Pegangan agama utama masyarakat Mesir kuno adalah menyembah para dewa dewi yang diyakini mempunyai kekuasaan tertentu yang merangkumi Dewa Amen-Ra, Dewa Horus, Dewa Anubis, Dewi Isis dan sebagainya. Penyembahan dewa dewi ini bermula sekitar zaman pra-dinasti Mesir iaitu ketika fasa Naqada ketiga. Pada zaman ini, bumi Mesir belum disatukan dibawah satu bendera empayar, tetapi dibahagikan menjadi dua buah kerajaan yang dikenalpasti sebagai Kerajaan Mesir Atas dan Mesir Bawah. Kedua buah kerajaan ini menyembah dewa dewi sehingga mereka membina kuil-kuil sembahan yang diperkirakan lebih besar daripada istana sang firaun.

Seperti sedia maklum, kerajaan Mesir Atas (Lembah Nil) menyembah Dewi Nekhbet (Mut) sehingga lambang suci dewi ini, iaitu burung hering diletakkan sebagai simbol rasmi mahkota putih Hedjet. Lain pula bagi kerajaan Mesir Bawah (Delta Nil) yang menjadikan Dewi Wadjet sebagai sembahan utama sehingga meletakkan simbolnya iaitu ular senduk di mahkota merah Deshret.

Penyatuan dua buah kerajaan ini disimbolkan oleh Raja Narmer melalui penyatuan dua buah mahkota juga, Hedjet dan Deshret lalu ianya diberikan nama mahkota suci Pschent.

Kedua buah kerajaan purba ini akhirnya disatukan dibawah pemerintahan Raja Narmer iaitu pemerintah terakhir kerajaan Mesir Atas sekaligus menamatkan Dinasti 0 dan fasa Naqada Ketiga serta membuka Dinasti 1 yang di mana ianya menjadi dinasti pertama yang memulakan episod terukirnya peradaban Dinasti Mesir di atas lembaran peta sejarah dunia.

PENYATUAN DEWA AMUN DAN DEWA RA.

Dalam buku A Brief Of Egypt karya Arthur Goldscmidt Jr, beliau menyatakan:

Pada era Kerajaan Lama (Old Kingdom), Dewa Ra diangkat sebagai sembahan utama didampingi oleh dewa dan dewi lainnya.

Demikian zaman pun berlalu dan kepopularan Dewa Ra menurun setelah Dewa Amun diangkat sebagai dewa matahari pada era Kerajaan Baru (New Kingdom). Lalu, taraf Dewa Ra diturunkan menjadi dewa yang menguasai alam bawah (underworld). Setelah itu barulah dua entiti suci ini digabungkan.

Sosok sembahan Dewa Amun dan Dewa Ra adalah berlainan jenis sebelum kedua sosok ini digabungkan menjadi satu dewa iaitu Dewa Amun-Ra. Tetapi walaupun berbeza, Dewa Amun dan Dewa Ra disifatkan sama sebagai dewa matahari atau dewa yang menciptakan dunia, Mesir dan dewa-dewi lainnya.

Perbezaan kedua sosok ini akhirnya disatukan dibawah pemerintahan Firaun Ahmose I (Amenes) setelah mengalahkan Dinasti Hyksos (keturunan kaum Ad) yang menguasai wilayah Mesir Bawah. Kisah penaklukan dan berdirinya Dinasti Hyksos di bumi Mesir sama seperti kisah penaklukan Dinasti Mongol (Yuan) di dataran China. Kekalahan Dinasti Hyksos membuka peluang untuk Firaun Ahmose I menyatukan Mesir buat kali kedua seterusnya mendirikan dinasti baharu iaitu Dinasti Kelapan Belas pada era Kerajaan Baru (New Kingdom).

Dengan berdirinya dinasti baru ini, maka Firaun Ahmose I menjadikan kotanya, Thebes sebagai ibukota rasmi Dinasti Kelapan Belas.

Pada era inilah, dewa Amun-Ra menjadi lambang sembahan suci negara dan masyarakat Mesir khususnya rakyat yang tinggal di ibukota kuno Mesir Dinasti Kelapan Belas, Thebes, yang mempercayai Dewa Amun-Ra sebagai pelindung kota. Masyarakat Mesir yang menetap di ibukota Thebes memanggil Dewa Amun-Ra sebagai ‘Bapa’ dan Dewi Mut (dewi sembahan Firaun Narmer dan isteri Dewa Amun-Ra) sebagai ‘Ibu’.

Kepercayaan dan keagungan Dewa Amun-Ra diteruskan oleh penerus Firaun Ahmose I iaitu Firaun Amenhotep I (anaknya), Firaun Thutmose I, Firaun Thutmose II, Firaun Hatsheput, Firaun Thutmose III, Firaun Amenhotep II, Firaun Thutmose IV, Firaun Amenhotep III, sehingga akhirnya mahkota kekuasaan ini turun ke atas Firaun Amenhotep IV.

FIRAUN AMENHOTEP IV: PEMIMPIN YANG DILAKNAT?

