Fiqh Sirah: Perlawanan Al-Buti Terhadap Sekularisme

502

Imam Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti telah menyiapkan kitab perjalanan hidup Rasulullah berjudul Fiqh Sirah. Ia bermula sebagai kuliah bagi mahasiswa tahun pertama Fakulti Syari’ah Universiti Damsyiq, sebelum dikumpulkan isi-isinya melalui penulisan. Bukankah kitab tentang sirah Rasulullah telah banyak, maka apakah yang membezakan karya Al-Buti ini dengan yang lain?

Jawapannya, ia bertujuan meluruskan semula matlamat pembelajaran sirah Rasulullah.

‘Hayat Muhammad’, karangan Muhammad Husain Haekal telah dibantah hebat oleh Al-Buti. Ia dianggap memiliki kecenderungan untuk menafikan unsur-unsur mukjizat dalam kehidupan Nabi Muhammad. Hal ini kerana pengarangnya terlampau terpesona dengan pendekatan saintifik barat. Harus diingat, bahawa dalam menilai Rasulullah, haruslah menilai dengan neraca wahyu, bukan empirical semata-mata.

Memisahkan keperibadian dengan agama, bisa membenihkan sekularisme. Pemisahan duniawi dengan ukhrawi. Ya, Rasulullah ialah lelaki yang hebat, sempurna dan mulia. Namun, Al-Buti menegaskan bahawa tidak cukup menceritakan kehebatan Rasulullah pada aspek manusiawi semata-mata dengan mengetepikan faktor wahyu. Sesungguhnya, kehebatan Nabi Muhammad berkait rapat dengan hakikat bahawa baginda ialah Utusan Allah. Maka, segala tindakan berasal dari wahyu.

 Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. (QS. Ali Imran: 144)

Manusia wajib meyakini yang hakikat Islam zahir dan batin semuanya teradun pada diri Rasulullah. Sirah bukanlah sekadar buku cerita atau dongeng. Bukan juga riwayat hidup tokoh. Hakikat ini dapat difahami selepas hikmah, prinsip dan dasar Islam difahami terlebih dahulu. Justeru, sirah Rasulullah merupakan intipati keseluruhan Iman, Islam dan Ihsan.

Tidaklah Kami mengutusmu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (QS. Al-Anbiyâ’: 107)

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: “Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: “Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam).” (HR Ad-Darimi)

Sekularisme sering memutarbelit prinsip Islam.

Sebagai misal, konsep Rahmatan Lil Alamin bisa diputarbelit mengikut hawa nafsu dengan memaksa masyarakat menerima homoseksual. LGBT tidak mempunyai hak. Bahkan ia dilaknat dan dibenci Allah. Rahmat yang sebenar ialah menarik keluar pelaku songsang ini daripada perbuatan menjijikkan, kembali kepada fitrah asal manusia normal.

Dengan mempelajari sirah Rasulullah, kita mengerti apakah respon baginda terhadap sesuatu isu. Apakah tindakan baginda bila menghadapi sesuatu permasalahan. Ada masa baginda marah, ada masa gembira, ada masa sedih dan ada masa berdiam diri. Akhirnya, penafsiran Al-Quran dan Hadis difahami melalui perjalanan hidup baginda apabila melalui sesuatu peristiwa.

Tujuan pembelajaran sirah:

  • Memahami peribadi Nabi Muhammad menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Ini adalah untuk menentukan Muhammad itu bukan sebagai manusia pintar tetapi baginda adalah pesuruh Allah ta’ala yang menerima wahyu dan taufiq dari-Nya.
  • Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dari itu juga dapat dijadikan sebagai dasar-dasar hidupnya. Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik bersifat universal , mereka akan dapat semuanya di dalam kehidupan Muhammad, maka tidak hairanlah mengapa Allah menjadikan Muhammad itu sebagai contoh kepada umat manusia. Untuk demikian maka Allah telah menegaskan dalam kitab suci-Nya:

Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah. (QS. Al-Ahzab: 21)

  • Semoga kupasan tentang kehidupan Muhammad boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat Al-Quran yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad.
  • Agar setiap muslim dapat mengumpulkan seberapa banyak yang boleh perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar sama ada pengetahuan bersangkutan dengan aqidah kepercayaan, hukum-hakam dalam Islam atau tatasusilanya. Lebih tegas lagi penghidupan Rasulullah adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hakam Islam.
  • Membolehkan para pendidik pendakwah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut system pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad sendiri adalah pendidik, penasihat, guru dan petunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan system-sistem pengajaran yang terbaik semasa baginda berdakwah.

RUJUKAN:

  1. Fiqh Sirah. Al-Buti.
  2. ‘Rahmatan lil alamin’ perlu ditafsir secara hikmah, cermat. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/09/478986/rahmatan-lil-alamin-perlu-ditafsir-secara-hikmah-cermat
  3. Rasulullah teladan terbaik umat Islam. https://www.hmetro.com.my/addin/2018/10/385681/rasulullah-teladan-terbaik-umat-islam

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.