Moving Forward As One

Gajah Yang Dihadiahkan Khalifah Harun Ar-Rashid Kepada Raja Eropah Terkenal

1,153

Sepanjang sejarah, hubungan antara penganut Islam dan Kristian bersifat rencam dan tidak seharusnya dinilai secara hitam dan putih semata-mata. Tidak dapat dinafikan, pada satu sisi kedua-duanya saling bercakaran khususnya di medan p3p3rangan.

Namun, sisi lain yang memperlihatkan hubungan mesra antara keduanya juga tidak patut dikesampingkan. Misalnya pada zaman Kekhalifahan Abbasiyah, Harun al-Rashid pernah mengirimkan hadiah berupa seekor gajah Asia kepada Charlemagne, maharaja Carolingian yang berfahaman Katolik.

Tanpa perlu diperjelaskan secara berjela, Harun al-Rashid merupakan antara khalifah yang unggul lantaran di bawah pemerintahannya, Baghdad mencapai kegemilangan yang tiada tolok bandingan – baik dalam hal ekonomi, kebudayaan, mahupun hubungan antarabangsa.

Antara lain, beliau pernah menyemai hubungan mesra dengan kerajaan China khususnya semasa pedagang-pedagang Muslim secara giat berulang-alik ke pelabuhan Kanton sekitar tahun 800 Masehi, tahun sama Charlemagne dimahkotakan sebagai maharaja.

Lukisan yang dipercayai menggambarkan Harun al-Rashid menerima perutusan Charlemagne

Hubungan mesra juga terjalin antara Khalifah Abbasiyah dan Maharaja Carolingian, khususnya apabila Harun al-Rashid menghadiahkan seekor gajah bernama Abul-Abbas kepada Charlemagne.

Catatan-catatan perihal Abul-Abbas ini boleh dirujuk di dalam Annales regni Francorum (Sejarah Diraja Frankish). Bagaimanapun, tiada sumber dari pihak Abbasiyah dapat ditemui. Pemerihalan Abul-Abbas turut terkandung dalam karya Einhard (770-840 M), sejarahwan yang bertanggungjawab menulis biografi Charlemagne.

Menurut sumber-sumber yang dinyatakan di atas, gajah Abul-Abbas diberangkatkan dari Baghdad di tangan seorang wakil diplomat Carolingian yang bernama Isaac si Yahudi. Isaac merupakan sebahagian daripada rombongan yang diutus oleh Charlemagne bagi menghadap Khalifah Harun al-Rashid dalam sebuah misi diplomatik pada tahun 797 Masehi. Misi tersebut berjalan dengan lancar dan buktinya, Khalifah mengirimkan hadiah seekor gajah.

Walau bagaimanapun, hanya Isaac sahaja yang terselamat dalam perjalanan pulang dari Baghdad. Oleh kerana itu, beliau mengambil laluan pantai Mesir menuju ke Ifriqiya. Ketika tiba di Kairouan, Tunisia, beliau mendapat bantuan daripada Ibrahim ibn Aghlab, emir pertama Dinasti Aghlabiyyah. Dengan demikian, beliau pun berangkat ke pantai Mediterranean lalu mengharungi lautan tersebut bersama Abul-Abbas.

Lukisan yang menggambarkan rombongan hadiah Harun al-Rashid tiba di kediaman Charlemagne

Pada bulan Oktober 801, mereka berdua tiba di Genoa dan meluangkan musim sejuk di Vercelli, Itali. Hampir setahun kemudian, atau tepatnya tanggal 1 Julai, Isaac dan Abul-Abbas tiba di kediaman Charlemagne yang terletak di Aachen.

Tentunya, kehadiran seekor gajah Asia setinggi 3 meter dan seberat lebih 4 tan  itu menggamit perhatian ramai warga Eropah. Justeru, bukan sedikit daripada mereka datang berbondong-bondong ke Aachen untuk menyaksikan haiwan tersebut.

Bagaimanapun, Abul-Abbas bukanlah satu-satunya hadiah yang dikirim oleh Khalifah Harun al-Rashid. Beliau turut menghadiahkan kendi emas, dulang emas, pakaian yang disulam kalimah tauhid, gading yang diukir, dan beberapa lagi hadiah lain. Sebahagian daripadanya masih boleh disaksikan pada hari ini di beberapa buah muzium di Eropah, antaranya Muzium Durham di England, Muzium Saint-Dennis di Perancis, dan muzium di Aachen sendiri.

Setiap hadiah ini diterima dengan tangan terbuka oleh Charlemagne, khususnya hadiah Abul-Abbas. Gajah tersebut bahkan dibawa oleh maharaja Carolingian itu bagi menyertai sebuah pert3mpvran menentang Godfrey of Denmark pada tahun 810 Masehi.

Cuma malangnya, dalam kempen ket3nt3raan inilah Abul-Abbas meninggal dunia di Lippinhem, yang lokasinya dipercayai terletak berhampiran bandar Wessel, Jerman. Dengan demikian, tamatlah riwayat gajah yang menjadi saksi hubungan mesra antara dua tokoh agung di zamannya.

TERJEMAHAN:

Islamic History. (23 Oktober 2020). Relations between Christians and Muslims have always been distinct and cannot be summed up in military confrontations [Facebook Update]. Retrieved from URL: https://www.facebook.com/goislamichistory/posts/129646768895038

Ruangan komen telah ditutup.