Nas & Syarah dari Hadis Jibril melengkapkan persoalan asas agama:

وَ قَالَ : يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِسْلاَمِ, فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : اَلإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَإِ لَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ, وَتُقِيْمُ الصَّلاَةَ, وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ, وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ, وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً. قَالَ : صَدَقْتُ. فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْئَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِيْمَانِ, قَالَ : أَنْ بِاللهِ, وَمَلاَئِكَتِهِ, وَكُتُبِهِ, وَرُسُلِهِ, وَالْيَوْمِ الآخِرِ, وَ تُؤْمِنَ بِالْقَدْرِ خَيْرِهِ وَ شَرِّهِ. قَالَ : صَدَقْتَ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Hai, Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang Islam.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,”Islam adalah, engkau bersaksi tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan hanya Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul Allah; menegakkan shalat; menunaikan zakat; berpuasa di bulan Ramadhan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya,” lelaki itu berkata,”Engkau benar,” maka kami heran, ia yang bertanya ia pula yang membenarkannya.

Kemudian ia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Iman”.

Nabi menjawab,”Iman adalah, engkau beriman kepada Allah; malaikatNya; kitab-kitabNya; para RasulNya; hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk,” ia berkata, “Engkau benar.”

Dia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.

(HR Bukhari)

Berkata Syeikh Najmuddin al-Kubrawi:

“Syariat seperti kapal, Tarekat seperti lautan dan Hakikat itu seperti mutiara. Sesiapa yang mahukan mutiara itu, dia (mesti) menaiki kapal, kemudian belayar mengharungi lautan itu. Kemudian baharulah dia sampai kepada mutiara tersebut. Sesiapa yang meninggalkan urutan (perjalanan) ini maka dia tidak akan sampai ke mutiara itu.”

Ibnu Ajibah dalam kitab إيقاظ الهمام في شرح الحكام ada menjelaskan:

Pembahagian amalan ialah
1. Syariat
2. Tarekat
3. Hakikat

Disebut juga
1. Islam
2. Iman
3. Ihsan

Disebut juga
1. Ibadah
2. Ubudiyyah
3. Hurriyyah

Disebut juga
1. Amal ahli permulaan
2. Amal ahli pertengahan
3. Amal ahli pengakhiran

Disebut juga
1. Untuk menyembah (Allah ﷻ)
2. Untuk meyakini (Allah ﷻ)
3. Untuk menyaksikan (Allah ﷻ)

Disebut juga
1. Syariat menyempurnakan Zahir
2. Tarekat menyempurnakan Jiwa
3. Hakikat menyempurnakan Sirr

Penyempurnaan amal luaran itu melalui
1. Taubat
2. Takwa
3. Istiqamah

Penyempurnaan amal hati itu melalui
1. Ikhlas
2. Sidq (membenarkan)
3. Thama’ninah ( tenang)

Penyempurnaan rahsia sirr itu melalui
1. Musyahadah
2. Muraqabah
3. Makrifah

Islam – Feqh – Syara’

Aktualisasi kepada Rukun Islam iaitu
Mengucapkan dua kalimah syahadah
Menunaikan solat fardu lima waktu
Berpuasa pada bulan Ramadan
Membayar zakat – Zakat fitrah, Zakat harta
Mengerjakan Haji bagi mereka yang mampu

Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesiapa di antara kamu yang hidup sesudahku, akan melihat perselisihan yang besar” (HR Tirmizi)

Perbalahan pendapat dimuktamadkan oleh manhaj 4 Imam. Selepas melewati period perdebatan hukum-hakam, majoriti ulama’ bersepakat pada 4 mazhab fiqh, iaitu:
1. Imam Abu Hanifah (80 – 150 hijrah)
2. Imam Malik Bin Anas (93 – 179 hijrah)
3. Imam Muhammad Bin Idris as-Syafi’e (150 – 204 hijrah)
4. Imam Ahmad Bin Hanbal (164 – 241 hijrah)

Rasulullah ﷺ bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah yang berada di kurun aku, kemudian mereka yang selepas kurun itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itu pula.” (HR Bukhari & Muslim)

Keempat-empat Imam Mazhab merupakan Salafussoleh yang berada di kurun diisyaratkan Nabi ﷺ. Kaedah mengatakan ‘Kita hidup dengan manhaj Nabi ﷺ, bukannya di zaman Nabi ﷺ’. Oleh itu wajiblah setiap umat Islam untuk bermazhab.

