Gajah Digunakan Dalam Hukuman Mati

70

Apabila menyentuh tentang cara bagaimana hukuman mati itu dilaksanakan, sudah pasti kita akan terbayangkan pesalah itu dihukum gantung, dipancung, diberikan suntikan maut, dan pelbagai lagi hukuman lain.

Tetapi tahukah anda pada zaman dahulu, gajah yang kita kenali sebagai “gentle giant”, juga pernah digunakan sebagai instrumen atau ‘alat’ di dalam perlaksanaan hukuman mati kepada pesalah atau penjenayah.

Mengenali & Kelebihan Gajah

Umum semua tahu bahawa haiwan yang kita kenali sebagai gajah ini, merupakan sejenis haiwan memiliki saiz yang sangat besar.

Jika di lautan, ikan Paus Biru (Blue Whale) itu dikenali sebagai ‘Raja Lautan’, jadi tidak menjadi satu kesalahan apabila mengatakan bahawa gajah ini ‘Raja Daratan’ kerana ia adalah hidupan darat yang terberat di muka bumi ini.

Terdapat 3 spesies gajah utama yang berbeza di dunia dan ia adalah seperti berikut:

– Gajah “Bush” Afrika (Loxodanta africana)
– Gajah “Forest” Afrika (Loxodanta cyclotis)
– Gajah Asia (Elephas maximus)

* Gajah Pygmy Borneo (Elephas maximus borneensis) yang menetap di Borneo adalah subspesies kepada gajah Asia.

Selain daripada memiliki saiz yang besar dan sangat kuat, gajah turut mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

– Mudah untuk dilatih
– Memahami arahan.
– Antara haiwan yang bijak.
– Mempunyai ingatan yang baik.

Anda juga perlu tahu bahawa, sesetengah tamadun atau budaya itu menganggap gajah ini sebagai haiwan yang suci, menyebabkan ia disanjung tinggi.

Kegunaan Gajah Dalam Sejarah

Tamadun purba dahulu diketahui menggunakan kekuatan yang dimiliki oleh gajah untuk tujuan peperangan. Sama ada bagi menakluk negara lain, atau untuk mempertahankan wilayah mereka sendiri daripada ancaman musuh.

Penggunaan gajah ketika peperangan.
Ilustrasi oleh Paul Philipoteaux.

Contoh untuk situasi peperangan ini adalah semasa kempen penaklukan ketenteraan yang dijalankan oleh Hannibal pada tahun 218 SM. Ketumbukan tentera Hannibal turut terdiri daripada 34 ekor gajah Afrika. Selain itu, kerajaan Ayutthaya turut menggunakan gajah perang yang dipakaikan perisai besi untuk menjaga dan memperluaskan empayar mereka.

Seterusnya, gajah turut digunakan untuk mengangkut atau menarik batu-batan yang besar dan berat di dalam pelbagai projek pembinaan infrastuktur dan monumen terdahulu.

Contoh terbaik adalah semasa pembinaan Angkor Wat oleh Jayavarman II, pada kurun ke-12 dahulu. Selain daripada kepakaran ribuan artisan dan tenaga yang dikerahkan daripada hamba manusia, gajah merupakan ‘tulang belakang’ dalam pembinaan monumen ini.

Contoh yang disertakan bersama, sudah tentu membuktikan bahawa gajah ini sangat berguna kepada manusia serta boleh dikatakan versatil dan sesuai untuk digunakan di dalam apa jua situasi. Ini termasuklah sebagai ‘alat’ dalam perlaksanaan hukuman mati.

Mengapa gajah digunakan?

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada mengapa gajah itu digunakan di dalam perlaksanaan hukuman mati.

Salah satunya adalah faktor fizikal yang dimiliki gajah. Oleh kerana gajah itu besar, berat dan kuat, ia digunakan untuk memijak serta mematahkan tulang-belulang pesalah dan penjenayah yang dikenakan hukuman.

Selain daripada anggota tentera musuh yang ditangkap, orang awam atau penjenayah yang tertangkap melakukan pelbagai kesalahan berat seperti merompak, cubaan memberontak, serta kesalahan mengelak cukai juga turut dikenakan hukuman mati menggunakan gajah.

Selain daripada gajah, haiwan liar lain seperti ular, singa, harimau, buaya dan sebagainya juga digunakan di dalam perlaksanaan hukuman mati. Tetapi, gajah juga menjadi pilihan utama pemerintah atas sebab-sebab seperti berikut:

Tidak seperti haiwan liar, gajah ini merupakan haiwan yang sangat bijak. Ia mudah dilatih dan mematuhi arahan yang diberikan. Justeru itu, gajah telah digunakan oleh kerana ia dapat diberikan arahan untuk memijak, menyeksa dan membunuh seseorang pesalah itu secara perlahan-lahan.

Sebagai contoh, gajah akan diberikan arahan untuk menyiksa dengan memijak anggota badan seperti kaki dan tangan terlebih dahulu, sebelum membunuh pesalah dengan memijak kepala sehingga hancur tengkorak individu ‘malang’ itu.

Contoh Hukuman Mati Menggunakan Gajah

Ilustrasi perlaksanaan hukuman mati menggunakan gajah pada tahun 1681 oleh Robert Knox.

Perlaksanaan hukuman mati menggunakan haiwan gajah ini merupakan suatu kebiasaan di negara Asia serta Asia Tenggara, terutama sekali di negara India. Hukuman ini dikenali serta digelar masyarakat tempatan sebagai “Gunga rao”, dan ia telah dilaksanakan semenjak Zaman Pertengahan lagi.

Hukuman mati menggunakan gajah ini terus popular dan banyak dilaksanakan menjelang kurun ke-19. Namun selepas penjajahan dan campur tangan British dalam pemerintahan India, penggunaan gajah dalam hukuman mati semakin menurun dan akhirnya tidak lagi dilaksanakan.


Ilustrasi hukuman mati menggunakan gajah ketika pemerintahan Mughal.

Menurut pemerhatian dan pengakuan seorang perantau dari Perancis iaitu Francois Bernier, beliau menyaksikan sendiri perlaksanaan hukuman mati menggunakan gajah itu di bandar Delhi, semasa pemerintahan Mughal dahulu.

Menurut warga Perancis itu lagi, gajah yang digunakan tersebut telah dilatih untuk mengerat tubuh badan pesalah menggunakan pedang atau besi tajam yang dipasangkan pada gading gajah tersebut.

Manakala di negara Sri Lanka, sedikit variasi atau perubahan telah dibuat dari segi cara hukuman itu dilaksanakan. Tidak menggunakan pedang atau besi tajam untuk mengerat tubuh pesalah, pemerintah Sri Lanka bertindak memasangkan duri-duri tajam pada bahagian hujung gading gajah itu. Gajah itu kemudian diarahkan untuk merodok perut pesalah. Selepas itu, apabila gajah diundurkan ke belakang, keluar lah organ-organ dalaman pesalah dengan setiap langkah yang diambil.

Di Siam, (kini Thailand) pula, gajah telah dilatih menggunakan belalainya untuk membaling pesalah itu ke udara bagai kain buruk, sebelum memijak pesalah itu sampai mati. Di Kerajaan Cochinchina (Vietnam Selatan), gajah akan diarahkan untuk berlari dan melanggar sebelum memijak penjenayah yang diikat pada sebatang kayu.

Akhir sekali

Gajah adalah haiwan yang berperanan penting di dalam sejarah dan membantu membentuk tamadun dan budaya manusia.

Fakta bahawa gajah itu dapat dilatih dan diberi arahan oleh pemerintah, seakan menjadi ‘pertunjukan’ terhadap kuasa yang dimiliki oleh pemerintah dalam mengawal ‘kuasa alam’ serta amaran keras kepada penjenayah. Kemudian, perlaksanaan hukuman mati secara terbuka ini adalah sangat menakutkan dan ngeri untuk disaksikan.

Kalaulah di zaman moden ini gajah masih digunakan untuk melaksanakan hukuman mati kepada penjenayah, sudah tentu mereka akan berasa takut dan gentar.

Rujukan:

Marie R, 2014. Execution by Elephant: Ancient Capital Punishment in India. http://www.weirdasianews.com/2014/08/31/execution-elephant-ancient-capital-punishment-india

Panji Samodro, 2013. Death Penalty Executions Conducted by Elephant. https://medium.com/unique-and-culture/death-penalty-executions-conducted-by-elephant-54d851a081d1

Pegg, D., 2011. 25 of Humanity’s Most Brutal Methods of Execution. https://list25.com/25-of-humanitys-most-brutal-methods-of-execution

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.