Riwayat sejarah tentang seorang putera diraja yang menghabiskan masa mudanya menyaksikan peperangan di antara ayahandanya, Raja Seqenenre Tao dari Thebes terhadap Raja Khyan dari Memphis. Pertempuran diantara Dinasti Mesir dan Dinasti Hyksos berlangsung hampir berpuluh-puluh tahun lamanya sebelum ia diakhiri oleh seorang putera muda, pemegang kunci kemerdekaan Nil.

Kerajaan Hyksos: Penakluk Mesir Dari Kana’an.

Sebelum kedatangan bangsa Hyksos, bumi Mesir diperintah oleh empat dinasti yang berbeza iaitu Dinasti Ke-13 yang berpusat di kota Avaris (Tell al-Dab’a) dan Dinasti Ke-13 yang berpusat di kota Memphis. Kedua buah kota di utara Mesir ini masing-masing melakukan kegiatan politik dan ekonomi antara satu sama lain. Musuh mereka pada waktu ini hanyalah dari kerajaan kecil yang berpusat di kota Thebes dan kota Abydos di selatan Mesir. Jadinya, bentuk geopolitik sebelum kedatangan bangsa Hyksos hanya terjadi diantara Mesir Selatan dan Mesir Utara.

Walaupun keempat-empat kerajaan ini hidup makmur tanpa peperangan selama rentang waktu yang lama, tetapi kedamaian mereka dicabar pada sekitar tahun 1650 SM yang lalu, apabila sekelompok pendatang asing dari tanah Kana’an, iaitu Hyksos muncul sebagai sebuah kuasa politik baharu, bahkan mereka berimpian untuk menjadi penguasa tunggal di Mesir. Nama Hyksos diterjemah daripada rekod ‘Senarai Raja Turin’ yang membawa maksud ‘Heqa Khasut’ iaitu Pemerintah Dari Bumi Asing.

Episod kejatuhan empat buah kerajaan ini bermula setelah Hyksos melancarkan serangan pertamanya dengan menakluk dua buah kota yang kaya-raya, iaitu Dinasti Ke-13 yang berpusat di kota Memphis dan Dinasti Ke-14 yang berpusat di kota Avaris. Dengan kekalahan telak kedua buah kuasa di utara Mesir pada waktu tersebut, maka Hyksos berjaya menjadi penguasa di utara pada fasa kebangkitannya lalu menubuhkan Kerajaan Hyksos atau Dinasti Ke-15 yang berpusat di kota Avaris.

Pada fasa permulaan ini, kerajaan Hyksos belum berminat untuk meneruskan serangan ke atas dua buah kota lainnya di utara iaitu kota Thebes dan kota Abydos kerana jaraknya yang sangat jauh dan mahu menumpukan dahulu dengan penstrukturan pentadbiran yang baharu. Mereka ibarat singa yang sedang berehat seketika, menghadam makanan yang baru sahaja dijamah.

Tetapi tidak lama kemudian, kekuasaan Hyksos di Mesir mula diganggu-gugat oleh musuh baharu dari selatan iaitu Dinasti Ke-16 yang berpusat di kota Thebes dan Dinasti Abydos yang berpusat di kota Abydos. Kedua buah kuasa selatan yang sebelum ini lemah dipandangan mata Hyksos, berubah lama-kelamaan menjadi kuasa besar, bahkan kedua buah kuasa ini bersekutu untuk menghadapi Kerajaan Hyksos.

Penentangan dari kedua buah dinasti selatan ini terlihat jelas, apabila mereka tidak bersetuju dan menolak permintaan raja Hyksos untuk meletakkan kota mereka dibawah jajahan kerajaan Hyksos sepertimana yang berlaku ke atas nasib kota Memphis dan Avaria. Akibat dari penolakan ini, terjadinya beberapa sisi pertempuran di antara kedua belah pihak selama beberapa tahun.

Hari-hari pun berlalu, Dinasti Ke-16 dan Dinasti Abydos semakin lama semakin lelah diasak dengan serangan bertalu-talu dari kerajaan Hyksos. Kelengkapan senjata dan kekayaan Avaris pada waktu tersebut memberikan kelebihan kepada kerajaan Hyksos mampu membeli peralatan perang yang baharu, bekalan makanan yang tidak putus dan bantuan dari tentera gabungan Memphis-Avaris.

Setiap usaha yang keras pasti membuahkan hasil, maka dengan kecekalan perjuangan dan semangat menakluk yang tinggi, kerajaan Hyksos dari Avaris mampu menghapuskan kuasa Dinasti Ke-16 dengan menakluki kota Thebes. Sekutu Dinasti Ke-16, iaitu Dinasti Abydos turut disapu oleh kerajaan Hyksos dalam ekspedisi gempuran selatan ini. Dengan kejatuhan dua buah kota terakhir yang berpengaruh di selatan Mesir, maka Kerajaan Hyksos membuktikan mampu merealisasikan mimpinya untuk menjadi satu-satunya kuasa tunggal di Mesir walaupun dari bangsa asing.

Kelahiran Dua Orang Putera Thebes: Cahaya Dari Dewi Isis

Zaman pun berlalu.

Pada sekitar tahun 1580 SM, Seqenere Tao, bersama tenteranya, berjaya melepaskan kota Thebes daripada kekuasaan pusat Hyksos di ibukota Avaris lalu baginda menabalkan dirinya sebagai Raja Seqenere, pemimpin pertama Dinasti Ke-17. Kebebasan ini membawa dua buah makna, iaitu kelahiran bibit-bibit pemberontakan dan tanda-tanda kejatuhan kerajaan Hyksos. Dinasti Ke-17, pewaris Dinasti Ke-16, seteru utama Kerajaan Hyksos. 

Raja Seqenere mempunyai dua orang anak iaitu Putera Kamose dan Putera Ahmose. Kedua orang anaknya ini dididik dengan ilmu politik, akademi, agama dan ketenteraan di usia yang masih belia. Hasil didikan inilah yang akhirnya akan membentuk kedua orang putera ini sebagai sosok pemimpin yang berani di medan perang.

Raja Seqenere mampu memimpin dan membawa Dinasti Ke-17 sebagai sebuah kerajaan yang kuat di selatan Mesir. Baginda mula memimpin kerajaannya dari tahun 1560 SM sehingga 1555 SM. Konflik makin meruncing diantara pihak Hyksos dan Thebes apabila Raja Hyksos, Apepi (Aphopis), menghantar utusannya kepada Raja Seqenere.

Utusan yang membawa mesej kepada baginda adalah, setiap kawasan yang memasuki jajahan Kerajaan Hyksos wajib membayar ufti kepada Raja Apepi dan sesiapa yang melanggar arahan ini akan dibunuh. Raja Seqenere yang sangat berdendam dengan kerakusan Raja Apepi dan keturunan Hyksos, telah memutuskan untuk melancarkan kempen perang mengambil alih kembali kota Avaris dan Memphis.

Baginda menghadapi beberapa siri pertempuran dengan Hyksos selama hidupnya, sebelum baginda mengalami kekalahan. Punca kematian Raja Seqenere dipecahkan kepada dua teori, di antaranya:

1. Baginda terbunuh di medan pertempuran.

Hasil forensik dan x-ray ke atas jasad mumia Raja Seqenere, para penyelidik menemui kesan tetakan kapak jenis buatan Hyksos di kepala baginda. Hasil ini dapat dlilihat di dalam buku ‘The Oxford History of Ancient Egypt’ oleh Ian Shaw. Di halaman 199, diterangkan Raja Seqenere mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala melalui kesan tetakan kapak Hyksos dan kesan luka tombak di bahagian leher ketikamana baginda sedang menghadapi pertempuran satu lawan satu (kombat). Pendapat pertama ini dikuatkan lagi dengan dakwaan yang tiada sebarang bekas atau luka di bahagian tangan dan jari baginda, dan jika ketiadaan luka ini, baginda tidak sempat mempertahankan dirinya di dalam medan perang.