Asy-Syahid Dr. Ramadhan al-Buti di dalam risalahnya berjudul ‘Tidak Bermazhab – Bidaah Paling Besar Yang Mengancam Syariah Islam’, ada menegaskan:
Proses mengeluarkan hukum agama seperti profesion perubatan. Sekiranya seorang anak kecil sakit tenat, apakah ibu bapanya itu akan sekadar merujuk kepada buku-buku untuk mencari jalan penyembuhan yang sempurna atau wajar bagi ibu bapanya merujuk kepada medical practitioner yang pakar dan terlatih? Jelas sekali bagi seseorang yang waras, pasti mengambil pilihan kedua.

Berkata Imam Al-Syafii, sebagaimana disebutkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi dalam kitab Al-Faqih wa Al-Mutafaqqih [1/59]:

“Tidak halal bagi seseorang berfatwa di dalam agama Allah kecuali seseorang yang menguasai Kitab Allah; nasikh dan mansukhnya, muhkam dan mutasyabihnya, takwilnya dan tanzilnya, makki dan madaninya, dan apa yang dimaksudkan dengannya. Setelah itu, ia juga wajib menguasai hadis Rasulullah Saw, [hadis] nasikh dan mansukhnya, dan ia menguasai hadis sepertimana ia menguasai Al-Qurán.

Ia juga mesti menguasai ilmu bahasa, menguasai syair-syair Arab yang diperlukan dalam [memahami Al-qurán dan sunnah], dan menggunakan ilmu ini dengan penuh keinsafan. Setelah itu, ia juga mesti mengetahui ikhtilaf para ulama dari berbagai negeri, ia juga harus memiliki tajam pemikiran. Apabila orang itu seperti ini, maka dipersilakan untuk berbicara dan berfatwa di dalam perkara halal dan haram. Jika tidak seperti itu, maka tidak boleh baginya berfatwa.”

Imam Ghazali mewasiatkan supaya menyemai sikap keterbukaan, toleransi dan bersangka baik di kalangan pengikut mazhab. Imam Ghazali tidak menyukai persaingan, sikap menunjuk-nunjuk antara sesama mazhab, malah secara tegas menolak ketaksuban terhadap sesuatu mazhab. Biarpun menuruti salah satu mazhab yang muktabar itu adalah suatu yang dituntut ke atas umat Islam bagi mengelak salahfaham memahami nas agama, dalam masa sama perlulah jua mengelak daripada jatuh ke dalam perangkap pemikiran yang merasakan mazhabnya lebih unggul daripada mazhab yang lain. Selagi wasiat ini dipegang, selagi itulah kehormatan dan toleransi ummah terjamin.

Abu Nua’im, di dalam Hilyatul Awliya’ daripada Abdullah Bin Abdul Hakam katanya, aku pernah mendengar Imam Malik Bin Anas berkata:

“Harun ar-Rasyid pernah berbincang denganku untuk menggantung kitab Muwatta’ di Kaabah dan memaksa masyarakat menerima isi kandungannya. Maka aku membantah agar jangan melakukan sebegini. Sesungguhnya para Sahabat Rasulullah ﷺ telah berselisih pendapat dan mereka bertebaran di merata negeri dan setiap mereka adalah benar. Maka Harun ar-Rasyid menjawab, semoga Allah memberi taufiq kepadamu, wahai Abi Abdillah.”

4 mazhab Imam menyerupai 4 bucu Kaabah,
Dari arah mana pun solat dihadapkan wajah
Sujud rukuknya masih diterima Allah ﷻ

Iman – Akidah – Tauhid

Aktualisasi kepada Rukun Iman iaitu
Percaya kepada Allah
Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
Percaya kepada Malaikat-Malaikat
Percaya kepada Kitab-Kitab,
Percaya kepada Hari Akhirat,
Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari ahli kitab telah berpecah belah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.”
Dalam riwayat yang lain disebutkan; “(Iaitu) yang aku dan para sahabatku meniti di atasnya.”
(HR at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini maka para ilmuwan Islam membuat kesimpulan bahawa mereka yang mengikut sunnah Nabi iaitu pegangannya dan para sahabatnya maka mereka dikenali sebagai Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, dan golongan inilah yang terselamat dari kekufuran dan api neraka.

Al-Imam al-Mufti Sheikh Sayyid Abdurrahman bin Muhammad bin Husain bin Umar Ba`alawi membuat kesimpulan tersebut:

1. Syiah berpecah kepada 22 aliran
2. Khawarij berpecah kepada 20 aliran
3. Muktazilah kepada 20 aliran
4. Murjiah kepada 5 aliran
5. Najjariah kepada 3 aliran
6. Al-Jabbariah 1
7. Al-Musyabbihah 1

Oleh itu jelaslah, kalau ditambah satu aliran lagi dengan fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, maka cukuplah menjadi 73 firqah sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Berkata Ghousul Azam, Syeikh Abdul Qadir Jailani:
“Terdapat 73 golongan seperti yang diberitakan oleh Sayyidina Rasulullah ﷺ , dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang benar.”

Pada abad ke-4 hijrah, berleluasalah firqah-firqah sesat akibat pengaruh falsafah greek & tafsiran yang menyeleweng. Konsep ketuhanan yang ditokok tambah semakin parah. Oleh itu, sistem akidah yang jelas dibukukan bagi menebas kesesatan. Akidah bermakna ikatan. Dalam konteks ini, ia merujuk ikatan solid iman bagi mengelakkan diri dari dipesongkan fahaman menyimpang. Ketika inilah muncul Imam Abu Hasan al-Asha’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturudi yang memaktubkan pegangan tauhid Salafussoleh terdahulu dan mengemaskannya melalui ilmu Kalam.

Tersusunlah akidah al-Asya’irah dan al-Maturidiah daripada Sunnah Rasulullah ﷺ dan Sahabat.

alHafiz Muhammad Murtaza az-Zabadi menulis:
“Al-Imam al’Izz ibn Abd as-Salam mengemukakan bahawa aqidah Asy’airah disepakati oleh kalangan pengikut mazhab Syafi’I, Maliki, Hanafi dan orang-orang utama dari para pengikut mazhab Hanbali (Fudala’ al-Hanabilah)”

Sultan Muhammad al-Fateh berakidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Hanafi. Baginda adalah murid Syeikh Syamsuddin al-Wali dari Tarekat Naqsyabandiah. Rasulullah ﷺpernah bersabda: “Konstantinopel pasti akan ditakluk, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang berhasil menakluknya dan sebaik-baik angkatan tentera adalah angkatan tentera tersebut ” (HR Thabarani). Prophecy hadis ini direalisasikan oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Salah satu senjata terpenting yang tertancap kuat dalam keyakinannya adalah kekuatan tawassul. Karena itu, sebelum turun ke medan perang beliau sering bertawassul dengan Rasulullah ﷺ dalam berdoa. Pada 1453 masihi, berkat mahabbah Rasulullah ﷺ dan mujahadah, dikalahkanlah Rom Byzantin di tangan baginda.

Sultan Salahuddin al-Ayubi juga berakidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafi’e. Baginda menghafaz al-Quran dan kitab at-Tanbih dalam fiqh Syafi’e serta sering menghafiri majlis-majlis ulama Hadis. Al-Imam Muhammad ibn Hibatillah al-Barmaki merumuskan risalah akidah dalam nazam berjudul Aqidah as-Salahiyyah. Risalah ini di memuatkan penegasan bahawa Allah ta`ala Maha Suci dari jisim, sifat-sifat jisim dan Maha Suci dari arah dan tempat. Nazam akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah ini pula diperintahkan oleh Sultan Salahuddin al-Ayubi untuk dikumandangkan dari atas menara masjid sebelum solat subuh di Mesir, Mekah, Madinah dan di seluruh wilayah Syam. Pada hari jumaat 583 Hijrah, berkat akidah yang salim, Baitulmaqdis berjaya dibebaskan daripada tentera Salib.

Akidah sahih Ahlul Sunnah Wal Jamaah dua Sultan soleh ini menjemput bantuan Allah ﷻ.

Ihsan – Tasawuf – Akhlak

Aktualisasi kepada darjat Musyahadah & Muraqabah yang menghadirkan Makrifatullah.

Tazkiyatun Nafs. Iaitu latihan mengosongkan hati daripada selain Allah. Membersihkan jiwa daripada sifat-sifat tercela. Mujahadah diri daripada gemarkan maksiat kepada gemarkan ibadat. Daripada akhlak buruk kepada akhlak mulia.