Setelah menaiki takhta sebagai pemimpin Dinasti Kelapan Belas, baginda masih meneruskan legasi kepercayaan agama nenek moyangnya ke atas rakyatnya (tetapi baginda sendiri tidak pernah mengakui kewujudan Dewa Amun-Ra), sehinggalah tiba tahun kelima pemerintahan baginda. Baginda menukar nama gelarannya dari Amenhotep IV kepada Akhenaten iaitu yang membawa maksud ‘Roh Atun’. Pembaharuan yang dibawa oleh Firaun Akhenaten yang menyebarkan agama berkonsepkan monoteisme dan meninggalkan kepercayaan agama nenek moyangnya yang berkonsepkan politisme.

Berdasarkan beberapa pemerhatian, ada yang mengemukakan teori bahawasanya Dewa Atun merupakan sosok yang sama seperti Dewa Ra, kerana kedua dewa ini menyerupai sifat yang sama iaitu sebagai dewa matahari. Akhenaten tidak pernah menggambarkan atau menyamakan Tuhan sembahan baginda ini kepada bentuk haiwan, unsur alam apalagi dirinya sendiri. Baginda mengakui bahawasanya Tuhan sembahannya ini tidak mampu ditunjukkan ke dalam sebuah bentuk, iaNya mempunyai zat tersendiri. Dalam tulisan Hieroglif yang didapati dari dinding piramid atau helaian papyrus, tidak pernah dicatatkan, dilukis, dibina tugu yang menunjukkan sosok dan wajah Dewa Atun.

Walaupun Akhenaten menukarkan ke agama menyembah Tuhan yang baharu, hanya segelintir masyarakat Mesir sahaja yang berani mengikuti seruan baginda ini. Para pendeta yang memegang kepercayaan kepada Dewa Amun-Ra diarah untuk menyembah Atun, dan segala kuil sembahan yang menyembah Dewa Amun-Ra ditutup. Monumen, tugu atau segala benda yang mengangkat keagungan Dewa Amun-Ra segera dibuang dan dilarang ketika di zaman kekuasaan Akhenaten.

Segala unsur penyembahan kepada Dewa Amun-Ra diharamkan terus dan revolusi secara mendadak dan tidak pernah muncul di kalangan para Firaun mengejutkan para rakyatnya. Hakikatnya, sebelum ini, rakyat mematuhi segala arahan Firaun dan Firaun sendiri merupakan ‘undang-undang’ negara kerana para Firaun menjadi manusia perantara yang menghubungkan manusia dengan dewa Amun-Ra. Kelebihan yang diciptakan oleh para keturunan Firaun kepada dirinya ini membuatkan para rakyat tidak berani menentangnya dan jika sesiapa menentang Firaun maka bala bencana akan menimpanya.

Jadi, bagaimana dengan seorang Firaun yang dari waktu kecilnya tidak pernah berniat untuk menyembah berhala apatah lagi setelah baginda memegang tampuk kekuasaan sebagai simbol wakil para dewa ini telah menentang dewa sembahan utama mereka, Dewa Amun-Ra dan mengambil tindakan drastik menutup, menghancurkan serta membuang agama kepercayaan nenek moyangnya sendiri? Adakah dengan membuang penyembahan kepada para berhala ini, maka ianya secara tidak langsung telah membuka kelemahan ‘kedaulatan’ nya di hadapan para rakyatnya sendiri?

Ya, setelah Firaun Akhenaten melancarkan agama baharu yang dianutinya ini, ramai pendeta yang menentang baginda, bahkan ada yang mengakui baginda adalah pemimpin yang dilaknat oleh dewa. Hanya segelintir masyarakat yang setia menjadi pengikut baginda.

Nama Akhnaten sendiri dimaknai dengan ‘Pengkhianat’ dan ‘Penjenayah’ lalu setelah kewafatannya, kesemua data rekod mahupun namanya dibuang dariipada daftar keluarga diraja Firaun. Tugu Akhenaten disembunyikan dan ada yang dibuang, kuil menyembah Aten diruntuhkan atau diubah kembali menjadi kuil menyembah Amun-Ra. Segala informasi berkaitan Akhenaten dibungkam sehingga pelbagai tuduhan dilemparkan kepada sosok pemimpin ini seperti tidak pandai mentadbir negara dan pemerintahannya dilaknat oleh para dewa.

Kesemua kisah disebalik Akhenaten terkunci selama beberapa ribu tahun lamanya sebelum namanya ditemukan semula oleh para ahli arkeologi yang menggali di kawasan tapak runtuhan kota Akhenaten. Penemuan Surat Amarra dan hasil DNA dari tubuhnya yang ditemui dimakamkan di Lembah Para Raja (perkuburan kerabat diraja Firaun) berhubung kait dengan Firaun Tutankhamun (Raja Tut) membuka sebuah kotak misteri yang tersimpan rapi selama ribuan tahun. Siapakah Akhenaten ini sehingga segala data dan rekodnya dibuang dan tidak disenaraikan di dalam kerabat diraja Dinasti Kelapan Belas?