2. Baginda ditangkap hidup-hidup oleh jeneral perang Hyksos dan dihukum bunuh.

Berbeza pula dengan seorang Egyptologi iaitu Garry Shaw, beliau mengemukakan teori tentang kematian Raja Seqenere di dalam bahagian ‘The Death of King Seqenenre Ta: Journal of the American Research Center in Egypt’. Beliau menuliskan, hasil imbasan dan perincian ke atas tengkorak dan tulang Raja Seqenere, Shaw mampu mematahkan teori pertama dan berpendapat yang Raja Seqenere dihukum bunuh oleh seorang jeneral perang Hyksos, setelah baginda kalah dalam pertempuran terakhirnya dan baginda bukan dibunuh dalam pertempuran satu lawan satu di medan perang seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Antara kedua buah teori di atas, teori kedua lebih diyakini sebagai punca kematian Raja Seqenere Tao. Legasi perjuangan Raja Seqenere dilanjutkan oleh dua orang puteranya yang bakal menjadi raja Thebes yang sangat bijak dan berstrategi di dalam medan pertempuran.

Ekspedisi Avaris: Raja Kamose Pembuka Pintu Penaklukan

Setelah kematian Raja Seqenere Tao, takhta Dinasti Ke-17 diserahkan kepada anak sulung baginda melalui sistem pewarisan takhta iaitu Putera Kamose melalui persetujuan balu Raja Seqenere, Permaisuri Ahhotep I.

Catatan kempen Raja Kamose dapat ditemui di batu bersurat (manuskrip) yang dikenali sebagai Caravon Tablet. Rekod kejayaan Raja Kamose dalam pertempuran yang disertainya, turut ditemukan di batu bersurat lain, Kamose Stella Kedua (Kamose’s Second Stella). 

Tempoh pemerintahan baginda berlangsung selama lima tahun sahaja iaitu dari tahun 1555 SM sehingga 1550 SM. Permaisuri Ahhotep I merupakan tulang belakang dan pembakar semangat kepada Raja Kamose meneruskan perjuangan ayahandanya dan kalau dilihat dari sudut lain, Permaisuri Ahhotep I cuma mempergunakan kedudukan anaknya sebagai pemerintah melaksanakan dendamnya kepada Kerajaan Hyksos atas kematian suaminya. Dalam dua tahun pemerintahannya yang awal baginda menghentikan dahulu kesemua kempen ketenteraan ke atas Kerajaan Hyksos dan baginda mula menyusun strateginya.

Raja Kamose meneruskan kempen yang dilancarkan oleh ayahandanya menghadapi Kerajaan Hyksos. Ketika memasuki tempoh pemerintahan ketiga baginda, Raja Kamose memulakan kembali kempen yang mana baginda sendiri turun padang memimpin pasukan dalam setiap pertempuran. Langkah pertama yang diambil oleh baginda adalah dengan merampas kembali daerah Nefrusy iaitu sebuah daerah yang diyakini sebagai pintu pembuka kepada penaklukan seterusnya.

Setelah baginda merebut semula kawasan ini, baginda mara bersama para tenteranya mengambil satu-persatu perkampungan dan pos-pos tentera milik Kerajaan Hyksos. Kampung yang tidak mahu bekerjasama dengan Raja Kamose akan dihukum dengan cara mengepung dan menyekat segala bahan makanan ataupun bekalan air memasuki ke kawasan tersebut.

Kubu-kubu pertahanan Kerajaan Hyksos mula melemah di selatan Mesir. Ketika Raja Kamose dalam perjalanan ke wilayah-wilayah utara Mesir, tenteranya dapat menghadang dan menangkap utusan diraja Hyksos. Utusan tersebut dipercayai membawa sebuah surat dari Raja Hyksos, Apopi I untuk diserahkan kepada sekutu mereka, Raja Kush yang memerintah di selatan Mesir, tidak jauh dari kota Thebes. Raja Kamose tidak mahu bertindak terburu-buru untuk berundur ke Thebes atau maju terus ke Avaris.

Langkah pertama yang dilakukan oleh baginda adalah dengan mengutuskan kembali utusan tersebut kepada Raja Apopi, ia sebagai sebuah amaran yang tegas dari Raja Kamose untuk tidak bermain-main lagi. Setelah itu, baginda bersama pasukannya mengambil langkah bijak kedua dengan menghancurkan Bahariya Oasis di gurun barat.

Bahariya Oasis merupakan nadi penghubung perdagangan diantara kerajaan Hyksos dan kerajaan Kush. Dengan kemusnahan nadi ini, maka Raja Kamose mampu menciptakan tembok penghalang diantara Hyksos dan Kush. Baginda memastikan tiada sebarang bantuan apa pun yang akan dihantar oleh kerajaan Kush kepada kerajaan Hyksos.

Taktik yang mudah ini, memudahkan Raja Kamose mampu menguasai hampir 40% titik-titik kekuatan Hyksos. Penaklukan Raja Kamose berjaya mencapai sehingga ke sempadan kota Cynopolis (Anpu) di tengah Mesir (berdekatan daerah Faiyum dan kota Saka)

Selain penguasaan ke atas benteng-benteng utama Hyksos, Raja Kamose juga turut melancarkan kempen perang ke atas Kerajaan Kush. Baginda ingin memastikan yang kerajaan Hyksos tidak akan menerima bantuan apa-apa pun pada masa akan mendatang. Baginda mahu menghapuskan kerajaan Kush supaya baginda mampu menumpukan pertempurannya dengan Hyksos.

Dalam masa tempoh tahun keempat pemerintahannya, Raja Kamose mampu memukul mundur segala serangan dari Raja Kush. Jajahan Kerajaan Kush perlahan-lahan jatuh ke tangan Raja Kamose dan segala sumber kekayaan Kush mula beralih kepada baginda. Kelebihan ini memberikan peluang kepada Raja Kamose membeli peralatan perang dan mempertingkatkan pertahanannya di selatan Mesir daripada ancaman Hyksos mahupun Kush.

Baginda berhasrat ingin melanjutkan penaklukannya ke atas ibukota Avaris.

Ahmose I: Raja Harapan Terakhir Rakyat Mesir

Kepimpinan Raja Kamose terserlah dalam kesemua pertempuran selama dua tahun terakhir pemerintahannya, sehinggalah baginda terbunuh dalam suatu pertempuran yang dahsyat pada sekitar tahun 1550 SM. Hasrat baginda untuk merebut kota Avaris terkubur bersamanya.

Pada saat ini, putera Ahmose berumur 10 tahun dan belum syarat untuk menduduki takhta Thebes. Permaisuri Ahhotep I mengambil alih kuasa sementara (de facto) di Thebes lalu meneruskan kempen pengukuhan kuasa di kawasan-kawasan yang ditinggalkan oleh anaknya, Raja Kamose.

Apabila putera Ahmose mencapai tahap umur yang telah matang mengikut syarat sebagai seorang pemimpin, barulah Permaisuri Ahhotep I menyerahkan takhta kepadanya. Raja Hyksos di Memphis masih belum tahu yang Thebes sedang mempersiapkan angkatan tentera yang bakal melenyapkan kekuasaan mereka di Mesir.

Tetapi, beberapa pendapat menyatakan yang Ahmose tidak menjadi raja di Thebes tetapi sebagai jeneral perang. Ini seperti yang dicatatkan di dalam manuskrip ‘Rhind Mathematical Papyrus’ iaitu:

“Regnal year 11, second month of Shomu, Heliopolis was entered. First month of Akhet, day 23, this southern prince broke into Tjaru.”

Panggilan putera (prince) ini memberikan maklumat kepada ahli Egyptologi yang status Ahmose hanyalah sebagai seorang putera sahaja, bukannya seorang raja kerana pada masa ini, putera Ahmose masih berumur 10 tahun. Rekod disokong berikutan ibunya, Ahhotep I masih memegang gelaran permaisuri. Jadinya, pada waktu ini, abangnya, Raja Kamose dianggap sebagai pemimpin terakhir Dinasti Ke-17 secara sah.

Walaupun tidak mempunyai kuasa sebagai raja, putera Ahmose mula menyusun atur kembali pasukannya. Baginda mempelajari pelbagai kesilapan dari Raja Seqenere dan Raja Kamose dalam beberapa siri pertempuran sebelumnya. Baginda tidak mahu meneruskan lagi kempen peperangan ini, tetapi baginda hanya mahu menghentikan terus perbalahan selama 30 tahun yang tiada titik noktahnya.

Sebuah serangan skala besar-besaran yang terakhir.

Kejatuhan Hyksos: Detik-Detik Pembebasan Kota Avaris

Di utara Mesir, pucuk kepimpinan kerajaan Hyksos sudah bertukar tangan. Raja Apopis I meninggal dunia dan takhtanya diserahkan kepada Raja Khamudi pada sekitar tahun 1540 SM. Raja Khamudi yang baru menaiki tampuk pemerintahan terpaksa menghadapi tantangan dari kerajaan Thebes yang dipimpin oleh seorang permaisuri dan seorang putera yang menjadi jeneral perang pada umur 20 tahun.

Gendang perang berpalu dari Thebes. Sang putera bersama pasukannnya mara dengan semangat juang yang tinggi ke jantung Kerajaan Hyksos, kota Avaris. Putera Ahmose I, berjanji tidak akan berundur lagi. Baginda hanya akan menyapu Hyksos buat selama-lamanya dari muka bumi Mesir. Maruah Mesir akan dipahatkan kembali di dalam sejarah. Perjuangan nenek moyangnya akan diteruskan selagimana hayat dikandung badan.

Rekod kisah perang dan pertempuran yang dipimpin oleh Putera Ahmose I dicatatkan di dalam The Rhind Papyrus.

1. Pada bulan Julai, putera Ahmose I memimpin pasukannya menyerang kota Heliopolis. Dengan penawan kota Heliopolis, kota Memphis yang bersekutu dengan kota Avaris, menjadi mangsa pertama yang disekat segala perbekalannya. Ini kerana, kota Heliopolis merupakan nyawa kepada perkembangan seharian kota Memphis. 

Setelah membungkam aktiviti ekonomi kota Memphis, putera Ahmose meneruskan rancangannya untuk menawan kota Tjaru.

2. Putera Ahmose bersama angkatan pasukannya berangkat dari kota Heliopolis menuju ke kota pertahanan Tjaru. Kota pertahanan Tjaru merupakan kota yang melindungi jalur utama perdagangan diantara ibukota Avaris, Mesir dan tanah Kana’an. Jalur ini dikenali sebagai ‘Laluan Horus’ dan merupakan nadi kelangsungan hidup kota Avaris. Dengan penguasaan ke atas benteng Tjaru, Ahmose mampu menyekat segala perbekalan bantuan dari tanah Kana’an kepada kota Avaris.

Jalur bantuan ke kota Memphis dan Avaris ditutup serapat-rapatnya. Taktik putera Ahmose berhasil. Baginda semakin dua langkah ke hadapan.

3. Kota Avaris sekarang dihimpit dengan sekatan perbatasan antara Mesir-Kana’an oleh putera Ahmose. Setelah dapat memperkukuhkan sekatan ekonomi ke atas Hyksos, putera Ahmose mara dan menawan kota Sharuhen. Raja Khamudi tiada cara lain lagi kecuali terpaksa bertahan bersama sisa pasukannya di benteng Avaris. Dengan kejatuhan kota Sharuhen yang merupakan kota pertahanan Hyksos berhampiran Gaza, maka Hyksos ibarat telur di hujung tanduk. 

Putera Ahmose tidak menunggu lama untuk membantai habis-habisan ke atas Hyksos. Mesir wajib dimerdekakan kembali. Pasukannya mara dari tiga penjuru, Thebes, Tjaru dan Sharuhen lalu mereka mula mengepung kota Avaris sedikit semakin sedikit.

4. Episod gempuran kota Avaris oleh putera Ahmose berlangsung selama tiga kali cubaan dan ketiga-tiga serangan ini berakhir dengan kegagalan. Putera Ahmose mencari jalan untuk mengakhiri pengepungan ini (tidak diketahui taktik yang digunakan Ahmose).

Sehinggalah pada gempuran kali keempat, barulah kota Avaris rebah, lalu sekaligus menamatkan pemerintahan 108 tahun Hyksos di bumi Mesir. Seorang putera muda, berumur 21 tahun, membuktikan janjinya.

Menyarung Kembali Takhta Amun: Raja Pertama Yang Memegang Gelaran Firaun

Hembusan angin padang pasir Mesir bertiup membawa debuan-debuan gurun. Matahari terbit memancarkan sinaran baharu ke atas bumi Mesir. Tepat pada tahun 1541 SM, kerajaan Hyksos dimusnahkan oleh seorang putera dari Thebes. Mereka dihalau kembali ke Kana’an. Istana Avaris dan kota Memphis dikuasai kembali oleh keturunan bangsawan tempatan. Impian Ahmose direalisasikan tidak sampai beberapa lama tempoh pemerintahan Raja Khamudi. Untuk kali keduanya, putera Ahmose berjaya menyatukan kembali Mesir utara dan Mesir selatan menjadi satu pemerintahan berpusat. 

Ahmose diangkat menjadi raja baharu Mesir, menyarung kembali takhta Amun ketika berumur 21 tahun (ada pendapat mengatakan pada umur 25 tahun). Baginda diberi gelaran sebagai Firaun Ahmose I dari Thebes. Segala kota dan kampung yang dahulunya bersumpah setia kepada Hyksos kini mula beralih kesetiaan mereka kepada Firaun Ahmose I. Mesir kini ditadbir oleh Dinasti Ke-18, dinasti seterusnya yang membuka fasa baharu dalam sejarah Mesir iaitu fasa Kerajaan Baru atau The New Kingdom. Di dalam fasa inilah, lahirlah beberapa para firaun yang terkenal di dunia seperti Tuthakhamun, Akhenaten, Ramses II dan Nefertiti.

Para sejarawan berpendapat, gelaran raja Mesir mula diubah kepada Firaun setelah Ahmose berjaya menyatukan Mesir buat kali kedua. Baginda ingin membawa wajah dan identiti khas masyarakat Mesir. Firaun yang sebelum ini merujuk kepada tempat bersemayam sang raja Mesir di istana mula dipakai secara rasmi bagi gelaran para pemimpin untuk Dinasti Ke-18. Ada para sejarawan mengungkapkan teori lain tentang kemunculan gelaran Firaun atau Pharoah.

Ia mula digunapakai dalam acara rasmi dan cop mohor negara pada sekitar tahun 1570 SM atau 1069 SM. Nama Pharoah diolah semula oleh para pengkaji setelah mereka menemui panggilan nama kepada raja di Mesir ketika memasuki fasa Kerajaan Baru daripada manuskrip Yunani yang mengelarkan raja Mesir sebagai Pero (The Great House). Pero juga membawa maksud sebagai Penguasa Dua Tanah: Mesir utara dan Mesir selatan (Lord of the Two Lands) dan Pendeta Tertinggi Seluruh Kuil (High Priest of Every Temple).

Firaun Ahmose I menjadikan kota Thebes sebagai ibukota pemerintahan Dinasti Ke-18. Sebab utama perpindahan pusat pentadbiran ini dipecahkan kepada dua sebab, iaitu:

1. Jauh dari jangkauan musuh: Firaun Ahmose tidak mahu menjadikan kota Memphis mahupun kota Avaris sebagai pusat kekuataannya kerana terlalu dekat dengan musuh yang kemungkinan datang dari Kana’an ataupun Mesopotamia. Thebes merupakan satu-satunya kota yang jauh daripada musuh ini mungkin memberikan kelebihan kepada baginda bertahan dan menyerang balas kembali sekiranya kota Memphis atau Avaris ditawan oleh musuh.

Baginda belajar daripada sejarah bagaimana Hyksos dengan mudah menjangkau Mesir dalam hanya masa yang singkat. Walaupun baginda mengetahui kekayaan dan kekuatan pertahanan kedua buah kota di selatan itu, baginda tetap tidak dibutakan dengan harta yang melimpah ruah. Baginda hanya mahu memastikan, Mesir tidak akan diperintah oleh raja asing lagi.

2. Membalas budi masyarakat Thebian: Firaun Ahmose sangat terhutang budi kepada masyarakat kota Thebes yang tidak lelah berjuang di sisi keluarganya dari zaman ayahnya, Raja Seqenere, abangnya Raja Kamose dan ibunya Permaisuri Ahhotep. Baginda juga mendapat bantuan dan kesetiaan yang penuh daripada mereka selama kempen pertempuran dengan Hyksos.

