Gaji Minima – Antara Kemahuan Dan Kemampuan

0
314
views

Dalam arena politik hampir setiap negara, gaji minima merupakan satu isu yang sangat panas. Sememangnya ketika ahli-ahli politik mendapat habuan yang luar biasa, rakyat biasa pula sedang bertarung penat demi membanting tulang untuk keluarga. Tetapi asasnya, tiada kerajaan mampu melonjakkan gaji minima secara mengejut. Haruslah dikaji tujuan kerajaan Malaysia hanya menaikkan RM50 bagi gaji minima dalam usaha penyelarasan dalam tempoh yang singkat ini.

Sebuah kerajaan sebenarnya tidak sama sekali boleh memandatkan paras gaji minima sewenang-wenangnya. Kajian terperinci perlulah dilaksanakan. Tetapi gaji minima mempunyai sedikit sebanyak perkaitan dengan kebahagiaan negara. Jujurnya, tiada rakyat akan bersedih (kecuali kes-kes terpencil) apabila mempunyai pendapatan yang stabil. Gaji minima akan memudahkan golongan berpendapatan rendah, khususnya pelajar dan pekerja sambilan.

Golongan yang mendapat pendapatan berlebihan tentu sekali akan berbelanja berlebihan, sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi. Perniagaan juga akan menikmati keuntungan berlipat ganda, yang akan kembali kepada kerajaan jua melalui cukai pendapatan dan barangan.

Tetapi skop disini sedang menyentuh tentang golongan yang kais pagi, makan pagi. Kemewahan bukanlah perkara utama yang diburui golongan berpendapatan rendah. Apa yang didahagakan mereka ialah kestabilan. Jika tidak berbelanja, tentu sekali pendapatan mereka akan dijadikan simpanan. Bagi yang mempunyai akaun Tabung Haji, simpanan ini akan beranak-pinak berdasarkan sistem dividen, satu lagi cabang perkembangan ekonomi.

Namun tidak semua yang berjaya meraih pendapatan daripada sistem ini. Pada ambang peningkatan kos sara hidup dan inflasi, gaji minima dilihat hanyalah sebagai pelampung untuk kekal terapung tidak dihanyut ombak. Harus juga dinyatakan bahawa kewangan biasanya akan menjadi punca perpecahan kepada institusi keluarga. Tetapi kerajaan tidak boleh melonjakkan gaji minima atas alasan pro-rakyat.

Waqaf Saham

Sebenarnya gaji minima turut mempunyai implikasi negatif terhadap masyarakat yang disasarkan juga. Pembayaran gaji semestinya perlu setimpal dengan produktiviti. Pekerjaan rakyat berpaut pada perniagaan syarikat juga. Dengan erti kata lain, keuntungan syarikat itulah akan berpusing balik untuk menyalurkan dana dalam akaun-akaun pekerja. Disebabkan ini juga gaji minima boleh mengganggu imbangan pengangguran.

Keperluan untuk membayar lebih dari biasa akan memaksa pengurusan mengorak langkah baru. Pengambilan pekerja barangkali dikurangkan untuk memantapkan imbangan produktiviti dan pengeluaran. Inilah kepentingan paling utama sekali, kerana jika modal syarikat tidak setimpal dengan pendapatan – pembuangan kerja akan dilaksanakan. Hal ini jelas berlaku di Amerika Syarikat setelah gaji minima AS$7.25 sejam dilaksanakan pada 24 Julai 2009.

Jika pengurangan pengambilan dan pembuangan pekerja tidak dibuat, manfaat-manfaat pekerja boleh ditarikbalik. Untuk berdepan dengan kenaikan kos, tanggungan kesihatan mungkin boleh dibatalkan. Kos pengangkutan pun barangkali akan disasarkan. Realitinya pekerja yang mendapat RM50 berlebihan itu mungkin perlu menyalurkannya semula bagi mengekalkan manfaat-manfaat ini. Lebih ngeri lagi jika pengguna akhir (rakyat juga) perlu menampungnya.

Untuk berdepan dengan kerugian angkara pertambahan pendapatan buruh, syarikat boleh saja menaikkan harga barangan. Tindakan ini akan memberikan tekanan kepada kadar inflasi. Asasnya, setiap peniaga kalau boleh ingin memantapkan pengeluaran sambil mengurangkan kos. Disebabkan inilah arus robotik dan teknologi semakin disahut seperti doa.

Jika drebar-drebar lori dan bas boleh dihentikan, tentu sekali syarikat mereka akan meraih keuntungan yang berlipat ganda. Disebabkan itulah kerajaan perlu pantas mengorakkan langkah, kerana titik-titik ekonomi mestilah semulajadi. Jika tidak mahu semua ini berlaku, mungkin kerajaan boleh menjaminkan pengurangan cukai korporat, asalkan pekerja dibela… tetapi tindakan ini akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk misalnya memantapkan kemudahan-kemudahan kesihatan yang semakin meningkat kosnya.

Adalah penting untuk kerajaan dan rakyat tidak gali lubang untuk menimbuskan lubang lama. Antara bahan yang diperlukan demi menjaminkan kejayaan perlaksanaan gaji minima ialah tidak lain tidak bukan masa juga.

Previous article‘Internalized Racism’ – Mentaliti Perkauman Terhadap Bangsa Sendiri
Next article11 September: Perang Paling Lama Amerika Syarikat
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE