Gajah Dalam Mitos Kepercayaan Agama Lain

559
  • Budak lelaki dengan kepala gajah.

Salah satu gajah yang terkenal dalam unsur keagamaan ialah Dewa Hindu Ghanesh, yang digambarkan sebagai manusia dengan kepala gajah. Kisah Hindu menggambarkan, Ganesh dicipta oleh Dei Parvati yang mahukan anak yang setia.

Suami Parvati, iaitu Dewa Shiva yang pulang dari pengembaraan terkejut melihat seorang budak lelaki berdiri berdekatan rumahnya, lalu dia mencabut pedangnya dan memenggal kepalanya. Semasa kekecohan itu, Parvati berlari keluar dari bilik mandinya dan mengamuk kerana kerana Shiva telah membunuh anak mereka.

Shiva kemudian memerintahkan tenteranya supaya membawa pulang kepala makhluk pertama yang mereka jumpa, dan kebetulan, makhluk pertama yang mereka temui ialah gajah. Shiva melekatkan kepala gajah itu ke badan Ghanesh dan menghembuskan nyawa ke dalamnya. Dari itu, Ghanesh mendapat kepala baharu dan dia dilantik menjadi pemimpin Bhutaganas.

  • Gajah putih dengan enam gading.

Buddha dikatakan telah menjelma sebagai gajah putih beberapa kali. Dia pernah hidup sebagai Chaddanta, seekor gajah putih dengan wajah dan kaki merah dan memiliki enam gading. Dia tinggal di sebuah gua emas dengan dua isteri, Mahasubhadda dan Chullasubhadda.

Menurut satu versi cerita Buddha, Chaddanta memberikan perhatian yang lebih kepada isteri keduanya sehingga Chullasubhadda berasa cemburu dan meninggalkan Chaddanta. Malah bersumpah untuk menghapuskan Raja Gajah itu di masa akan datang. Chullasubhadda akhirnya mati dan dibangkitkan semula menjadi perempuan yang cantik dan berkahwin dengan seorang raja.

Suatu hari, permaisuri memberitahu raja bahawa dia bermimpi tentang gajah putih dengan enam gading dan sanggup mati sekiranya tidak memiliki gading itu. Raja mengumpulkan para pemburu di dalam kerajaannya untuk memburu gajah enam gading untuk memenuhi keinginan permaisuri.

Salah seorang pemburu mengikut arah yang ditunjukkan permaisuri dan menyamar sebagai seorang sami. Melihat sami itu, Chaddanta memberikan penghormatan kepadanya sehingga terjatuh ke perangkap musuh. Pemburu itu menceritakan segalanya kepada Chaddanta dan gajah itu mencabut gadingnya sendiri lalu diserahkan kepada pemburu dan mati.

  • Gajah dan petir.

Mitos Kenya ini menceritakan tentang bagaimana manusia menghancurkan keharmonian dalam kehidupan. Gajah, manusia dan petir tinggal di bumi, tetapi tidak serasi bersama kerana perbezaan besar di antara mereka. Petir menjadi takut kepada manusia dan meninggalkan bumi untuk tinggal di langit. Manakala gajah pula kekal berada di bumi kerana beranggapan manusia itu makhluk yang kecil dan tak mungkin membahayakannya.

Apabila manusia bertembung dengan gajah, dia menembak binatang itu dengan panah beracun. Ketika gajah hampir mati, ia meratap ke langit dan merayu kepada Petir supaya menyelamatkannya namun Petir enggan. Apabila gajah mati, manusia terus mencipta anak panah yang lebih beracun dan membunuh lebih banyak makhluk hidup dan menjadi tuan kepada alam semulajadi ini. 

  • Lelaki miskin dan gajah.

Mitos Kamba di Kenya menceritakan pula tentang asal usul gajah. Seorang lelaki miskin mendengar kisah tentang Ivonya-Ngia, lelaki yang sangat pemurah terhadap orang miskin. Dia membuat keputusan untuk mencari Ivonya-Ngia dalam perjalanan yang sungguh panjang.

Setibanya di rumah agam yang besar di tengah padang rumput hijau yang luas, dia melihat lembu dan kambing yang tidak terkira banyaknya. Ivonya-Ngia menerima kedatangan orang miskin itu dengan baik dan memerintahkan anak buahnya supaya memberikan seratus ekor biri-biri dan seratus ekor lembu kepada lelaki miskin itu, tetapi lelaki miskin itu menolak, sebaliknya meminta rahsia bagaimana hendak menjadi kaya.

Ivonya-Ngia memberikan sebotol salap dan memintanya supaya menyapu benda itu pada bahagian atas gigi isterinya, dan tunggu sehingga tumbuh baharulah dijual. Lelaki miskin itu mengikut saja arahan Ivonya-Ngia dan menyakinkan isterinya bahawa mereka akan menjadi kaya.

Akan tetapi, gigi isterinya tumbuh menjadi gading dan tubuhnya bertambah besar dan dia lari ke dalam hutan. Di situ, dia melahirkan anak-anak gajah dan mereka percaya, itulah sebabnya mengapa gajah mempunyai kepintaran seperti manusia.

  • Gadis gemuk dan gajah.

Di Afrika Selatan, terdapat seorang gadis yang sangat tinggi dan gemuk sehingga tiada seorang lelaki yang mahu menjadikannya sebagai isteri kerana dia dituduh sebagai ahli sihir. Dia diusir dari kampungnya dan mengembara ke gurun seorang diri.

Di sana, dia berjumpa seekor gajah yang bercakap dengan baik kepadanya dalam bahasa Zulu dan tinggal bersama dengan gajah itu. Gadis itu melahirkan empat orang anak lelaki yang sangat tinggi dan kuat, yang dikatakan sebagai nenek moyang ketua-ketua puak Indhlovu.

RUJUKAN:

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.