Florence Nightingale: Si Bidadari Krimea

0
302
views

Selamat Hari Jururawat saya ucapkan kepada para jururawat seluruh dunia umumnya, kepada kawan-kawan yang berjawatan jururawat khasnya. Tahukah anda bahawa tarikh 12 Mei adalah tarikh lahir bagi seorang tokoh wanita yang mengasaskan bidang kejururawatan moden? Ya, nama wanita lagenda ini adalah Florence Nightingale

AWAL KEHIDUPAN

Florence Nightingale dilahirkan pada 12 Mei 1820 di Florence, Itali. Beliau adalah adik bongsu dalam keluarga dua adik-beradik. Kehidupan keluarga Nightingale amat mewah dengan status keluarganya sebagai golongan sosial elitis. Ibunya, Frances Nightingale berasal dari keluarga peniaga dan amat mementingkan hubungan dengan golongan elit lain bagi memperlihatkan status elitis keluarganya.

GAMBAR 1: Florence di usia remaja.

Namun, Florence merasa kekok untuk menjalani kehidupan keluarganya yang serba mewah itu. Dia cuba sedaya-upaya untuk tidak menjadikan dirinya sebagai perhatian orang lain. Dia sentiasa bertengkar dengan ibunya kerana menganggap ibunya kuat mengawal kehidupanya. Tidak bermaksud Florence adalah anak derhaka kerana dia seperti anak perempuan lain, berusaha mengembirakan ibunya. Pernah suatu ketika, Florence menulis sesuatu bagi meredakan hubungan dengan ibunya yang semakin renggang:

“Saya rasa saya menemui sesuatu yang baik dan patut dipatuhi.”

William Shore Noghtingale, ayah Florence adalah tuan tanah yang kaya, mempunyai dua buah tanah estat dari Lea Hurst, Derbyshire, dan Hampshire, Embley Park. Florence dibesarkan di estat Lea Hurst dan memperoleh pendidikan klasik dari ayahnya dengan tambahan mempelajari Bahasa Jerman, Itali, dan Perancis.

Pada usia muda, Florence aktif dalam urusan kebajikan, menjaga pesakit dan warga miskin dalam perkampungan di estat keluarganya. Pada umur 16 tahun, dia menemui kerjaya yang sesuai dengan dirinya, iaitu menjadi jururawat.

Apabila memberitahu cita-citanya, ibubapanya tegas menghalang niat anak perempuannya itu. Malah memaksa Florence melupakan kerjaya itu. Untuk makluman, pada zaman Victoria di Eropah, apabila anak perempuan dari keluarga berada dalam usia remaja, dia wajib dijodohkan kepada seorang jejaka dari status yang sama. Remaja wanita itu juga tidak boleh mengambil kerjaya yang dipantang hina oleh para elitis. Pada umurnya 17 tahun, Florence membantah perancangan jodohnya kepada seorang jejaka yang dipilih keluarganya dan menjelaskan penolakannya kepada pasanganya itu. Pada tahun 1844, Florence tekad untuk mengambil jurusan kejururawatan di Lutheran Hospital of Pastor Fliedner yang bertempat di Kaiserwerth, Germany.

KERJAYA

GAMBAR 2: Florence Nightingale pada tahun 1860.

Pada awal tahun 1850-an, Florence pergi ke London dengan jawatan sebagai jururawat dan berkhidmat di Middlesex Hospital. Kerjaya beliau memberangsangkan dan mendapat perhatian majikannya sehingga beliau dilantik sebagai pengurus hospital walaupun hanya setahun berkhidmat. Jawatan ini mencabar bagi Florence sehingga beliau terpaksa mengurus kehadiran pesakit wabak kolera dengan keadaan hospital yang tidak terurus dan berupaya terjangkit penyakit lain. Dari situ beliau mempertingkatkan praktik kebersihan bagi mengurangkan kadar kematian di hospital

Pada Oktober 1853, Perang Krimea berlaku. Peperangan antara Empayar British dengan Empayar Rusia bagi kawalan tenhadap Empayar Turki Uthmaniyyah yang semakin rapuh. Beribu-ribu tentera British dihantar ke Laut Hitam dan pada masa yang sama bekalan perang berkurangan. Pada tahun 1854, lebih 18,000 anggota tentera British memenuhi hospital ketenteraan.

Pada masa itu tidak ada seorang jururawat wanita bertugas di hospital Krimea. Kerana reputasi jururawat wanita yang teruk sebelumnya, pegawai perang menghentikan khidmat tersebut. Lewat tahun 1854, Florence menerima surat dari Setiausaha Perang, Sidney Hberbert, meminta Florence mengurus sekumpulan jururawat perang yang sedang merawat para tentera di Krimea. Florence menerima panggilan itu kemudian merekrut 34 orang jururawat dengan pelbagai status keagamaan dan beberapa hari kemudian mereka berangkat ke Krimea.

Setibanya di Scutari, sebuah hospital British yang bertempat di Konstantinopel (Istanbul), keadaan hospital itu amat teruk dan memilukan. Sumber air yang tercemar, pengurusan hospital yang tidak teratur, para pesakit terlantar memenuhi setiap ruang hospital dan lebih jijik tikus dan lipas membiak pantas dan selamba lalu-lalang di setiap sudut bilik pesakit. Barangan asas seperti pembalut luka dan sabun semakin sukar didapati seiring peningkatan pesakit perang. Tambahan pula, anggota tentera yang meninggal dunia oleh penyakit thphoid dan kolera meningkat berbanding anggota tentera cedera.

Tanpa berlengah, Florence meneruskan kerjanya. Tidak pedulikan keadaan sekeliling. Beliau mengambil berus luka dan meminta para jururawat untuk merawat para pesakit yang memenuhi ruangan hospital. Setiap minit Florence melawat setiap pesakit tanpa lelah. Waktu malamnya, beliau melalui ruangan gelap menggunakan lampu, memeriksa pesakit demi pesakit. Para pesakit yang selesa dengan layanan Florence menggelar beliau sebagai “Wanita dengan lampunya” atau “Bidadari Krimea”. Kesungguhan beliau mendapat keputusan yang baik iaitu merendahkan kadar kematian di hospital sebanyak 2/3.

GAMBAR 3: Gambaran Florence merawat pesakit dengan lampunya.

Untuk menambahbaik kebersihan hospital, Florence memperkenalkan servis pesakit sebagai cara pertingkatkan kualiti layanan hospital. Beliau juga memperkenalkan “dapur segera” dengan menyediakan makanan kepada para pesakit dengan diet yang digariskan. Dobi juga Florence tubuhkan untuk kebersihan pakaian pesakit. Tambahan lagi perpustakaan dan kelas mengajar dibina untuk pendidikan dan hiburan pesakit. Melalui pengalaman beliau di Krimea, Florence menulis laporan analisa bertajuk “Notes on Matters Affecting the Health, Efficiency and Hospital Administration of the British Army” sebanyak 830 muka surat yang merangkumi pengalaman dan membentangkan pembaharuan infrastruktur di hospital ketenteraan lain yang juga buruk kondisinya. Laporan itu kemudian mencetuskan penstrukturan semula jabatan pentadbiran perang, termasuklah penubuhan Suruhanjaya Diraja Kesihatan Tentera ( Royal Commission for the Health of the Army) pada 1857.

Florence tinggal di Scutari selama 1 tahun setengah dan setelah tamat Perang Krimea, beliau kembali ke tanah kelahirannya pada tahun 1856. Apa yang dia tidak sangkakan adalah sambutan meriah rakyat akan kepulangannya sebagai hero. Ratu England menghargai jasa Florence dan menghadiahkan beliau sebuah kerongsang yang digelar sebagai “Nightingale Jewel” serta wang sebanyak $250,000 dari kerajaan British.