Musyahadah ialah “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya.”

Berasal dari kalimat شهد . Iaitu menyaksikan. Menyaksikan bukan dengan mata di muka, tetapi dengan ‘mata’ di hati. Sentiasa menyedari wujud Allah ﷻ dalam gerak & diam. Melihat tajalli Allah ﷻ dalam sendiri & ramai. Mata memandang alam, hati menyaksikan Qudrah dan Iradah Allah ﷻ. لا حول ولا قوة إلا بالله.

Muraqabah ialah “Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”

Jalan Muraqabah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ mengandungi:
1. Ahkam: menjaga perintah & larangan-Nya.
2. Ahwal: berakhlak mulia
3. Asrar: memelihara kesucian hati.

Ilmu Aqidah dipeolopori Ahli Kalam, Ilmu Feqh dipelopori Ahli Fuqaha’ dan Ilmu Tasawuf dipelopori Ahli Sufi. Merekalah guru tarbiyah hati. Memimpin ummah mengenal Allah

Di nusantara ini, atas faktor pengislaman melalui ulama’ sufi bermazhab Syafi’e, maka manhaj yang diaplikasi ialah kaedah Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali & Junaid al-Baghdadi. Jalur ini kuat berpegang pada al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Kitab seperti Bidayatul Hidayah, Minhaj Abidin dan Ihya’ Ulumiddin banyak mendidik ummah.

Berkata Imam al-Ghazali:
“Sesungguhnya syarat pertama tariqah iaitu membersihkan hati secara keseluruhannya daripada selain Allah ﷻ.”

Berkata Junaid al-Baghdadi:
“Setiap jalan tertutup, kecuali mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan Rasulullah ﷺ. Sesiapa yang tidak menghafal al-Quran, tidak menulis hadis-hadis, tidak boleh dijadikan ikutan dalam bidang tasawuf ini.”

Dihidupkan ilmu tasawuf jua melalui madrasah rohani yang dinamakan Tarekat. Suatu bentuk bimbingan guru mursyid dalam menunjukkan jalan mengenal Allah ﷻ. Guru muryid pula mestilah seorang Wali Allah.

Takrif Tarekat menurut Syeikh Nawawi al-Bantani:
“Perjalanan khusus untuk para salik menuju Allah dengan melalui tahap-tahap dan meningkatkan diri dengan maqam-maqam (martabat-martabat) iaitu berjalan (safar) menuju Allah, maka hendaknya seorang musafir itu menempuh jalan yang telah ditempuh oleh kaum sufi dan melewati tahap demi tahap.”

Awliya’ sekaligus guru mursyid yang memimpin Tarekat antaranya ialah:
• Sultanul Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Jailani
• Syeikh Ahmad Bin Ali al-Rifa’i
• Sultanul Awliya’ Syeikh Abu Hasan Ali al-Syadzil
• Mevlana Jalaludin al-Rumi
• Syeikh Mui’inuddin al-Chisti
• Al-Faqih al-Muqaddam Muhammad Bin Ali al-Ba’lawi
• Syeikh Ahmad al-Badawi
• Khawaja Shah Muhammad Bhauddin al-Naqsyaband
• Mawlana Affandi Umar al-Khalwati
• Shah Ni’matullah Wali
• Syeikh Abdullah al-Shattari
• Muhammad Bin Abdul Karim al-Sammani al-Madani
• Syeikh Ahmad Bin Idris al-Fasi
• Syeikh Muhammad Bin Ali al-Sanusi
• Syeikh Abu Hafs Umar al-Suhrawardi
• Khawaja Ahmad al-Yasavi & Syeikh Hajji Bektash Wali
• Ruzhibhan Baqli al-Syirai

Buya HAMKA mengambil Tarekat Qadiriah wa Naqsyabandiah dari Abah Anom.

“Di antara makhluk dan Khalik itu ada perjalanan yang harus kita tempuh. Inilah yang kita katakan tariqah (tarekat),” kata Buya HAMKA.

Tazkiyatun Nafs ialah seni menirmalakan hati.
Rahsia terbesar manusia tersimpan padanya.
Dengan menakluk hati, bererti siap menakluk dunia.

“Apa yang engkau takutkan? Di hatimu sendiri ada pintu rahsia menemukan Tuhan!”
-Mevlana Rumi-


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.