilai-nilai) saja tak cukup, pertimbangan ‘realpolitik’ juga sama penting. 

Selamat berpuasa semua. Ambil lah masa ini untuk bertadarus dan bertaddabur, dan mengambil ibrah dari kisah-kisah dalam al-Quran dan juga kisah-kisah di dunia sekeliling kita yang mengandungi ‘ayat’ (tanda) Maha Pencipta.

p.s. jangan tonton GOT waktu siang bulan puasa.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.