Untuk membalas budi mereka, baginda ingin menaik taraf kehidupan masyarakat Thebes. Mereka dikecualikan daripada cukai selama pemerintahan baginda. Mereka menjadi penduduk kota yang sangat bertuah. Mereka menjual kesetiaan, baginda memberi kemakmuran. ‘Win-win situation’.

Setelah struktur pentadbiran disusun semula, Firaun Ahmose meneruskan perluasan kuasanya dengan memimpin tentera di dalam ekspedisi darat (melintasi Sinai) dan lautan (menyeberangi Laut Merah). Baginda menawan satu-persatu daerah penting Hyksos di selatan Kana’an. Pada tahun ke-22 pemerintahannya, baginda mampu membuktikan ‘dendam’nya kepada Hyksos tidak akan pernah tamat.

Empayarnya pada waktu ini mencapai dari Mesir utara, Mesir selatan, Kana’an selatan sehinggakan menjangkau ke sungai Eupharates, tanah Mesopotamia. Segala tamadun yang diciptakan oleh Hyksos dihapuskan dari sejarah. Walaupun dalam memperluaskan kuasanya di luar, baginda tetap menghadapi pemberontakan dalaman, tetapi kesemua api pemberontakan ini berjaya dipadamkannya sebelum ia menular dan memberikan kesan yang buruk kepada kerajaan baharunya.

Setiap yang bernyawa, pasti akan merasai kematian. Akhirnya, pada tahun 1524 SM (atau 1526 SM) setelah memerintah Mesir selama 25 tahun 4 bulan (mengikut catatan Manetho), baginda menghembuskan nafas terakhirnya di istananya pada umur 35 tahun. Baginda dimumiakan dan dimakamkan di pemakaman diraja Deil al-Bahari (Pemakaman Lautan) yang berhadapan dengan kota Luxor. Pemakaman ini merupakan pemakaman diraja Thebian (Thebes).

Kemangkatan baginda bukan tandanya kematian identiti mereka. Anaknya, Firaun Amenhotep I meneruskan legasi ayahandanya dalam memperluaskan kuasa dan mempertahankan kedudukannya sebagai firaun yang kedua Dinasti Ke-18.

Daripada kisah ini, kita boleh melihat bagaimana semangat sebuah keluarga diraja tempatan yang ingin membebaskan tanah berdaulat mereka daripada cengkaman kuasa asing. Semangat mereka disokong penuh oleh rakyat sendiri sehinggakan daripada sebuah kerajaan yang kecil di tengah-tengah padang pasir, Thebes, akhirnya mereka mampu menghadapi dua buah kerajaan sekaligus iaitu negara jiran, Kerajaan Kush dan musuh utama, Kerajaan Hyksos.

Walaupun mereka tiada kelengkapan senjata yang banyak dan canggih seperti tentera diraja Hyksos, mereka tetap berjuang ke titisan darah terakhir. Bukan semua Firaun yang dianggap jahat di dalam sejarah. Wujudnya juga sosok seorang pemimpin yang baik sepertimana di dalam semua sejarah tamadun manusia. Firaun Ahmose I merupakan salah satu daripada sosok pemimpin patriotik yang namanya jarang disebutkan di dalam sejarah.

Artikel berkaitan:

1. Senarai Nama Firaun: https://www.google.com/amp/s/www.thepatriots.asia/senarai-nama-firaun-yang-memerintah-mesir-purba/amp/

2. Raja Narmer: https://www.google.com/amp/s/www.thepatriots.asia/namer-insan-yang-menyatukan-kerajaan-mesir-purba/amp/

3. Dewa Amun-Ra: https://www.google.com/amp/s/www.thepatriots.asia/amun-ra-dua-jasad-satu-identiti-bertakhta-matahari/amp/

RUJUKAN:

1. The Dictionary of Ancient Egypt oleh Ian Shaw (halaman 199).

2. War in Ancient Egypt: The New Kingdom oleh Anthony J. Spalinger (halaman 23).

3. The History of Ancient Egypt oleh Profesor Bob Brier.

4. A Brief History of Egypt oleh Arthur Goldschmidt Jr.

5. Ahmose I, Founder of the 18th Dynasty and the New Kingdom of Ancient Egypt oleh Jimmy Dunn.

Gambar: Assassins Creed Origins.

– TAMAT –




Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.