KOTA AKHETATEN: PUSAT PENYEMBAHAN TUHAN ATUN

Setelah ditabalkan menjadi Firaun Amenhotep IV di ibukota Thebes, baginda memerintahkan pembinaan kuil Gempaaten, istana Hwt Benben yang dipersembahkan untuk isterinya, Nefertiti, di wilayah timur Karnak. Selain pembinaan kompleks ini, Akhenaten juga membangunkan dua buah kuil Aten lainnya seperti kuil Rud-Menu dan Teni-Menu di wilayah Pylon.

Sebelum memasuki tahun kelima pemerintahan baginda, aktiviti penyembahan kepada Dewa Amun-Ra dan kegiatan para pendeta tidak diganggu dan mereka bebas melakukannya tanpa sebarang sekatan.

Pada tahun kelima, setelah siapkan pembangunan kompleks di kota Akhetaten (El-Amara) di wilayah timur Karnak ini, maka baginda bersama ahli keluarganya berangkat dan tinggal di istana kota Akhetaten. Dengan perpindahan Firaun Amenhotep IV ke kota baharunya ini, maka secara tidak langsung baginda memindahkan pusat pentadbirannya lalu baginda mengeluarkan arahan baru mengharamkan penyembahan berhala Amun-Ra, mengubah dan namanya menjadi Akhenaten (ah keh NAH tun) ini menunjukkan baginda dengan tegas mengubah pegangan agamanya.

Zaman pemerintahan Akhenaten dikenali sebagai zaman ‘Kebenaran dan Kejujuran’. Walaupun ramai pendeta Amun-Ra dan sebahagian rakyat menentangnya, tetapi baginda tetap meneruskan urusan pentadbirannya dengan menciptakan pelbagai hubungan diplomatik dengan raja-raja yang berada di luar bumi Mesir.

Dalam buku bertajuk Akhenaten and Tutankhamen: The Religious Revolution oleh Susanna Thomas mukasurat 11, beliau menulis:

Bukti ini dapat dilihat melalui tablet yang diperbuat daripada tanah liat (berjumlah 330 tablet) yang ditemui di bekas runtuhan kota Akhetaten iaitu ‘Surat Amarna’ (tulisan dalam bahasa Akkadia-Mesopotamia) yang menyatakan bukti perhubungan diplomatik antarabangsa diantara Akhenaten dengan:

1. Raja empayar Babylonia Kadashman.

2. Raja empayar Asyur, Uballit I.

3. Raja empayar Mitanni, Tushratta.

4. Raja dari wilayah Arzawa, Tarhundaraba.

5. Raja bangsa Het, Suppililiuma.

6. Raja wilayah Ugarit, Niqm-Adda II.

Dan ramai lagi.

Dengan membawa agama kedamaian yang baharu, Akhenaten tidak memaksa rakyatnya untuk menyembah Atun. Buktinya dapat dilihat ketika mana Akhenaten membawa diri bersama keluarga dan para pengikutnya tinggal di kota baharu Akhetaten dan segala ritual agamanya hanya dilakukan di sini sahaja. Walaupun arahan tegas dari Akhenaten untuk meruntuhkan segala kuil sembahan Amun-Ra, tetapi arahannya ini tidak dilaksanakan bahkan para pendeta bersatu suara dalam menentangnya.

Tambahan pula, Akhenatan tidak mengakui dirinya sebagai dewa bahkan baginda juga tidak mahu sosoknya diagungkan sehingga tugu-tugu yang dipahat menyerupainya digambarkan sebagai kurus dan tidak sasa. Begitu juga isterinya, Nefertiti yang terkenal dengan kecantikan di bumi Mesir pada waktu itu tidak menyatakan baginda adalah gambaran Dewi Isis.

Setelah 17 tahun lamanya memerintah dengan pegangan agama menyembah Atun, maka Akhenaten pun wafat dan takhta ini diturunkan kepada Firaun Smenkhkara. Jenazah Akhenate dikebumikan di kompleks perkuburan diraja firaun yang memerintah di Amarna iaitu, Wadi Abu Hassah al-Bahari. Jenazah Akhenaten tersimpan rapi di kompleks pemakaman ini dan ajaran agama yang diperjuangkan ini diteruskan oleh para penerusnya. Tetapi setelah kewafatan Ratu Nefertiti, maka Tutankhaten menaiki takhta sebagai pemerintah Dinasti Kelapan Belas yang baharu.

Walaupun Akhenaten merupakan ayah baginda, tetapi Firaun Tutankhaten melupuskan kembali ajaran agama yang dianut ayahnya ini, melahirkan kembali ajaran sembahan Amun-Ra dan mengubah nama gelarannya menjadi Tutankhamun (Roh Amun). Segala kuil yang mengagungkan Atun dihancurkan.
Segala rekod dan catatan menyembah Atun dilupuskan. Pusat pentadbiran Dinasti Kelapan Belas dipindah kembali ke kota asalnya, Thebes dan jenazah ayahnya ini, Akhenaten dibawa pulang ke sana dan dimakamkan di Lembah Para Raja (The Valley of the Kings) dan kota Akhetaten ditinggalkan buat selama-lamanya.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.