Gaius Appuleius Diocles – Atlet Rom Berpendapatan $15 Billion

499

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Dalam dunia sukan, antara topik yang menarik untuk dibincangkan adalah berkenaan nama-nama atlet dengan pendapatan tertinggi di dunia – baik bintang bola sepak, peserta kejohanan Olimpik, mahupun lain-lain.

Menurut Forbes, lima orang atlet dengan pendapatan tertinggi pada tahun 2020 ialah Roger Federer ($106.3 juta), Cristiano Ronaldo ($105 juta), Lional Messi ($104 juta), Neymar ($95.5 juta), dan LeBron James ($88.2 juta). Bagaimanapun, angka-angka ini tidak cukup membuntangkan mata jika kita bandingkan dengan jumlah pendapatan atlet di zaman purba.

Tiger Wood dengan jumlah pendapatan sebanyak $1 billion sendiri pun kalah tanding dengan Gaius Appuleius Docles, seorang pelumba pedati dari Rom yang dicatatkan meraih jumlah pendapatan sebanyak $15 billion menurut nilai matawang hari ini.

Gaius Appuleius Diocles dilahirkan sekitar tahun 104 Masehi di Lamecum, ibu kota Lusitania di wilayah Emerita Augusta (Portugal moden). Bapanya menjalankan bisnes pengangkutan secara kecil-kecilan dan kehidupan keluarga mereka berjalan dengan agak sederhana.

Diocles dicatatkan menceburi bidang lumba pedati pada usia 18 tahun di Ilerda (Catalonia moden). Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menempa nama sebagai salah seorang pelumba handalan di Rome. Di sana, beliau dikenali dengan panggilan Lamecus sekali gus mengharumkan nama kampung halamannya.

Setibanya di Rome, Diocles mencurahkan keringat dan kemahirannya untuk pasukan Putih. Saling tidak tumpah seperti sukan permotoran pada hari ini, setiap pelumba pedati pada waktu itu menganggotai sesebuah pasukan yang bertanggungjawab menyediakan segala kelengkapan, latihan, dan penjagaan kuda tunggangan. Bagi pasukan bawahan seperti pasukan Putih, pelumba-pelumbanya lazim terdiri dari masyarakat berstatus sosial rendah.

Sebagai seorang pelumba yang mempunyai bakat semula jadi, Diocles tidak menghadapi sebarang masalah untuk diserap masuk ke dalam pasukan Hijau pada usia 24 tahun. Tiga tahun kemudian, beliau berpindah pula ke pasukan Merah yang hakikatnya, kurang berprestij jika dibandingkan dengan pasukan Merah.

Perpindahan tersebut merupakan satu keputusan yang berani memandangkan ia ibarat memperjudikan untung nasib dirinya sendiri. Mujur, ia sama sekali tidak menjejaskan karier Diocles malah membawanya lebih dekat ke puncak persada. Menurut sebahagian sejarahwan, faktor yang mendorong Diocles untuk menyertai pasukan Merah sebenarnya cukup ringkas. Pasukan Hijau merupakan pasukan yang paling masyhur dan tentunya, ia menggamit perhatian ramai pelumba ternama.

Dengan menyertai pasukan Merah, Diocles dapat memastikan dirinya sentiasa menjadi ayam tambatan dalam pasukan sekali gus membolehkannya memperoleh hasil pendapatan yang lebih lumayan. Berada dalam pasukan yang bukan terunggul juga memberinya peluang untuk lebih bersinar, lebih-lebih lagi dalam situasi menang-dari-belakang (comeback) pada saat-saat akhir.

Perlumbaan sebegini tentunya lebih dramatik dan meninggalkan kenangan yang lebih membekas dalam ingatan para penonton. Oleh kerana itu, tidak hairan jika acara perlumbaan yang disertai Diocles sentiasa dinanti-nantikan dan dianggap sebagai acara kemuncak. Bagi Diocles, hal ini memberikan dua keuntungan besar buat dirinya; kemasyhuran dan kekayaan.

Kantung kekayaan Diocles si bintang sukan kurun ke-2 Masehi itu tidaklah mengalir dari wang tajaan atau hasil perju-dian. Akan tetapi, pendapatannya diperoleh semata-mata dari hadiah kemenangan yang didapatkannya sepanjang menceburi karier tersebut selama 24 tahun.

Daripada kesemua 4,257 perlumbaan pedati empat-kuda yang disertainya, Diocles menjuarai sebanyak 1,462 kali dan menaiki podium untuk 1,438 perlumbaan yang lain (kebanyakannya berakhir di tempat kedua). Merit yang diperolehnya itu membuatkan beliau dikenang sebagai salah seorang atlet purba paling masyhur.

Menurut Professor Peter Struck dari University of Chicago dalam sebuah artikelnya yang disiarkan untuk Lapham’s Quarterly, jumlah keseluruhan wang kemenangan yang diperoleh Diocles sepanjang kariernya mencecah 35,863,120 sesterces, bersamaan $15 billion dalam nilai matawang hari ini.

Jumlah tersebut adalah lima kali ganda lebih banyak berbanding gaji tertinggi gabenor wilayah pada zaman tersebut – cukup untuk membeli bekalan makanan bagi tempoh setahun buat seluruh warga kota Rome, atau untuk membayar gaji keseluruhan ten-tera Rom selama satu perlima tahun.

Tidak hanya direzekikan harta-benda yang berlimpah-ruah, Diocles juga menikmati usia yang panjang sehingga 42 tahun lamanya sedangkan rata-rata pelumba pedati lain disapa ajal pada usia pertengahan 20-an. Hampir kesemua wang kemenangannya dimanfaatkan untuk membeli sebidang tanah yang agak luas di pedalaman Itali, berhampiran pekan kecil Praeneste (Palestrina moden).

Di sana, beliau meluangkan sisa hidupnya dengan aman sentosa dan penuh ketenangan. Sepemergiannya, kedua-dua putera dan puterinya mendirikan sebuah tugu peringatan yang berukir nama Diocles tepat di tapak kediamannya, sebagai tanda kenang-kenangan buat generasi dari berbagai zaman.

TERJEMAHAN

Kerry Sullivan. (30 November 2016). Gaius Appuleius Diocles, The $15 Billion Athlete of the Ancient World. Ancient Origins.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.