Florence berhasrat menggunakan duit tersebut untuk kerjaya jangka masa panjang. Pada tahun 1860, Florence menubuhkan Hospital St. Thomas’ dan Sekolah Latihan Kejururawatan Nightingale, yang kini menjadi Fakulti Kejururawatan Florence Nightingale, sebahagian dari King’s College London. Dari usaha beliau, dia menjadi figura kebanggaan masyarakat. Banyak puisi dan lagu dicipta khas untuk Florence. Manakala para remaja wanita ketika itu teringin menjadi heroin itu sehingga para wanita dari kelas elitis pergi belajar di sekolah jururawat. Berkat usaha Florence, jururawat kini dipandang sebagai kerjaya yang mulia.

GAMBAR 4: Florence bersama para jururawat dari Hospital St. Thomas.

 

AKHIR KEHIDUPAN

Ketika di Scutari, Florence menghidap “Crimean fever” yang tidak dapat disembuhkan segera. Pada umur 38, kesakitan Florence makin parah namun beliau tetap menahan diri demi kesembuhan para pesakit dan pembaharuan penjagaan kesihatan.

Pada usia tuanya, ketika menetap di Mayfair, dia kekal sebagai seseorang yang berpengaruh dalam bidang penjagaan kesihatan. Florence meneruskan pembaharuan dengan menemu ramah ahli politik dan menerima kunjungan pelawat ketika beliau terlantar di katil. Pada tahun 1859, beliau menerbitkan buku Notes on Hospitals, fokus kepada pengurusan hospital awam.

Apabila berlaku Perang Saudara USA, Florence muncul bagi berunding bagi berbincang pengurusan terbaik terhadap hospital lapangan. Beliau juga berkhidmat sebagai seseorang yang berpengaruh bagi berbincang tentang isu kebersihan awam di India walaupun beliau tidak pernah pergi ke India.

Pada tahun 1908, Florence dalam umur 88 tahun diberikan penghargaan oleh dan kehormatan oleh Raja Edward. Kemudian pada May 1910, beliau mendapat surat berucap tahniah dari Raja George ketika sambutan hari lahir ke-90 tahun.

Pada Ogos 1910, Florence Nightingale merasa sakit namun sembuh semula dan dikatakan beliau masih bertenaga. Seminggu kemudian, iaitu pda hari Jumaat bersamaan 12 Ogos 1910, beliau mendapat beberapa gejala penyakit yang mengganggu. Pada keesokannya iaitu 13 Ogos, beliau meninggal dunia secara mengejut pada 2 petang di rumah kelahirannya.

Pada mulanya, Florence inginkan majlis pengebumian yang biasa saja tidak tidak perlu sebarang perhatian walaupun orang ramai ingin menghormati kematiannya. Demi menghormati permintaannya, suadara-maranya menolak pengebumian khas dari kerajaan. Si “Wanita dengan Lampunya” telah dikebumikan bersama para keluarga di Westminster Abbey.

Sebelah Sekolah Latihan Kejururawatan Noghtingale, terbinanya Muzium Florence Nightingale yang menempatkan 2,000 buah artifak merangkumi kisah hidup dan karier Bidadari Krimea ini. Pada hari ini, Florence Nightingale tetap dikenali ramai sebagai pelopor bidang kejururawatan moden.

RUJUKAN:

  1. Florence Nightingale:
    https://www.history.com/topics/womens-history/florence-nightingale
  2. Florence Nightingale and Lynn McDonald (Editor) (2010). “An introduction to Vol 14”.Florence Nightingale: The Crimean WarWilfrid Laurier University Press.
  3. Gill, Christopher J.; Gill, Gillian C. (June 2005). “Nightingale in Scutari: Her Legacy Reexamined”.Clinical Infectious Diseases. 40 (12): 1799–1805
  4. Small, Hugh (1998).Florence Nightingale: Avenging Angel. New York: St. Martin’s Press. pp. 1–19.
  5. Swenson, Kristine (2005).Medical Women and Victorian Fiction. University of Missouri Press. p. 15.