https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Galvanisme Inspirasi Sebenar Frankenstein?

398

Pada 17 Januari 1803, seorang pemuda bernama George Forster menjalani hukuman m4ti di Penjara Newgate, London. Selepas hukuman dijalankan, m4yat Forster dihantar ke Royal College of Surgeons (Kolej Pakar Bedah Diraja) selalunya untuk dibedah di depan khalayak umum. Tetapi untuk hari itu, m4yat tersebut bukan akan dibedah tetapi diberi kejutan elektrik!

Eksperimen ini dibuat oleh filsuf Itali, Giovanni Aldini yang juga anak saudara kepada pelopor bidang galvanisme, Luigi Galvani. Aldini berbuat demikian kerana mahu menutup mulut para pengkritik galvanisme bahawa ia merupakan sesuatu yang membuang masa dan cuba mencabar kekuasaan Tuhan.

Eksperimen galvanisme yang dibuat Aldini terhadap Forster

Justeru, bila m4yat Forster diberi kejutan elektrik, sesiapa saja yang melihatnya pasti merasa terkejut. Berikut keterangan akhbar The Times yang membuat liputan eksperimen itu, “Bila proses aplikasi pertama dibuat pada muka, rahangnya bergetar, otot mukanya berkenyut dan satu mata terbuka.

“Untuk proses seterusnya, tangan kanan naik dan menggenggam buku lima manakala kaki dan pehanya seolah-olah bersedia untuk bergerak.” Bagi sesetengah penonton yang melihat eksperimen tersebut, ia seolah-olah memperlihatkan lelaki jahat itu hampir hidup semula.

Idea galvanisme yang dimainkan Galvani telah tersebar hampir seabad dan mengejutkan, ia mendapat sokongan sesetengah cendekiawan ulung Eropah ketika itu. Antara yang menyokong idea ini ialah Sir Isaac Newton dan ahli astronomi England Stephen Gray.

Mereka merasakan menerusi galvanisme, wujud hubungkait antara tenaga elektrik dengan semua proses kehidupan. Dan ia didakwa dibuktikan menerusi beberapa eksperimen. Di Perancis pada tahun 1746, Jean-Antoine Nollet menghiburkan kerabat diraja Perancis dengan mengejutkan sekumpulan 180 pengawal diraja dengan cas elektrik dari sebuah balang Leyden.

Jika anda tidak membaca kisah ini, pasti anda menyangka ia satu lagi kerja fiksyen membabitkan pencipta Frankenstein, Mary Shelley. Hakikatnya, ia merupakan kes sebenar dan banyak diinspirasikan oleh kenalan-kenalan beliau yang meminati galvanisme terutama bagaimana elektrik boleh menghidupkan kembali manusia.

Novel Frankenstein yang ditulis Shelley diinspirasikan bukan saja oleh eksperimen galvanisme tetapi minat bidang tersebut oleh orang sekelilingnya.

Salah seorang daripadanya ialah sasterawan Inggeris dan rakan keluarga, Samuel Taylor Coleridge. Selain itu, suaminya ketika itu iaitu Percy Bysshe Shelley turut meminati eksperimen galvanisme.

Tetapi eksperimen Aldini turut mengundang perdebatan dalam kalangan cendekiawan tentang peranan elektrik dan kaitannya dengan proses kehidupan. Charles Wilkinson yang membantu filsuf Itali itu dalam eksperimennya mengganggap ia sebagai komponen penting yang menghubungkan bahan dengan semangat/roh.

Namun, hujah penyokong Aldini ini dibantah oleh ramai pihak. Pada tahun 1814, pakar bedah John Abernathy mengulangi dakwaan tersebut semasa sesi syarahan tahunan Hunterian di Royal College of Surgeons.

Sebaik mendengar dakwaan tersebut, seorang lagi pakar bedah iaitu William Lawrence membakulsampahkan dakwaan tersebut dan menganggap tenaga elektrik tidak diperlukan dalam menerangkan proses kehidupan. Lawrence bukan orang lain dalam kehidupan keluarga Shelley kerana beliau merupakan doktor keluarga mereka.

Dan selepas Frankenstein diterbitkan pada tahun 1818, ia dilihat seolah-olah menunjukkan galvanisme menjadi kunci utama eksperimen menghidupkan kembali manusia. Ia cuba dibuktikan oleh seorang ahli kimia Scotland bernama Andrew Ure dengan cuba menghidupkan kembali seorang pembvnvh bernama Matthew Clydesdale.

Clydesdale ialah seorang banduan yang baru saja menjalani hukuman m4ti. Sama seperti kes Forster, eksperimen Ure di apartmennya itu ditonton oleh ramai orang dan ini berlaku beberapa bulan selepas kisah Frankenstein diterbitkan.

Ilustrasi cubaan Ure menghidupkan semula Clydesdale melalui galvanisme.

Sebaik Ure memberi kejutan elektrik terhadap m4yat Clydesdale, semua otot muka m4yat serentak menunjukkan eksperesi dan tindakan berbaur ketakutan termasuk senyuman pada ekspresi mukanya yang menakutkan. Ia mengejutkan ramai penonton sehingga ada yang memilih keluar dan seorang daripada mereka pengsan.

Eksperimen-eksperimen sebegini sebenarnya membuka peluang baru kepada aplikasi elektrik dalam konteks yang lebih meluas termasuk dalam bidang perubatan. Tetapi ia masih tidak mengubah hakikat betapa kejamnya eksperimen sebegini bagi membuktikan hujah masing-masing.

Mungkin itulah mesej sebenar yang cuba dibawa Shelley dalam novel Frankensteinnya. Manusia yang terlalu obses dengan pencariannya termasuk mencabar kekuasaan Tuhan sebenarnya telah menggadai kemanusiaannya hanya untuk mengejar perkara sia-sia bernama keabadian.

RUJUKAN:

Morus, Iwan. (2020). How gruesome real-life experiments inspired the story of Frankenstein. The Independent. https://www.independent.co.uk/arts-entertainment/books/features/frankenstein-real-science-history-mary-wollstonecraft-shelley-electrocution-executions-a8607501.html

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.